14.1.07

Pas tidak perjuangkan Islam?

No comments:

Baru-baru ini, saya terbaca tulisan dalam sebuah yahoogroup yang menuduh PAS tidak memperjuangkan Islam, malah persoalkan apakah PAS menjadikan AlQuran dan Sunnah sebagai asas perjuangan.

Berikut adalah jawapan balas saya di dalam yahoogroup tersebut untuk dikongsi bersama.


Asssalamualaikum

Sahabat!

Pas bukan diketuai oleh seorang manusia. Bukan juga seorang ulama. Malah bukan juga daripada satu aliran sahaja. Ini kerana Pas inginkan umat Islam bersatu di bawah naungannya. Salaf bersamanya, khalaf bersamanya, ahli tarekat bersamanya, selagi aqidah mereka tidak berada di luar ruang lingkup deen Islam. Ini kerana PAS ingin menjadi pengganti kepada khilafah yang hilang, menjadi wakilnya di Malaysia. Khilafah yang bukan ditumbangkan oleh salaf, atau khalaf, atau tarekat, sebaliknya sekularisme dan penentang Allah dan Rasul. Bukan Penentang Ibnu Taimiyyah atau Ibnu Hajar.

Maka, mana mungkin satu pihak menguasai pihak yang lain secara paksa, atau menguasai PAS secara rakus setelah mendakwa cara kami sahaja benar, manhaj kami sahaja diterima Allah!!!

Persoalan dikemukakan hanya menggambarkan penulis berada jauh dari lembah di mana PAS berada. Ini persoalan orang yang jahil tentang PAS atau orang yang sikapnya gopoh menghukum. Bolehkah diterima PAS tidak menjadikan al-Quran sebagai asas perjuangan, mahupun hadis dan para ulama? Adakah penulis bersikap buruk sangka terhadap berpuluh ulama PAS di dalam Majlis Syura, Dewan Ulama Pusat, Dewan Ulama Negeri dan Urusan Ulama di setiap kawasan yang melebihi 100 jumlah kawasan? Ahhh semudah itu, membawa dalil, guna tafsiran dan fahaman sendiri, memaksa semua ulama mengikut penilaiannya, kemudian "terbuktilah PAS bercanggah dengan perjuangan Islam sebenar'!!

Penulis perlu buktikan terlebih dahulu tafsiran para ulama terhadap hadis dan ayat dikemukakan. Bukan itu sahaja, singkap semua kitab para ulama muktabar, kemudian adakan muzakarah dengan ulama PAS, kemudian kemukakanlah hujahan itu. Ini kerana, penulis cuba bermain dalil dan nas, maka tempatnya bukan di dada internet, sebaliknya di dewan muzakarah.

Seterusnya, penulis perlu sedar, PAS sebuah gerakan besar, terkandung di dalamnya pelbagai manhaj. Dalam isu menegur terhadap pemimpin yang zalim, ulama seluruh dunia dan sepanjang zaman tidak pernah berijma' dengan satu cara sahaja. Sudah tentu PAS terbuka dengan semua pandangan dan semua cara. Malah setiap ahli, pemimpin boleh mengutarakan pandangan sendiri, bilakah masanya perlu berkeras, bilakah masanya perlu berlembut, bilakah perlu disembunyikan, bilakah perlu dibongkar.

Mustahil PAS berpegang kepada satu manhaj sahaja, kerana PAS bukan perjuangkan manhaj, sebaliknya Islam itu sendiri. Jika saya tidak mengamalkan doa qunut di waktu Subuh, apakah saya boleh memaksa semua ahli cawangan saya untuk tidak berqunut? Itu kerja orang yang perjuangkan hukum fiqh mazhab Hanbali, atau pandangan Ulama Saudi, atau pandangan rajih, atau apa sahaja. Tetapi itu bukan medan PAS. PAS jarang benar mahu bertelingkah dalam perkara fiqh.

Dalam soal menegur pemimpin, selain manhaj yang pelbagai, sudah pasti indikatornya juga berbeza. Apakah ulama dalam PAS perlu menghabiskan masa mengajar isu ini? Sedangkan mereka juga sudah pasti berbeza pandangan. Ada yang setuju, dan ada yang tidak.

Penulis boleh mengambil pandangan Almarhum Guru Kami Syeikh Abdul Aziz Bin Abdullah Bin Baz, tetapi bolehkah memaksa semua ulama dan ahli Pas memegang erat pandangan almarhum? Juga pandangan Guru Kami Syeikh Saleh Fauzan? Apakah siswazah yang pulang dari Timur Tengah perlu berdebat terlebih dahulu, contohnya dalam kaedah2 nasihat kepada pemimpin, barulah berjuang menegakkan Islam. Bolehkah begitu?

Isu gambar Datin Sri Rosmah, penulis perlu tahu kedudukan Harakahdaily yang menjadi lidah rasmi PAS. Bukan kerja Presiden dan Mursyidul Am atau Ketua Dewan Ulama PAS menapis semua yang disiarkan. Ia adalah di bawah tanggunjawab Ketua Pengarang. Tiada kaitan langsung dengan kedudukan PAS sebagai perjuang agama atau tidak. Lihatlah PAS seperti sebuah Negara yang besar. Jangan lihat seperti sebuah pertubuhan amar makruf nahi mungkar di sebuah universiti yang mana lidah rasminya menggambarkan segala-galanya tentang pertubuhan tadi. Saya juga kurang bersetuju perkara itu dibesarkan.

Tetapi wajarkah ia menggambarkan PAS tidak pejuang Islam?

Di dalam Harakahdaily ada iklan penjualan ubat power, apakah PAS perjuangkan kepoweran lelaki? Cth lain, bukankah ruangan kolum lidah pengarang itu medan di mana ketua pengarang itu sendiri memainkan mindanya? Maka jangan dikaitkan PAS dengan mindanya yang seorang.

Jika inginkan pendirian PAS dalam isu agama, penulis dan semua pembaca sewajibnya merujuk kepada Dewan Ulama dan Majlis Syura PAS, bukan harakahdaily atau kenyataan drp individu pemimpin. Perkara ini perlu jelas. Sesiapa sahaja boleh menyatakan ustaz sifulan ( dalam PAS ) salah, taksub, jahat, tetapi tidak PAS. PAS ada badan tertentu yang berautoriti dalam hal ini.

Dakwaan Pemuda PAS berhujah isu khalwat tanpa dalil, itu menggambarkan satu sikap sombong dan bongkak penulis sahaja.

Jika gelaran barua itu mahu dimuatkan dalam harakahdaily, apakah penaip atau ketua pengarang perlu bertanya kepada semua ulama PAS? Atau kepada Ketua dewan Ulama? Sudah tentu tidak. Maka apakah ia boleh dianggap sebagai sikap biadab PAS terhadap Dr Asri jika itu adalah hanya kerja seorang penaip atau seorang ketua pengarang? Apa yang berlaku ialah, Dr Asri pernah membuat tuduhan melulu kepada PAS keseluruhannya.

Saya pun tak setuju digunakan kalimah barua. Tetapi bukankah ia telah ditukar di dalam Harakahdaily? Mmmm lagi satu, cuba cek balik apa maksud barua. Apakah barua itu lebih teruk daripada syiah atau khawarij atau bidaah yang ditala kepada PAS?

PAS sebuah gerakan besar, bukan seperti gerakan Asriesme ( merujuk kepada tulisan Maszlee ) yang mana apa sahaja yang keluar dari mulut beliau, itulah yang dipegang oleh beliau dan pengikutnya. Maka, jika ada kenyataan keluar dari mulut seorang pemimpin PAS, itu tidak semestinya menggambarkan sikap rasmi PAS. Kuasa tertinggi PAS adalah Mukatamr Sanawi. Jika mahu perubahan besar dalam PAS, tempatnya ialah Muktamar Sanawi, bukan dada internet.


Tahlil dan Talqin bukan isu aqidah!!! Saya setuju perkara ini dibangkitkan oleh Mufti Perlis. Tafaddhal. Tapi kalau ada ahli PAS nak bantah, menganggap ia perkara remeh, takkan kami dalam PAS nak berbantah-bantah dalam hal ini, yang mana aula, yang mana tidak. Buang masa syeikh!

Saya bersetuju dalam isu kayu kokka. Tetapi jangan cepat menuduh tanpa usul periksa. Bolehkah anda menuduh orang yang jahil ilmu hadis sebagai pendusta Nabi?

Dalam isu talqin dan tahlil, pengharamannya jelas pada pengajian dan pemahaman anda/penulis. Tetapi tidak semestinya dikongsi sama oleh orang lain. Jelas sekali penulis tidak mengkaji dengan mendalam dalam hal ini. Lihatlah pandangan kedua, ketiga, keempat dan seterusnya. Lihat juga apakah mahal khilafnya. Apakah pula sababul khilafnya. Dalil semua pihak dll. Dan jangan lupa, kaji juga kaedah2 usul dan fiqh yang berbeza di kalangan mazhab empat, zahiri dan ahli hadis. Anda perlu tahu, jika kaedahnya pun berbeza, apa peliknya hukum akan berbeza. Tidak mudah memaksa orang ikut apa yang anda pelajari, jika mereka juga berdalil dan berhujah.

Saya tidak bertahlil, tetapi saya tidak pernah mengatakan tahlil itu haram. Jika penulis menyatakan ianya haram, silakan. Tetapi apakah anda boleh memaksa orang lain menerima haramnya tahlil? Jika bai' i'nah haram di sisi Imam Ahmad, apakah pengikut mazhab Syafie boleh dituduh mengamalkan benda yang haram dan berdosa besar? Kenapa Bank Islam mengamalkannya, setakat ini?

Memang benar Tuan Guru tidak mengamalkan talqin. Tetapi sikap beliau dan sikap kami tidak seperti penulis. Beza kita pada sikap menangani perkara khilaf fiqh. Tetapi kami bersatu dalam menentang bidaah dan khurafat paling besar, yang boleh merosakkan agama keseluruhannya.

Ketika kematian bekas Presiden PAS, Almarhum Ustaz Fadzil Mohd Noor, Tuan Guru menolak untuk mentalqinkannya, tetapi beliau tidak pernah bertempik, atau berbisik, atau bangun bingkas menegur ketika seorang Tuan Guru lain mentalqinkan almarhun bekas Presiden PAS. Itulah adab yang kami belajar daripada Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat. Ia khilaf fiqh syeikh. ( Hum rijal, wa nahnu rijal ) Kalau bab fiqh boleh bersatu, kenapa sampai sekarang masih wujud khilaf di kalangan ulama muktabar. Kaji lah dalam soal meletak kaki ketika sujud pun berlaku khilaf antara Bin baz dan Al Albani. Dalam bab muka wanita aurat atau tidak pun berlaku khilaf antara ulama salafi.

Akhirnya tolong senaraikan kesilapan PAS dalam persoalan aqidah dan syirik bagai yang didakwa. Jika ahli, ada kemungkinan. Yang tak sembahyang pun ada. Tetapi jika PAS, ini tuduhan melampau!!

Sahabat!!
Sekali lagi saya ingatkan, jika penulis ingin melihat PAS yang sempurna, adalah teramat mustahil. Dalam keadaan akhir zaman yang Nabi sifatkan penuh dengan kerosakan, tiba-tiba PAS mendakwa semua ahlinya berjaya ditarbiah, itu kenyataan orang yang bongkak dan sombong. PAS tidak pernah mendakwa itu.

Malah, PAS adalah parti untuk sesiapa sahaja, golongan liberal boleh masuk, golongan penyanyi boleh masuk, golongan tak sembahyang boleh masuk, maka sepatutnya golongan agama semuanya bersama PAS. Anda semua menyalahkan PAS kerana tidak beradab, tidak berakhlak, manhaj yang salah, tetapi anda semua berada di luar PAS, maka berlakulah kepimpinan dikuasai oleh golongan yang tidak seperti anda, di peringkat tertentu dan tempat tertentu. Maka wajarkah PAS dibiar begitu.

Yakinlah, PAS milik semua pencinta agama. Berjuang di luar PAS bermakna anda melakukan sesuatu menyedihkan pimpinan PAS. Seringkali sahabat-sahabat salafi menyebut2 perihal pimpinan PAS yang salafi, tetapi kenapa sahabat2 tidak mahu bersama PAS? Apakah salafi pimpinan PAS tidak sama dengan salafi Asri?

Cuba lihat, salafi pun ada banyak ragam, cara dan jenis, apatah lagi jika dikira sekali yang bukan salafi. Yang semuanya Ummah Muhammad saw.

Dan perlu diingatkan sekali lagi, tuduhan melulu PAS adalah syiah, sangat menyakitkan hati-hati sekelompok ahli PAS yang dah lama salafi dan masih salafi. Tuduhan melulu PAS adalah khawarij, adalah seperti menyatakan bahawa Tuan Guru Abdul Hadi Awang yang diakui sendiri oleh Pihak salafi sebagai salafi, merupakan bapa khawarij Malaysia .

Bagi sahabat2 yang baru menerima manhaj salafi, jangan sangka salafi itu adalah semuanya seperti yang anda terima dan sangka. Tambahan pula jika anda baru menerimanya setahun dua ini, di Malaysia pula.

Jika ada yang tersalah, mohon maaf, dan harap dibetulkan.

Wallahu a'lam.

( Ini bukan jawapan rasmi PAS )


elbaritii

11.1.07

Kasih sayang dalam ukhuwwah

No comments:

Aku cinta padamu, I love u, uhibbukki, wo ai ni, aishiteru' adalah antara ungkapan yang popular pada bangsa masing-masing dalam meluahkan isi hati. Setiap insan yang waras dan berkesempatan, sudah pasti pernah mengekspresikannya.

Ia adalah susunan kalimah yang boleh digunakan daripada pelbagai sudut perspektif dan kepada pelbagai bentuk diri manusia. Ia kalimah agung, menurut sesetengah golongan, khususnya pemuzik.

Itulah hebatnya lafaz cinta. Lafaz yang mampu membuai diri manusia. Rela berkorban. Sanggup merenangi lautan dalam. Sanggup bersusah payah untuk mendapatkan sayang seseorang.

Akan tetapi, hakikat sebenar sebuah percintaan/kasih sayang ialah apabila ia diletakkan pada tempat yang terbaik dan mulia. Situasi yang menghubungkan antara pihak di langit dengan pihak di bumi. Antara dekat dan jauh. Berpaksikan kalimah suci tahlil, tiada Tuhan selain Allah.

Sesungguhnya cinta adalah emosi dan perasaan yang paling halus bagi manusia. Jika ia diarahkan kepada cinta kerana Allah, maka ia merupakan paksi terbaik dalam hubungan kemanusiaan. Lantas terungkaplah "kalimah uhibbuka fillah", "ana akhukum fillah".

Namun, itulah manusia, ramai yang menggunakannya di tempat yang salah. Atau keterlaluan pada keadaan yang tidak sewajarnya begitu. Manusia itu mungkin kita, mungkin sesiapa sahaja. Tidak bersedia untuk cinta kerana Pencipta. Berkasih sayang kerana yang Esa. Boleh jadi kerana ia tidak memuaskan nafsu yang terpendam di dada.

Sekiranya berjaya dilakukan maka ia akan menghasilkan natijah yang tersangat indah untuk kehidupan umat ini. Manusia berkasih sayang kerana Allah. Bersahabat atas dasar perjuangan yang hakiki. Susah payah diharungi bersama. Pemimpin dan ahli bertungkus-lumus untuk keredhaan Allah melalui hubungan kasih sayang sesama mereka. Itulah indahnya Islam, bila ianya dihayati dan dilakukan.

Terdapat dalil yang banyak bagi mengesahkan perkara ini, serta menjelaskan kedudukan cinta dan kasih sayang agung ini. Antaranya:

Daripada Umar Al Khatab r.a. Bahawasanya Rasulullah saw bersabda:
"Sesungguhnya di kalangan hamba-hamba Allah terdapat satu golongan yang bukan para nabi dan juga bukan para syuhada' akan tetapi dicemburui oleh para nabi dan syuhada' terhadap kedudukan mereka di sisi Allah pada hari kiamat kelak. Sahabat bertanya: Wahai Rasulullah, beritahulah kami siapakah mereka? Jawab baginda: Mereka adalah golongan yang berkasih sayang dengan semangat cintakan Allah dan bukan kerana tali persaudaraan, atau harta benda. Demi Allah, sesungguhnya wajah-wajah mereka bercahaya. Dan mereka berada di atas cahaya. Mereka tidak takut ketika manusia lain berasa takut. Mereka juga tidak sedih ketika manusia lain berasa sedih".


Kemudian Rasulullah membaca ayat ini :



"ألا إن أولياء الله لا خوف عليهم ولا هم يحزنون"

"Sesungguhnya wali-wali Allah itu tiada ketakutan dan tidak berasa sedih". Diriwayat oleh Abu Daud.

Rasulullah juga bersabda dalam satu hadis lain :

"Sesungguhnya Allah berfirman pada hari kiamat : Dimanakah golongan yang berkasih sayang kerana kemuliaanKu? Pada hari ini Aku payungi mereka di bawah payunganku pada hari yang tiada perlindungan kecuali dari Aku". Hadis riwayat Muslim.

Sesungguhnya hubungan persaudaraan ( ukhuwwah ) kerana Allah itu tidak akan terputus di dunia ini, bahkan ia berterusan sehingga ke hari akhirat. Allah berfirman di dalam surah al-Zukhruf yang bermaksud:

"Teman-teman rapat pada hari itu ( kiamat ) menjadi musuh antara satu sama lain kecuali orang-orang yang bertakwa".

Hanya orang bertakwa, yang bersaudara kerana Allah, dan bercinta keranaNya, persaudaraan dan kasih sayangnya itu mampu menghantarnya ke syurga firdaus yang abadi. Tidak perlu merenangi lautan api, Allah pasti memudahkan urusannya sehingga ke hari perhitungan nanti.

Itulah hebatnya rasa sayang dan cinta sesama manusia yang bersandarkan kepada kehendak Allah. Cinta yang menyatukan manusia sehingga ke alam seterusnya. Marilah kita berkasih sayang dalam kehidupan ini. Kasih sayang yang membawa ke syurga.

( Dipinda pada 11/1/07 )

8.1.07

Hadapan Sunway Piramid

No comments:
Dua mujahid Puchong Utama beraksi sama.


Semua golongan rakyat, Melayu, Cina, India dan bangsa asing yang lain. Liputan meluas juga diberikan oleh media termasuk Reuters.


LDP pilih kasih

No comments:

Hari Natal dan Tahun Baru sahaja? LDP sudah lupa orang Islam yang membayar tol di Puchong dan Sunway? Bolehkah dianggap tidak menjaga sensitiviti masyarakat Muslim?

6.1.07

5.1.07

Azam Baru : Wasiat 7

No comments:
Apabila memasuki tahun baru, kebiasaannya seseorang itu berasa segar badannya dan jiwa pula bersemangat. Minda juga berlegar-legar merancang sesuatu. Mencari halatuju.

Ramai yang berazam untuk memperbaiki kelemahan sepanjang tahun sebelumnya. Cuba atasi kelemahan diri dan keluarga. Wang yang kurang, cuba ditambah. Rumah yang kecil, jika boleh diluaskan, akan diluaskan. Muka yang semakin berkedut, sambil menghitung usia, cuba-cuba ditutupi dengan pelbagai kaedah. Moden mahupun tradisional.

Tetapi semua tahu bahawa di awal tahun hanya ketika dan saatnya untuk berazam. Lakukannya, mungkin sebulan selepas itu, di pertengahan tahun, atau tertangguh pada tahun berikutnya. Biasalah, kita manusia.

Tahun ini lain pula ceritanya. Di samping berazam, ramai yang menghitung-hitung kemampuan kewangan keluarga untuk berhadapan kenaikan tol ( LDP- warga Puchong ) yang akan dilalui setiap kali pergi dan pulang kerja. Apakah minyak juga akan turut naik untuk kali ke berapa, entah lah. Gaji, harap naik, berharap tidak.

Saya fikir, ramai juga yang tidak terkesan dengan kenaikan tol ini. Kebiasaannya pergi balik RM2. ditambah RM1.20 pergi balik, baru setakat RM3.20. Jika didarab dengan 30 hari, baru RM96.

Tetapi, tidak bagi warga biasa yang keluar pagi balik tengah malam, keluar bersemangat, pulang keletihan dan kehampaan. Masih ramai di kalangan kita duit pendapatan akan habis pada tanggal 10hb setiap bulan, mungkin lebih awal. Apakah azam mereka yang begini pada awal tahun ini?

Di sini, saya cuba mengajak semua pembaca merenung tujuh wasiat Nabi Muhammad saw kepada Abu Zar yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad, dan dinaqal oleh Imam Ibnu Kathir ke dalam kitabnya, Tafsir Ibnu Kathir, ketika mentafsirkan ayat ke-56 daripada surah Al-Maidah.

Mungkin ia boleh menjadi landasan keazaman untuk kita semua bagi berhadapan semua cabaran yang bakal ditempoh pada tahun 2007 ini. Terutama membantu sahabat-sahabat dan jiran yang masih dikira susah dan miskin. Lakukan apa sahaja, termasuk bersama-sama membantah dan menentang segala bentuk kezaliman terhadap golongan yang miskin dan tertindas ini. Mulakan segera, seawal 7 Januari ini, insyaAllah kita diberkati Allah.

" Daripada Abdullah bin As Shomit, daripada Abi Zar, beliau berkata : Kekasihku ( Muhammad ) saw mengarahkan aku dengan 7 perkara:

1.Menyuruh aku menyayangi golongan miskin dan mendekati mereka

2.Menyuruh aku melihat orang yang lebih rendah daripada aku, dan tidak melihat orang yang berada di atas aku

3.Menyuruh aku menyambung silaturrahim, walau aku ditinggalkan

4.Menyuruh aku tidak meminta-minta sesuatu daripada sesiapapun

5.Menyuruh aku menyebut kebenaran walaupun pahit

6.Menyuruh aku tidak takut kepada celaan pencela ( manusia yang menentang Islam ) untuk melaksanakan agama Allah

7.Dan menyuruh aku memperbanyakkan sebutan "LA HAULA WALA QUWWATA ILLA BILLAH", sesunggahnya kalimah itu berasal daripada khazanah di bawah Arash."

Semoga tahun ini lebih baik untuk kita semua. Mudahan diperkenankan...

3.1.07

Pusat Asuhan Tunas Islam

No comments:
Kullu aamin wa antum bikhair...

Saya tujukan kepada semua pembaca, semua ahli, dan anak-anak Pasti seluruh Puchong. Esok merupakan hari pertama persekolahan Pasti seluruh Selangor.

Tahniah kepada anak-anak semua, kerana telah memilih pusat didikan kanak-kanak yang menekankan soal agama/akhirat mengatasi segalanya. Lebih tepat, tahniah buat ibu-bapa yang yakin dengan Pasti dan perjuangannya.

Tidak lupa juga syabas kepada guru-guru yang sanggup berkorban untuk mendidik anak-anak orang lain ( di samping anak sendiri ) tentang agama. Ketika kanak-kanak lain berbicara tentang bulan, mereka dibicarakan soal hati, soal akhlak, soal iman, soal Islam, soal Allah, soal Nabi dan juga soal dunia yang dipinjamkan ini.

Siapakah yang lebih baik daripada orang yang mengajar agama kepada manusia? Sekali lagi syabas kepada semua yang terlibat dengan Pasti di seluruh Puchong. Tahniah buat Puchong Intan yang baru menapak dengan Pasti An-Nur mereka.

Bagi ahli-ahli yang belum bersedia menghantar anak-anak ke Pasti, jangan ragu lagi. Walaupun anda bercita-cita inginkan anak itu membesar sebagai doktor, peguam, guru bahasa Inggeris misalnya, Pasti dengan kurikulum dan ko-kurikulumnya tidak menjadi penghalang.

Kanak-kanak seusia pelajar Pasti belum terlambat lagi jika pada usia itu, tidak didedahkan dengan bahasa Inggeris dan akademik lain secara begitu tinggi dan padat, namun mereka akan berjalan tempang sekiranya terabai daripada pendidikan agama, walaupun pada tahap asas yang sangat mudah.

Moga Pasti terus gemilang.

Peranan Seorang Ayah

No comments:

Setiap kali memasuki musim haji, saya pasti akan beremosi mengenangkan pemergian seorang lelaki yang penuh berjasa kepada diri saya dan keluarga. Berjasanya dalam membesarkan anak-anak, mendidik sehingga menjadi manusia, dan berjaya. Juga berjasa terhadap isterinya, seorang ibu yang masih lagi gigih beribadah. Itulah hebatnya seorang yang bergelar ayah. Bagi saya, saya bangga memiliki ayah seperti itu. Ayahanda Mohamed bin Lebai Yusuf rahimahullah wa a'aafahu.

Ayah, dipertanggung jawabkan untuk mendidik anak-anaknya menjadi manusia berguna. Nabi mengajar kita dengan kenyataannya, " sebaik-baik manusia adalah yang banyak memberi manfaat kepada manusia lain." Bagi diri kita, siapakah yang paling berguna dan berjasa selain seorang ayah? Bukan menafikan peranan ibu, tetapi biarlah di sini, ketika ini, saya membicarakan seseorang yang berstatus ayah dahulu.

Ayah dianggap terbaik jika berjaya menjadikan anaknya boleh digunakan oleh manusia dan agama. Mendidik anak jantan untuk menjadi pejuang di siang hari, pendeta di malamnya. Membentuk anak gadis sebagai muslimah yang memegang erat amanah diri, keluarga, suami dan agama.

Maka, mudahkah menjadi seorang ayah? Persoalan yang tidak mampu saya jawab dengan terperinci. Tapi saya yakin, ia sememangnya sukar dan payah. Lantaran itulah, Allah Taala telah mengingatkan golongan beriman dengan fitnah memiliki anak yang boleh melumpuhkan sebuah keluarga dan sebuah perjuangan sekaligus.

Keluarga lumpuh jika anak-anak terabai dengan kesibukan kerja, malah kerencaman tugas dakwah yang dipikul, tetapi salah pembawaannya. Lebih menggerunkan apabila lumpuh dan runtuhnya sebuah perjuangan hanya kerana terleka membelai anak-anak di atas sofa ruang tamu, menonton bersama-sama perjuangan dua ekor binatang bergelar Tom & Jerry misalnya. Atau leka "menghidupkan" anak-anak dengan makan, minum, pakai, main dan rengekannya, sehingga cahaya perjuangan yang malap, semakin malap tanpa disedari. Maksud saya, perjuangan menegakkan Islam di mana-mana.

Seorang sahabat pernah melontar pandangan, tidak sedikit anak remaja yang rosak akhlaknya adalah, anak-anak kepada golongan ustaz! Aduh, memang menakutkan. Tetapi ada benarnya. Bagi golongan ustaz, jangan lupa bahawa anak-anak di rumah juga adalah golongan sasaran dalam berdakwah. Jangan dibiarkan tanpa bimbingan dan tunjuk ajar. Oleh sebab itulah, Allah mengingatkan bahawa anak itu adalah fitnah, iaitu ujian. Bukan fitnah dengan makna ia menghalang urusan dakwah, maka dibiarkan begitu sahaja asal kerja dakwah berjalan lancar. Fitnahnya ialah, jangan terabai anak itu dengan urusan lain, sehingga terencat agamanya, dan jangan ditatang begitu rupa seolah-olah itulah matlamat perjuangan hidupnya. Lupa agama dan umat Islam.

Memang sukar menjadi seorang ayah. Bagi kita yang telah berjaya menjadi manusia berguna, ingatlah, selepas rahmat Allah Taala, itulah hasil tangan seorang yang bergelar ayah. Bagi yang belum bergelar ayah, mungkin hikmahnya di sebalik ujian Allah itu, keringanan daripada satu bebanan yang terlalu berat untuk dipikul.

Alhamdulillah, saya pernah memiliki seorang ayah yang cukup istimewa, sebelum beliau kembali menyaksikan janji-janji Allah terhadapnya. Dan, suatu masa dahulu, saya pernah ketakutan kalau-kalau gagal mendidik anak-anak berlandaskan agama.

1.1.07

Bukan Kelantan Baru

No comments:
Seperti yang saya janjikan sebelum ini, berikut adalah tulisan Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, seorang ulama politikus yang mahir memainkan mata pena beradunkan sumber al Quran dan as Sunnah dengan ketajaman akal fikirnya membaca realiti masyarakat Malaysia dan dunia. Baca dan renunglah tulisan di bawah ini:-

"Alhamdulillah. Dari jauh, saya mengikuti perkembangan di sekitar Konvensyen Kebebasan Beragama Dan Isu Murtad di UIA pada 29 November 2006 dengan penuh tekun dan minat. Apa yang disebut oleh Mufti Perak, Mufti Negeri Sembilan dan Ketua Hakim Syarie serta dua orang Pensyarah Undang-Undang dalam Konvensyen itu cukup saya kagumi.

Jika Dato’ Seri Harussani menekankan tentang pentingnya penggunaan kaedah psikologi untuk menangani orang yang murtad ini dimana mereka diberi tempoh 3 hari untuk bertaubat sebelum Hukum Had dilaksanakan, Dr Zulkifli Muda pula melihat fenomena murtad ini berpunca dari kegagalan umat Islam untuk menghayati Islam, selain daripada ibu bapa dan “pihak berkuasa” yang tidak mentadbir dan mengurus sistem Islam sepenuhnya. (Lihat Berita Harian 30 November 2006).

Jauh daripada bersifat sombong, sebenarnya sebarang jawapan kepada isu murtad pada asasnya terletak di bahu pemerintah. Selama ini, siapa yang diberi mandat untuk memerintah umat Islam dan non-Islam kalau tidak mereka dari jemaah Umno. Umno sudah berkuasa sejak hari pertama kita merdeka.

Yakinkan Hukum Had yang dianugerahkan oleh Allah SWT itu sebagai salah satu instrumen yang diwajibkan pelaksanaannya oleh Allahlah dan melihatkan Umno tidak berminat untuk melaksanakannya, maka Kerajaan Negeri Kelantan yang diberi amanah telah memikul tanggungjawab ini.

Kami bertungkus lumus berikhtiar untuk menderaf, membentang, membahas dan meluluskan sebuah Enakmen Undang-Undang Kanun Jenayah Syariah (II) sejak tahun 1993 lagi.
Malangnya, jauh dari dihargai, kami pula telah diherdik dan dihalang oleh sepucuk surat bertarikh 15 Julai 1994. Ia surat keras dari bekas Presiden Umno yang juga bekas Perdana Menteri Malaysia di ketika itu. Bunyi surat ini cukup tegas.

Ugutannya adalah : “Jika PAS cuba juga untuk menguatkuasakan undang-undang yang diciptanya yang sudah jelas bercanggah dengan prinsip keadilan dalam Islam, maka Kerajaan Pusat akan mengambil tindakan yang sewajarnya terhadap Kerajaan PAS.”

Setelah diancam dan kini sesudah 14 tahun, dan setelah kira-kira 250,000 umat Islam sedang tekun beratur untuk murtad; barulah timbul semula kesedaran kepada Hudud sebagai penyelesaian. Ini bermakna Kerajaan Negeri Kelantan yang mengguna asas Islam sebagai dasar telah 14 tahun berada di hadapan.

Sekaligus, ini membuktikan bahawa Islam itu sentiasa relevan. Perjuangan dan pemerintahan yang diasaskan kepada faham kebangsaan bawaan Umno ini sebenarnya telah membawa rakyat ke jalan mati yang penuh kekeliruan dan porak peranda.
Firman Allah (mafhumnya) :
“Dan mengapa kamu tidak beriman kepada Allah padahal Rasul menyeru kamu supaya kamu beriman kepada Tuhanmu. Dan sesungguhnya Dia telah mengambil perjanjianmu jika kamu adalah orang-orang yang beriman. Dialah yang menurunkan kepada hambaNya ayat-ayat yang terang (Al-Quran) supaya Dia mengeluarkan kamu dari kegelapan kepada cahaya. Dan sesungguhnya Allah benar-benar Maha Penyantun lagi Maha Penyayang terhadapmu.” (Surah al-Hadiid, ayat 8 dan 9).

Sesungguhnya pengaruh kerajaan cukup besar terhadap rakyat. Jika murid meniru guru dan anak-anak diasuh oleh ibu bapa, maka rakyat pula akan terikut-ikut dengan bawaan dasar-dasar dan program-program yang diacuankan oleh pemerintah.
Umno/BN yang terus memerintah Malaysia tentu bertanggungjawab secara langsung ke atas bala fenonema murtad yang sedang menimpa umat terkini.

Entahlah. Saya lihat, rakyat seolah-olah sudah tiada tempat rujukan dan panduan. Kerajaan sudah gagal memberikan isyarat dan pedoman yang jelas. Lampu merah dan hijaunya sudah tidak lagi berfungsi dan tidak memberi apa-apa makna kepada sistem hidup rakyat jelata.
Dalam kehidupan seharian, rakyat sudah tidak dipimpin lagi untuk mengenali kaedah-kaedah halal, haram, sunat, makruh dan harus. Celik-celik mata, setiap pagi rakyat didorong untuk mengejar dunia tanpa disebut halal haram.

World class lah. Wawasan 2020 lah glokallah dan entah apa-apa lagi.
Semuanya bertolak dari dunia, demi dunia, untuk dunia dan keranamu wahai Malaysia. Lihat sahajalah Perhimpunan Agung Umno baru-baru ini. Ia bagaikan sebuah pesta memuji pemimpin.

Seolah-olah semua orang diwajibkan mengusulkan ketaat setiaan yang tidak berbelah bahagi kepada Presidennya. Jika berkata sesuatu yang berlainan seperti ucapan Presiden dan sekadar tidak berkualiti, maka siaplah.

Dalam konteks murtad ini, mustahil sistem pemerintahan sekular yang memisahkan agama dan pemerintahan tidak ada kena mengena dengan kelahiran generasi yang semakin tipis keimanannya di Malaysia. Mustahil!

Bolehkah subur iman rakyat dalam keadaan haramnya semua pemimpin untuk menyentuh soal pahala dan dosa, khususnya di musim pilihan raya?
Bagaimana iman boleh subur apabila pemimpin sendiri dilihat sanggup menipu, mengkhianati duit golongan fakir miskin dalam PPRT, berjudi sehingga kalah hampir 10 juta atau membina kediaman mirip istana berharga berjuta-juta dan berbagai-bagai lagi di tengah-tengah bangsal-bangsal buruk rakyat yang papa kedana.

Berita menyentuh rasuah yang melibatkan bekas Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kangar yang dihukum penjara 11 tahun, misalnya tidak ada beza sangat dengan beberapa amalan rasuah yang menimpa bekas Presiden Umno sendiri di Kubang Pasu yang melibatkan pengagihan RM200.00 setiap sampul.

Apa yang nak dihairankan apabila bekas Naib Presiden Umno sendiri pernah dituduh mengandar wang tunai sampai berjuta ringgit ke Australia (dan sedang naik pula sekarang ini). Ada seorang lagi bekas Naib Presiden/merangkap Bekas Menteri Wilayah Persekutuan yang dituduh rasuah dan digugurkan jawatannya sejurus selepas pemilihan Umno dalam Perhimpunan Agung kira-kira 3 tahun lalu.

Hakikat tergelincir lagi kita dalam Indek Rasuah Antarabangsa ke tempat 44 membuktikan betapa penyelesaian secara Umno yang menggunakan kaedah kebangsaan sedang sesat dan tidak menemui jalan. Itu belum lagi disebut rompakan di Bayan Lepas, baling anak yang belum dipotong tali pusat dari tingkat atas rumah flat, bunuh dan bom isteri (?) seorang warga Mongolia dan memaksa 3 anak meneguk clorox sehingga mati di Kuala Lumpur.

Pendek kata, pihak yang sedang memandu negara kita ini telah lama membuang brek taqwa. Umnolah tukangnya. Apabila kerajaan sudah tidak ada brek, yang ada hanyalah pedal minyak.
Maka, kereta yang dipandu nafsu oleh kerajaan dan ditiru oleh rakyat ini sedang merempuh segala-galanya. Marilah kita sama-sama tenangkan diri dan cuba kita perhatikan dengan lebih serius apa yang telah, sedang dan akan dilakukan oleh pemimpin Umno ke atas agama dan masa depan bangsa kita.

Jika benar-benar kita kasihkan agama dan masa depan bangsa dan negara, maka mari kita sama-sama memikirkan alternatif kepada kerajaan. Sistem pemerintahan yang ada di Malaysia benar-benar memerlukan sebuah pemulihan yang menyeluruh.

Dalam keadaan kepimpinan Umno yang semakin lemah dan tidak berhaluan ini, Malaysia sudah sangat memerlukan seorang nakhoda baru yang berasaskan iman dengan Allah dan Hari Akhirat, berilmu, bertaqwa, cerdas dan cergas.

Takwa ini pula bukan hanya perkataan tetapi ia adalah ikrar yang terpaku di hati dan disaksikan dengan amal amalan. Demikian juga dengan dakwah. Tidak cukup dengan bercadang untuk mencari Al-Ghazali tetapi melupainya dalam setiap amalan pemerintahannya.
Firman Allah (mafhumnya) :
“Mengapa kamu suruh orang lain (mengerjakan) kebajikan, sedang kamu melupakan diri (kewajipan)mu sendiri, padahal kamu membaca Al Kitab (Taurat)? Maka tidakkah kamu berfikir?.” (Surah al-Baqarah: Ayat 44)

Saya sekarang sudah tidak lagi memikirkan soal Kelantan yang Baru seperti setengah-setengah orang yang gemar berkhayal. Yang kita sedang fikirkan ialah sebuah Malaysia yang serba baru, dipimpin oleh sebuah Jemaah bernama PAS dan BA yang serba segar.
Firman Allah (mafhumnya) :
“Dialah yang mengutus kepada kaum yang buta huruf seorang Rasul diantara mereka, yang membacakan ayat-ayatNya kepada mereka, mensucikan mereka dan mengajarkan kepada mereka Kitab dan Hikmah (As-sunnah). Dan sesungguhnya mereka sebelumnya benar-benar dalam kesesatan yang nyata. Dan juga kepada kaum yang lain dari mereka yang belum berhubungan dengan mereka. Dan Dialah Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.” (Surah al-Jumu’ah, ayat 2 dan 3). - mr

(Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat adalah Mursyidul Am PAS dan Menteri Besar Kelantan, rencana ini disiarkan dalam Harakah edisi 1325 - Editor)"

Jazakallahu khairan katsiran...Tuan Guru.

Perutusan Aidil Adha

No comments:
Assalamualaikum wrt wbt.

Setelah lama saya membuka blog ini, masih lagi belum berjaya menulis artikel untuk dimuatkan dalamnya. Buntu untuk menulis, lantaran begitu banyak isu dan peristiwa yang berlaku, sehingga sukar memberi fokus. Akhirnya, saya mengambil kesempatan terhadap perutusan Presiden PAS sempena Aidil Adha ini, untuk dimuatkan di sini. Kemudian saya akan memilih satu daripada banyak artikel Mursyidul Am PAS yang tersiar di Harakahdaily.net untuk mengisi ruang blog elbaritii yang masih baru dan mentah ini. Moga-moga ia menjadi permulaan terbaik bagi blog ini untuk terus menyumbang. Doakan saya dan blog ini. Terima kasih kepada semua pelawat dan pembaca. Wassalam.



PERUTUSAN AIDIL ADHA PRESIDEN PAS, 31 DISEMBER 2006.

" Bagi pihak Parti Islam Se-Malaysia (PAS), saya mengucapkan Selamat Aidiladha kepada seluruh umat Islam supaya kita menghidupkan hari yang mulia ini dengan membangkitkan semula semangat, bersedia untuk berkorban segala nikmat yang diberikan oleh Allah SWT, mengambil contoh daripada Nabi Ibrahim a.s. yang menjadi contoh dan teladan kepada seluruh umat Islam.

