7.9.09

Doktor isytihar mak telah tiada

Pagi Selasa itu kami terima banyak sms. Semuanya bertanyakan tentang mak.

Saya, abang Mid dan Kamarul yang dapat menatap wajah mak sebelum pembedahan dilakukan, mengharapkan sangat-sangat itu bukanlah tatapan terakhir kami. Sepanjang pembedahan dilakukan, emosi saya tidak terpengaruh dengan jangkaan doktor yang memaklumkan peluang berjaya hanya sama rata. Bagi saya, bukan lagi masanya untuk mak pergi selamanya. Ya, saya cukup yakin dengan apa yang kami doakan.

Kami bertiga puas menatap wajah mak yang terlantar di atas katil 10, wad ICU. Rambutnya ditocang rapi. Matanya pejam. Giginya ternampak sedikit. Dahinya sejuk. Tangannya sejuk. Juga kakinya. Kadang-kadang kami keliru. Apakah status terkini.

Kami diminta keluar seketika kerana waktu melawat sebenarnya belum bermula. Abang-abang bersama keluarga mula sampai pagi itu. Kami berkumpul di bilik menunggu terlebih dahulu. Kemudian kami mula masuk menziarahi mak. Dua-dua masuk. Ramai juga sanak saudara, sepupu, makcik, pakcik sebelah mak hadir menziarahi.

Di kepala katil, Yob, anak sulung mak membaca Yasin. Di ruang menunggu, ramai juga membaca surah yang sama. Saya membaca surah al-An'am, bagi menyambung bacaan Ramadhan saya. Kemudian turut membaca Yasin, bagi meraikan amalan yang diamalkan.

Pagi itu saya pulang agak awal ke rumah. Merehatkan diri dengan melelapkan sedikit mata. Datang semula sebelah tengahari.

Malamnya kami berkumpul di rumah Munir, Presint 9, untuk solat isyak, hajat, tarawih dan membaca Yasin bersama-sama. Mak bersendirian pada malam itu bersama penjaga-penjaganya. Selesai beribadah, kami berbincang tentang kemungkinan-kemungkinan yang berlaku ke atas mak. Setuju- jika Allah mengambilnya, kami hantarnya ke kampung untuk bersemadi berdekatan abah.

Saya kurang selesa untuk membincangkan hal ini. Namun, hanya akur pada kehendak semua. Lagipun, sudah ada nurse yang memaklumkan, harapan sangat tipis. Semacam mereka mahu memberi isyarat mak sudah tiada?

Pagi Rabu, 7.19 am, saya menghantar sms kepada semua adik-beradik.

"Slm semua. Kongsi perasaan, mak blm prnh pts asa utk hidup, wlu brtahun2 asma. Jika ditanya, pasti mak jawab dgn jelas. Yg terbaik utk mak ialah terus brsama kita. Minta terus berdoa utk kehidupannya, dan jdkan kehidupannya lbh baik. Mak prlukn sokngan kita semua, bkn lg prsiapan lain. Msti jumpa mak selalu."

Kamarul hantar sms pada 7.35 am.

" Heart beat mak skrg makin kurang. Nurse kata keadaan masih sama. Seblum bedah Kamarul cukup yakin mak mampu lalui ini semua. Adakah Allah beri Mak pluang ke Dua.."

Sekitar jam 10 am, adik mendapat panggilan lagi dari hospital. Kami diminta datang segera ke hospital kerana doktor ingin bertemu. Sekali lagi, saya, Kamarul, bersama kak Pah dan Miza hadir segera ke hospital. Kami menunggu di luar terlebih dahulu kerana doktor belum sampai.

Sebaik bertemu doktor, kami bersalaman dan memperkenalkan diri lagi. Doktor jelaskan status mak dari a sampai z.

Sukar untuk doktor menjelaskannya. Sukar juga untuk saya merekodkannya. Selepas sesi itu, saya, kami akur, bahawa harapan sudah tiada. Otaknya sudah tidak bertindak balas sejak hari Selasa lagi. Nadinya hanya digerakkan oleh mesin. Saya sendiri akur, mak telah tiada, berdasarkan penjelasan itu. Namun, setakat saat itu, masih mampu menahan sebak dan tangisan.

Doktor cadangkan semua datang untuk membaca Yasin.

11.51 am, saya sms semua adik-beradik.

"Slm. Dr segi perubatan, dah meninggal sbb otak dah mati. Menurut etika, mesin akan dihentikan hanya apabila nadi zero. Skrg makin krg. Innalillah..."

Tengahari itu, semua datang menziarahi mak. Kami masih keliru. Kami membaca Yasin. Kami membisikkan syahadah di telinga mak. Kami menyebut nama Allah dan kami menangis.

Sekitar jam 3.45 pm, doktor panggil segera masuk ke bilik ICU. Saya di lobi ketika itu. Terus berlari ke ICU. Kami diminta dengan segera membacakan syahadah di telinga mak. Saya tetap keliru. Namun kami terus yakin, mak mendengar dan akan pergi dengan syahadah dalam aman. Kami mula menitiskan air mata lagi.

Doktor minta izin untuk membuat pemeriksaan. Isytihar- mak telah tiada. Mesin akan dihentikan, dan bacaan nadi ketika itu menunjuk angka 15.

Kami menangis, saya menangis.

Mencium dahinya, merangkul tubuhnya, menggenggam tangannya, mencium kakinya dan mengesat mata saya. Ya Rabb mak dah tak ada...

Ya Allah, saat yang aku takut, sepanjang aku menjaga mak di rumah, kini telah sampai!!!

Saya mengambil keputusan untuk mengiringi jenazah mak ke Perak dengan menaiki van jenazah yang disediakan hospital. Saya bersama kak Pah di dalamnya.

4 comments:

GPI said...

Kepada Pak Cik Umar.. semoga terus tabah dalam mengharungi hari-hari mendatang. Rakaman kisah ini memang sedih untuk dibaca, espc mcm saya yg ada kaitan darah dgn arwah... cuma saya tak dapat turut serta ke kmpg pada hari tersebut.
Hanya kiriman doa dan Al-Fatihah mampu saya utuskan..

Abu Ajmal said...

:'(

kalam cyber said...

x dapat nak tahan airmata ni.. last sekali jumpa makcik masa adik fiqa pergi bertemu Ilahi.. dia duduk dalam keadaan sugul di satu penjuru surau assyakirin.. lepas tu bersama pimpin tangan dia bangun dengan susah payah utk melihat jenazah cucunya. sekarang dia pula pergi.. :'-(

Masih teringat makan kuah durian yg makcik buat kat umah ustaz.. sedap sangat..siap dia suruh bawa bekal lagi.. arwah adalah seorang yang sangat baik..

semoga Allah cucuri rahmat ke atas rohnya dan menempatkan dia bersama mereka yg mendapat keredhaanNya. Amin.

Al fatihah.

Elbaritii said...

Salam.

Moga Allah merahmatinya. Terima kasih atas doa antum.