28.2.10

BERNIAGA DENGAN ALLAH

Allah taala ada perniagaan sendiri yang ditawarkan untuk orang-orang beriman. Dinamakan niaga kerana ada konsep pertukaran. Kalau kereta ditukar dengan wang atau hutang berbayar ansuran, maka Allah mahu syurgaNya ditukar dengan empat perkara.

Pertama: Beriman denganNya sebenar-benar makna dan amalan iman. Berikutannya, beriman dengan 5 subjek lain yang disebut agama.

Kedua: Beriman dengan Pesuruh akhirNya, iaitu Nabi Muhammad saw. Termasuk melaksanakan sunnah dan mempraktikkan kasih sayang terhadap baginda alaihissolatu wassalam.

Ketiga: Berjihad di jalan Allah dengan harta benda, kekayaan, kemewahan dan lebihan harta selepas segala kewajipan tertunai.

Keempat: Berjihad di jalan Allah dengan diri. Itu termasuk tenaga, masa, korban diri dan risiko nyawa.

Bukan sekadar syurga menjadi jualan Allah swt, bahkan selamat daripada azab yang pedih, keampunan bagi dosa-dosa, tempat kediaman terbaik di syurga 'Adnin dan kejayaan perjuangan menuntut hak, di dunia yang sementara ini.

Itulah antara pengajaran yang boleh diambil daripada ayat kesepuluh dan seterusnya, Surah as-Saff. Surah yang memulakan perbicaraan tentang pentingnya mengota kata, bertindak dengan kesatuan dan keseragaman dalam kerja berkait agama serta dakwah Islamiah.

Akhir seruan pada surah ini ialah, peringatan supaya umat Islam bersedia sebagai ansarullah.

Jika dikaitkan dengan ayat awal surah, maka surah ini mahu pejuang yang sentiasa bersedia untuk membantu perjuangan agama, memulakan ibadah itu dengan menunaikan ikrar, bersatu dan seragam ketika bertindak. Tindakan itu pula ibarat satu perniagaan langsung yang maha suci.

Itulah perniagaannya. Ia untuk orang beriman.

No comments: