Memang lama saya fikirkan kenapakah remaja kini mudah bercintan-cintun, berkasih sayang atau mencari 'monyet' untuk dicintai.
Baru-baru ini, dan dua hari lepas, saya yakin kepada ulasan seorang sahabat. Itulah kebenarannya, bahawa mereka bukan bercinta sebenarnya, tetapi cuba mendapatkan perhatian yang tiada di rumah.
Cinta, mempunyai kuasa ajaib katanya. Kuasa yang menjadikan 'Po' boleh melompat ke atas para untuk mendapatkan apa sahaja yang boleh dimakan, termasuk paunya. Cinta, lautan api sanggup direnangi oleh seorang vokalis Melayu Rock Kapak 'cintan'. Cinta, membawa kepada pengorbanan seorang ayah membesarkan anak dan menggembirakan si ibu. Itu cinta.
Namun, bercintakah dua jiwa mentah yang sanggup berpisah hanya kerana ingin menyambung pengajian berbayarkan duit ah long 'pi ti pi ti en'? Cintakah itu, jika pemisah mereka hanya satu kalimah lima huruf 'bosan'?
Ya, saya percaya kepada hasil sahabat saya. Itu bukan cinta. Itu tanda ketandusan perhatian.
Remaja kini perlukan perhatian. Perhatian itu mudah hilang. Ia boleh hilang daripada seorang ayah, biarpun dia seorang guru penyayang di sekolah atau aktivis politik berkebajikan. Ia hilang, jika si ayah tadi tidak mahu memberi perhatian kepada anaknya, atas alasan, "biarkan Tuhan menjaganya".
Aduh, mudahnya mendidik anak, serahkan sahaja pada Yang Maha Penyayang. Hambakah Tuhan kita?
Ia boleh hilang daripada seorang ibu yang amat menyayanginya suatu tika dulu. Ia hilang kerana si ibu merasakan perhatian yang diberi sejak kecilnya anak tadi, telah memadai setelah anaknya kini sudah pandai mendekati teman sekolah.
Buat ayah dan ibu semua, jangan perkecilkan ketandusan anak remaja kalian terhadap perhatian kalian. Lantaran hilangnya perhatian ini, maka mulalah mereka mendapatkan perhatian di luar rumah. Maka dengan siapa mereka mencari? Di mana perhatian diperolehi dan bagaimana ia ditemui?
Oleh itu, pulanglah memberi perhatian kepada anak-anak!
No comments:
Post a Comment