9.12.08

NURSYAIRAH, KAU PERGI JUA

Nursyairah duduk hadapan sebelah kanan. Ketika bergambar,
anak istimewa berusia 19 tahun


Rasanya, kadang-kadang sukar memahaminya. Memang sukar, mungkin bukan kekadang, tapi selalunya begitu. Sentiasa. Dia mungkin memahami kita, hati budi kita dan lagak marah sayang kita. Dia pula, bukan semua kita dapat memahaminya dengan mudah. Itulah istimewanya dia.


Dia selalunya ceria, gembira dan senang. Jika kami di meja makan, di situlah dia berlabuh. Jika nasi yang kami jamah, itulah jua makanannya. Pantang ditegur, cepat juga merajuk, lebih-lebih lagi jika dua adiknya mengusik. Mulut yang muncung diketapkan bibirnya. Kadang pula, dia cepat mengalirkan air jernihnya. Itulah dia.


Dia memang berani. Anak gadis yang tidak kenal malu. Ya, itulah dia. Tanpa segan tanpa silu, dengan usianya itu, aku dipeluki, disayangi. Memang dia menyayangi aku, walau aku hanya seorang lelaki asing yang baru bertamu di rumahnya. Itulah bukti sayang dan kasihnya seorang manusia, walau dia masih istimewa.


Masanya pula, selalunya bersama papa dan mamanya. Sentiasa di kaki, di riba, di pinggang, di dada dakapan sayang dan didukung tinggi memikul amanah Ilahi. 20 tahun dia ditatangi, dimanja, dibelai, dididiki, diadabi, dibesari, diasuhi dan disayangi. 20 tahun itulah dia istimewa buat keluarga. Buat Papa, buat Mama, buat semua.


Sukanya, suka semua. Tangisannya, sebak semua.


20 tahun itulah ujian dipikul semua. Membesarkan dia yang sentiasa 'kecil', mendewasakan dia yang berjiwa 'adik'. Tiada langsung di hati rasa kecewa. Tidak pernah terlintas membantah takdir. Jauh sekali mahu dia pergi segera. Tapi, dia telah pergi. Dia pergi jua sebelum kita meninggalkannya sendirian.


Itulah kehendak Ilahi. Itulah kerja Tuhan. KerjaNya kerja berhikmah. KerjaNya kerja bijaksana. Kami hanya pasrah, rela, redha dan serah.


Jam 9.45 malam, Sabtu malam Ahad, nyawanya diambil Ilahi di katil 6, Wad ICU, Hospital Serdang, Selangor Darul Ehsan. Ihsannya Allah meringankan bebanan denggi yang meragut fungsi organnya. Ihsannya Allah memudahkan dia pergi. Ihsannya Allah memudahkan sakaratnya.


Alhamdulillah, dia disemadikan pada tanggal mulia 9 Zulhijjah 1429. 4 jam sebelum jutaan manusia berwukuf, dia sudah bersatu dengan asalnya, di Batu 14 Puchong.


Nursyairah, bermacam usaha kami lakukan, namun Allah mahu, kau pergi jua. Al-Fatihah


++++++

Kau Sahabat Kau Teman

Album : Pelita Hidup II
Munsyid : Hijjaz
http://liriknasyid.com

Telah tiba saat waktu kau tinggalkan kami
Kerana takdir yang Maha Esa telah menetapkan
Sedih rasanya hati ini bila mngenangkan
Kau sahabatku kau teman sejati

Tulus ikhlasmu luhur budimu bagai tiada pengganti
Senyum tawamu juga katamu menghiburkan kami
Memori indah kita bersama terus bersemadi
Kau sahabatku kau teman sejati

Sudah ditakdirkan kau pergi dulu
Di saat kau masih diperlukan
Tuhan lebih menyayangi dirimu
Ku pasrah diatas kehendak yang Esa

( korus )
Ya Allah,tempatkannya di tempat yang mulia
Tempat yang kau janjikan nikmat untuk hamba Mu
Sahabatku akan ku teruskan perjuangan ini
Walau ku tahu kau tiada di sisi

Perjuangan kita masih jauh beribu batu
Selagi roh masih di jasad hidup diteruskan
Sedih rasa hati ini mengenangkan dikau
Bagai semalam kau bersama kami

( korus ) Moga amanlah dan bahagia dikau di sana
Setangkai doa juga Fatehah terus kukirimkan
Moga di sana kau bersama para solehin
Ku sahabatku kau teman sejati

No comments: