21.12.08
CALON PILIHAN PARTI UTK PRK036
Ramai yang berminat memberikan pandangan dalam isu pemilihan calon pilihanraya kecil di Kuala Terengganu pada 17 Januari akan datang. Antaranya ialah para blogger yang banyak memberi sumbangan kepada kejayaan Pakatan Rakyat.
Ketika menulis artikel pendek ini, pimpinan PAS Pusat sedang bermesyuarat di Kuala Terengganu. Antara lain, agendanya ialah memilih calon PAS.
Saya menulis bagi menyeru semua ahli PAS agar akur terhadap siapa sahaja yang ditentukan oleh pemimpin kita. Janganlah kerana calon pilihan kita tidak ditaqdirkan Allah Ta'ala, kita mahu merungkai kasih sayang dalam menjalankan kerja jihad pilihanraya nanti. Sehebat manapun calon kita, menang kalahnya banyak bergantung kepada kita, para petugas parti.
Dalam pada itu, untuk meyakinkan diri, jika calon bukan pilihan kita nanti yang terpilih, agar semuanya berjalan lancar, perlulah kita sendiri mendalami kelemahan calon kita, kekurangan calon kesukaan dan kelebihan calon yang ditetapkan oleh jamaah.
Calon baru tempatan banyak kelemahannya. Muka baru yang sukar menarik petugas seluruh negara, tidak berpengalaman dalam mengikuti jadual kempen pilihanraya, tidak dikenali oleh majoriti ahli parti dan hampir semua pengundi atas pagar, tidak diyakini mampu membawa suara parti ke dalam parlimen dan sukar menarik ghairah rakan-rakan Pakatan Rakyat untuk turun berkempen.
Bagi Naib Presiden, Tuan Haji Mohd Sabu, kekurangan beliau pada isu calon luar, penolakan secara baik namanya oleh Pemuda Terengganu, tidak disukai oleh ahli Umno totok dan rekod kalah yang jelas di dalam pilihanraya umum lalu, sedangkan PAS menang di peringkat undian DUN.
Maka, sebagai ahli, jika calon pilihan kita tidak dipilih, maka keputusan itu tidak perlu menjadi penghalang kepada kita untuk terus bersemangat membantu kebenaran perjuangan kita. Ya, segala kesusahan itu, jika di atas kebenaran, maka usaha melaksanakannya adalah satu perjuangan. Bekerja keras memenangkan sesiapa sahaja, termasuk yang jauh dari hati merupakan satu kerja juang.
Yakinlah, sudah tentu calon pilihan parti mempunyai banyak kelebihan dan ia menepati sebahagian besar hukum alam dalam mencapai kemenangan pilihanraya nanti.
"Beristiqamahlah sebagaimana yang anda DIARAHKAN"
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment