Apa yang berlaku dalam PKR tidak mengejutkan pimpinan PR, blogger PR dan penyokong kuat PR. Mungkin lagi ramai yang keluar dari PKR lebih melegakan mereka yang beranggapan itulah "tathir" atau pembersihan yang dibuat oleh ?
Lagi ramai keluar bermakna sudah tidak ramai lagi yang kekal dalam PKR untuk membuat onar dan busuk. Lebih memudahkan gerak kerja PKR. Eh, begitukah kita berfikir?
Atau itulah pembuktian bahawa PKR penuh dengan onar dan busuk? Bahawa sebenarnya ramai yang bersama PKR memasang kepentingan diri dan kroni. Sudah terhalang mendapatkan habuan, kekasih lama dikejar semula?
Walau apapun yang ditafsirkan, bagi rakyat umum, ia membuktikan Umno lebih baik berbanding PKR. Rakyat umum yang saya maksudkan adalah rakyat teramai yang tidak mendapat akses kepada maklumat alternatif selain perdana. Tiada istilah tathir bagi mereka. Tiada istilah dibeli atau takut terjual. Apa yang mereka tahu, "wow, Umno bertambah kuat dan dipuji oleh orang-orang kuat PKR dulu-dulu"!
Jika keadaan begini berterusan, mampukah PKR menggapai lagi kemenangan yang besar seperti pilihanraya lalu, untuk yang mendatang? Apa kekuatan mereka selepas ini? Dulu mereka kuat dengan kekuatan Anwar dan kelemahan Pak Lah. Kini mereka semakin lemah dengan kelemahan Anwar dan PKR dan kekuatan Najib. Pola yang jelas, Najib mula meraih popular dan Anwar menjadi bahan kajian dan luahan kedai kopi. Jika tidak semua, seorang dua tentu percaya kerja buat Anwar bagai yang dituduh di mahkamah, biarpun itu dosa besar qazaf.
Nampaknya, semuanya semakin sampai ke persimpangan. Simpang yang dulunya PAS ada kekuatan sendiri untuk memilih. Tetapi kini, sukar PAS membuat tekad, kerana azam-azam dalam PAS terlalu berselerak dan banyak.
Banyak perkara akan membawa kepada keadaan belum tentu dalam PR. Ini perlu menjadi iktibar kepada SEMUA parti, khususnya PAS untuk melihat semula tapak-tapak asas di kubu sendiri dan mulakan perkemas sisi taklidinya.
Janganlah lagi berpaut di dahan yang rapuh, kelak akan jatuh jua, walaupun rapuh itu asalnya jati yang matang. Kalau sudah nampak rapuh, kembalilah ke pangkal.
Bolehkah kita membaca...ada unsur tathir dalam diri PAS, bukan membuang busuk dari parti, tetapi membersihkan diri yang terpalit dedalu parasit yang melemahkan jati diri.
Politik penuh dengan seni. Seni itu termasuk mengenal musuh diri dan menjadikan musuh sebagai kawan diri tika perlu sahaja. Mempercayai orang sendiri adalah seni asas. Kalau ini pun tidak lepas, susahlah PAS.
No comments:
Post a Comment