Bekerja untuk agama memang cita-cita setiap pendokong Islam yang memahami deennya dan ada kesedaran pula di hati. Lebih-lebih lagi jika pekerjaan itu adalah suatu jihad yang menjanjikan kemanisan zahir dan batin, bertambahlah semangat menyempurnakannya. Manis dirasai pancaindera dan manis berbentuk koleksi anugerah dari Ilahi.
Ramadhan yang lalu, kita sentiasa mendengar huraian tentang dua kemanisan bagi ahli puasa. Manis ketika berbuka puasa dan manis ketika menemui Tuhan. Satu contoh yang sangat tepat.
Bagi membentuk sebuah dorongan dalam bekerja demi agama, ada dua manis juga yang sentiasa dikecapi pejuangnya. Manis dalam bekerja dan manis menemui Allah, Pemberi kemanisan.
Ketika ini, saat ini, benarkah manis dalam bekerja itu mudah dikecapi setiap kita? Wujudkah lagi manis dalam berjihad?
Persoalan yang selalu juga saya tujukan buat diri sendiri. Maniskah rasanya bekerja ketika ini? Samakah seperti dulu-dulu atau sudah banyak berubahnya?
Kadang-kadang saya merasakan kesusahan dalam bekerja pada masa kini berpunca juga daripada sikap masing-masing yang gagal memahamkan diri sendiri tentang tujuan sebenar kita bersusah payah untuk berjihad!
Tidak masuk akal sama sekali, jika kita berjihad, dan ketika berjihad, kita masih boleh menjatuhkan mujahid, membentak mujahid, bermasam muka sesama mujahid, mencari kelemahan mujahid dan mengkelaskan mujahid ini kem mana dan kita pula kem mana.
Tetapi itulah yang banyak berlaku dan itulah yang kadang-kadangnya, kita lakukan. Jelas, kemanisan jihad itu semakin pudar kerana para mujahidin sudah kabur maqasid agama daripada tuntutan jihad itu sendiri.
Persoalan mudahnya, benarkah cara kerja kita, jika kita hanya berjaya pada mengejar undi, tetapi hati banyak yang tercalar, jantung kerap gegarannya, dan teman-teman, ada yang mula menjauhkan diri daripada paksi jihad kita dan kita pula, secara sengaja mencipta manusia muslim yang lain sebagai musuh perjuangan.
"Mari ke sini, jika tidak kamu musuh perjuangan" kata mujahid yang sakit.
Jika senario sebegini berterusan, suatu hari nanti, saya bimbang jihad kita setiap hari itu sudah tidak lagi kelihatan seperti jihad. Ia sudah menjadi seperti sebuah kerjaya untuk mengejar pahala, yang ganjarannya pahala tanpa duit.
Saya juga bimbang, kalau-kalau kita sendiri yang mencipta tanggapan salah terhadap jihad itu sendiri. Persepsi songsang terhadap kerja agama dan bekerja untuk perjuangan agama. Sayang, kalau kita lambat mengubahnya.
No comments:
Post a Comment