27.10.08

Perak Merancang Pembangunan "Islamic City"

Saya teruja apabila membaca berita di bawah. Ianya dipetik daripada Harakahdaily.net. Keterujaan saya bukan hanya terhadap kejayaan Perak memungkinkan kemasukan pelaburan asing bernilai RM22 billion, tetapi kesungguhan kerajaan negeri melihat peluang besar dalam memperkenalkan Perak ke dunia luar melalui sektor pelancongan, pendidikan dan kesihatan. Ketiga-tiga sektor ini adalah kesimpulan saya terhadap perancangan Perak membangunkan sebuah 'Kota Raya Islam' atau di dalam bahasa asingnya "Islamic City", sebagaimana yang dilaporkan.

Saya pernah mencadangkan perkara di bawah ini dalam entri saya bertajuk: Idea saya Untuk Sektor Pelancongan Perak, pada tarikh 26 Julai lalu.

" Saya juga mencadangkan pembangunan di sekitar Lumut, Pantai Remis dan Pulau Pangkor di pergiatkan lagi untuk industri pelancongan dan perumahan kos mewah. Kerjasama dengan pelabur dari Timur Tengah perlu dicari segera. Mungkin boleh mencari pelabur Arab untuk membina hotel kelas dunia di Pulau Pangkor atau pulau sekitarnya sebagai tempat rehat kelas pertama bagi pelancong Arab dan Eropah. Boleh juga membangunkan kawasan penempatan kelas dunia melalui pembinaan pangsapuri mewah, rumah banglo, atau service apartment untuk menyokong dasar kerajaan persekutuan, Program Malaysia Rumah Kedua Saya. Bagi projek ini, saya mencadangkan Perak menerokainya bersama dengan Kuwait Finance House (M) Bhd, yang berpengalaman membangunkan Pavilion yang turut menyediakan pangsapuri mewah untuk pembeli Timur Tengah dan mempunyai rangkaian luas di Timur Tengah.

Lebih menarik perhatian pelancong Arab untuk menetap, jika Perak dapat memenuhi citarasa mereka, sebagai contoh menyediakan pusat membeli-belah kelas dunia dengan pemisahan lelaki dan wanita di sekitar Lumut. Saya percaya, dengan adanya perancangan seperti itu, beserta dengan perancangan kemudahan ibadat dan mungkin sebuah kolej bertaraf antarabangsa, Lumut dan Pangkor akan menjadi pilihan utama untuk peniaga Arab melabur dan keluarga Arab menjadikan Perak negeri kedua mereka.
"


Apa yang saya utarakan di atas, itulah yang saya faham daripada pembangunan sebuah "Islamic City". Saya yakin, kerajaan Perak mampu dengan infrastruktur yang sedia wujud di daerah Manjung ini.

Saya tidak tahu perancangan sebenar Perak. Apakah bertepatan dengan apa yang saya lakarkan atau sebaliknya. Namun, marilah kita sama-sama berdoa untuk kejayaan itu.


Perak Terima Pelaburan RM22 Billion

Oleh: Ekmal Yusof
Mon | Oct 27, 08 | 11:59:01 am MYT

KUALA KANGSAR, 27 Okt (Hrkh) - Walaupun dunia kini dihimpit krisis ekonomi global tetapi Kerajaan Pakatan Rakyat Perak berjaya mendapatkan pelaburan asing bernilai sebanyak RM22 billion.

Exco Agama, Pendidikan Islam, Wanita Dan Kebajikan Negeri Perak, Haji Mohd Zainuddin Mohd. Yusof berkata, kerajaan Perak akan menerima kedatangan pelabur asing bernilai RM22 billion ketika berucap di Jamuan Hari Raya Aidilfitri, Kg. Masjid Laneh, Padang Rengas dekat sini baru-baru ini.

Tegasnya, dari jumlah itu terdapat sebanyak RM16 billion datangnya dari pelabur-pelabur di Teluk Telaga Minyak Timur Tengah

"Segala usaha tersebut adalah bertujuan untuk menjaga kepentingan rakyat dan juga perkembangan kemajuan serta pembangunan negeri Perak ini sebagaimana yang telah dijanjikan kepada rakyat dalam manifesto pilihan raya dulu," katanya.

Adun Lubok Merbau itu juga memberitahu, kerajaan mungkin akan membangunkan sebuah bandar baru Islam di negeri Perak iaitu "Islamic City" untuk kemudahan bukan orang Perak, rakyat Malaysia sahaja malah bagi Umat Islam seluruh dunia. - mns

No comments: