6.4.10

SESUAIKANLAH HATI


1. Hati adalah makhluk yang mudah berubah sifatnya. Kadang keras, kadang lembut, kadang panas dan kadang sejuk. Kesemua empat sifat ini menjadi indah jika perubahannya mengikut suasana sekitar dan peristiwa tertentu yang sesuai dan tepat.

2. Jika perubahan langsung tidak berlaku, ianya juga tidak akan menjadi indah. Keras dalam semua keadaan atau lembut dalam semua kejadian adalah menandakan kelemahan pada pemilik hati ini.

3. Manusia yang suka menempelak tanpa usul periksa, menengking secara tiba-tiba, mengkritik sepanjang masa, memaki sesedap rasa adalah pemilik hati yang bermasalah. Ia telah menjadi keras dan kasar sekaligus. Sudah tidak mampu menghitungi diri sendiri, sebaliknya hanya suka mengukur baju sendiri di badan orang lain. Jika tidak bersesuai, maka badan orang itu dicalar-calar.

4. Manusia yang kurang bijak ialah mereka yang berlawanan dengan sifat mukmin anjuran Allah taala. "Merendahkan diri sesama mukmin dan bangga serta muliakan diri ( atas keimanan yang dimiliki ) tika berhadapan orang-orang kuffar.

5. Sakit hati, apabila sesama sendiri, sesama mukminin, sesama kelompok dakwah sendiri, bila keras tidak bertempat, panas membabi buta. Menghina manusia lain adalah satu mainan elektronik terkini. Buka blog, buka emel, menyebarkan kefasadan sesama mukminin.

6. Perit rasa hati melihat seseorang yang rasa dirinya suci, berhadapan dengan manusia lain yang dipandang bermasalah membuat penampilan "suci" tanpa pertimbangan yang wajar. Ibarat memekik "berambus kamu, ini perjuangan "suci", kamu kotor!". Juga seperti "hei, buatlah kerja, jangan curi tulang, kamu tak cukup pahala, kami sangat banyak kerja+kebajikan+pahala".

7. Perjuangan "suci" begitu hanya mengecilkan tenaga dan melemahkan kekuatan sendiri. Pelik bila pekerja dakwah suka menitipkan fasad di ruang dakwah! Semuanya kerana hati yang keras dan panas tidak bertempat. Akhirnya semua kusut. Sesuaikanlah hati di tempat yang tepat.

16.3.10

JIHAD BLOG

Ketika Malaysia belum memasuki era perang, maka jihad perang belum relevan lagi untuk dihurai secara detil kepada rakyat. Nak bercerita tentangnya pun serba salah kerana tiada siapa yang benar-benar ada pengalaman berjihad untuk berkisah, walaupun banyak ayat dalam al-Quran mengisahkan perihal jihad perang.

Oleh itu, banyaklah jenis jihad lain yang menjadi medan juang pencinta kepada agama. Jihad ekonomi, jihad pendidikan, jihad dakwah, jihad perbankan Islam, jihad politik Islam, jihad penulisan, jihad ceramah, jihad berkebajikan, jihad NGO Islam dan lain-lain.

Sejak lima tahun lalu, jihad blog muncul di tengah rakyat. Ramai yang terjun ke medan ini demi mahu melihat zalim dilanyak, adil dijulang dan hak diperteguhkan. Ini memang satu jihad yang menarik perhatian ramai peminat kepada tulis menulis.

Jihadnya bermula dengan mencari ilmu, mengkaji fakta, mengejar peristiwa sehinggalah kepada perdebatan di alam maya, menghadapi kritikan dengan masa yang terhad untuk menjawab dan kemungkinan disaman atau diugut. Tekanan daripada pihak sendiri juga mungkin berlaku.

Jika mudah, tidaklah namanya jihad. Jika dakwah tulisan diikhtiraf jihad oleh ulama, maka tentulah ada banyak kesukaran dalam medan jihad ini, termasuklah jihad blog dan laman sesawang.

Apa lagi jihadnya?

Tentu banyak. Antaranya, menahan diri daripada menulis apa sahaja sehingga memuaskan nafsu sendiri, demi menjuangkan bijak sendiri untuk kepuasan diri, tanpa mengira maslahah ummah, jamaah dan kepimpinan jamaah!

Jihadnya, menahan ego diri yang bijak dan cerdik ketika jahil dengan perancangan samar pimpinan.

Jihadnya termasuk menahan diri daripada memalukan sesama pencinta agama dan hak ketika melihat pihak lain salah memilih dan berijtihad.

Juga menyebut kebenaran kepada teman dan lawan, dengan cara yang hikmah pada kedua-dua sasaran. Hikmah pada musuh berbeza dengan hikmah pada teman sendiri yang terikat dengan cinta dan wala' pada agama dan kebenaran.

Jihadnya, sukar mengikut dan syok melulu. Banyak lagi jihadnya...

Moga jihad ini benar2 memberi kebaikan akhirat kepada pesertanya.

14.3.10

CIKGU PA PERLU DAPAT PERCAYA AHLI UNTUK MENGUKUHKAN PRESIDEN

Dato' Mustafa Ali pernah membuat kenyataan negatif terhadap projek 16 September. Dia tidak percaya ianya akan berlaku. Mustahil yb kerajaan keluar kerajaan dan masuk pembangkang.

Beliau dikritik hebat oleh para bloger dan pemerhati politik. Kini, beliau dibakul sampahkan dari minda sesetengah ahli PAS sendiri, walaupun dia sangat berhak dihormati sebagai orang lama, berpengalaman politik yang luas dan seorang pemimpin kanan parti, iaitu S/U Agung.

Presiden menyedari pengalaman luas dan lama Cikgu Pa maka meletakkannya sebagai S/U Agung. Seorang yang sangat bijak menangani Anwar ( bekas menteri Umno yang pernah menzalimi Kelantan ). Beliau diperlukan bagi menjaga kepentingan parti lebih daripada kepentingan parti orang lain atau Anwar sendiri.

Dia berbeza dengan S/U Agung sebelumnya. Seorang bekas kroni Umno yang sangat rapat dengan Anwar dalam ABIM dan Umno dan ikhlas memasuki PAS, tetapi bayangan Anwar sentiasa bersamanya.

Itulah Cikgu Pa. Dia memainkan peranan yang mungkin sukar diterima oleh orang PAS yang lebih sayang Anwar daripada Abdul Hadi dan bloger yang lebih benci Umno daripada DAP.

Semua sudah menjadi politik secara total. Segalanya politik. Tiada lagi keinginan untuk memakai kaca mata dakwah. Opsss, ada semacam satu kepercayaan iman baru, dakwah hanya kepada ahli DAP dan PKR, bukan majoriti muslim dalam Umno. Ini cerita lain pula yang tidak mahu saya panjangkan.

Kembali kepada Cikgu Pa. Eh, saya menulisnya bukan kerana saya nak puji dia. Tapi saya respek pandangannya di atas. Dia betul nampaknya. Dan dia bukan pemimpin yang memerlukan pelan sokongan para bloger. Dia ada kedudukan sendiri.

Najib memiliki dana khas kata orang. Dana yang boleh dikeluarkan bila2 masa, jika ada sahaja yb PR ingin "bertaubat" dan masuk "syurga dunia" Umno melalui jalan bebas. Berapa ramai sangatlah yb yang berjuang politik kerana akhirat? Sanggup miskin dan miskin? Yang ramainya semuanya akan cenderung kepada dunia dan harta. Itulah realiti dalam PKR dan DAP.

Maka, wajar sangatlah Cikgu Pa ingatkan awal2, tiada nafsu yang mahu meninggalkan syurga bagi memperjuangkan kepahitan hak. Sangat sedikit.

Cikgu Pa perlu lebih menonjol dalam memberi pandangan untuk PR, sentiasa berani memberi idea kontra di dalam perbincangan jika perlu, melihat survival Ummah, Islam dan kemudian parti dengan pandangan jauh dan jangan banyak menunjukkan kontra kepada konsep dan semangat PR.

Dapatkan kepercayaan ahli dan penyokong, baharulah mendapat kepercayaan mendampingi Presiden.

8.3.10

HIKMAH DARI TUHAN


Pelbagai masalah dan ujian yang menimpa, membawa manusia sentiasa mengingati Tuhan. Baik ujian atas diri sendiri, atau pun ujian yang dilihat oleh mata, berlaku pada pihak lain.

Sejak sekian lama kita mendengar, sesuatu yang buruk berlaku, tentu berhikmah. Hikmah adalah sesuatu yang bernilai yang didatangkan sebagai pendamping kepada suatu yang berlaku, tercetus atau terjadi. Hikmah adalah barang yang elok kepada manusia. Ia mampu menenangkan. Ia dari Tuhan.

Itu kalau masalah. Kalau berkaitan ujian Tuhan, tentulah lebih banyak lagi hikmah yang tersedia. Hikmah besar dari langit.

Ujian itu pula bermacam-macam bentuk dan cara. Melihat kepada situasi politik terkini, butiran hikmah itu bertaburan di mana-mana. Untuk diri ada, untuk pihak lawan ada dan untuk semua, juga tersedia bertaburan. Marilah kita mengutipnyA, sematkan sebagai bekal di hati.

Itu baru hikmah sekitar politik. Belum dihitung lagi hikmah berselerak dalam keluarga, hikmah tersembunyi di meja-meja kerja, hikmah di kampus pengajian dan hikmah di dalam diri kita dan mereka.

Lagak manusia terhadap ujian seringkali pula pelbagai. Lantas, respon terhadap hikmah juga rencam.

Ada yang menghitung hikmah sebagai barang dagang yang dibiar berlalu pergi. Itu hak mereka, bukan aku, bentak hati si ego. Atau si jahil sebenarnya? Ada pula yang tidak cermat dalam serba-serbi kerana hanya mengharapkan hikmah di sebalik kegagalan yang kerap. Atau sebenarnya hanya mahu menunggu hikmah dengan perangai malas?

Walau apapun kita, janganlah sehingga tidak nampak langsung hikmah yang berada di sisi. Itu lagi teruk. Lupa segala hikmah. Tidak mahu mencarinya. Dah jumpa dibiarkan terabai. Dirampas orang, hanya kaku diam.

Atau tidak faham langsung maksud hikmah. Tak peduli apa orang bilang tentangnya.

Sebaliknya, jadilah seperti sang pencari kebenaran. Sang tunduk kepada Pencipta. Sang ikhlas bertindak. Mereka cukup rapat dan setia pada hikmah. Marilah kita meniru mereka. Hikmah itulah yang patut dipegang erat. Kerana hikmah itulah penenang hati, pengukuh tekad dan penyuci niat dan hasrat.

Mari kita genggamnya kuat-kuat. Hikmah dari Tuhan.

4.3.10

ASAS PR: DRP ANWAR KPD ?

Nampaknya UMNO telah memulakan pungutan hasil terhadap usaha senyapnya selama ini. Kita tidak tahupun apa yang ia lakukan. Tapi siapa yang bermoral percaya Umno tidak akan buat perilaku tidak bermoral demi menjaga kedudukan yang dikecapi sejak 50 tahun lalu. Daripada tumbang seluruh negara dan hilang segala pintu syurga dunia, lebih baiklah berhabisan satu dua bilion untuk mendekati pihak lawan agar berlembut.

Operasi 16 September yang berjaya digembar-gemburkan oleh Anwar, berjaya disempurnakan oleh Najib bermula awal tahun ini. Satu persatu ahli parlimen PKR bermasalah. Ente memulakan serangan, tapi ente tiada fulus. Ente mahu cabar sama gue. Itulah kut yang diherdik senyap-senyap oleh Najib. Nah, kini sudah terbalik. "Ente cuba menghalalkan lompat melompat, me4nggunakan fatwa ulama PAS, dan sekarang ente gagal, gue yang berjaya. Fulus Nuar, fulus!"

Hakikatnya tiada siapa tahu wang memainkan peranannya atau tidak dalam drama PKR jadi bebas ini, kecuali yang tahu. Dan yang tahu itu tak akan memberitahu yang tidak tahu. Tapi biasanya, dalam politik non-Islamik, semuanya kerana wang. Jarang-jarang sangat politik digunakan untuk politikawan menjadi negarawan atau kawasanwan. Silap-silap perhitungan, yang nampak islamik pun masih terikut-ikut rentak gelombang fulus.

Memang besar cabaran yang sedang dihadapi oleh Anwar. Sekaligus Pakatan Rakyat. Semua orang politik tahu PR kukuh dengan asbab Anwar. Nak lemahkan PR kena cantas Anwar dahulu. Lim Guan Eng dicantas di Penang dengan isu-isu remeh. Presiden PAS dicantas oleh....macam oleh blogger PR sendiri, entah ler. Tuan Guru Nik Aziz dicantas oleh media saban hari. Dan kini Anwar dicantas dengan mahkamah dan kecelaruan dalam parti isterinya sendiri.

Drama-drama selepas ini tentu lebih menarik. Tambahan pula ekonomi negara semakin pulih dan duit makin masyuk manakala songlap lebih tenang.

Setakat ini, Anwar masih belum ada formula untuk meredakan kepanasan dalam PKR. Anwar pula mungkin disuap dengan pelbagai pilihan kini. Siapa tahu?

Banyak yang perlu dipercaturkan beliau. Dirinya, parti isterinya, PR, keinginannya menjadi PM, memori silam team wawasannya dan moral perjuangannya. Dalam hal begini, saya tak fikir baik buruk PAS dan DAP menjadi percaturannya. Bukan dia tidak mahu. Dia tidak mampu.

Kita tahu di mana mahkamah kita dan Anwar tahu peritnya penjara. Jika dia kuat, kuatkah juga keluarganya. Memang besar ujian bagi seorang pemimpin hebat seperti Anwar ini. Yang kita lihat semakin lemah untuk dijadikan dahan. Faktor luaranlah yang melemah dan memenggalnya.

Maka apakah asas tunggal untuk kesatuan PR kini?