20.2.10

BMW


Mengenali pelbagai kategori manusia membawa kita mengenali pelbagai jenis hobi, minat dan kecenderungan manusia berdasar kategori masing-masing.

Bagi kelompok yang berduit, mereka akan bercakap tentang rumah, kereta dan cawangan. Rakan-rakan yang berduit, itulah sembang mereka. Rumah untuk kediaman dan pelaburan. kereta untuk bisnes, keselesaan dan keselamatan dan cawangan untuk keperluan masing-masing.

Saya yang mengenali seorang dua jenis begini, mula mengesan kecenderungan yang sama yang ada pada diri sendiri. Ya, walaupun belum kaya, tetapi saya sudah dapat mengesan apakah yang saya mahu sekiranya saya kaya. Sebuah kereta yang hebat, selesa dan penuh dengan ciri keselamatan. Saya yang selalu mengantuk memandu ke Terengganu, apakah bijak jika saya yang berduit banyak, menolak untuk membeli kereta yang boleh mengejutkan saya dari mengantuk ketika memandu? Atau itu tidak wajar kerana saya seorang lulusan agama?

Ya, sesuatu telah mendasari pemikiran orang ramai bahawa mewah untuk orang yang "lagho" dan nampak tak mewah untuk orang-orang soleh. Betulkah begitu?

Apakah nampak tak mewah atau menjauhi kemewahan itu suatu ciri mahmudah yang mesti dipegang oleh setiap insan mulia, lebih-lebih lagi pejuang kebenaran? Itukah natijah daripada sifat wara' yang dituntut, sehingga apa sahaja yang berkait dengan mewah, mahal dan besar, dicop negatif oleh Islam?

Nabi saw bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya jika engkau meninggalkan ahli warismu dalam keadaan kaya lebih baik daripada engkau tinggalkan mereka miskin meminta-minta kepada orang.” (HR Muttafaqun'alaih).

Saya fikir hadis ini mudah untuk difahami dalam konteks ini. Dan ianya umum untuk seluruh umat Islam, baik pemimpin, mahupun pengikut, baik khalifah mahupun ulama'.

Justeru, bagaimana kita menseiringkan hadis ini dengan perlakuan Abu Bakar ra. yang tidak meninggalkan harta untuk pewarisnya? Ulama Islam ada jawapannya.

Apa yang pasti, kaya adalah lebih baik untuk diri, keluarga, saudara mara dan ummah, jika kaya itu pada tangan, tidak hati. Jika kaya itu dikongsi, bukan disekati.

Mulialah jua jika kereta BMW yang dipandu itu hanya bernilai pada tangan pemandu, pada keselamatan isteri yang memandu, pada keselamatan anak yang dipandu dan pada keselesaan bermusafir, bukan pada hati yang lalai dan mazmumah yang merosakkan iman.

Tentulah jua kemuliaan itu selepas segala kewajipan pada harta yang banyak itu ditunaikan.

Apabila seorang politikawan kaya meng"exercise"kan kemewahan yang diperolehi secara halal, adil, suci dan dilihat halal, adil dan suci, wajarkah politikawan yang hidup sederhana dan miskin memberontak dalam jiwa dan perasaan? Kononnya hidup sederhana itu suatu tuntutan perjuangan? Benarkah bila anda menjadi pemimpin, Islam mewajibkan anda sederhana atau nampak sederhana atau miskin, walaupun segala kewajipan pada harta telah tertunai? Begitukah Islam atau itukah Sosialisme?

Saya tidak percaya ia wajib bertukar menjadi nampak tidak kaya. Itu bukan hukum fiqahnya. Itu mungkin hukum alam bagi seorang pemimpin.

Jika begitulah kiranya, mungkinkah ia bercanggah dengan suruhan Nabi agar umat itu bekerja dan memperolehi kekayaan untuk diinfaq di jalan Allah? Dan infaq itu tidak langsung menghalang pemilik kekayaan itu memberikan rasa nikmat itu pada diri, keluarga dan saudara-mara terdekat.

Jalan apakah yang diinfaqkan oleh pemimpin yang miskin? Atau seorang yang kaya jangan menjadi politikawan, kerana ia menimbulkan fitnah. Jadilah ahli perniagaan yang sentiasa memberi sumbangan kepada kerja kebaikan dan dakwah.

Jika begitu, selamanyalah parti politik orang-orang tidak nampak kaya itu, kurang berduit.

Apakah coretan ini bermaksud untuk menjustifikasikan diri saya berusaha memenuhi impian memiliki sebuah BMW suatu hari nanti? Mungkin juga. :). Apa pun, itu sebuah impian di samping realiti kewajipan yang sangat banyak sebagai seorang muslim.

Setiap yang halal itu, jangan diharamkan oleh diri sendiri. Jangan kereta itu jadi Be My Wife sudah!

No comments: