Ketika saya menulis lembaran ini, saya lihat Datuk Seri berada di Kampar bagi mengikuti Pelancaran Pelan Tindakan Desa oleh Perdana Menteri Malaysia. Syabas atas kesungguhan ini.
Datuk Seri, izinkan saya membahasakan Datuk Seri dengan panggilan Tuan Haji. Ia lebih mesra dan lebih dekat dengan saya.
Tuan Haji,
Mudah-mudahan Tuan Haji berada dalam keadaan yang baik dan dirahmati Allah. Lembaran saya ini membawa mesej cinta dan kasih sayang. Bukan benci, bukan duniawi dan bukan pecah-belah. Saya tidak ke situ.
Pada permulaan lembaran ini, saya berhajat membawa Tuan Haji menjejaki sepintas lalu kisah-kisah silam tentang cinta. Bermula dengan cinta Adam kepada Hawa bermula daripada Cinta Allah kepada Adam. Cinta Qabil yang terlarang menempah kemurkaan Ilahi. Cinta Nuh kepada umat melebihi isteri yang tergelincir. Cinta Ibrahim kepada Tuhannya memikul ujian besar sebuah pengorbanan. Cinta Muhammad saw kepada umatnya membawa kepada husnul khatimah. Terpancarlah di bibir baginda umatku dan umatku.
Ya Allah. Tuan Haji, memang kisah-kisah cinta ini membawa sejuta pengajaran kepada kita erti kasih sayang hakiki dan kasih sayang terlarang.
Maka, begitulah jua kita diuji dan dipuji. Diuji dengan cinta fatamorgana dan dipuji dengan cinta realiti. Sebagai manusia, kita diuji cinta dalam hidup, dalam kerjaya, dalam kuasa, dalam keluarga dan dalam duit. Kita dipuji Allah, dipuji seluruh anggota alam, dengan cinta yang suci lagi hakiki. Uji dan puji ini datang dengan seribu hikmah. Marilah kita menggalinya.
Tuan Haji,
Ingatkah lagi cinta hakiki bagai yang digarap Imam Hasan al-Banna? Bagai yang dicatat al-Syahid Syed Qutb? Bagai yang dipaparkan oleh al-Maududi? Itulah topik kita pada kali ini. Atau boleh sahaja merujuk cinta dalam Pimpinan ar-Rahman atau Mustika Hadis. Di mana Tuan Haji pada cinta ini?
Saya merujuk kepada berita hari ini. Tuan Haji telah meletakkan jawatan penting orang politik Perak atas rasa tanggung jawab Tuan Haji terhadap kumpulan dan pengikut Tuan Haji. Izinkan saya mencadangkan satu pertimbangan bahawa apalah ertinya rasa tanggung jawab itu jika tiada unsur kasih sayang di dalamnya. Siapakah yang Tuan Haji ingat ketika peletakan itu? Siapa yang Tuan Haji sayang?
Jika saya membuat satu keputusan besar begitu, orang yang paling saya ingat ialah keluarga. Lantas sayangnya saya pada keluarga, keputusan saya itu seharusnya mampu mengumpulkan saya dan kelurga dalam lindungan dan rahmat Ilahi. Itulah simbol kasih sayang hakiki tika membuat keputusan duniawi. Dunia sementara dikecapi dengan betul, bahagia ukhrawi tidak dikompromi dengan sesiapapun.
Tuan Haji,
Maksud saya, tukarkan keputusan besar itu daripada penilaian duniawi semata-mata kepada pertimbangan ukhrawi yang kekal abadi. Janganlah kerana malu, janganlah kerana kecewa, janganlah kerana menjaga maruah, yang semuanya tadi tidak sampai kepada penilaian Ilahi.
Beginilah, lebih baik Tuan Haji melihat daripada kaca mata ukhrawi dengan keputusan itu. Bagaimana sewajarnya niat itu ditelusi. Bagaimana peletakan itu mampu memberi kebahagian diri dan keluarga dengan lindungan Ilahi? Lihatlah wajah isteri di alam ukhrawi, wajah anak-anak, wajah menantu-menantu dan wajah cucu-cucu Tuan Haji.
Apa yang saya mahu, keputusan itu adalah langkah awal Tuan Haji berhijrah kepada matlamat hakiki yang Ilahi tentukan. Matlamat seorang manusia hakiki, matlamat ahli politik hakiki, matlamat bapa hakiki dan matlamat pemimpin hakiki. Semuanya memerlukan landasan hakiki, kefahaman hakiki yang semuanya dalan ketentuan hakiki Ilahi.
Tuan Haji faham maksud saya?
Saya menyeru, tinggalkan politik duniawi yang palsu. Tinggalkan kebahagiaan yang sementara. Hijrahlah kepada politik Islam yang hakiki.
Saya tahu ianya bukan mudah. Perlukan sokongan di kanan dan kiri. Maka, selepas peletakan ini, mulakan dengan mencari hijrah hakiki. Maju terus ke hadapan dan carilah bimbingan ulama hakiki. Bukan ulama mencari duniawi. Insya Allah, kita akan bertemu dihujung denai ini.
Itulah maksud saya dengan cinta. Kita mengejar cinta Ilahi dengan membawa cinta diri dan keluarga berpaksikan cinta para wali untuk kita kekal abadi dalam rahmat Ilahi. Kita mampu mengubahnya.
Saya mengundur diri. Wassalam.
Elbaritii
29/01/09