8.12.08

TALKIN SATU TAZKIRAH

Bismillah al-Rahman al-Rahim. Mahasuci Tuhan yang Engkau bersifat dengan Baqa' dan Qidam, Tuhan yang berkuasa mematikan sekalian yang bernyawa.


Mahasuci Tuhan yang menjadikan mati dan hidup untuk menguji siapa yang baik dan siapa yang kecewa.


Mahasuci Tuhan yang menjadikan lubang kubur sebesar-besar pengajaran untuk menjadi iktibar kepada orang yang lalai, dan sebesar-besar amaran kepada orang yang masih hidup.


Ingatlah! Bahawa sekalian mahluk Allah akan menemui ajal dan binasa, melainkan zat Allah Taala, Tuhan yang Maha Besar kuasa menghukum, manakala kita sekalian akan kembali menghadap Allah Taala.


Wahai Nursyairah binti Rohani, Nursyairah binti Sulong, wahai seluruh yang hadir pada hari ini, hendaklah kamu semua ingat akan janji-janji Allah dan apa yang kamu akan bawa bersama-sama dari dunia ini.


Kamu telah mengaku bahawa tiada Tuhan yang disembah dengan sebenar-benarnya melainkan Allah, dan bahawa sesungguhnya Nabi Muhammad itu Pesuruh Allah.


Ingatlah kalian semua, apabila datang kepada kamu 2 orang malaikat iaitu Mungkar dan Nakir, maka janganlah berasa gentar dan takut, janganlah kamu berdukacita dan risau serta janganlah kamu susah-hati dan terkejut. Ketahuilah kita semua, bahawasanya Mungkar dan Nakir itu hamba Allah Taala, sebagaimana kita juga hamba Allah Taala.


Mereka akan bertanya kepada kita yang akan mati nanti, bertanya kepada si mati ini:

Siapakah Tuhan kamu? Siapakah Nabi kamu? Apakah agama kamu? Apakah kiblat kamu? Siapakah saudara kamu? Apakah pegangan iktikad kamu? Dan apakah kalimah yang kamu bawa bersama-sama kamu?


Di masa itu hendaklah kita menjawab soalan-soalan mereka dengan cermat dan
sehabis-habis terang, tepat dan betul. Janganlah kita berasa gementar dan jawablah dengan tenang:


Allah Taala Tuhanku, Muhammad nabiku, Islam agamaku, kitab suci Al-Quran ikutanku, Baitullah itu qiblatku, malahan solah lima waktu, puasa di bulan Ramadhan, mengeluarkan zakat dan mengerjakan haji diwajibkan ke atas aku. Semua orang Islam dan orang yang beriman adalah saudara aku, bahkan dari masa hidup hingga aku mati aku mengucap: "La ila ha illallah Muhammaddur rasulullah".


Wahai kaum muslimin, janganlah sekali-kali meninggalkan solat, kerana itulah amalan pertama yang akan dihitung oleh Allah Taala. Tidak berguna kejayaan di dunia jika Allah dilupakan, solat ditinggalkan dan nafsu mengusai diri. Jangan sekali-kali menderhakai kedua ibu bapa yang masih hidup. Jangan sekali-kali melupakan agama dan menganggap hidup di dunia ini selama-lama.


Wahai kaum muslimin, inilah dia suatu dugaan yang paling besar. Ingatlah bahawa kita akan tinggal didalam alam Barzakh, sehingga sampai satu masa, kita akan dibangunkan semula untuk berkumpul di Padang Mahsyar.


Insaflah wahai kaum muslimin yang hadir, bahawa senya mati ini adalah benar, soalan malaikat Mungkar dan Nakir di dalam kubur ini adalah benar, bangun dari kubur kemudian kita dihidupkan semula adalah benar,berkumpul dan berhimpun di Padang Mahsyar adalah benar, dihisab dan dikira segala amalan kita adalah benar, minum di kolam air nabi adalah benar, dan akhirnya syurga dan neraka adalah benar.


Bahawa senya hari Kiamat tetap akan tiba, begitu juga Tuhan yang Maha Berkuasa akan membangkitkan semula orang-orang yang di dalam kubur.


Semoga Tuhan akan memberi sejahtera kepada Nursyairah.Tuhan jua yang menetapkan hati beliau. Kita sekalian berdoa mudah mudahan Allah Taala menjinakkan hati Nursyairah dan kita semua, dan Allah menaruh belas kasihan kepada dia dan kita yang berdagang seorang diri di dalam kubur nanti. Mudah-mudahan Tuhan akan memberi keampunan dan memaafkan kesalahan dia dan kita semua serta menerima segala amal kebajikan beliau dan kita.


Ya Allah Ya Tuhan, kami merayu dan bermohon kepada Mu supaya tidak disiksa mayat ini, juga kami di alam kubur nanti, dengan sifatMu yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.


Subhana rabbika rabbil 'izzati 'amma yasifun wassallamu 'ala al-mursalin walhamdulillahi rabbil 'alamin.


++++++


Talkin ini dibaca sebagai satu tazkirah kepada penyampainya, para hadirin dan jenazah yang telah selamat disemadikan. Saya mengambil bacaan talkin ini di alam siber, disuntik ruh tazkirah dan ditujukan terutamanya kepada yang hidup, dengan menukar sedikit penggunaan bahasanya.


Dibaca secara berdiri bersama para hadirin lain, kemudiannya membaca fatihah dan tiga Qul untuk disedekahkan kepada simati, seterusnya berdoa untuk kebaikan yang hadir dan jenazah. Moga ianya menjadi amalan yang diredhai Allah.


No comments: