17.2.10

MAKSUD PADA RUTIN USRAH


Antara tugasan mulia para Nabi dan Rasul ialah mendidik hati dan jiwa manusia dengan kesucian agama. Ia menjadikan hati itu suci, jiwa itu murni. Ia disebut dengan kalimah didik, bentuk atau tarbiah. Itulah jua kekuatan bagi pendokong agama sepanjang zaman, amalan salaf al-soleh merentas benua dan menjadi ikutan para ulama dan 'abidin.

Jauh bezanya daripada mengajar atau ta'lim. Ini membawa makna menyampaikan, memberitahu dan memberi ajar. Dalam kelas, manusia mengajar manusia. Di luar kelas, manusia boleh ikut manual yang diajar tadi atau boleh tidak.

Tetapi tarbiah melepasi sempadan kelas. Pastikan apa yang diajar itu dibuat di rumah, di surau, di hostel dan di mana sahaja. Dengan membuat itulah terhasilnya tarbiah dan apa yang disebut mendidik. Ajar sampai buat. Sampai hati tersuci dan jiwa termurni.

Inilah kerja mulia para Nabi dan Rasul. Inilah kerja kita dalam mentarbiah diri sendiri. Bukan setakat mencari tahu atau ilmu, tetapi membuat apa yang diketahui. Itu, senang dan sukar kerjanya.

Usrah adalah unit termasyhur dalam mentarbiah diri. Ia cukup sempurna untuk mendidik teman, keluarga dan diri sendiri. Usrah menjadi begitu popular kerana ia merupakan satu institusi yang sangat berkesan jika perjalanannya lancar dengan naqib yang komited dan ahli yang ikhlas menerima dan dibentuk.

Kerana itulah, di mana-mana, jika ada gerakan Islam ada usrah, ada cawangan parti Islam ada usaha usrah dan ada ustaz ada usrah. Kempen jom usrah sentiasa kedengaran. Usrah pula menjadi aktiviti mingguan, bulanan dan menjadi rutin yang sangat sebati dalam kumpulan Islam. Ia suatu yang nampak ajaib kekuatannya. Ia ada sebab dan tujuan. Ya, tentu ada sebabnya.

Bermula dari situ, mari kita bertanya diri sendiri. Kerana apa usrah diadakan? Sekadar memenuhi rutin, kuota aktiviti atau kerana itu sifat parti Islam, maka mesti buat?

Persoalan ini sangat relevan. Dan jawapannya adalah sangat relevan dengan maksud tarbiah itu sendiri. Tidak lain dan tidak bukan, untuk mendidik diri dan jiwa. Itulah tujuannya. Diri dan jiwa setiap yang hadir menjadi sasaran didik dan bentuk.

Ia berlaku dengan pelbagai cara.
Sentuhan naqib. Teguran sesama sendiri. Nilai persaudaraan yang terjalin. Bertukar idea. Koreksi jama'ie dan pelbagai lagi. Kritik-kritik, bukan usrah tempatnya.

Malah usrah jauh mengatasi sifatnya sebagai aktiviti rutin. Ia mesti dilihat dan diyakini melebihi maksud rutin. Apatah lagi maksud mengisi masa lapang atau takwim bulanan.

Naqib mengajak kerana mendidik dan terdidik. Ahli hadir kerana mendidik dan dididik. Semua yang hadir telah bersedia dididik. Hati sudah diserahkan pada proses didikan. Jiwa terbentang luas untuk dibentuk. Semuanya mahu mendekati Allah dan rasul.

Semuanya mahu menjalinkan persaudaraan yang akrab dan indah - di bawah lembayung kalimah "Allahu Rabbuna - Allahu ghoyatuna". Mahu menjadi rendah, hormat, sayang, lapang, sabar, hargai, manis, berpada, tenang dan tekun. Itu antaranya.

Barang yang buruk dan keji, sangatlah tidak sinonim dengan maksud pada usrah. Bukan umpatan, kejian, makian, ejekan atau medan berakal fikiran tanpa jiwa terikat dengan nilai tarbiah. Bukan sekadar tidak menjadi tujuan, sebagai selingan dan sindiran pada pengaktifan usrah juga terlarang sama sekali.

Oleh itu, marilah kita menginsafi bahawa usrah itu ada kekuatannya, walau siapapun ahlinya, naqibnya. Dan kekuatan itu perlu disedari oleh setiap pengamal usrah dan juru kempennya.

Ia bukan medan untuk merosakkan kasih sayang, persaudaraan, didikan dan bentukan. Jangan tergambar di peta minda, usrah tempat melepaskan segalanya...

Sebaliknya, ia tempat membuang jauh nafsu daripada pelantar hati kita.

No comments: