23.5.09

MOGOK LAPAR TIDAK SELARI ISLAM - PANDANGAN SAYA

1. Ulama menolak amalan mogok lapar. Itu fahaman saya. Mogok lapar bermakna menahan makan kerana memperjuangkan sesuatu hak atau mendesak sesuatu tindakan diambil oleh pihak lain. Ia termasuk di dalam kategori memudaratkan diri sendiri. Ia pernah dipopularkan oleh Martin Luther King Jr. dan Mahatma Ghandi. Nabi berpesan mafhumnya "jangan dimudaratkan dan jangan memudaratkan diri". Mogok lapar termasuk dalam kategori hadis ini. Selanjutnya, mungkin hukumnya berbeza jika ianya satu-satunya cara untuk mendapatkan hak dan tiada cara lain serta ia termasuk dalam isu dharurah, seperti apa yang pernah dilakukan oleh tahanan Guantanamo beragama Islam.

2. Saya merujuk kepada usaha Pakatan Rakyat di perak yang ingin melakukan mogok lapar demi pembubaran DUN. Ini mungkin budaya baru PR, tetapi bukan budaya lama dan baru PAS, kerana PAS berlandaskan Islam. Mohon hal ini dirujuk kepada ulama muktabar.

3. Apa yang pernah berlaku kepada Nabi dan sahabat dan dibincangkan oleh para ulama ialah berpuasa sehingga dua hari atau lebih tanpa berbuka. Juga membawa makna sama, jika berpuasa sehingga lewat malam. Sahabat pernah bertanya Nabi dalam hal ini kerana ianya dilakukan oleh baginda. Jawapannya ringkas "Tuhanku memberi makan dan minum kepada aku di waktu malam aku". Nasihat Nabi, sahabat semua jangan melakukannya. Ini termasuk dalam khususiyyah baginda saw.

4. Tegas Ibnu Qudamah, majoriti ulama mengatakan "Puasa Wisal" ini adalah makruh. Imam Nawawi menyebut di dalam kitabnya Majmu' : "Manakala hukum wisal di sisi kami, ianya makruh tanpa khilaf. Apakah ia karahah tahrim atau tanzih? Ada dua pandangan...Paling sahih di kalangan ulama ( mazhab )kami adalah karahah tahrim ( maknanya haram ) dan inilah zahir nas Imam Syafie."

5. Jika Puasa Wisal yang merupakan suatu amalan berasaskan sunnah, iaitu puasa, dan dibuat untuk keredhaan Allah, cuma caranya sedikit berlawanan dengan sunnah telah diharamkan oleh agama, apakah mogok lapar ini boleh diterima agama? Bagi saya, ia tidak selari dengan Islam kerana kita masih lagi ada cara lebih baik, harmoni dan mengikut landasan agama untuk perjuangkan pembubaran DUN Perak. Sama ada diterima sultan atau tidak, itu soal lain.

6. Saya mohon dijelaskan jika ada pandangan lain yang kuat menegaskan mogok lapar ini boleh diterima Islam. Terima kasih

No comments: