28.10.09

Pengasingan Sifat-Sifat Unik PAS

Ketika kekalutan EGM semakin reda, saya mula memikirkan semula kewajaran apa yang dipanggil pengasingan dua aliran pemikiran terbesar dalam parti PAS.

Selama ini, di mana sahaja, bila-bila masa, jika tamrin dan tarbiah diikuti dengan baik, kita akan sentiasa mendengar slogan atau kempen memperjelaskan PAS kepada semua pendokongnya bahawa ia adalah sebuah gerakan Islam, jamaah dakwah dan tarbiah serta parti politik massa.

Itu diuar-uarkan sebagai keunikan PAS.

Kini, sifat-sifat unik itu semakin membelit dirinya sendiri lantaran banyak isu yang menggambarkan pertembungan kepentingan terhadap sifat-sifat tadi.

PAS sebagai jamaah tarbiah dan dakwah, mengutamakan proses pentarbiahan ahli dan bukan ahli serta penyebaran agama kepada non-muslim. Tetapi, PAS sebagai parti politik, mahu segera mengambil kesempatan daripada apa yang disebut, gelombang rakyat bersepadu menolak apa sahaja yang berkaitan dengan Barisan Nasional.

Kini, sifat-sifat unik itu semakin mengembang secara berasingan dan tidak berjaya disinergikan. Senario itu berkemungkinan hasil daripada kelemahan pucuk pimpinan sendiri yang gagal menggerakkan semua sisi unik PAS secara betul dan sistematik. Juga berpunca daripada kewujudan kelompok-kelompok kecil dalam parti yang sememangnya bergerak dan bermatlamatkan sisi tertentu sahaja. Kadang-kadang, mengambil sikap secara berasingan dengan melupakan sisi sebaliknya.

Saya melihat, perbezaan ketara di kalangan pimpinan pada isu-isu tertentu dalam PAS dewasa ini, berpunca daripada kepelbagaian hala tuju, taat dan wala' dalam parti, selain kurangnya kesedaran dalam usaha menguatkan lagi bahasa kita.

Oleh itu, selesaikan dahulu punca masalah, kemudian fikirkan penggantian jika mahu...Atau terus kepada pengasingan, jika itu lebih memberi fokus pada mencapai matlamat yang dikongsi bersama.

No comments: