8.3.10
HIKMAH DARI TUHAN
Pelbagai masalah dan ujian yang menimpa, membawa manusia sentiasa mengingati Tuhan. Baik ujian atas diri sendiri, atau pun ujian yang dilihat oleh mata, berlaku pada pihak lain.
Sejak sekian lama kita mendengar, sesuatu yang buruk berlaku, tentu berhikmah. Hikmah adalah sesuatu yang bernilai yang didatangkan sebagai pendamping kepada suatu yang berlaku, tercetus atau terjadi. Hikmah adalah barang yang elok kepada manusia. Ia mampu menenangkan. Ia dari Tuhan.
Itu kalau masalah. Kalau berkaitan ujian Tuhan, tentulah lebih banyak lagi hikmah yang tersedia. Hikmah besar dari langit.
Ujian itu pula bermacam-macam bentuk dan cara. Melihat kepada situasi politik terkini, butiran hikmah itu bertaburan di mana-mana. Untuk diri ada, untuk pihak lawan ada dan untuk semua, juga tersedia bertaburan. Marilah kita mengutipnyA, sematkan sebagai bekal di hati.
Itu baru hikmah sekitar politik. Belum dihitung lagi hikmah berselerak dalam keluarga, hikmah tersembunyi di meja-meja kerja, hikmah di kampus pengajian dan hikmah di dalam diri kita dan mereka.
Lagak manusia terhadap ujian seringkali pula pelbagai. Lantas, respon terhadap hikmah juga rencam.
Ada yang menghitung hikmah sebagai barang dagang yang dibiar berlalu pergi. Itu hak mereka, bukan aku, bentak hati si ego. Atau si jahil sebenarnya? Ada pula yang tidak cermat dalam serba-serbi kerana hanya mengharapkan hikmah di sebalik kegagalan yang kerap. Atau sebenarnya hanya mahu menunggu hikmah dengan perangai malas?
Walau apapun kita, janganlah sehingga tidak nampak langsung hikmah yang berada di sisi. Itu lagi teruk. Lupa segala hikmah. Tidak mahu mencarinya. Dah jumpa dibiarkan terabai. Dirampas orang, hanya kaku diam.
Atau tidak faham langsung maksud hikmah. Tak peduli apa orang bilang tentangnya.
Sebaliknya, jadilah seperti sang pencari kebenaran. Sang tunduk kepada Pencipta. Sang ikhlas bertindak. Mereka cukup rapat dan setia pada hikmah. Marilah kita meniru mereka. Hikmah itulah yang patut dipegang erat. Kerana hikmah itulah penenang hati, pengukuh tekad dan penyuci niat dan hasrat.
Mari kita genggamnya kuat-kuat. Hikmah dari Tuhan.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment