14.6.11

Anak Didik Mimbar Rusila Mampu Mendekatkan Putrajaya

Kabinet Baru PAS adalah satu cabaran besar bukan kepada musuh politik parti sahaja. Ia juga satu cabaran paling berat yang akan dihadapi oleh Presiden.

Dalam sesi yang lepas, tergambar jelas bahawa Dato' Tuan Guru Presiden mahukan Ustaz Abdul Halim Abdul Rahman sebagai Pengarah Pilihanraya PAS Nasional. Oleh kerana itulah, ia jadi begitu. Juga jawatan-jawatan lantikan yang lain.

Dalam muktamar baru-baru ini, Ustaz Halim menyebut di dalam ucapan penggulungannya bahawa jabatan pilihanraya seluruh peringkat tidak sepatutnya mengalami perubahan pengurusan ketika mana pilihanraya hanya di sudut jalan sahaja.

Tup tup tup, dia pula terpelanting. Masakan itu kehendak Presiden yang dikenali lembut sesama rakan dan teman. Masakan.

Jadi siapakah yang mahukan pertukaran itu berlaku? Jawapannya mudah, Dewan Harian. Siapa mereka? Mereka adalah pembantu-pembantu Presiden yang telah lama terdidik di bawah mimbar Rusila yang akan wala' dan setia kepada 'Perjuangan dan prinsip Islam'.

Kita ucapkan alhamdulillah, atas perubahan yang berlaku, walaupun banyak kerja yang telah dilakukan oleh Ustaz Halim dan Dr Hatta pula baru nak memanaskan kerusi.

Selangor

Bukan sekadar itu sahaja kejutan yang berlaku.

Selangor menyaksikan perubahan yang berlaku secara drastik, walaupun pelbagai kerja sudah dilakukan oleh Pesuruhjaya yang lepas dalam menghadapi pilihanraya dan tarbiah ahli. Tidak kisahlah pilihanraya sudah dekat, tetapi perubahan kepada tokoh yang jauh lebih hebat daripada Dr Hasan Ali amat-amat diperlukan. Dr Abdul Rani dipilih Dewan Harian.

Insya Allah kita akan menyaksikan satu gelombong kerja dan strategi yang "maha" hebat dengan kabinet baru PAS Selangor yang bakal diumumkan.

Sekali lagi, tidak nampak ini kehendak Presiden. Presiden seorang yang dikenali sangat berlembut dengan pimpinan bawahannya. Tidak mudah pertukaran dilakukan.

Jika Presiden tidak kisah kepada pilihanraya yang dekat, kenapakah tiada pertukaran di Kelantan. Saya percaya dengan segala keuzuran Tok Guru, Kelantan juga wajar ditukarkan ketuanya kepada tokoh lain, seperti mana yang berlaku di Terengganu.

Bagi saya, Presiden kisahkan hampirnya pilihanraya dan dia kisahkan kesatuan yang sangat penting dalam pengurusan negeri. Itu sebab Kelantan amat memerlukan kepimpinan Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat. Penyatu.

Jika bukan dia?

Sekali lagi, itu adalah keputusan Dewan Harian yang bukanlah juga orang lain. Mereka adalah anak didik Tuan Guru yang sejak tahun 80an telah jatuh cinta kepada Tuan Guru dan menghafal ayat-ayat qurani sebagai dalil perjuangan Islam.

Harapan saya untuk barisan kepimpinan PAS yang baru ini ialah agar dapat memimpin ahli, parti dan massa ke arah gerakerja lebih baik dan keputusan lebih cemerlang berbanding pilihanraya yang lepas.

Atas kertas, saya tidak nampak sedikitpun kekurangan pada kabinet yang dibentuk. S/U Agung dikekalkan oleh Dewan Harian kerana mereka tahu Dato' Mustafa Ali adalah antara tokoh PAS yang mampu berhujah baik dalam Majlis Presiden bagi mewakili kepentingan Islam dan PAS, khususnya berhadapan dengan Dato' Seri Anwar Ibrahim. Ketika masing-masing mahu pertahankan maslahah parti sendiri, Presiden dan Cikgu Pa adalah dua insan yang diyakini mampu menjaga hal ehwal kepentingan parti.

Tokoh-tokoh anak didik Tuan Guru Presiden kelihatan kurang bertenaga untuk mengatakan tidak kepada Anwar. Itulah andaian saya. Bak kata bahasa orang Kelantan, orang lain mudah lembik tekok dengan Anwar.

Atas dasar itulah, pada andaian saya, Presiden mengekalkan Mustafa Ali.

Putrajaya

Saya menetap di Puchong. Saya berasa seakan-akan Putrajaya sudah bergerak mendekati Puchong Gate. Apa yang memisahkan saya dengan Putrajaya adalah Tol LDP sahaja.

Saya yakin, anak didik mimbar Rusila, Dr Hatta, Dr Abdul Rani dan ramai lagi mampu membawa kita ke Putrajaya.

Tidaklah Dewan Harian memilih mereka ini melainkan kerana mereka ada sesuatu yang tiada pada pemegang jawatan sebelumnya. Mereka ibarat tokoh luar biasa. Dengan masa yang amat terhad, gerakerja tetap akan lancar. Malah lebih lancar berbanding sebelumnya.

Memang berat beban di bahu tokoh-tokoh ini. Berat juga cabaran yang berada di hadapan Presiden.

No comments: