11.5.08

Warkah Tuan Guru Nik Abdul Aziz untuk Raja Petra

8hb Mei 2008/ 2 Jamadil Awwal 1429

YM. Raja Petra Raja Kamarudin
Warkah Simpati dan Pengiktirafan

Saya
menerima berita mengenai nasib tuan yang dituduh dibawah Akta Hasutan 1948 dan kini ditahan reman dalam penjara Sg. Buloh sehingga kes disebut di mahkamah pada 6 Oktober 2008 dengan penuh kesedihan.

Bagaimanapun, jauh di hati saya, saya masih terasa kagum kerana di sana masih ada seorang sehebat tuan yang cekal mempertahankan apa yang difikirkan benar.

Prinsip ini cukup selaras dengan dasar anutan Agama Islam kita yang sentiasa bertunjangkan amar makruf nahi mungkar.

Ia kebetulan disebut juga oleh demokrasi dan turut diperuntukkan di dalam perlembagaan kita di bawah perkara kebebasan bersuara dan menyatakan pendapat.

Soal bersalah atau sebaliknya; maka terlanjur tuan telah dituduh di bawah Akta Hasutan, maka ia terpulanglah kepada proses keadilan di mahkamah yang selanjutnya.

Sewaktu Nabi Allah Yusuf 'alaihissalam dikurung oleh pihak berkuasa di zamannya kerana fitnah, Yusuf berkata, "wahai Tuhanku, penjara lebih aku sukai daripada memenuhi ajakan mereka kepadaku. Dan jika tidak Engkau hindarkan daripadaku tipu daya mereka, tentu aku akan cenderung untuk (memenuhi keinginan mereka) dan tentulah aku termasuk orang-orang yang bodoh."

Lantaran istiqomah Nabi Yusuf itu, Allah maqbulkan doa baginda lalu "menghindar Yusuf dari tipu daya mereka. Sesungguhnya, Dialah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui." (Petikan dari Surah Yusuf Ayat 33 dan 34).

Selaras dengan perkembangan ini, izinkan saya turut bersama mendoakan tuan agar sentiasa dipelihara kesihatan dan keselamatan oleh Allah SWT.

Semoga yang benar itu akan terserlah jua walaupun harganya adalah pengorbanan. Selagi tuan benar dan kita semua benar di sisi Allah SWT, tuan dan kita pada amnya tidak perlu merasa khuatir.

Mari kita terus tabah, bersama dengan perjuangan demi menegakkan yang hak dan menolak kebatilan.

Salam perjuangan. Wassalam.
NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT
Menteri Besar Kelantan
Merangkap Mursyidul Am PAS

10.5.08

Nargis Ke Myanmar


Beginilah mayat yang ditemui selepas serangan Nargis terhadap Myanmar. Bagaimana pula rupanya berpuluh ribu lagi warga Myanmar yang terkorban.



Beratur bagi meneruskan kehidupan yang serba kekurangan.




"Kami mahu hidup, kami ingin bantuan, sumbanglah kepada kami, kami belum dapat, kami takut, kami tak ada nasi, kami nak minum...."

Kehidupan perlu diteruskan



Taufan melanggar apa sahaja yang melintang di hadapannya. Biarlah bumbung itu pergi, jangan nyawa penghuninya.



Myanmar adalah jelapang padi bagi rantau kita. Bagaimana krisis makanan / beras diatasi di negara kita?


6.5.08

Rindu Dunia Ilmu


Saya teringat kata-kata Tuan Guru Nik Abdul Aziz, perkara paling mahal yang beliau terpaksa korbankan sejak menjadi ahli politik Islam sepenuh masa ialah hidup setia dengan buku dan kajian ilmiah. Lebih kurang begitulah.

Bukan dia seorang sahaja. Saya percaya ramai lagi. Para ulama yang aktif politik, para ustaz muda yang giat berceramah, termasuklah saya yang merupakan ustaz biasa2 ini, amat merindui situasi makan minum bersama kitab. Bukanpun salah politik, salah parti atau salah program masyarakat. Salah sendiri sebenarnya sehingga buku-buku, kajian ilmiah dan perbincangan para ulama semakin jarang-jarang disentuh lihat. Selain itu, faktor kesibukan bekerja juga membantu.



Bagi saya, kalau ada kesempatan, pasti saya akan masuk semula ke dunia itu. Dunia bermain dengan kitab para ulama, dunia perbahasan ilmiah yang tinggi, dunia perbandingan 4 mazhab dan dunia tidak taksub terhadap ulama sendiri. Bukanlah sekarang tidak boleh, tetapi rasanya ada sahaja kekangannya. Mungkinkah bertukar karier dapat membantu?

Saya memang merindui kajian dan perbahasan ketika bergelar pelajar dahulu. Realiti politik di Malaysia buat masa ini, khususnya jika terlibat di peringkat rendah, tidak memungkinkan perbahasan bebas, ilmiah, agama dikembangkan.

Mungkinkah penyelesaian untuk rindu saya adalah mencari platform sumbangan perjuangan yang lebih sesuai untuk dunia politik yang saya dekati dan dunia ilmu yang saya rindui!

5.5.08

Saya Hanya Rakyat Biasa.

Assalamualaikum tuan-tuan.

Saya tidak tahu. Itu keputusan MB Selangor. Saya tidak pasti. Saya keliru. Saya hanya menyampaikan ceramah berdasarkan bahan yang pemimpin negeri bekalkan, ketika PRU yang lepas. Tiba-tiba MB kata penurunan cukai pintu masih dikaji.

Dia kata ekonomi belum kukuh. Eh, semasa saya sampaikan ceramah, saya tak sebut semua itu, kerana pemimpin tak sebut. Mana saya tahu ada syarat2nya.

Yang saya tahu, yang saya dimaklumkan, yang saya percaya, menang sahaja cukai akan turun. Bila, tak tahulah, tapi rakyat, tuan-tuan tentu nak cepatkan.

Mmmm payah2 sangat, tuan-tuan pergilah bertanya pemimpin negeri sekarang. Kenapa lambat sangat. Kedah yang hampir lingkup wal ghuyub pendapatan pun menyeronokkan pengundi, akan segala tindakan awal mereka.

Mmmm mungkin Selangor adalah negeri korporat. Tuan-tuan jangan tanya saya, saya hanya seorang rakyat yang sijil saya hanya setakat suis lampu rumah aje.

Maaf tuan-tuan, kita akhiri dengan tasbih kaffarah dan surah al-asr.

Kembali kepada Islam, Bukan Melayu.

MMMM, Majlis Muafakat Melayu Malaysia telah dibentuk semalam, bagi mengambil berat kepentingan orang Melayu. Bangsa lain jangan bimbang kerana ia tidak bersifat perkauman. Itulah mesej awal mereka.

Saya tertanya-tanya juga, selama 50 tahun Melayu dibela oleh Umno, apakah Melayu belum muafakat? Ini isyarat bahawa Umno gagal? Mereka yang menjuarainya tidak percaya lagi kepada Umno? Tetapi saya percaya majoriti mereka yang bersidang adalah ahli atau penyokong Umno. Paling tidak peraih kepentingan daripada Umno. Sedikit sangat yang selain itu.

Jika begitu, mungkinkah majlis ini untuk menarik semula sokongan Melayu kepada Umno yang telah gagal? Oh, mungkin bagi mereka, jika Umno menang, Melayu tiada isu ketidak muafakatan, tetapi isu timbul jika Umno tewas teruk? Yang menang selain Umno tiadakah Melayu? Yang memerintah selain pembangkang di Persekutuan, tiadakah Cina atau India?

Nampaknya, Majlis ini juga sedang berpolitik...atau dipolitikkan. Saya percaya juga, ada antara mereka yang tulus bertindak untuk Melayu. Tetapi mereka jangan lupa, jika muafakat itu tiada sokongan politik Melayu maka ia tidak akan menjadi. Jika Umno yang selamanya sebelum ini kukuh memerintah, memang pentingkan muafakat Melayu, atas nama bangsa, sudah lama hal itu dilakukannya. Tiadalah timbul masalah di Kelantan, kerana masalah yang dilakukan adalah menganiayai orang Melayu Kelantan. Hakikatnya bagaimana?

Bagi kita, Islam penyelamat bangsa Melayu yang rata-ratanya beragama Islam, di samping rakyat keseluruhannya.

Rasulullah saw ketika membuka kota Mekah dalam peristiwa yang penuh bersejarah, menegaskan satu prinsip agung agama; “Islamlah kamu, nescaya kamu selamat”. Jika baginda mahu mengikat Abu Sufian dan teman-temannya dengan semangat kebangsaan, nescaya disebutkan kalimah bangsa Arab dalam nasihatnya, dilaungkan semangat bangsa itu, supaya para pembesar Arab selamat dalam peristiwa tersebut.

Boleh sahaja diungkap misalnya; “Kita bangsa Arab, harus bersatu di Mekah ini”, “Kami dan kamu semua adalah Arab, kenapa mesti bertelingkah”, “Hidup Arab, Hidup Arab”. Oh tidak sekali-kali ia pernah berlaku.

Bukanlah Nabi saw menafikan langsung identiti Arab itu, dan bukan juga tidak bangga dengan bangsanya, tetapi kepentingan bangsa tidak bererti dan tidak dijamin jika agama bangsa itu tidak dipelihara dan dijadikan asas. Rasulullah pernah menyebut, khalifah dari Quraish, yang bererti pengaruh kaum Quraish menjadi kekuatan untuk memerintah Arab ketika itu, tetapi bukan itu slogannya, bukan itu matlamatnya dan bukan itu dasarnya.
Semuanya berbalik kepada Islam agamanya.