Firman Allah Taala yang bermaksud: "Dan sesiapa yang tidak suka kepada ajaran agama yang dibawa oleh Nabi Ibrahim, dia adalah orang yang membodohkan dirinya sendiri, kerana sesungguhnya Tuhan memilihnya di dunia ini (menjadi nabi dan rasul) dan di akhirat nanti dia termasuk di kalangan orang-orang yang salih (yang mendapat martabat yang tinggi di sisi Allah). Ingatlah apabila Tuhan berfirman kepada Ibrahim: Serahlah diri kamu (yakni Islam), Ibrahim menjawab: Saya Islam, menyerah diri kepada Allah Tuhan semesta alam. Ibrahim memberi wasiat kepada anak-anaknya, begitu juga Nabi Yaakub (memberi wasiat yang sama): Wahai anak-anakku, sesungguhnya Allah memilih kamu satu agama iaitulah agama Islam, maka janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan kamu menjadi orang-orang Islam yang sebenar." (Surah al-Baqarah: 130-132)

Apakah Islam yang sebenar yang dianut oleh Nabi Ibrahim a.s.? Iaitulah Islam yang berasaskan akidah tauhid, mengesakan Allah pada zat-Nya, sifat-Nya, hukum syariat-Nya dan segala perkara yang menjadi hak istimewa bagi Allah SWT dan menolak sebarang bentuk syirik, menyengutukan Allah dengan sesuatu yang lain pada perkara-perkara yang menjadi hak istimewa bagi Allah SWT dalam perkara ibadat, termasuk juga dalam perkara cara hidup yang diwajibkan mengabdikan diri kepada syariat Allah SWT sama ada cara ibadat, sunat, wajib, diri dan harta benda termasuklah juga cara hidup yang berkait dengan individu, yang berkait dengan makanan, pakaian, pergaulan.

Cara hidup yang berkait dengan keluarga, masyarakat dan negara, politik, ekonomi, pendidikan dan lain-lain mestilah berlandaskan syariat Allah SWT, tidak melakukan syirik dengan menerima cara hidup berlandaskan syariat dan hukum- hakam ciptaan manusia yang dinamakan ideologi, teori dan sebagainya kerana Allah SWT meluaskan perkara ini dengan firman-Nya yang bermaksud: "Adakah mereka itu mempunyai sekutu-sekutu yang lain daripada Allah Taala yang mengadakan hukum syariat dalam perkara yang tidak diizinkan oleh Allah Taala." (Surah asy-Syura: 21)

Dalam perkara tauhid, menentang syirik ini, kita memerlukan islah dan tajdid, memerlukan pembaharuan kerana berlakunya perubahan masa dan keadaan. Perkara ini dijelaskan dalam sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: "Perbaharulah iman kamu. Lalu para sahabat bertanya: Wahai Rasulullah, bagaimanakah kami memperbaharukan iman kami? Sabda Rasulullah s.a.w.: Perbaharulah iman kamu dengan lailahaillallah."

Dengan makna menegakkan tauhid dalam semua perkara, dalam ibadat dan seluruh cara hidup yang luas sebagaimana yang disebutkan tadi, mestilah berlandaskan kepada ajaran Allah SWT dan menolak segala bentuk syirik, yang lain daripada Allah SWT. Di mana kefahaman tauhid dan menolak syirik memerlukan pembaharuan. Pembaharuan supaya umat Islam sentiasa memahami bagaimana Islam adalah sesuai di sepanjang zaman. Islam boleh menghadapi perubahan masa dan tempat yang berlaku sepanjang kehidupan manusia.

Di sana ada perkara yang qat’iyat dan disebut dengan sawabit, yang tetap yang tidak berubah dalam perkara rukun- rukun ini, dalam perkara prinsip akidah, dalam perkara halal dan haram, dalam perkara yang diputuskan yang tidak berubah dalam kehidupan manusia. Dan di sana ada perkara yang disebut dengan mutaghayirat, yang berubah mengikut keadaan dan masa seperti cara bermesyuarat, cara mempertahankan umat dan negara, cara memberi penyampaian dan kefahaman kepada manusia di mana cara ini berlaku perubahan dalam kehidupan manusia. Agama membenarkan kita melakukan perubahan.

Apa yang menjadi masalah pada hari ini berlakunya syirik, menyengutukan Allah dalam perkara yang terang-terang dan nyata, yang dinaskan oleh Allah, mengadakan hukum sendiri dalam perkara yang tidak diizin oleh Allah dan hilangnya semangat keyakinan kepada Allah SWT sehingga menjadi pergantungan kepada wang ringgit, harta benda, pangkat dan kedudukan, mengatasi keyakinan kepada Allah Taala.

Maka di sini menunjukkan adanya berhala baru yang dipuja oleh manusia di zaman kini iaitulah wang ringgit, bantuan kewangan dengan berbagai-bagai nama yang boleh merosakkan iman dan keyakinan seseorang kepada syariat Allah SWT, sanggup meninggalkan syariat kerana mengejar kewangan, kemewahan dan kesenangan dunia.

Kita perlu menyedari musuh-musuh Islam membiayai penentangan terhadap Islam melalui kewangan, melalui Bank Dunia, Tabung Kewangan Antarabangsa dan berbagai-bagai agensi, gerakan-gerakan zionis antarabangsa yang menyumbang kewangan bagi menyesatkan umat Islam supaya menjadi murtad sama ada meninggalkan agama secara total ataupun meninggalkan syariat Allah secara sedikit demi sedikit, sebagaimana yang diberi amaran oleh Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: "Kamu akan terikut-ikut dengan perjalanan ajaran orang-orang yang terdahulu daripada kamu sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta, sedikit demi sedikit sehingga mereka masuk ke dalam lubang biawak, kamu akan ikut masuk sama. Lalu para sahabat bertanya: Adakah mereka itu Yahudi dan Kristian, ya Rasulullah? Jawab Rasulullah s.a.w.: Maka siapakah?"

Inilah kefahaman yang perlu disampaikan kepada umat Islam terutama pada hari raya yang mulia, ketika kita menghadapi tokoh nabi-nabi dan rasul-rasul, Nabi Ibrahim a.s. yang menentang syirik dan menegakkan tauhid di mana seluruh umat Islam merayakan hari ini di samping jemaah haji yang berhimpun di Mekah.

Sebaik sahaja mereka memakai ihram, mereka bertalbiah menyahut seruan Allah yang bermaksud: "Ya wahai Tuhan, ya wahai Tuhan, tiada sekutu bagi-Mu. Ya wahai Tuhanku, sesungguhnya segala kepujian, segala nikmat menjadi milik-Mu, begitu juga pemerintahan menjadi milik-Mu, ya wahai Tuhan".

Mudah-mudahan dengan sepatah dua ucapan memberi pengajaran kepada kita.

Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang

Terima kasih Tuan Guru.