21.2.10
AMALAN ISTANA PASIR
Asas bagi usaha taqwa adalah kemampuan.
Kita seronok melihat manusia berlumba-lumba mengejar kebaikan. Pada amal, kata-kata, tulisan dan tingkah laku. Semua mahu mengisi kantong akhirat dengan amalan yang diredhai, selepas ikhlas itu menjadi tunjang.
Allah yang Maha mengetahui, menerima setiap kemampuan yang berbeza-beza pada hambaNya. Inilah Tuhan yang Maha Penyayang lagi Maha Mengasihani.
Bermula daripada natijah bukan ukuran dalam perhitungan bekalan ke syurga pada usaha dakwah dan jihad, akhirnya membawa kepada ikhlas yang besar lebih dipandang berbanding jumlah wang yang besar tetapi tanpa secebis ikhlas. Semua ini turut berkait dengan kemampuan.
Mampu sedikit dengan ikhlas besar ertinya.
Tetapi sudah tentu mampu besar dengan ikhlas lebih hebat. Mengejar sumbangan yang besar, kerja yang besar dan pengorbanan yang besar mesti diaduni dengan ikhlas yang kukuh.
Ikhlas itu pula, sangat bertentangan dengan hebahan kerja sendiri, menunjuk-nunjuk kebaikan sendiri ( tanpa kepentingan umum yang digaris lulus oleh syariah ) dan memperkecilkan sedikitnya sumbangan orang lain.
Seorang ibu yang penuh dengan pengorbanan mendidik dan mengasuh anak-anak, mungkin segala amalannya sudah tidak begitu bernilai di sisi Allah jika setiap malam kerjanya merungut pada kesusahannya, kemiskinannya atau kejarangan suaminya membantu, sehingga sang suami yang bertungkus lumus bekerja di luar, medan yang berbeza tidak diendahkan.
Seorang guru disiplin yang bertungkus-lumus mendisiplin pelajar sehingga kurang masa dan tawa bersama anak sendiri, demi membina generasi masa depan yang terpimpin, mungkin merosakkan amalannya hanya kerana setiap pagi Isnin, kerjanya juga membelasah guru-guru lain yang tidak langsung membantunya atau jarang turun ke padang membantu, sedangkan kemampuan mereka yang berbeza itu sudah diterima Allah ta'ala.
Jika benar sekalipun ada guru yang malas membantu, bukanlah kerja si dia untuk menghukum sewenangnya. Tumpulah pada amalan dan ikhlas kamu.
Allah terima perbezaan pada kemampuan memberi beza pada taqwa. Beza pada kerja dan sumbangan.
Walau apapun kita, siapapun kita, jangan membina istana amalan di persisir pantai. Setiap petang, sebelum masuk ke ruang tidur, istana amalan kita pasti musnah kerana ianya hanya susunan pasir yang tidak diikat dengan simen dan konkrit keikhlasan.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment