26.10.08

PAS Masih Di Awan Biru

Merujuk kepada komen pada tulisan di bawah dan mungkin persoalan pembaca yang lain. Begini penjelasan saya;

1. Bezakan usaha pengukuhan PR dan penurutan teori Anwar dalam "merampas" kerajaan secara kontroversi. Saya tidak menolak usaha Anwar dan PR, tetapi saya mengajak PAS jangan terlalu mengikut mimpi, tetapi berpijak di bumi nyata.

2. Berpijak di bumi nyata ialah berinteraksi dengan fakta dan realiti. Apakah fakta yang pimpinan PAS miliki dalam berkongsi keyakinan ( impian ) Anwar bahawa penghijrahan besar-besaran akan berlaku, malah diuar-uarkan jumlah telah atau hampir mencukupi? Apakah realiti yang mengelilingi Anwar kini bertepatan dengan impiannya. Lojikkah kerajaan suci itu ditangguhkan hanya untuk membantu kerajaan "najis" membaiki ekonomi negara? Atau Anwar sebenarnya masih gagal?

3. Saya tidak nafikan ini adalah usaha luaran PAS, malah pada beberapa bulan lalu hampir kita semua hampir percaya ia akan berlaku pada 16 September. Tiba2 ia bertukar kepada perancangan tanpa had tempoh. Apa kesannya kepada imej kita. Apakah antum semua merasakan tiada ahli kita yang malu berhadapan masyarakat, orang Umno mengejek simpati terhadap ahli kita, orang melihat orang itu gila kuasa.

4. Bukankah kenyataan yang sentiasa berubah2 dan andaian kosong yang tidak pernah menjadi kenyataan itu bukan amalan pimpinan PAS sejak sekian lama. Bukankah kalau ia dilakukan oleh Pak Lah, maka kita akan katakan itu pembohong? Kenapakah kini kita pandai beralasan?

5. Jangan lupa, rakyat yang menolak BN dulu adalah rakyat yang cerdik dan celik, bukan rakyat mat jenin!

6. Kalaulah ketidakyakinan ini mampu melemahkan semangat PR, aduh sungguh lemahnya PR! Maka, jangan kita berebut2 mencari hujah, idea dan kaedah bagi membenar atau menafikan kebaikan yang diperolehi oleh Islam daripada kerajaan federal PR sehingga pimpinan kita sendiri mengguris dan terguris, sedangkan semuanya masih di awan biru. Bukankah benar, PAS perlu ke bumi nyata?

24.10.08

Biarkan Anwar. PAS Perlu Ke Dunia Nyata

Cuba kita pejamkan mata. Lupakan ABIM yang dipimpinnya dahulu. Lupakan jawatan menterinya dahulu. Lupakan reformasi. Lupakan penjara Sungai Buloh. Lupakan Pakatan Rakyat hasil daripada kemenangan pilihanraya lalu. Lupakan kadang-kadang dia banyak di luar, dan "kita" yang berkorban berjumpa orang bandar dan kampung. Lupakan.

Buka mata dan lihatlah wajah Ketua Pembangkang di Parlimen bermain kata-kata, tanpa semua tadi.

Lihatlah kenyataannya. Bermula tarikh keramat dalam bulan April, kemudian 16 September, seterusnya bila-bila masa sahaja, akhirnya sebelum hari raya Aidil Adha. Pernah juga dikatakan, tidak lebih daripada dua bulan. Kini, nanti dahulu. Jangan gopoh. Ekonomi tenat. Mari kita bantu kerajaan sekarang demi ekonomi. Aduh!

Lojik apa Ketua Pembangkang lontarkan apabila cuba menyelamatkan ekonomi negara dengan membantu kerajaan korup sekarang? Bukankah menyelamatkan negara daripada pemimpin yang merompak wang rakyat di KWSP, membeli Eurocopter dengan harga "orang bodoh" adalah satu cara terbaik dan perlu disegerakan?

Apa pandangan pemikir PAS? Jika kita berhujah, jika tidak sekarang akan sampai masanya sehingga pilihanraya akan datang, maka apa bezanya kita dengan orang yang pandang ringan teori "rampasan kuasa" Anwar Ibrahim. Apa yang pemikir PAS fikirkan untuk penyatuan fikrah pimpinan parti? Masih tegar dengan impian Anwar atau turun ke bumi nyata, jayakan agenda sebenar rakyat di negeri Pakatan Rakyat?

Biarlah Anwar dengan perancangannya. Siapa boleh maklumkan walau satu nama sekalipun, orang yang telah bersumpah akan menyeberang ke perahu PR?

Maka, kenapa kita pula yang bersengketa? Sekali lagi, marilah kita ke dunia nyata. Agenda kita masih banyak.

20.10.08

Resolusi Seminar Urustadbir Negeri Pakatan Rakyat

# Berikut adalah resolusi seminar anjuran PAS Pusat dengan kerjasama Dewan Pemuda PAS Pusat bertajuk : Penglibatan PAS dalam Urustadbir Negeri-Negeri Pakatan Rakyat, yang diadakan pada 18 Oktober 2008 di Selangor. Disalin sepenuhnya daripada sumber.


RESOLUSI SEMINAR.

Penglibatan PAS dalam Urustadbir

Negeri - Negeri PAKATAN Rakyat


1. Parti mesti menerajui kerajaan dan bukan sebaliknya. Perangkaan dasar, program, penubuhan jabatan dan institusi baru mestilah diputuskan oleh parti terlebih dahulu.


2. Bagi negeri-negeri yang memerintah, mestilah membuat kajian dan analisa secara profesional dengan diterajui parti sebelum ianya direalisasikan.


3. Negeri Pakatan Rakyat yang dikuasai oleh PAS hendaklah melantik pakar2 tertentu walaupun bukan di negeri itu untuk membantu kerajaan negeri dalam tugas2 khas guna memberi input kepada kerajaan dan memberi khidmat nasihat dengan segala perbelanjaan ditanggung oleh kerajaan.


4. Mewujudkan Shariah Advisory di setiap negeri Pakatan Rakyat.


5. Perlu lebih giat dalam mengintai peluang melaksanakan Islam dalam ruang lingkup yang ada di negeri-negeri yang PAS mentadbir atau menyertai kerajaan yang memerintah. Ini berdasarkan kaedah fiqh yang berbunyi: "Apa sahaja yang tidak dapat dilaksanakan kesemuanya, maka tidak boleh ditinggalkan kesemuanya".


6. Hubungan dengan sultan.


7. Hubungan negeri dengan negeri dan dengan pusat hendaklah dipelihara dengan baik dan diperkukuhkan


8. Mekanisme yang digunakan hendaklah menggunakan peruntukan projek-projek di setiap daerah dengan diberikan grant atau surat jaminan.


9. Hudud tidak dilaksanakan kerana sekatan kerajaan Federal. Tetapi tidak boleh ditinggal kesemua sekali. Yang boleh dibuat ialah kesalahan-kesalahan hudud yang dibicarakan dimahkamah negeri yang biasanya dihukum dengan wang atau denda hendaklah segera diubah dengan selain daripada wang kerana denda wang itu adalah As-sukhtu dan as-sukhtu adalah haram.


10. Isu arak: kilang yang masih beroperasi pada hari ini adalah lesen yang telah diluluskan oleh kerajaan UMNO dan BN terdahulu. Berdasarkan perjanjian dan penilaian siasah syariyyah, kerajaan pada hari ini tidak boleh menutup secara drastik kilang-kilang arak yang sedia ada sebelum tamat tempohnya. Tetapi apabila lesen yang sudah sedia ada telah tamat tempohnya, maka kerajaan Pakatan Rakyat tidak boleh membenarkan pembaharuan lesen tersebut atau melanjutkan tempoh lesen yang telah tamat.


11. Babi, berdasarkan siasah syariyyah dengan menggunakan maqasid di dalam muwazanat situasi yang ada, maka pemusatan pemeliharaan babi adalah lebih baik daripada dibiarkan pemelihannya berlaku tanpa kawalan.


12. Rumah ibadat golongan bukan islam adalah dibenarkan beroperasi di dalam negara Islam. Hatta Nabi saw pernah berpesan kepada tentera Islam supaya jangan merobohkan rumah ibadat orang bukan Islam. Oleh itu, pembinaan rumah ibadat bukan Islam yang sedia boleh diteruskan dan pembinaan rumah ibadat yang baru perlu diteliti dan diselidiki dari sudut syarat keperluan secara tepat dan terperinci.


13. Hudud adalah salah satu dari syariat yang hendak dilaksanakan oleh PAS. Untuk itu, kerajaan PAS kelantan dan Terengganu telah pun selesai membuat Enakmen Jenayah Syariah di negeri masing-masing dan telah siap sedia untuk dilaksanakan akan tetapi dihalang oleh sistem undang2 malaysia yaaang memberikan hak keppada undang2 Persekutan menguasai undang2 negeri, dimana yang bercanggah dengan perlembagaan persekutuan tidak boleh dilaksanakan di negeri. Tambahan pula UMNO BN sendiri yang menjadi penghalang dan pernah wakil mereka menyaman kerajaan PAS kerana hendak melaksanakan hudud.


CADANGAN:


1. Mempergiatkan dan memperbanyakkan program penerangan dan pemahaman tentang konsep siasah syariyyah daripada sumbernya yang tepat bagi kesemua jentera parti terutamanya mereka yang terlibat dengan pentadbiran negeri.


2. Mendokumentasikan siasah syariyyah dalam bentuk manual yang boleh dijadikan rujukan oleh pihak pemegang kuasa di negeri-negeri pakatan rakyat.


3. Merekodkan pengalaman siasah syariyyah terdahulu dalam konteks moden seperti pengalaman Kelantan, Terengganu, Turkey, Hamas Palesin, FIS algeria, Jamaat Islamiyyah Pakistan dan lain-lain.


4. Mendokumentasi semula situasi dan realiti sebenar serta siasah syariyyah yang digunakan sewaktu penggabungan PAS dan UMNO pada tahun 70an supaya generasi yang kemudian dapat mengambil kesimpulan dan pengiktibaran dengan mengambil pengalaman dalam mengatur strategi dan membuat keputusan .


Sumber : http://ustaznasrudin-tantawi.blogspot.com/


16.10.08

Perkukuh Pakatan Rakyat, Tidak Bermakna Mesti Mengekori Teori Gharar

1.
Menyokong PAS wajib. Itu kata ahli dan pemimpin parti Islam PAS. Pelbagai hujah boleh dikemukakan oleh mereka. Mentaati kepimpinan juga adalah suatu kewajipan yang tidak boleh dinafikan lagi. Namun apakah ini bermakna menyanggahi pandangan pimpinan secara beradab, dalam bentuk perbincangan, dianggap menentang parti dan boleh dipanggil khianat?

2.
Kelihatan kini ramai ahli PAS yang tidak begitu kisah jika dirinya menyanggahi pandangan pemimpin PAS yang tidak selari dengan pandangan dan pendiriannya. Ada yang beradab dan ada yang tidak. Bagi yang beradab, mereka merasakan ianya bukanlah suatu kesalahan, tambahan pula mereka sangat yakin dengan hujah yang mereka genggami.

3.
Pemimpin sesama pemimpin juga ada berbeza pendapat, malah agak keras bunyinya di dalam blog masing-masing. Walaupun begitu, mereka tahu membezakan antara mengikuti keputusan mesyuarat dengan menolak idea dan pemikiran individu. Mereka sedar di manakah garis pemisah antara wala' dan ikhtilaf jaiz.

4.
Kenapa pula ketika berbeza pandangan dengan Anwar Ibrahim dianggap pengkhianat? Menolak teori Anwar dikira pemecah Pakatan Rakyat? Wajibkah menyertai Pakatan Rakyat? Jika wajib, apakah ia wajib tersendiri atau wajib dengan sandaran lain? Jika wajib, haramkah menolak teori peribadi Anwar 16 Sept?

5.
Jika tidak mahu percaya kepada 16 Sept, apakah ia menjadi punca Pakatan Rakyat akan gagal memerintah? Terkesankah PR dengan percaya tidaknya kita terhadap 16 Sept, ketika mana kita langsung tidak mampu mengesani 16 Sept, benarkah ia atau tidak, yang hanya diketahui oleh individu yang seorang itu. Jika ramai yang tahu, siapakah mereka?

6.
Kenapakah jika kita boleh menerima pertukaran had tempoh pertukaran kerajaan tanpa mempertikaikan kredebiliti, imej dan maruah PR tercalar, tetapi tidak kepada pihak yang menolak terus teori itu demi menjaga parti daripada terheret sama ke kancah penantian tanpa ketentuan, teori gharar.

7.
Jika anda tidak dipersalahkan dan tidak pula berasa bersalah ketika anda menolak beberapa idea presiden parti anda, apakah salah jika saya menolak pendirian peribadi Anwar dan dianggap pula saya sebagai pesalah dan saya patut berasa bersalah?

8.
Jika Anwar gagal, berbaloikah kita berenggang atas ketidak tentuan ciptaan Anwar itu? Dan jika saya bersama seorang ulama yang mempercayai Anwar, apakah salah jika anda bersama seorang ulama lain yang enggan mempercayai Anwar? Apa yang anda tahu dengan 16 September dan perpindahan wakil rakyat?

13.10.08

Alhamdulillah, Syawal Penuh Erti Penuh Rahmah

Alhamdulillah, hari raya kali ini cukup menyeronokkan. Kali pertama sejak sekolah menengah dahulu, saya beraya dengan kopiah hitam baldu yang cantik, tetapi murah, bercap Mydin. Baju pula, cantik dan kemas jahitannya daripada Wisma Yakin. Seronok ketika mengagihkan wang-wang raya kepada abang-abang, kakak-kakak, abang-abang ipar, kakak-kakak ipar, adik dan adik ipar, serta semua anak saudara yang hadir, selain mak sendiri. Seronok kerana dapat menziarahi abah yang sedang bersemadi di kampung.

Ziarah saya pada pagi pertama raya itu, bukan kerana tarikh itu, tetapi kerana tarikh itu sahaja saya berada di kampung. Boleh sahaja ditangguhkan kepada raya kedua, jika tidak mahu menziarahinya pada raya pertama, tetapi, rasanya kurang wajar ketika abang-abang menziarahi pada tarikh itu, saya hanya memerap di rumah.

Alhamdulillah, pada petang raya pertama saya sempat ke Ipoh untuk beraya. Kali pertama saya beraya di rumah MB Perak. Oleh kerana kali ini ianya milik orang teman, maka saya berpakat-pakat dengan beberapa orang abang saya untuk menghadap MB di rumah kediaman rasminya. Sambutan orang ramai adalah di luar jangka. Sangat ramai dan pelbagai kaum. Memang itu petanda baik bagi negeri Perak, insya Allah.

Alhamdulillah, pada hari raya pertama juga saya telah mendengar orang kuat UMNO kampung sudah berani mengkritik Pak Lah. Syukur saya bukan kerana kritikan itu, bukan juga kebenciannya, atau kerana dia mengutuk pemimpin yang saya tidak suka dan tidak akan undi, tetapi kerana orang kampung macam beliau sudah bijak membaca persekitaran politik negara. Beliau sudah celik menghitung untung rugi rakyat kesan daripada dasar-dasar kerajaan. Memang saya gembira dengan kemampuannya mengkritik Pak Lah dalam isu kenaikan harga minyak, peralihan kuasa kepimpinan negara dan kelemahan asas ekonomi negara.

Alhamdulillah, saya paling bersyukur dan berhamdu apabila saya serta seluruh keluarga selamat dan sejahtera sepanjang musim raya kali ini. Ketika beratus orang meninggal, beribu orang kesedihan kehilangan tersayang di jalan raya, beratus ribu lain sedih kekurangan wang poket, saya tidak tergolong dalam golongan-golongan ini.

( Subhanallah, Innalillah, ketika menaip entri ini, saya menonton seorang pemuda pecah kepalanya digilis tayar belakang lori tangki minyak di MRR2. Ya Rabb! Allahummaghfirlahu... )

Alhamdulillah, dalam bulan Syawal ini, saya masih diberikan kekuatan untuk terus mencari Allah dan rahmatNya, mencari idea untuk ummah dan jamaah.