10.4.09

BAGAIMANA TOK GURU NIK AZIZ MELEPASKAN JAWATANNYA NANTI?

Sejak akhir-akhir ini, saya sering kesuntukan masa untuk menulis atau mengemaskini blog ini. Isu PPSMI dan demo berkaitannya tidak pernah saya coretkan di sini, walaupun banyak yang boleh saya kisahkan.

Pengalaman berdebat dengan adik polis yang beriya-iya bertanya "apa buktinya kamu kena gas pemedih mata, tak nampak pun, tapi kereta polis ini jelas cerminnya pecah dibaling dengan batu besar" memang menarik untuk dikenang.

Saya juga tidak sempat lagi untuk menceritakan kisah-kisah menarik sepanjang hari penamaan calon di Bukit Gantang dan hari undian pada Selasa lepas. Juga menarik jika dapat menceritakan kisah budak-budak mentah pasar malam Paya Jaras yang diupah oleh Umno Batang Kali untuk berkempen.

" Kerajaan BN ada juga buat jalan, PAS buat apa, guna jalan BN juga" karut seorang daripada mereka.

Seorang lagi berkata "rasuah pun sesama Melayu juga, dapat bantu kaum sendiri, tapi PAS kena cucuk hidung oleh DAP" dengan penuh yakin sambil melakonkan gaya seekor lembu.


PERALIHAN

Di celah-celah kempen tersebut, sempat juga kami bercerita tentang peralihan kuasa antara Tun Lah dan Tok Jib.

Juga perihal terkini kepemimpinan PAS Kelantan. Isu yang selalu disentuh oleh saya jika menyebut PAS Kelantan ialah pengganti kepada Tok Guru.

Saya ingin menyinggung sedikit isu ini sebagai bahan bacaan sampingan, di sisi bahan-bahan politik semasa yang menjurus kepada peralihan kuasa negara, PRK dan kabinet Tok Jib.

Saya tak tahu dan tak pasti situasi sebenar, namun saya merasakan seolah-olah ramai daripada kalangan ahli PAS mahu kepimpinan Tok Guru sebagai MB berterusan sehingga penghujung hayatnya. Wallahu a'lam.

Bagi saya, Tok Guru wajar melepaskan jawatannya pada masa kini, iaitu selepas kemenangan besar PAS di dua parlimen dalam PRK baru-baru ini, dan sebelum beliau menghembuskan nafasnya yang terakhir.

Di khabarkan, antara faktor utama mengekalkan Tok guru adalah kerana beliau merupakan unsur penyatu bagi semua manusia yang dikaitkan dengan PAS Kelantan. Jika ditukar kepada tokoh lain, dipercayai bahawa elemen penyatuan itu semakin longgar. Itu bahaya bagi Kelantan. Sejauh mana benarnya, hanya PAS Kelantan sahaja yang tahu.

Namun, banyak lagi perkiraan lain yang diambil cakna.

Persoalan saya di sini ialah, apakah Tok Guru mampu memindahkan kelebihannya itu kepada orang lain selepas kematiannya nanti? Maksud saya, selepas beliau tiada, apakah penggantinya secara otomatik mampu memainkan peranan penyatu yang sama seperti beliau?

Jika tidak pasti, maka bagi saya langkah paling baik ialah melepaskan jawatan itu ketika beliau masih lagi bernyawa dan masih lagi mampu menjadi penyatu kepada semua pihak.

Abu Bakar mengganti Nabi saw selepas wafatnya baginda, dan Abu Bakar ditaati. Omar mengganti Abu Bakar dan Omar ditaati. Othman menggantikan Omar dan Othman ditaati majoriti umat Islam, di samping kelebihan yang terserlah sebagai seorang sahabat yang mulia. Juga Ali ditaati dan diyakini selepas menggantikan Othman yang mati sebelumnya. Allah meredhai semua para sahabat ini.

Tuan Guru Nik Aziz, bagaimana pula beliau melepaskan jawatannya? Selepas mati atau semasa masih mampu menjadi ejen penyatu, penasihat, penegur, pembetul dan pendidik?

Saya memilih untuk melihat Tok Guru Nik Aziz sempat menjadi pendidik dan pembimbing secara langsung kepada penggantinya untuk jawatan MB Kelantan, dan beliau masih seorang Mursyid Am.

Saya percaya itu sangat wajar.

1 comment:

Anonymous said...

Salam, Setuju benar pandangan saudara.. Wassalam