"Teman ghase oghang Peghak yang belah2 kampung tuh dah jemu nengor ceghite politik ni. Ate, udah jenoh ngikut satu satu bende. Kejap tumbang, kejap kate masih meghintah, kejap pulak speaker gantung, lepaih tu kate tak sah.
Ce kome pikior macam oghang kampung yang idup gantung dengan getah, padi, nyapu sampah kat kompleks dan duit poket daghi Ke El? Teman ghase, ghamei udah nyampah dengor ceghite politik nih. Duit poket deme idak pulak nambah, takdenye sape-sape nak nokok pun. Koje tak mandang. Ade yang kene beghenti obertime. Setengah kampeni, potong gaji, bior semue ghase susah."
Dalam keadaan begini, bagaimana kita berkempen di Bukit Gantang? Masihkah kita mahu menyerang musuh politik dengan ganas, keras dan pantas, sedangkan dalam fikiran mereka, mungkin berlegar di sekeliling PR belum terbukti the best.
Saya harap, PR jangan kelihatan seperti nak sangat mengejar kuasa dalam keadaan rakyat letih dan pening dengan politik dan ekonomi meleset. Pakar strategi kena buat yang terbaik.
KUALA LUMPUR, 19 Feb (Hrkh) - Bagi tokoh agama yang terkenal, Dato' Dr Haron Din menasihatkan agar kemelut yang berlaku di Perak ini diselesaikan dengan cara paling baik iaitu mengembalikan kuasa kepada rakyat untuk membuat keputusan melalui pilihan raya seluruh negeri.
Timbalan Mursyidul Am PAS itu juga berpendapat, perselisihan tafsiran undang undang di antara Sultan Perak, Raja Azlan Shah dan Menteri Besar Perak Dato' Seri Nizar Jamaluddin merupakan proses biasa dalam amalam demokrasi, dan bukan kali pertama berlaku di Malaysia dan mana-mana negara di dunia.
"Nizar tidak meletakkan jawatan kerana dia memegang amanah rakyat, dia hendak kembalikan semula kepada rakyat. Itu tafsirannnya.Saya tidak nafikan Tuanku Sultan ada tafsirannya. Jadi jika ada perselisihan tafsiran undang-undang, maka saya tidak fikir itu boleh dinamakan sebagai derhaka.
"Ini sepatutnya diselesaikan dengan cara paling baik iaitu, kembalikan kepada rakyat. Biar rakyat yang menentukan. Atau kita berlapang dada dan bersabar sedikit, biar Mahkamah Tinggi memutuskan kesahihan pelantikan menteri besar kedua," katanya dalam satu wawancara eksklusif dengan Harakah baru-baru ini.
Dalam pada itu beliau menegaskan Raja-raja Malaysia perlu dikekalkan pada takhta yang sedia ada dan rakyat diseru supaya bersatu dan mengekalkan kedudukan mereka.
Beliau antara ulama yang dekat dan rapat hubungannya dengan istana menjelaskan istilah 'sembah derhaka' yang dimanipulasi oleh plebagai pihak khusunya media sedangkan ianya bukan satu bentuk tindakan derhaka yang sebenarnya.
"Sembah derhaka' bermaksud apa yang diminta oleh seorang Raja atau Sultan tidak dapat dipenuhi atau ditunaikan oleh seorang hamba rakyat. Sama ada kecil atau yang besar. Seorang rakyat akan menuturkan bahawa 'patik sembah derhaka'. Bukan yang kita fahami itu derhaka adalah melawan atau menyakiti Raja," katanya yang cuba membandingkan pelbagai perbuatan menderhaka yang dilakukan oleh pemimpin sebelum ini.
Katanya, yang tidak mahu mendedahkan secara terperinci, memang berlaku perbuatan menderhaka yang tidak diketahui umum.
"Ada pemimpin disuruh Raja untuk 'briefing' pada hari tertentu tentang perkembangan negeri, langsung tak datang. Ada yang Raja suruh buat projek untuk rakyat, tetapi pemimpin tak buat. Ada Sultan yang suruh hentikan projek tertentu kerana membazir, mereka terus buat.
"Ada raja suruh bantu ekonomi orang Melayu, dengan bantu projek tertentu tetapi beri pada kroni mereka pula malah ada Raja beritahu saya, ada pemimpin yang terajang pintu istana kerana tidak puas hati.
"Ini semua saya dapat tahu dan ada antara Raja-raja yang beritahu sendiri kepada saya. Inilah perangai mereka... ini jauh lebih derhaka lagi," katanya.- azm/mks.
Elbaritii : Artikel ini diambil dari blog Telaah Politik. Saya sekadar menyiarkannya untuk nilaian pembaca.
Kesultanan Perak adalah merupakan waris daripada kesultanan Melaka melalui Sultan Muzaffar Shah I, iaitu anak kepada Sultan Mahmud. Sejarah Sultan Mahmud sebagai pemerintah Melaka telah diketahui umum berada dalam kelemahan sehingga akhirnya Melaka tumbang dijajah oleh Portugis. Salah satu kelemahan Sultan Mahmud yang paling ketara ialah beliau dipengaruhi oleh mereka yang di sekelilingnya dalam membuat keputusan. Menurut lagenda sejarah, beliau telah membunuh Bendaharanya Tun Mutahir atas hasutan pembesar di sekililingnya. Malah beliau telah membunuh anaknya sendiri Sultan Ahmad Shah yang telah mengambil alih takhta selepas pembunuhan Tun Mutahir. Kisah sejarah seperti ini sememangnya tidak perlu diungkit, tetapi perlu diambil pengajaran oleh Istana Perak.
Dalam zaman moden ini, sistem pemerintahan Malaysia telah bertukar kepada sistem demokrasi dan mengekalkan intitusi Raja yang terikat dengan perlembagaan. Dari segi perlembagaan kuasa Raja adalah diimbangi oleh kuasa eksekutif iaitu Perdana Menteri atau Menteri Besar. Mereka yang berada di sekeliling Raja atau Sultan dari kalangan pembesar-pembesar Istana hanyalah berkaitan dengan urusan istiadat dan pertabalan Raja atau Sultan yang baru. Dalam hal ehwal mentadbir negeri, Raja atau Sultan harus mendengar nasihat daripada Menteri Besar yang dipilih oleh rakyat. Zaman Raja atau Sultan mendengar nasihat daripada pembesar Istana telah berlalu.
Perkara inilah yang sedang berlaku di Perak. Sultan telah membelakangkan nasihat Menteri Besar yang mendapat kepercayaan majoriti rakyat sebaliknya mendengar pandangan pembesar-pembesar istana. Di kalangan pembesar-pembesar Istana Perak itu terdapat mereka yang mempunyai kepentingan diri atau kepentingan parti. Salah seorang daripadanya ialah Annuar Zaini yang diperkatakan oleh banyak pihak sebagai salah seorang perancang rampasan kuasa yang ada pada hari ini. Beliaulah yang dikatakan banyak mempengaruhi Istana Perak dalam membuat keputusan terutama yang berkaitan dengan senario politik negeri Perak. Tindakan beliau ini telah menyebabkan rakyat mulai ragu dengan pendirian istana yang sepatutnya tidak berpihak.
Tidak diketahui mengapa Annuar Zaini ini begitu istimewa di Istana Perak. Beliau bukanlah keturunan diraja. Beliau telah dilantik sebagai salah seorang pembesar Istana Perak dan dalam Sambutan Jubli Perak baru-baru ini, beliau telah dianugerahkan sebagai salah seorang yang begitu banyak jasanya kepada Sultan Azlan. Beliau juga adalah Ahli Lembaga Pengarah Universiti Malaya yang Canselornya adalah Sultan Azlan sendiri. Sehingga hari ini ramai rakyat jelata begitu tertanya apakah tuah yang ada pada Annuar Zaini ini sehingga beliau begitu dekat di hati Sultan Azlan, malah lebih diutamakan untuk mendapat nasihat berbanding Menteri Besar yang diberi mandat oleh rakyat.
Keterlibatan Annuar Zaini dalam perancangan rampasan kuasa ini sememangnya menjadi percakapan umum, tetapi ia semakin disahkan dengan penggunaan nama Raja Muda (Raja Nazrin) semasa menculik Nasarudin Adun Bota. Sebagaimana maklumat yang ditulis oleh Setiausaha Politik Menteri Besar Misbahul Munir, beliau dimaklumkan oleh isteri Adun Bota tersebut dua orang lelaki telah datang ke rumahnya untuk menjemput beliau mengadap Raja Muda. Siapakah yang sebegitu berani mendakwa dirinya menjadi wakil kepada Raja Muda. Sudah pasti mereka bertindak dengan dibelakangi oleh seseorang yang mempunyai kedudukan sebagai pembesar Istana. Tidak mustahil juga perkara tersebut berlaku kepada Adun DAP dari Jelapang. Kedua-dua mereka kelihatan terpinga-pinga semasa Najib mengumumkan rampasan kuasa.
Ketika PAS kalah di negeri Terengganu dalam PRU 2004 yang lalu, Annuar Zaini ketika diminta mengulas kenyataan Presiden Pas yang mengaku kalah, beliau menyatakan "baguslah mengaku kalah tetapi jangan pula selepas ini mengacau pentadbiran Terengganu". Sepatutnya kenyataan beliau itu diterjemahkan dalam konteks Negeri Perak. Beliau sepatutnya mengaku kalah dan tidak melakukan seribu satu onar dengan menggunakan nama Istana Perak mengacau pentadbiran Negeri Perak. Tindakan beliau untuk merampas teraju Kerajaan Negeri dengan cara yang jijik dan memualkan ini akan memalitkan sejarah hitam kepada Kesultanan Perak dan leluhurnya Kesultanan Melaka yang akan sekali lagi tercatat dalam sejarah.
Plot rampasan kuasa ini walaupun dilakukan begitu licik, tetapi mudah diketahui oleh rakyat Perak bahkan rakyat Malaysia. Walaupun pelbagai alasan digunakan melalui media-media massa, rakyat sekarang sudah mula celik. Rakyat sekarang bukan seperti zaman Sultan Mahmud dahulu, sebaliknya mereka mendapat berita secara live mendahului propaganda media-media massa. Rakyat mula persoalkan bagaimana boleh berlaku umpanan rasuah terhadap exco, bagaimana exco-exco boleh hilang sehingga tidak diketahui oleh keluarganya sendiri, bagaimana begitu bodoh mereka mengemukakan alasan sakit tulang belakang, bagaimana Adun Bota diculik dan lain-lain yang diketahui oleh rakyat terlebih dahulu sebelum media menyiarkan.
Hasil daripada perancangan yang jijik dan mual itu, 96% rakyat telah melihat bahawa BN akan menerima padah dalam PRU akan datang sebagaimana undian NTV7. Tokoh-tokoh vateran UMNO sendiri seperti Dr Mahathir dan Ku Li melahirkan rasa jijik dengan rampasan kuasa ini. Yang paling jelas Pak Lah dan Najib sendiri sedar bahawa rakyat sangat jijik dengan permainan kotor ini sehingga mereka tidak sanggup untuk kembali ke medan tempur sebagaimana tuntuntan Menteri Besar Perak untuk membubarkan DUN. Tindakan Annuar Zaini bersama kumpulannya merancang rampasan kuasa ini sebenarnya akan memburukan lagi imej UMNO yang telah ditolak rakyat dalam dua pilihanraya kecil yang lalu.
Bagaimanapun tindakan itu turut memalitkan nama baik Istana Perak. Ketika seluruh negara tertumpu kepada susuk tubuh Sultan Azlan sama ada membubarkan DUN atau tidak, baginda bertindak menyempurnakan rancangan tersebut. Ketika rayuan mencurah-curah dalam laman web Istana Perak supaya memberi semula mandat kepada rakyat, baginda mencurahkan balik rayuan itu ke luar jendela Istana Perak. Paling mengejutkan Baginda bertindak secara tidak cermat dengan meminta Menteri Besar meletakkan jawatan. Seharusnya Baginda memilih jalan yang lebih sederhana meminta Menteri Besar mengadakan sidang tergempar DUN supaya boleh diusulkan undi tidak percaya.
Sudah menjadi rahsia umum Baginda tidak begitu menyenangi Menteri Besar disebabkan beberapa isu yang sampai kepada Baginda melalui jalan pembesar-pembesar Istana. Boleh dikatakan kebanyakan pembesar-pembesar Istana Perak itu cenderung kepada UMNO termasuklah Annuar Zaini, justeru tidak menghairankan jika khabar yang disampaikan kepada Sultan Perak melalui jalan pembesar-pembesar negeri ini tentang Menteri Besar adalah negatif. Semua rakyat tahu bagaimana Menteri Besar begitu taat dengan Sultan Perak, tetapi Baginda di kelilingi oleh pembesar-pembesar Istana Perak yang tidak sebulu dengan Menteri Besar. Di sini kelihatan Baginda berada dalam kondisi sebagaimana luluhur Baginda Sultan Mahmud dahulu.
Sambutan Jubli Perak pemerintahan Baginda yang sepatutnya diperkukuhkan dengan keputusan yang dinanti-nantikan oleh seluruh rakyat Perak telah dicemari dengan nasihat-nasihat salah oleh Pembesar Istana. Keputusan Baginda dilihat seperti satu 'finishing' kepada satu konspirasi rampasan kuasa yang didakwa oleh PR dirancang oleh salah seorang pembesar baginda yang bernama Annuar Zaini. Sejarah Sultan Mahmud yang memerintah hampir 30 tahun termasuk membunuh Bendahara Tun Mutahir anakandnaya sendiri seharusnya tidak berulang. Sebagaimana Tun Mutahir dibunuh hasil hasutan pembesar-pembesar Istana, maka Istana Perak hari ini perlu menyingkirkan pembesar-pembesar yang seumpama itu kerana merekalah yang akan memalitkan sejarah hitam Kesultanan Perak.
Terjemahan bebas oleh: anakbulan dan disesuaikan untuk paparan di blog ABO
Penulis artikel: Huzir Sulaiman.
Sumber: Kolum Wide Angle, sisipan Starmag, the Sunday Star
Tarikh sumber: bahagian satu @ 06 April 2008
bahagian dua @ 20 April 2008
bahagian tiga @ 04 Mei 2008
Objektif artikel:
Bahagian(1) : melihat cabaran-cabaran terhadap raja-raja melayu sepanjang sejarah berkerajaan.
Bahagian(2) : menganalisis cabaran-cabaran terhadap raja-raja melayu selama beberapa tahun selepas kemerdekaan.
Bahagian(3) : merungkaikan kesan dari kebiadapan Mahathir terhadap raja-raja melayu pada 1983.
Husein Onn wariskan kebiadaban kepada Mahathir !
Awal tahun 1960-an Tanah Melayu ketika itu tidak menyaksikan kekecohan campurtangan raja-raja melayu dalam politik dan urusan pentadbiran walaupun dekad itu menggelegak dengan pelbagai peristiwa lain yang getir.
Walau bagaimanapun hubungan raja-raja dengan Kerajaan Perikatan masih baik dan saling memanfaatkan. Kedua-dua pihak bersatu suara mencari titik persamaan dalam menangani urusan perundingan dengan British pada 1956.
Kesudahannya raja-raja melayu berjaya dipujuk untuk menarikbalik bantahan mereka kepada cadangan memberikan kerakyatan kepada orang bukan melayu yang dilahirkan di Tanah Melayu. Gagasan ini dicetuskan oleh British, diperjuangkan bersungguh-sungguh oleh MCA dan MIC, dan diterima oleh Umno dengan keadaan trauma.
Namun saat-saat manis berbulan madu sistem raja berpelembagaan yang baru ini tidak bertahan lama.
Pada tahun 1981, apabila Mahathir menggantikan Hussein Onn sebagai Perdana Menteri Malaysia, suara istana kembali berkembang ke seluruh negara.
Sepanjang tempoh 1977-1983, peranan yang dimainkan oleh beberapa raja dirasai kesannya dalam arena politik, lebih hebat dari sebelumnya.
Menteri Besar Umno yang biadap !
Detik akhir pemerintahan Hussein Onn menyaksikan konflik beberapa orang Sultan dengan Menteri Besar yang berlaku secara terbuka. Pada 1977, Sultan Kelantan campurtangan dalam satu krisis yang berlaku disebabkan kekeruhan hubungan antara Umno dan Pas (ketika itu satu komponen BN).
Selepas kelulusan 'undi tidak percaya' terhadap Menteri Besar Kelantan dari Pas di DUN Kelantan, Sultan Kelantan cuba menangguhkan pembubaran DUN supaya seorang pengganti dapat dipilih di kalangan Adun Pas tanpa perlu mengadakan pilihanraya yang baru.
Kekecohan dicetuskan, dan dijadikan sebagai alasan oleh kerajaan persekutuan untuk mengisytiharkan darurat di Kelantan. Dalam pilihanraya berikutnya, Umno mengambilalih kuasa, satu keadaan yang cuba dielakkan oleh Sultan Kelantan.
Di negeri-negeri lain pun panas juga. Pada tahun 1977, Sultan Perak murka kepada Menteri Besarnya sehingga MB Umno itu terpaksa meletak jawatan. Pada 1978, Sultan Pahang menolak calon MB dari Umno, dan pada 1981, Sultan Johor menitahkan MB Umno meletak jawatan selepas 14 tahun memegang jawatan.
Mahathir yang 'anti-Raja' !
Tidak dapat dipastikan dengan jelas apakah sikap sebenar Mahathir terhadap raja-raja melayu apabila dia mula-mula memegang jawatan pada tahun 1981. Ketika itu, kuasa dan suara istana dirasakan di mana-mana.
Bagaimanapun, dalam tulisan 'Paradoxes of Mahathirism : An Intellectual Biography of Mahathir Mohd', Khoo Boo Teik menulis, "Mahathir bukanlah anti-raja sepenuhnya. Dia mengkagumi kekuasaan moden dalam kedaulatan Peter the Great dan Maharaja Meiji tetapi sikapnya amat buruk terhadap raja-raja melayu."
Khoo mencatatkan, "penghinaan Mahathir terhadap raja-raja melayu telah diluahkan secara terbuka dalam kritikan-kritikan dan sindirannya sebelum ini."
C.H.E Det (nama pena Mahathir di penghujung 1940-an) telah menafsirkan konflik antara raja-raja melayu dengan kepimpinan Umno pada 1949 sebagai konflik antara 'raja dengan rakyat'.
Pendiriannya kekal sehaluan dengan orang-orang yang berfikiran bahawa raja-raja melayu hanya mempunyai 2 pilihan. Akur kepada kehendak Umno dan penyokongnya atau berhadapan penentangan dari orang-orang melayu.
Umno paling biadap membolot kuasa !
Apa yang hampir pasti ialah Mahathir menyedari bahawa Sultan Perak dan Johor yang tidak tunduk kepada Umno adalah 2 calon paling kanan sebagai YDP Agong pada 1984.
Secara terbuka, baginda berdua menzahirkan autonomi istana dengan tindakan-tindakan yang memberi kesan kepada masyarakat awam.
Pada 1982, Sultan Perak menggunakan kapasitinya sebagai Ketua Agama Negeri, untuk meneliti 2 kaedah yang digunapakai dalam penentuan Hari Raya Puasa. Baginda memilih kaedah yang berbeza dari yang digunakan di seluruh Malaysia.
Bulan puasa berakhir sehari lebih awal di Perak pada tahun tersebut, menyebabkan kekalutan dalam perancangan perjalanan balik kampung dan menjadi satu percutian yang memberi tekanan kepada masyarakat melayu.
Tahun berikutnya, kedua-dua Sultan Perak dan Johor menggunakan kaedah yang berbeza dari Kerajaan Pusat. 2 negeri tersebut merayakan Hari Raya Aidilfitri sehari lebih awal dari negeri-negeri lain di Malaysia.
Sesetengah pemerhati menyatakan, keserabutan dalam menguruskan 'Hari Raya yang berbeza' telah menimbulkan nafsu Mahathir untuk memusatkan kuasa ke tangan Kerajaan Persekutuan.
Sultan Johor benci Umno biadap !
Memetik temubual dengan beberapa Menteri Umno, RS Milne dan Diane K Mauzy dalam bukunya 'Malaysian Politics Under Mahathir' menyatakan, "Krisis Perlembagaan 1983 berpunca dari laporan-laporan yang diterima Mahathir bahawa Sultan Johor telah bertitah dalam satu majlis, apabila baginda dipilih sebagai YDP Agong, baginda akan mengisytiharkan darurat tanpa persetujuan PM (unilateral). Dengan bantuan tentera, baginda akan membuang semua ahli politik Umno dari kekuasaan."
"Khabar ini menjadi mimpi ngeri kepada Mahathir kerana dalam masa yang sama tersebar kisah hubungan rapat antara Sultan Johor dengan beberapa pegawai kanan tentera. Panglima ATM Jeneral Tan Sri Mohd Zain Hashim telah mengkritik tindakan-tindakan Mahathir dan mempersoalkan di mana pasukan bersenjata meletakkan kesetiaanya."
Mahathir dan Umno derhaka, pinda perlembagaan !
Pada 1 Ogos 1983, Kerajaan Persekutuan membentangkan Rang Undang-undang (Pindaan) Perlembagaan 1983 di kedua-dua Dewan di Parlimen. Ianya telah diluluskan secara tergesa-gesa.
Ia membawa 22 pindaan ke atas Perlembagaan Persekutuan, termasuk 3 perubahan besar yang menggugat kedudukan raja-raja melayu.
Pertama, ia menghapuskan keperluan mendapatkan perkenan YDP Agong bagi sesuatu rang undang-undang sebelum boleh digazetkan sebagai undang-undang. Sebaliknya, ia memperuntukkan bahawa, jika YDP Agong tidak memberi perkenan baginda dalam tempoh 15 hari, baginda hendaklah dianggap telah memperkenankannya, dan undang-undang tersebut boleh dikuatkuasakan.
Kedua, ia memperkenalkan peruntukan selari yang menghapuskan keperluan mendapatkan perkenan Sultan untuk undang-undang negeri.
Ketiga, ia memindahkan kuasa mengisytiharkan darurat daripada YDP Agong kepada PM, yang tidak terikat untuk mendengar nasihat dari sesiapapun. Untuk rekod, sebelum pindaan ini dibuatpun, YDP Agong hanya bertindak mengisytiharkan darurat berdasarkan nasihat jemaah menteri.
Sekatan berita, Lim Kit Siang dan Aliran tentang Umno derhaka !
Jabatan Perdana Menteri (JPM) mengarahkan sekatan penyiaran berita (press blackout) tentang rang undang-undang (pindaan) perlembagaan 1983. Walaupun berita mengenai kelulusan rang undang-undang itu disiarkan tetapi kandungannya tidak diketahui rakyat. Tentangan hebat pembangkang di Parlimen terutama perbahasan wakil DAP, Lim Kit Siang tidak disiarkan oleh media kawalan Umno.
Sepanjang 2 bulan berikutnya tidak ada apa yang dilaporkan. Akan tetapi di peringkat bawahan, suara-suara mempertahankan kedaulatan raja-raja melayu kedengaran di sana-sini. Ini menyebabkan puak liberal secara tiba-tiba muncul menentang peruntukan yang membenarkan PM mengisytiharkan darurat secara unilateral.
Pada 2 Ogos 1983, Aliran mengeluarkan satu kenyataan mengutuk rang undang-undang (pindaan) perlembagaan tersebut. Ia mendakwa pindaan yang dicadangkan membuka pintu kepada salahguna kuasa.
"PM diketahui sebagai seorang personaliti politik yang banyak terlibat dalam konflik dan kompromi politik kepartian. Tiada mekanisme perlembagaan yang dapat memastikan PM tidak akan menggunakan kuasa mengisytiharkan darurat untuk menindas mana-mana musuh politiknya."
"Sememangnya mustahil untuk menghalang seorang PM yang bernafsu besar dari bertukar menjadi 'supremo' selepas sesuatu darurat diistiharkan pada masa depan."
Malangnya kenyataan ini tidak dilaporkan oleh media kerana sekatan berita oleh JPM.
Derhaka Umno memeranjatkan Senu Abdul Rahman dan Tunku.
Dalam masa yang sama di luar pengetahuan umum, YDP Agong enggan memperkenankan rang undang-undang tersebut setelah menerima tekanan dari raja-raja yang lain.
Raja-raja melayu bertegas bahawa rang undang-undang itu bercanggah dengan Artikel 38 (4) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bahawa tiada undang-undang yang secara langsung memberi kesan kepada kemuliaan, maruah dan keistimewaan raja-raja melayu boleh diluluskan tanpa perkenan Majlis Raja-raja.
Raja-raja melayu juga faham sepenuhnya implikasi perundangan apabila perkenan diraja untuk sesuatu undang-undang dihapuskan. Ini bermakna, apabila ahli-ahli Parlimen telah mengundi untuk menghapuskan sistem beraja, Duli-duli YMM Sultan tidak ada kuasa untuk menghalang mereka.
Di belakang tabir ketegangan berterusan. Rakyat Malaysia secara umumnya hanya menyedari krisis yang berlaku selepas Oktober 1983 apabila Senu Abdul Rahman mengedarkan satu surat kutukan ke atas pindaan-pindaan tersebut. Ini diikuti oleh Tunku Abdul Rahman yang ingkar kepada sekatan berita JPM dengan menulis bantahannya di akhbar The Star.
Gordon P Means dalam 'Malaysian Politics : the Second Generation' menulis, " terdapat segelintir ahli Umno yang menentang pindaan ini. Banyak pihak dalam kerajaan yang tertekan disebabkan isi kandungan pindaan itu dan perangai konfrontasi yang digunakan oleh Mahathir kepada raja-raja melayu."
Krisis Perlembagaan lambang kebiadaban Umno !!
Beberapa tokoh dalam kerajaan mempercayai bahawa Mahathir mempunyai niat untuk bertindak lebih jauh dari apa yang telah dilakukannya. Dalam transkripsi temubual 'K Das & The Tunku Tapes' Tunku dan wartawan veteran itu membincangkan topik ini. Banyak surat layang tersebar pada masa itu berkaitan cerita-cerita buruk tentang anak-anak Mahathir.
Kata Tunku: "Anda tahu orang melayu berpegang kepada adat, budaya dan tradisi. Saya menghormatinya tetapi Mahatir sebaliknya. Anda dapat lihat, niatnya adalah untuk merosakkan perlembagaan dan menukar negara ini kepada sebuah republik. Anak lelakinya bercakap secara terbuka di kalangan pelajar Malaysia di London bahawa ayahnya (Mahathir) akan menjadi Presiden Tanah Melayu yang pertama."
Kata Das: "Saya dengar anak perempuannya bercakap tentang itu dalam negara ini. Dia didengar bercakap sedemikian dalam satu majlis, tanpa menyedari di belakangnya ada seorang Tengku dari Negeri Sembilan yang terdengar perbualan itu. Kata anak perempuan Mahathir, sebaik sahaja pindaan perlembagaan ditandatangani, semuanya akan berakhir, kita akan menjadi sebuah republik."
Berlatarbelakangkan kecurigaan dan pengkhianatan ini, Krisis Perlembagaan merebak ke dalam masyarakat umum. Konflik bertambah panas dan tegang.
Dalam siri seterusnya, Wide Angel akan membincangkan perang propaganda dan penyelesaian kepada krisis ini. Juga menyusul, krisis-krisis lain yang melibatkan pengkhianatan Mahathir kepada raja-raja melayu.
Memang berat ujian buat Nizar Jamaluddin. Bagaimanapun Menteri Besar Perak ini - yang dititah letak jawatan oleh Sultan Perak namun enggan berbuat demikian - yakin beliau berada di jalan yang benar. Wajahnya tetap ceria dan berseri, cuba menyembunyikan rasa letih meniti hari yang padat. Matanya merah petanda tidak cukup tidur. Beberapa ayat awal surah ad-Dhuha menjadi rukun dalam mukadimah ucapannya, termasuk semasa wawancara eksklusif kami dengannya, juga ketika berpidato ringkas di depan Kuil Kallumaii Arul Subramaniar, Gunung Cheroh, Ipoh, pagi 8 Feb lalu.
Biarpun boleh dianggap pendatang baru dalam dunia politik, dan tiba-tiba dilantik menjadi Menteri Besar Perak, sesuatu yang tidak pernah termimpi oleh pimpinan Perak negeri itu, Nizar memang cepat belajar dan mudah menguasai persekitarannya. Berdepan tuduhan menjadi boneka DAP, menjual kepentingan Melayu, diapit tujuh Exco bukan Islam, ditambah Speaker dan Timbalan Speaker juga bukan Islam, dengan tenang Nizar mengemudi bahtera Kerajaan Negeri Perak selama 11 tahun. Justeru, tuduhan bahawa beliau kini seorang penderhaka bukan isu besar baginya.
Pada hari paling kritikal, 5 Feb, Nizar mengikuti satu program Koridor Utara di Bagan Serai bersama Perdana Menteri. Dalam ucapannya, Abdullah Ahmad Badawi langsung tidak menyebut nama Nizar walhal beliau masih seorang menteri besar. Esoknya, akhbar perdana turut "menggelapkan" kehadirannya di majlis berkenaan. Difahamkan Ketua Pegawai Eksekutif Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara, Anuar Zaini yang sepatutnya berada bersama Abdullah sedang rancak "mengatur nasib" Nizar di Istana Kinta. Anuar dikatakan dalang yang cuba merosakkan hubungan baik Nizar dengan istana, dan menganggu pentadbiran kerajaan negeri. Nizar sendiri pernah memaklumkan hal itu kepada Raja Nazrin Shah, rakan karib Anuar.
Menurut laporan akhbar, Nizar secara tergesa-gesa meninggalkan majlis di Bagan Serai itu untuk menghadap Sultan. Jam 12.45 tengah hari, Nizar dilihat memasuki Istana Kinta dan keluar kira-kira 20 minit kemudian dengan mengangkat tangan menunjukkan isyarat bagus sambil berkata 'insya-Allah' kepada sekumpulan wartawan. Ramai menjangkakan baginda telah memperkenan permohonan Nizar untuk membubarkan Dun. Rupanya tidak, isyarat bagus bagi Nizar adalah tanda beliau berpuas hati dapat menjelaskan semua yang terbuku di dadanya kepada Sultan. Nizar memberitahu kami, Sultan hanya diam tunduk mendengar hujahnya.
Selama ini, sejarah pendek negara kita menyaksikan bahawa tiada tokoh politik yang "selamat" jika bertembung dengan pihak istana. Konflik dengan istana rasanya tidak pernah dimenangi oleh orang politik. Justeru, apakah kita boleh bayangkan bagaimana episod ini bakal berakhir? Ternyata Nizar sendiri sukar meramalkannya, namun membayangkan ia dapat membawa kesan positif akhirnya buat rakyat dan negara. Beliau mohon kami mengulas krisis di Perak itu dari sudut yang jarang terfikir oleh orang lain. Saya sendiri agak termangu mendengarnya.
Memang Nizar di pihak yang benar. Sultan tiada kuasa untuk menitahkannya meletakkan jawatan. Di bawah sistem Raja Berperlembagaan, Sultan juga harus tunduk dengan undang-undang dan peraturan. Baginda tidak boleh masuk campur sewenang-wenangnya dalam pemerintahan negeri. Dalam situasi genting di Perak apabila BN dan Pakatan Rakyat mempunyai jumlah kerusi yang sama, dan tiga kerusi penentu wakil Bebas sedang dirujuk ke mahkamah, baginda sewajarnya memenuhi permohonan untuk membubarkan Dun. Ia langkah paling adil untuk semua pihak dan tidak dilihat memihak kepada mana-mana parti. Jika dirasakan Nizar sudah tidak mendapat kepercayaan majoriti Adun, baginda boleh menolak permohonan Menteri Besar itu dan membiarkan sahaja sidang Dun memutuskan undi tidak percaya kepada Nizar. Langkah baginda melantik menteri besar baru telah mengeruhkan lagi suasana dan langsung tidak membantu untuk memulihkan keadaan.
Memerhatikan dari dekat semasa beliau melawat tapak perayaan Thaipusam di Gunung Cheroh, saya yakin Nizar berjaya menawan hati rakyat Perak dari pelbagai kaum dan agama itu. Wajah orang ramai yang bersalaman dengannya, termasuk anak-anak kecil yang belum bersekolah, begitu ceria dan nampak senang sekali. Mereka bersorak gembira memanggil namanya sambil melambai-lambaikan tangan.
Malah ketika Anwar Ibrahim mengumumkan pada majlis ceramah perdana di kediaman rasmi menteri besar, saya dapat mengesan reaksi pantas hadirin dari masyarakat Tionghua. Semasa Anwar menegaskan bahawa jika berlaku pilihan raya negeri dan Pakatan menang, tiada calon yang akan dipilih menjadi menteri besar melainkan Nizar, beberapa anak muda Cina bertepuk sepuas hati. Mereka betul-betul gembira tidak terkata! _
Saya gembira terhadap kenyataan Karpal Singh yang mengkritik keras DSAI. Gembira saya bukanlah kerana saya lebih suka dia daripada DSAI, atau saya lebih tidak suka DSAI daripada dia atau kerana dua-duanya saya tak minat. Bukan. Saya seronok kerana ini membezakan dengan jelas antara pendirian Karpal dengan PR.
Beberapa hari lalu, media cuba gambarkan seluruh pimpinan PR 'sanggup' bertindak sehingga ingin menyaman Sultan Perak. Saman sebegini memang melangkaui jaluran ketatasusilaan dalam negara yang berteraskan raja berperlembagaan seperti Malaysia, walaupun undang-undang membenarkannya, ibarat komentar Tun Det.
Oleh itu, keputusan PR menangguhkan saman terhadap BN yang dijadualkan diadakan esok di Mahkamah Tinggi Ipoh, adalah tepat pada tekaan saya. Biarlah Karpal melakukannya bersendirian terlebih dahulu. Dengan itu media tidak dapat menyamakan kedua-dua tindakan ini. Terima kasih Karpal.
Gelakkan Pekida
Bila dengar Pekida, saya rasa gerun. Orang kata Pekida ni hebat, berisi dan pantas. Bila dengar amaran dikeluarkan oleh Pekida terhadap Karpal, saya jadi panik. Apakah akan ada tindakan drastik dan 'hebat' akan dilakukan?
Baca punya baca, alahai, seluruh cawangan dikerahkan untuk melawan seorang 'loyar' tua yang berpengalaman dibalai polis? Hahahahahahahahahahahaha
Kalau tarik kereta Karpal pun, baik sikit maruah Pekida.
Kasut menunggu Najib(s) ?
Ada yang bertanya kenapa saya menggunakan huruf 's' dihujung nama Najib. Saya jawab, sebab Najib ni berada di mana-mana. Kejap Putrajaya, kemudian Pekan, baru-baru ni di Kuala Terengganu dan paling baru di Istana Kinta. Hebat dia, boleh aktif di mana-mana. Bak kata orang kampung, "maunye idak, oghang Pekan kosei Umno Peghak".
Agaknya Najib ni banyak kut, maka saya gunakan huruf (s) untuk gambarkan kemungkinan itu.
Kalau sebelum ini, pengundi Changkat Jering sibuk nunggu Othman Jailu untuk dihadiahkan kasut terbang, kini diandaikan sasaran itu akan beralih kepada Najib(s) pula. Sebabnya, pilihanraya kecil selepas perginya almarhum YB Roslan Shaharum akan membawa Najib(s) ke DUN Changkat Jering yang berada di dalam Parlimen Bukit Gantang.
Tak tahulah pula kalau Najib tak mahu masuk ke DUN tersebut. Apa yang saya pasti, sumpah Osman Jailu tak akan 'kicak' tanah kampungnya dalam waktu terdekat ini. Hai, nak tumpo?
Selamat datang Najib(s), kata orang-orang kampung Osman. Hehehehe
Tapi teman juge ghasekan Allah sedang 'bercakap' dengan pejuang agamaNya. Sebelum diperkenankan seluruh DUN, kome cube dulu dengan satu parlimen. Betui ke oghang Peghak dah beghubah semuenye. Takut nanti kome juge yang ghugi, elok2 boleh jadi pembangkang yang kuat, laih-laih tinggei seciput aje.Kadang-kadang, keyakinan kite mendahului ketentuan Ilahi. Ingat le kite same-same yei.
5.30pmDatuk Seri Anwar Ibrahim berkata Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin "tidak derhaka" dan menteri besar Pakatan Rakyat itu hanya mengikut undang-undang tubuh negeri.
Gabungan pembangkang, tambahnya, menubuhkan panel peguam untuk mengkaji kesahihan pelantikan menteri besar baru Perak, Datuk Dr Zambry Abd Kadir.
Beliau juga menjelaskan, Pakatan Rakyat akan terus menerangkan kepada orang ramai apa yang sedang terjadi di negeri itu dan menggesa para penyokongnya membantah secara aman.
4.39pmPolis Perak mengesahkan kira-kira sejam lalu bahawa sembilan penunjuk perasaan berjaya ditahan.
Lebih kurang 3,000 penyokong Pakatan Rakyat bersurai beransur-ansur selepas diarahkan oleh seorang pemimpin PAS Perak setengah jam lalu.
4.22pmMesyuarat beberapa pemimpin kanan Pakatan Rakyat di pejabat Datuk Seri Anwar Ibrahim di Petaling Jaya berlangsung selepas jam 4 petang tadi.
Naib pengerusi DAP Dr Tan Seng Giaw, setiausaha agung PAS Datuk Kamaruddin Jaffar kelihatan bersama beberapa lagi pemimpin gabungan tiga parti itu.
Mereka dijadual mengadakan sidang media jam 4.30 petang ini, mengulas perkembangan terkini di Perak yang menyaksikan kewujudan dua menteri besar - Datuk Dr Zambry Abd Kadir bagi pihak BN dan Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin bagi pihak Pakatan Rakyat.
4.17pmDifahamkan exco kerajaan Kedah, V Arumugam yang dilaporkan "gagal dihubungi" masih bersama PKR.
Kebimbangan tentang "kehilangannya" cepat merebak susulan wujud dakwaan terdapat usaha seumpama Perak sedang dilakukan terhadap kerajaan Pakatan di Kedah.
4.12pmMajlis angkat sumpah menteri besar baru Perak selesai selepas bacaan doa mufti Datuk Seri Harussani Zakaria.
4pmAhli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pangkor, Datuk Dr Zambry Abd Kadir mengangkat sumpah sebagai menteri besar baru Perak, memimpin kerajaan BN yang berjaya menumbangkan Pakatan Rakyat melalui usaha lompat parti.
Seorang AJK PAS Perak dibenarkan menaiki kenderaan polis pencegah rusuhan FRU dan berucap kepada 1,000 penyokong Pakatan Rakyat di depan Masjid Ubudiah.
Beliau berkata mesej mereka "telah disampaikan ke serata dunia" dan mereka bersurai.
3.55pmMajlis angkat sumpah menteri besar baru Perak, Datuk Dr Zambry Abd Kadir sedang berlangsung dan disiarkan secara langsung melalui TV1.
3.48pmTiada penunjuk perasaan di depan Istana Iskandariah, tempat majlis angkat sumpah menteri besar baru Perak, tetapi masih ada lebih kurang 1,000 penyokong Pakatan Rakyat di Masjid Ubudiah.
Dilaporkan 10 orang berjaya ditangkap polis. Tiada kenyataan rasmi polis dikeluarkan, setakat ini.
3.36pmMajlis angkat sumpah menteri besar baru Perak, Datuk Dr Zambry Abd Kadir akan berlangsung tidak lama lagi.
Semua 28 wakil rakyat Pakatan Rakyat termasuk Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin telah memutuskan untuk memulaukan majlis tersebut di balai istiadat Istana Iskandariah, Kuala Kangsar.
3.33pmSeorang wakil pemimpin PAS, Khalilul Rahman Abdul Samad mengarahkan para penunjuk perasaan bersurai, dan menyeru polis agar bertenang dan berundur.
Beliau juga seorang pegawai Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin, menteri besar Pakatan Rakyat yang masih mempertahankan jawatannya dan enggan mengiktiraf penggantinya.
3.25pmKeadaan mulai kembali tenang di Masjid Ubudiah di bandar diraja Perak.
Kelihatan beberapa orang menangis, sambil mengeluh "kenapa masjid diperlakukan sebegitu."
Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengadakan sidang media khas di ibu pejabat PKR, Petaling Jaya jam 4.30 petang ini.
3.20pmPolis berjaya memecahkan halangan para penyokong Pakatan Rakyat.
Sebuah kenderaan yang bernombor pendaftaran kuning (diraja) dibaling batu oleh penunjuk perasaan.
3.18pmSebahagian penyokong Pakatan Rakyat berhimpun di kawasan masjid.
Polis melepaskan lebih banyak gas pemedih mata, termasuk ke arah kawasan masjid dan beberapa kediaman berhampiran tempat ibadat itu.
Kenderaan rasmi Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kelihatan masuk ke istana.
3.11pmKelihatan sejumlah orang berbaring di atas jalan menuju istana untuk menghalang sesiapa ke arah istana.
Sekejap tadi polis berjaya menyuraikan kumpulan 300 orang tadi.
3.08pmKira-kira 300 orang menghalang jalan menuju istana. Polis pencegah rusuhan melepaskan gas pemedih mata bagi kali ketiga ke arah mereka.
Sementara itu, polis menangkap para penyokong menteri besar Pakatan Rakyat, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin.
Tiada angka rasmi jumlah tangkapan diketahui, setakat ini.
3.01pmPolis pencegah rusuhan mengejar orang ramai di jalan depan Masjid Ubudiah, Kuala Kangsar. Mereka berlari tidak tentu arah dalam keadaan asap tebal gas pemedih mata.
Beberapa orang penyokong kelihatan membaling objek seperti kayu ke arah polis.
Jalan depan masjid dari kedua-dua arah ditutup oleh polis.
2.58pmPerkumpulan orang ramai mula berundur ke dalam kawasan perkarangan Masjid Ubudiah, Kuala Kangsar sekali lagi selepas polis melepaskan gas pemedih mata bagi kali kedua.
Jumlah mereka dianggarkan 3,000 orang. Lebih banyak gas pemedih mata dilepaskan, termasuk ke arah tempat letak kereta masjid.
Mereka masih mendesak ingin bergerak ke Istana Iskandariah, tempat berlangsung majlis angkat sumpah menteri besar baru Datuk Dr Zambry Abd Kadir jam 3.30 petang ini.
2.50pmPolis mengarahkan orang ramai bersurai. Penyokong Pakatan Rakyat kini berada di tepi jalan. Gas pemedih mata dilepaskan sekali lagi.
Lima trak polis kelihatan, tiada kenderaan pemancut air kelihatan. Tiada tangkapan dilaporkan, setakat ini.
Jalan depan masjid dari kedua-dua arah ditutup oleh polis.
2.40pmPerkumpulan orang ramai yang bertempiaran bergabung semula di atas jalan depan Masjid Ubudiah selepas polis melepaskan gas pemedih mata.
Polis pencegah rusuhan dari arah Istana Iskandariah sedang menuju ke arah ratusan penyokong Pakatan Rakyat itu. Kedengaran siren polis.
2.26pmMereka merempuh sekatan polis di luar pintu masuk Masjid Ubudiah untuk berarak ke Istana Iskandariah.
Kira-kira 50 anggota polis termasuk unit pencegah rusuhan FRU terpaksa mengelak dan berdiri di tepi jalan.
Polis melepaskan gas pemedih mata, kedengaran sekurang-kurangnya tiga das ke arah kumpulan orang ramai.
Sebahagian kumpulan itu berundur semula ke dalam kawasan pagar masjid, sementara sebahagian lagi lari bertempiaran di tepi jalan menuju istana.
2.21pmBeberapa ratus orang, termasuk wanita, penyokong Pakatan Rakyat berkumpul di Masjid Ubudiah selepas solat Jumaat sebentar tadi.
Mereka dijangkakan berarak ke Istana Iskandariah, Kuala Kangsar yang terletak beberapa ratus meter dari masjid.
2.15pmGelaran "Datuk Seri" yang dianugerahkan kepada bekas menteri besar Pakatan Rakyat di Perak wajar ditarik balik sebagai pengajaran kepada mereka yang menderhaka.
Ketua bahagian Umno Cheras, Senator Datuk Syed Ali Alhabshee juga berkata beliau tidak menolak kemungkinan penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi dalang krisis tersebut dan bersikap
"lempar batu sembunyi tangan", lapor Bernama.
1pmDatuk Seri Najib Razak dilaporkan membayangkan perkembangan di Perak ini akan berulang di negeri-negeri lain yang diperintah Pakatan Rakyat.
Timbalan perdana menteri berkata, bagaimanapun ia bergantung kepada perkembangan semasa politik.
12.40pmSpeaker DUN Perak, V Sivakumar akan mengutuskan surat kepada Sultan Azlan Shah bagi memohon perkenan baginda mengadakan sidang khas dewan.
Sidang tergempar - seboleh-bolehnya hari ini atau esok - bagi menentukan sama ada BN atau Pakatan Rakyat yang menguasai majoriti di dewan tersebut.
Sivakumar berkata beliau juga memohon baginda menunda majlis angkat sumpah menteri besar baru, Datuk Dr Zambry Abd Kadir 3.30 petang ini.
Surat itu akan dikirimkan kepada baginda secepat mungkin.
12.10pmSatu perhimpunan besar menyokong Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin dan membantah pelantikan menteri besar baru kerajaan BN akan diadakan di Masjid Ubudiah, Kuala Kangsar selepas solat Jumaat.
12.01pm Menteri Besar Pakatan Perak akan bertolak ke Masjid Ubudiah, Kuala Kangsar untuk menunaikan solat Jumaat tengah hari ini.
11.50am Tiada kepungan polis di kediaman rasmi menteri besar. Polis hanya berkawal di jalan-jalan raya menuju dan berdekatan kediaman Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin.
10.45am Ketua Polis Perak, Datuk Zulkifli Ahmad berkata polis telah mengawal pejabat SUK atas permintaan setiausaha kerajaan negeri, Datuk Dr Abdul Rahman Hashim.
10.20am Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin dan barisan anggota exconya berkereta keluar dari pejabat SUK. Menteri besar pulang ke kediaman rasminya.
10.15am Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin dan anggota exco mengadakan sidang akhbar sebelum ia diganggu oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Dr Abdul Rahman Hashim dan ketua polis daerah Ipoh, Azisman Alias.
Abdul Rahman dengan kasar mengarahkan wartawan meninggalkan bilik tersebut.
Exco kanan kerajaan negeri, Datuk Ngeh Koo Han kedengaran memberitahu ketua polis daerah itu supaya mematuhi prosedur.
9:40am Menteri besar Pakatan Rakyat itu, yang berpakaian Melayu berwarna hijau dan barisan exconya tiba di bangunan setiausaha kerajaan negeri.
Pada mulanya pintu ditutup, selepas menemui pengawal, mereka dibenarkan masuk. Mohamad Nizar terus ke pejabatnya tetapi mendapati ia telah dikosongkan.
9.30am Semua anggota exco negeri Pakatan Rakyat berkumpul di kediaman rasmi menteri besar.
Laporan sebelumnya:
Ketua Pemuda PAS Perak, Norazli Musa memberitahu bahawa satu protes besar-besaran akan diadakan di Masjid Ubudiyyah, Kuala Kangsar selepas solat Jumaat.
Ketika dihubungi Malaysiakini, protes anjuran Pemuda Pakatan Rakyat itu bertujuan membantah majlis angkat sumpah menteri besar baru, Datuk Dr Zambry Abdul Kadir.
Dr Zambry, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pangkor, dipilih BN untuk mengisi jawatan tersebut setelah empat wakil rakyat Pakatan Rakyat keluar kerajaan campuran pimpinan Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin.
Jamaluddin Mohd Radzi (bekas wakil rakyat PKR Behrang) dan Mohd Osman Mohd Jailu (PKR Changkat Jering), Hee Yit Foong (DAP-Jelapang) mengisytiharkan wakil rakyat bebas.
Adun Bota, Datuk Nasarudin Hashim - setelah 10 hari berada dalam PKR – kembali bersama BN kelmarin.
Norazli menambah, beliau difahamkan lima trak unit pencegah rusuhan FRU telah berada di masjid tersebut. Bagaimanapun, beliau tidak mengetahui jumlah anggota polis yang dikerahkan.
Katanya, beliau menjangkakan lebih 10,000 orang akan hadir untuk menyertai perhimpunan tersebut.
Ditanya sama ada mereka akan mengadakan bantahan di Istana Iskandariah – tempat berlangsung majlis angkat sumpah Dr Zambry jam 3.30 petang ini, Norazli berkata:
"Tidak. Pemuda Pakatan Rakyat tidak merancang untuk mengadakan protes di Istana Iskandariah."
Mohammad Nizar malam tadi berkata semua 28 Adun Pakatan Rakyat termasuk beliau akan memulaukan majlis tersebut sebagai lambang tidak mengiktiraf kerajaan baru BN itu.
BERIKUT adalah perkembangan politik di Perak sepanjang hari ini.
11.30 malam: Menteri Besar, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata kesemua 28 ADUN Pakatan Rakyat akan memulaukan majlis angkat sumpah Menteri Besar yang baru esok.
8.00 malam: Perdana Menteri mengumumkan ADUN Pangkor, Datuk Dr. Zambry Abdul Kadir dilantik menjadi Menteri Besar Perak yang baru. Sultan Perak Sultan Azlan Shah telah memperkenan pemilihan Zambry sebagai Menteri Besar.
6.30 petang: Perdana Menteri meninggalkan Istana Kinta bersama seorang lelaki yang tidak dikenali duduk di sebelah beliau dalam kenderaannya.
5.53 petang: Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi tiba di Istana Kinta untuk menghadap Sultan Azlan Shah. Beliau tiba dengan diiringi sembilan kereta.
5.40 petang: Pejabat Sultan Perak mengeluarkan kenyataan berhubung titah Sultan.
5.10 petang: Menteri Besar Perak berkata, kerajaan negeri Pakatan Rakyat tidak akan meletak jawatan kerana masih berkuasa. Sebaliknya, beliau akan menghadap Sultan Perak sekali lagi untuk merayu supaya DUN dibubarkan dan pilihan raya negeri baru diadakan.
4.50 petang: Nizar dalam sidang akhbarnya memberitahu, Pakatan Rakyat akan merayu kepada Sultan Perak supaya memberi perkenan untuk membubarkan DUN negeri itu supaya rakyat Perak boleh membuat keputusan berhubung kerajaan seterusnya. Beliau bagaimanapun masih belum membangkitkan isu peletakan jawatan beliau sebagai Menteri Besar.
4.30 petang: Di Bagan Serai, Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi meminta Pakatan Rakyat menerima hakikat bahawa BN akan memerintah kerajaan negeri Perak.
4.21 petang: Pasukan polis dan FRU mengambil alih bangunan Kerajaan Negeri. Sebaik sahaja Sultan Azlan Shah menitahkan Menteri Besar dan semua Exco meletak jawatan, Setiausaha Kerajaan Negeri telah menghantar surat kepada semua Exco memaklumkan kepada mereka untuk menyerahkan kembali harta negeri termasuk kunci, kereta dan sebagainya. Beliau turut pergi ke pejabat semua Exco dan meminta semua pembantu peribadi Exco meninggalkan bangunan dengan segera.
3.30 petang: Perdana Menteri akan menghadap Sultan Azlan Shah di Istana Kinta, petang ini.
3.00 petang: Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin mengadakan sidang media khas di kediaman rasminya.
2.25 petang: Sultan Azlan Shah tidak berkenan membubarkan DUN Perak dan meminta Nizar meletak jawatan sebagai Menteri Besar. Jika tidak, jawatan itu dianggap kosong.
12.45 tengah hari: MB Perak memasuki Istana Kinta.
12.30 tengah hari: Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan memberi amaran akan mengambil tindakan tegas terhadap penyokong Pakatan Rakyat yang mengambil bahagian dalam perhimpunan haram di Ipoh.
11.56 pagi: Najib memberitahu wartawan yang beliau telah memberitahu Sultan Azlan Shah bahawa BN mempunyai majoriti untuk membentuk kerajaan negeri Perak. Katanya, Sultan akan menitahkan keputusannya tidak lama lagi.
11.55 pagi: Speaker V. Sivakumar meninggalkan Mahkamah Tinggi selepas memohon kepada mahkamah untuk mengisytiharkan surat peletakan jawatan tiga ADUN sebagai sah dan kerusi DUN tersebut kosong.
11.50 pagi: Ketua Umum Pakatan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan berada di pejabat Menteri Besar pada pukul 3 petang ini dan perhimpunan besar-besaran dijadualkan berlangsung pada pukul 7 malam di kediaman Menteri Besar.
11.38 pagi: Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohd Nizar Jamaluddin memberitahu wartawan, beliau baru sahaja dipanggil untuk hadir ke Istana Kinta.
11.34 pagi: Najib meninggalkan Istana Kinta bersama empat ADUN.
11.21 pagi: Najib kembali ke Istana Kinta, kali ini bersama empat bekas wakil rakyat Pakatan Rakyat iaitu Jamaluddin Mohd Radzi (Behrang), Mohd Osman Jailu (Changkat Jering), Hee Yit Foong (Jelapang) dan Datuk Nasaruddin Hashim (Bota) untuk menghadap Sultan Perak.
10.35 pagi: Ketua Umno Perak, Datuk Seri Najib Tun Razak dan timbalannya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi meninggalkan Istana Kinta. Najib dijangka akan mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa perhubungan negeri bagi membincangkan calon BN bagi jawatan Menteri Besar Perak.
9.50 pagi: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi (Ahli Parlimen Bagan Datoh) memasuki Istana Kinta untuk mendapatkan perkenan Sultan Perak, Sultan Azlan Shah bagi BN membentuk kerajaan baru di negeri itu.
9 pagi: Speaker, V. Sivakumar memberitahu wartawan yang beliau telah memohon kepada Mahkamah Tinggi pada hari ini untuk mengisytiharkan surat letak jawatan tidak bertarikh oleh bekas ADUN PKR, Jamaluddin Mohd Radzi (Behrang) dan Mohd Osman Jailu (Changkat Jering) dan ADUN DAP, Hee Yit Foong (Jelapang) sebagai sah. Tiga ADUN tersebut telah meletakkan jawatan daripada parti masing-masing untuk menjadi ADUN Bebas dan mengakui akan memberi sokongan kepada BN.
( terdapat perubahan atau perbezaan masa pada kejadian atau peristiwa sebenar berbanding perancangan )
Dengan hormat dan takzimnya patik merafa'kan sembah dan berdoa kehadrat Allah Suhanahu Wata'ala, mudah-mudahan Duli Yang Maha mulia Tuanku sentiasa berada dalam keadaan selamat dan kesejahteraan.
Ampun Tuanku,
Merafa' sembah memaklumkan perkembangan terkini Dewan Undangan Negeri Perak Darul Ridzuan.
Warkah yang tidak sepertinya ini sebagai pengganti diri patik untuk menyembahkan kepada Duli Yang Maha Mulia Tuanku mengenai isu kedudukan terkini Dewan Undangan Negeri Perak Darul Ridzuan.
Patik merafa' sembah menjunjung kasih di atas perkenan Duli Yang Mah Mulia Tuanku pada pagi ini. Patik memohon izin untuk menyembahkan beberapa perkara:
1. Artikel XVl (6) Undang-undang Perlembagaan Negeri Perak menyatakan bahawa "If the Menteri Besar ceases to command the confidence of the majority of the Legislative Assembly, then, unless at his request His Royal Highness dissolves the Legislative Assembly, he shall tender the resignation of the Executive Council". Ini bermakna sokongan Menteri Besar itu perlu diputuskan oleh Persidangan Dewan Undangan Negeri.
2. Jumlah Ahli Dewan Undangan Negeri Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional adalah sama iaitu 28 orang. Adalah kurang tepat andaian Barisan Nasional mempunyai majoriti. YB Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Perak telah memutuskan bahaw Adun bagi kawasan Behrang, Changkat Jering dan Jelapang bukan lagi Adun. YB Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Perak dan Kerajaan Negeri Perak juga telah memfailkan satu permohonan untuk satu perisytiharan bahawa ketiga-tiga Adunberkenaan bukannya Adun untuk kawasan-kawasan tersebut, di Mahkamah Tinggi pada pagi ini. Sewajarnya kita menunggu keputusan mahkamah dalam kes tersebut.
Ampun Tuanku,
Atas alasan di atas dan berdasarkan prinsip demokrasi dan Raja Berperlembagaaan, Patik dengan ini merafa' sembah memohon agar Dewan Undangan Negeri dibubarkan bagi membolehkan rakyat memilih semula kerajaan yang dikehendaki mereka.
Ampun Tuanku,
Patik dengan ini merafa' sembah bahawa pimpinan Pakatan Rakyat sebulat suara meminta patik untuk tidak meletak jawatan sehingga krisis perlembagaan ini diputuskan oleh Mahkamah atau Dewan Undangan Negeri Perak.
Ampun Tuanku,
Patik akhiri warkah yang tidak sepertinya ini dengan sekalung penghargaan ke atas keprihatinan dan pertimbangan Duli Yang Maha Mulia Tuanku, mudah-mudahan Allah Subhanahu Wata'ala melanjutkan usia Duli Yang Maha Mulia Tuanku dan seluruh kerabab Tuanku dan semoga sentiasa berada di dalam kesejahteraan dan kebahagian yang berkekalan.