21.5.09
RENUNGAN BUAT YANG BAKAL MEMIMPIN
1. Islam telah menggariskan beberapa tugas penting yang mesti dilaksanakan oleh pemerintah Islam sekiranya diberikan kuasa oleh Allah swt. Bagi yang belum berkuasa, kewajipan itu perlu disandang pula oleh pemimpin-peminpin utama gerakan Islam yang sedang berusaha menguasai muka bumi Allah ini dengan sebaik yang mungkin. Pelaksanaannya hendaklah bermula daripada institusi yang ditadbirnya. Kewajipan itu adalah sangat banyak dan saya perturunkan antara yang utama di sini bagi renungan bersama.
2. Kewajipan paling utama adalah menegakkan agama Islam. Maksudnya ialah memelihara Islam, menyebarkannya, mempertahankannya daripada sebarang kekeliruan yang ditimbulkan, melaksanakan hukum-hukum Islam dan hududnya mengikut kemampuan dan kuasa, dan terakhirnya berjihad di landasan Allah swt. Itulah erti menegakkan agama di muka bumi ini. Surah al-Nisa' ayat 58 boleh dijadikan rujukan.
3. Memilih dan melantik pemimpin bawahan dan pegawai terdekat yang layak dan mampu menjalankan tugas dengan baik. Allah swt berfirman di dalam Surah al-Qasas ayat ke 26 bermaksud "Sesungguhnya yang paling baik untuk kamu ambil bekerja ialah yang kuat dan beramanah" Dalam situasi kepimpinan, saya huraikan begini, kuat bermakna mempunyai kemahiran dalam kepimpinan dan dalam bidang tugasnya, manakala amanah pula ialah mereka yang mempunyai ikatan kuat dengan Allah swt. Lantas menjalankan tugas dengan ikhlas, betul dan tidak mempunyai agenda peribadi yang tersembunyi.
4. Pemimpin perlu selalu melakukan pemeriksaan, koreksi atau pengujian terhadap pemimpin bawahan. Itu adalah sangat penting supaya semua petugas di bawah pemimpin utama itu sentiasa berada di landasan yang betul. Suatu ketika seorang sahabat berkata kepada Rasulullah saw bahawa dia diberikan hadiah kerana tugasan yang dilakukannya. Tetapi ditolak oleh Nabi saw seraya bertanya apakah sahabat itu akan mendapat hadiah jika dia tiada jawatan dan hanya berada di rumah ayah atau ibunya sahaja? Sudah tentu tidak. Maka itu adalah rasuah. Hadis ini menceritakan bagaimana telitinya Nabi saw terhadap semua tindakan dan laporan petugasnya. Sila rujuk Sahih Bukhari dan Muslim untuk keterangan lanjut bagi hadis ini.
5. Sentiasa mendekati dan mengesan segala kesusahan yang dialami oleh ahli di bawahannya, atau rakyat di bawah pentadbirannya. Setiap yang berlaku akan ditanya oleh Allah taala. Walaupun tugasan diagihkan, namun pemimpin utama tidak seharusnya berlepas tangan begitu sahaja. Nabi sudah mengingatkan kepada kita bahawa setiap kita akan ditanya perihal ahli tadbiran kita. Saidina Omar sudah menegaskan bahawa seekor anak kambing yang mati di sungai Furat juga akan ditanya oleh Allah taala terhadapnya. Apatah lagi masalah ahli yang semakin mencengkam kini?
6. Sentiasa membimbing dan menasihati ahli dan rakyat di bawah tadbirannya supaya sentiasa mentaati Allah dan Rasul serta melakukan kebaikan dan menjauhi maksiat dan kejahatan. Peringatan melalui hadis Nabi saw bermaksud "Agama itu nasihat" wajar menjadi panduan kita. Selain itu, para pemimpin utama ini sepatutnya menjadi contoh teladan yang terbaik dalam setiap segi. Al-Furqan ayat ke 74 mengajar para mukminin supaya sentiasa menjadi imam kepada para muttaqin. Iaitu menjadi ikutan kepada orang-orang bertakwa. Oleh itu, orang yang diikuti itu seharusnya juga layak dipanggil muttaqi. Bukan sebaliknya. Al-Sajadah ayat ke 24 juga wajar dijadikan panduan.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment