1. Alhamdulillah semuanya seperti reda seketika daripada melepaskan peluru masing-masing.
2. Rupa-rupanya, gerakan Islam yang sudah lama bersabar dengan karenah musuh, memiliki ahli-ahli yang bingkas pantas mahu melepaskan hukum mereka kepada sesiapa sahaja yang dilihat di mata sebagai pengkhianat, di hati gaya pembelot, ditangan ibarat leher ayam kampung.
3. Setelah masalah selesai, kembalilah masing-masing menautkan hati dengan mengubati mereka yang tercedera setelah menjadi sasaran pelbagai jenis peluru yang terlepas. Ada juga yang sesat.
4. Peluru itu kelihatan bertaburan di lobi parlimen, celah-celah keyboard, corong mikrofon pemberita, dalam poket ahli mesyuarat, di kedai mamak Shah Alam, Melewar, Sungai Buloh, Kota Bharu, Titiwangsa, Kampung Baru, Jalan Raja Laut dan banyak lagi, stadium Malawati, pentas pidato, kaca gambar dan di dalam jubah presiden sendiri.
5. Siapa yang sudi mengutip kerongsong peluru-peluru ini, yang dilepaskan hanya sanya semata-mata untuk memaksa semua kepala-kepala Pakatan bersidang media di lobi Parlimen? Selesai sidang media, hilang segala kemarahan dan kebencian. Peluru-peluru itu hanya untuk mendengar kalimah tidak untuk bersatu.
6. Berbaki lagi kah peluru-peluru untuk dihalakan kepada musuh politik, atau masih tersimpankah gula-gula dakwah untuk rakan seaqidah yang jauh di seberang sempadan, terpisah oleh nombor-nombor keahlian pertubuhan dan logo masing-masing?
7. Kalian, senyumlah kalian pada kehebatan diri kalian, menggerakkan massa berombak alun di belakang anak lidah masing-masing. Kini, telanlah semuanya. Islam tetap gemilang pada hati-hati yang terusik, jika padu terselindung di sebalik "husnu dhan" pada Ilahi. Allahul musta'an...
No comments:
Post a Comment