Nizar
Pelbagai usaha telah dilakukan oleh Ir Nizar bagi mendapatkan haknya semula. Juga pimpinan PR yang lain. Seluruh anggota Pakatan Rakyat di belakangnya. Begitu juga penyokong beliau sama ada yang berparti atau tidak. Malangnya, beliau berjuang di kawasan yang tidak subur demokrasi dan keadilannya. Selalunya ketidakadilan itulah yang akan dilihat adil oleh mata kasar rakyat melalui kaca mata orang-orang TV kerajaan. Oleh itu, saya percaya, pilihanraya umum akan datang adalah jalan terbaik bagi PR untuk merampas semula kerajaan.
Jika kita mampu bersabar dengan 50 tahun kezaliman BN, rasanya tidak lama sangat untuk bersabar selama tiga tahun lagi. Sabar bagi saya, bukan hanya melihat penipuan dan rampasan dengan berdiam diri. Tidak begitu. Bersabar bagi saya, lakukan sesuatu yang benar-benar matang, teratur, tidak hanya gimik, atau meraih sokongan yang mungkin dilihat murahan oleh sebahagian rakyat Perak yang mereka itu pengundi semuanya dan tenangkan diri atas segala keputusan berat sebelah yang diputuskan. Penipuan BN bukan baru, tetapi penerusan kepada rangkaian tipu-tipunya.
Kempen
Harakah tidak dibenarkan digunakan untuk berkempen. Itu keputusan Gikgu Pa dan mungkin dipersetujui semua anggota jawatankuasa beliau. Tetapi sudah pasti tidak melibatkan akhbar syarikat lain yang tidak dimiliki PAS. Calon bagi pemilihan parti PAS pada awal Jun nanti, boleh sahaja berkempen di akhbar lain jika mahu. Boleh panggil untuk kenyataan media atau lakukan pelbagai program yang tidak berterus-terang ke arah berkempen, kemudian memanggil wartawan atau timbulkan kenyataan kontroversi atau apa sahaja.
Walaupun begitu, janganlah sekali-kali lupa kepada pesanan Rasulullah saw kepada sahabat baginda yang meminta jawatan. Bagi peminta ini, janji Allah sangat jelas, kalian akan ditinggalkan jika memperolehi apa yang diminta dan dikejar itu. Merebut peluang melakukan kebaikan perlu ikhlas dan kebaikan itu adalah untuk kepentingan agama. Adapun jika merebut untuk buat baik dengan didasari kepentingan peribadi dalam politik dan parti, maka tunggulah masanya calon ini akan dihina oleh jawatannya itu.
Memanggil wartawan juga sudah bermula di dalam parti termasuk mengkritik calon lain yang dilihat telah melanggari prinsip diri pengkritik. Mungkin ini contoh menegur pemimpin secara terbuka dan dengan penuh keikhlasan.
Berbalik kepada kempen di dalam Harakah, saya fikir tidak salah jika Harakah sendiri yang berkempen untuk calon tertentu kerana bukan kehendak calon itu sendiri. Oleh itu, saya sedang menunggu siapa pula yang akan dikempen oleh Harakah sendiri.
Mi Celup
Semalam saya terbaca satu kenyataan yang saya sendiri belum pasti dan malas untuk memastikan sama ada pemimpin yang mengeluarkan kenyataan ini sesuai dilabelkan mi celup ikut tafsiran Ustaz Nik Abduh atau tidak. Katanya tidak salah untuk mengadakan mogok lapar asalkan tidak membawa kepada kematian. Saya tidak cuba kaitkan beliau dengan mi celup kerana ijtihadnya itu bersanggahan dengan pandangan saya sebelum ini, sebaliknya kerana ianya bercanggah dengan ramai ulama dalam PAS, sedangkan dia bukan ulama. Malah, wajarkah pula dia berijtihad?
Menegaskan hal ini, bagi saya dua perkara yang kedudukannya memang jelas dan berbeza mesti dipisahkan jika ingin memperkatakan isu mogok ini. Pertama, usaha memberi keterangan daripada sudut hukum, agar umat Islam faham dan tidak terlibat dalam melaparkan diri, merestui majlis mogok lapar atau menggalakkan orang lain melakukan mogok lapar ini, walaupun mereka bukan Islam, keran ia berkaitan hukum dan prinsip asas agama. Kedua tentang isu yang dimainkan oleh BN untuk memburukkan PAS. Untuk menangkis dan menjawab mainan itu, pemimpin politik mahir melakukannya.
Pandangan Peribadi
Ramai yang kagum dengan kertas yang dibentangkan oleh Timbalan Mursyidul Am baru-baru ini. Ramai juga yang tidak senang kerana seperti menjadi sasaran. itu terpulang kepada pandangan masing-masing.
Saya menuntut, kertas itu dibaca dan difahami secara berasingan daripada isu pertandingan jawatan dalam parti, baharulah anda dapat menilai tingginya manfaat kertas tersebut. Jika tidak, maka cepatlah anda mengatakan ia kertas peribadi Dato'. Setahu saya, banyak kenyataan dan idea pimpinan di dalam akhbar dan Harakah sendiri adalah semuanya berstatuskan peribadi.
Nampaknya, belum boleh lagi untuk pemimpin tertentu taat dan patuh kepada pandangan peribadi anggota Majlis Syura jika berlawanan dengan kehendak diri. Tidak seperti taksubnya orang-orang syiah terhadap pemimpin mereka yang diyakini maksum itu. Jika begitu halnya, susahlah jika mereka ini bukan ulama dan terpaksa pula mengikut telunjuk ulama yang menganggotai syura, sedangkan ianya tidak dapat dipatuhi.
Jelas, situasi ini bermakna PAS belum boleh meletakkan Majlis Syura itu benar-benar berkuasa dan berautoriti seperti berkuasanya Majlis Penasihat Syariah kepada sesebuah Bank Islam yang memang mahu melaksanakan sistem Islam sepenuhnya. Saya sangat bimbang jika suatu hari nanti semua pandangan peribadi Mursyidul Am menjadi bahan halwa telinga sahaja.
2 comments:
Saya memadam ulasan yang merosakkan artikel.
Post a Comment