22.3.09

CAKAP-CAKAP ULAMA

4 comments:
Ummah akan pening jika ulama ada sifat-sifat begini:

1. Cakap dahulu, kaji kemudian
2. Cakap ikut sedap dalil dalam kepala, bukan dalil dalam rujukan
3. Cakap dengan keputusan awal yang dibuat
4. Cakap ikut aturan penasihat dan pesetia-usaha
5. Cakap banyak, tanpa aturan betul
6. Cakap dengan orang munafiq
7. Cakap bertalam-talam
8. Cakap ikut ego

Ummah akan lebih pening, jika ulama selalu pening. Kesian ummah...

18.3.09

POLITIK BUKAN SEGALANYA UNTUK UMMAH

1 comment:
Ketika menulis ini, saya sedang mendengar program wawancara Ustazah Fatma El-Zahra dengan bekas pelakon Ziela Jalil. Saya terdiam dan terhiba, mendengar bagaimana Ziela Jalil menyebut Allah amat menyayanginya sejak dulu lagi.

Lebih kagum saya apabila Ziela sudah mampu mengungkap zikir-zikir sunni dengan begitu baik, berserta penampilan menutup auratnya di Astro Oasis. Episod dengan Ziela ini telah diulang beberapa kali.

Apa yang menarik perhatian saya ialah, apabila beliau menyatakan, ketika hidupnya dahulu yang masih diselimuti keghairahan hiburan, hatinya sudah terdetik mahukan rahmat dan kasih sayang Allah. Tetapi tidak terungkap dek mulut. Kenapa?

Inilah yang perlu kita fahami, jangan kerana penampilan luaran seseorang yang bersanggahan dengan syariat, kita terus menghukum dia dengan memisahkannya daripada dakwah atau nasihat kita. Lebih parah kalau kita suka menghukum hati mereka dengan penampilan zahir.

Saya percaya, ramai adik-adik remaja di luar sana yang lemah, kosong dan perlukan bimbingan walaupun zahir mereka menyampah untuk kita dekati malah melihatnya. Kita, mungkin zaman remaja kita tidak begitu mencabar berbanding zaman mereka kini.

Saya cuba kaitkan juga dengan lontaran idea Saifulislam, ketika kita serabut dengan pelbagai masalah politik dan negara, masih ada pihak yang tersenyum melakukan kerja-kerja dakyah terhadap remaja kita atas nama kasih Jesus.

Maka, mereka yang sebenarnya mudah untuk didekati, mudah dipujuk, telah terbiar dek kesibukan para pendakwah menghabiskan masa dengan kecelaruan politik dan negara.

Salah siapa jika semuanya mahu berjuang di batasan politik, sehingga tiada masa mendekati muslimin dan muslimat yang sedang tenat jiwanya, malah sedang didekati oleh pihak yang cuba merampas dan meragut cahaya Islami mereka.

Saya insaf, bahawa kerja politik bukan segalanya untuk ummah ini. Bukan bermakna saya kecewa atau putus asa dengan politik, tetapi runsing bahawa tanggapan sesetengah orang terhadap politik itu seperti tersasar.

17.3.09

PEMILIHAN PIMPINAN PAS MASIH SEJUK

4 comments:
Sambutan blogger terhadap pemilihan pimpinan PAS terdekat ini nampaknya masih sejuk. Belum ada tanda-tanda kehangatan yang menarik perhatian ramai. Ianya jauh berbeza pada pemilihan sesi lepas. Sedangkan ketika ini PAS di peringkat kawasan-kawasan sedang sibuk merancang untuk mesyuarat agung tahunan masing-masing.

Suasana pemilihan yang lalu telah menyaksikan kempen dan sabotaj wujud beberapa bulan sebelum pemilihan. Dengan jelas dipamerkan nama-nama tokoh PAS yang dianggap kumpulan berfikiran baru dan tokoh lama atau tradisional. Malaysiakini juga seronok memainkan isu itu.

Ia mungkin berpunca daripada dua perkara. Sama ada kesibukan dan kecelaruan politik Perak dan politik Umno menutup nafsu orang ramai untuk memfokuskan kepada pemilihan PAS ini atau kepercayaan bahawa tidak perlu berlaku perubahan besar dalam pimpinan PAS di peringkat nasional.

Walau apa pun puncanya, saya melihat pemilihan PAS kali ini adalah sangat penting bagi melakar pelan-pelan seterusnya dalam melangsungkan perjuangan agama dan parti. Ia kelihatan lebih penting berbanding pemilihan yang lalu.

Mungkin juga kehangatan itu akan muncul selepas selesai pemilihan Umno nanti.

PAS tidak kurang tokoh yang mampu memimpin parti dan negara. Semuanya mempunyai kelebihan masing-masing. Ada yang dikongsi bersama pemimpin lain dan ada yang beristimewa sendirian.

Tuan Guru Presiden, seorang ulama berstatus internasional yang teliti dalam hukum agama, tegas dengan prinsip dan semakin dekat berkomunikasi dengan realiti politik semasa, berbanding pada kemunculannya dahulu.

Ust Nasharudin seorang ulama muda yang serba berkebolehan dan memiliki pemikiran yang dinamik dan kreatif. Bersedia untuk menerokai penyelesaian politik yang baru.

Husam, dikira pemimpin muda yang profesional, matang berpolitik dan dipercayai mampu melangkah jauh dalam politik. Mempunyai pemikiran kritis dan sentiasa membuat analisa isu semasa dengan bernas.

Sekadar menyebut 3 pemimpin utama PAS kini untuk pemerhatian kita semua. Saya beranggapan, 3 tokoh ini akan terus kekal di puncak tadbiran parti. Persoalan selepas itu ialah, siapa yang akan mengisi dua lagi kerusi Naib Presiden PAS?

Dengan beranggapan Husam tidak mencabar kedudukan Timbalan Presiden, saya yakin Husam akan terus kekal di kerusi Naib Presiden. Maka dua kerusi lagi akan menjadi tanda tanya di kalangan para pemerhati dan perwakilan.

Biasanya, satu daripada 3 kerusi Naib Presiden akan diduduki oleh seorang pemimpin yang dikategorikan sebagai ulama dalam PAS. Ketika ini, ianya diduduki oleh Ustaz Ahmad Awang. Selain beliau, tokoh lain yang boleh diletakkan sebagai berkemungkinan ialah Ustaz Azizan yang merupakan Menteri Besar Kedah, Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man, Pesuruhjaya Pahang, Ustaz Harun Taib, bekas Ketua Dewan Ulama dan exco kerajaan negeri Terengganu dan Ustaz Taib Azamuddin, ahli parlimen Baling.

Jika salah seorang daripada mereka berjaya, maka tinggal satu sahaja lagi kerusi untuk Naib Presiden. Mereka mungkin dikalangan Mohd Sabu, Hasan Ali, Mahfudz Omar, Salehuddin Ayub dan Ir Nizar.

Melihat ramainya tokoh PAS yang mampu menjadi kepala parti, maka akan menyukarkan orang-orang parti untuk memilih. Inilah kelebihan parti ini berbanding Umno. Umno, payah nak pilih yang kurang celanya di kalangan yang cela-cela. PAS, sukar nak cari siapakah yang ada kekurangan, di kalangan tokoh yang hebat-hebat belaka.

Bagi perwakilan, sudah tentu kriteria mereka akan bersandarkan kepada sifat PAS itu sendiri yang merupakan sebuah jamaah Islam yang membawa rahmat untuk manusia dan sebuah parti politik yang cekap memimpin sebuah negara.

Tulisan ini sekadar memberi alternatif kepada bahan bacaan yang sarat dengan cerita-cerita rasuah dalam Umno dan kebusukan kerja politik Umno di Perak.

Bagi ahli PAS, walau apapun kelemahan dan kekurangan pada pemimpin parti, mereka jauh lebih mulia di sisi Allah dan umat selagi ikhlas, istiqamah dan meletakkan kemuliaan agama atas pundak masing-masing.

15.3.09

ARTIKEL TERBAIK POLITIK SEMASA PERAK OLEH DATO' WAN ABDUL MUTTALIB EMBONG

2 comments:
KRISIS POLITIK PERAK, MALAYSIA

A. PERLEMBAGAAN

Perlembagaan adalah suatu undang-undang dan peraturan asas yang dikanunkan oleh se sebuah Negara atau Negeri yang berdaulat bagi kepatuhan kepada suatu sistem untuk menjalankan pemerintahan dan pelaksanaan dalam mentadbir Kerajaan Negeri atau Negara berkenaan

Chambers Twentieth Century Dictionary mentaarifkan:

“.. the act of constituting a system of laws and customs established by the sovereign power of a state for its own guidance: an established form of governmenat”

Terjemahan:

“… suatu perbuatan menghimpun satu sistem undang-undang dan adat oleh kuasa kedaulatan sesebuah negara/negeri bagi menjadi asas panduan untuk pemerintahan kerajaan”

E.C.S Wade & G. Godfrey Phillips dalam buku mereka ‘CONSTITUTIONAL LAW’ 7th Edition memberi pentafsiran berikut:

‘By a constitution is normally meant a document having a special legal santity which sets out the framework and the principal functions of the organs of government of a State and declares the principles governing the operation of those organs’.

Terjemahan:

“Perlembagaan dalam keadaan biasa bermaksud satu dokumen yang mempunyai kekuasaan perundangan khusus yang meletakan prinsip asas dalam pembahagian kuasa Kerajaan sesebuah negeri yang akan mengisytiharkan kaedah-kaedah pelaksanaan atau operasi prinsip- prinsip pemerintahan”



B. PERLEMBAGAAN MALAYSIA

Antara peruntukan Perlembagaan Malaysia yang relevan dalam perbincangan hari ini ialah:-

Perkara 4 : Undang-undang Utama Persekutuan

Perkara 39 : Kuasa Pemerintahan Persekutuan

Perkara 40 : Yang DiPertuan Agong hendaklah bertindak mengikut
Nasihat

Perkara 43: Jemaah Menteri



PERUNTUKAN DALAM PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN


Perkara 4 - Undang-undang Utama Persekutuan

(1) Perlembagaan ini adalah undang-undang utama Persekutuan dan apa-apa undang-undang yang diluluskan selepas Hari Merdeka dan yang berlawanan dengan Perlembagaan ini hendaklah terbatal setakat yang berlawanan itu.


Perkara 39 - Kuasa Pemerintahan Persekutuan

Kuasa pemerintahan bagi Persekutuan adalah terletak pada Yang diPertuan Agong dan, tertakluk kepada peruntukan mana-mana undang-undang persekutuan dan peruntukan Jadua Kedua, kuasa itu bolehlah dijalankan olehnya atau oleh Jemaah Meenteri atau oleh mana-mana Menteri yang diberi kuasa oleh Jemaah Menteri, tetapi Parlimen boleh dengan undang-undang memberi tugas-tugas pemerintahan kepada orang-orang lain.


Perkara 40 - Yang diPertuan Agong hendaklah bertindak mengikut nasihat.

(1) Pada menjalankan tugas-tugasnya di bawah Perlembagaan ini atau di bawah undang-undang Persekutuan, Yang diPertuan Agong hendaklah bertindak mengikit nasihat Jemaah Menteri atau nasihat seseorang Menteri yang bertindak di bawah kuasa am Jemaah Menteri, kecuali sebagaimana diperuntukkan selainnya oleh Perlembagaan ini; tetapi Yang diPertuan Agong adalah berhak, atas permintaannya, mendapat apa-apa maklumat mengenai pemerintahan Persekutuan yang boleh didapati oleh Jemaah Menteri.

(2) Yang diPertuan Agong boleh bertindak menurut budibicara nya pada melaksanakan tugas-tugas yang berikut, iaitu:-

(a) melantik seorang Perdana Menteri,
(b) tidak mempersetujui permintaan membubar Parlimen;
(c) meminta supaya diadakan suatu mesyuarat Majlis Raja-Raja yang semata-mata mengenai keistimewaan, kedudukan, kemuliaan dan kebesaran Duli-duli Yang Maha Mulia Raja-Raja dan mengambil apa-apa tindakan dalam mesyuarat itu, dan dalam apa-apa hal yang tersebut dalam Perlembagaan ini.

(3) Undang-undang Persekutuan boleh membuat peruntukan bagi menghendakki Yang diPertuan Agong bertindak pada menjalankan tugas-tugas yang lain daripada yang berikut, selepas berunding dengan atau atas syor mana-mana orang atau kumpulan orang yang lain daripada Jemaah menteri-

(a) tugas-tugas yang boleh dijalankan menurut budi bicaranya;
(b) tugas-tugas lain jika untuk menjalankannya peruntukan ada dibuat dalam mana-mana Perkara lain.


Perkara 43 - Jemaah Menteri

(1) Yang diPertuan Agong hendaklah melantik suatu Jemaah Menteri untuk menasihatkannya dalam hal menjalankan tugas-tugasnya.

(2) Jemaah Menteri hendaklah dilantik seperti berikut, iaitu-

(a) Yang diPertuan Agong hendaklah terlebih dahulu melantik sebagai Perdana Menteri untuk mengetui Jemaah Menteri seorang ahli Dewan Rakyat yang pada pendapatnya akan mendapat kepercayaan sebilangan besar (majoriti) ahli-ahli Dewan itu; dan
(b) atas nasihat Perdana Menteri, Yang diPertuan Agong hendaklah melantik Menteri-menteri lain dari antara ahli-ahli mana-mana Majlis Parlimen,

(3) Jemaah Menteri ……………………………

(4) Jika Perdana Menteri tidak lagi mendapat kepercayaan sebilangan besar ahli-ahli Dewan Rakyat maka, Perdana Menteri hendaklah meletakkan jawatan Jemaah Menteri, melainkan jika atas permintaannya Yang diPertuan Agong membubarkan Parlimen.

(5) Tertakluk kepada Fasal (4), Menteri-menteri yang lain daripada Perdana Menteri adalah memegang jawatan selama diperkenankan oleh Yang diPertuan Agong, melainkan jika perlantikan mana-mana Menteri telah dibatalkan oleh Yang diPertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri, tetapi mana-mana Menteri boleh meletakkan jawatannya.



C. PERLEMBAGAAN NEGERI PERAK


Perkara VII : Sultan Memerintah Mengikut Undang-Undang

“ His Royal Highness shall act towards all his subjects and all persons commorant within the State in an impartial manner, governing according to law”

“DYMM hendaklah memberi layanan kepada semua rakyat Baginda dan kesemua orang yang tinggal dalam negeri dengan kesaksamaan dan memerintah mengikit undang-undang. …..”.

PENJELASAN

DYMM dalam setiap masa dan dalam semua keadaan sebagai Raja hendaklah menerima hakikat bahawa kesemua hak-hak dan kepenting rakyat diberi kesaksamaan tanpa mengambil kira keturunan, agama, budaya dan apa tah lagi fahamnan politik. Ini bermakna pilihan rakyat dalam mana-mana pilihanraya dan keputusannya hendaklah diberi penghormatan termasuklah hak untuk membentuk kerajaan dan melaksanakan pemerintahan mengikut dasar parti masing-masing selagimana ianya dibuat dalam pengertian undang-undang yang berkuatkuasa atau undang-undang yang diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri dan Parlimen.



Perkara X : Kuasa Pemerintahan

“Kuasa eksekutif negeri hendaklah terletak kepada DYMM dan dilaksanakan, melainkan diperuntukan oleh Perlembagaan Persekutuan atau Perlembagaan ini, oleh DYMM atau oleh EXCO atau oleh mana-mana ahli EXCO yang diberi oleh MMKN, tetapi fungsi eksekutif boleh melalui undang-undang diberi kepada mana-mana pihak berkuasa.”

PENJELASAN

Dalam istilah Perlembagaan dan pemerintahan Demokrasi berPerlimen dan Raja berPerlembagaan, DYMM Paduka Seri Sultan adalah sebahagian daripada Kerajaan dan pemerintahan. Oleh itu Kuasa Eksekutif negeri adalah terletak kepada DYMM tetapi fungsi eksekutif (executive function) bolehlah melalui undang-undang diturunkan kepada seseorang lain atau pihak-pihak berkuasa (authorities). Namun demikian semua kuasa memerintah bagi negeri hendaklah dibuat di atas nama kebawah DYMM.



Perkara XII : Perlantikan Menteri Besar

“(1) DYMM hendaklah melantik, dengan surat perlantikan yang ditandatangani oleh Baginda dan memakai Mohor Negeri, seorang Menteri Besar menurut peruntukan perenggang (a) kepada Fasal 2 Perkara XVI”.

(2) Tiada sesiapa boleh dilantik sebagai Menteri Besar melainkan ianya adalah seorang keturunan Melayu dan menganuti Agama Islam: Dengan syarat DYMM boleh di atas budibicara Baginda mengenepikan sama ada satu atau kedua-kedua khendak peruntukan dalam Fasal terdahulu berkait dengan keturunan dan Agama Islam bilamana dalam pertimbangan Bangida ianya adalah lebih beketepatan untuk berbuat demikian.”

PENJELASAN

Perlantikan Menteri Besar Selepas Pilihanraya Umum

Kuasa perlantikan Menteri Besar adalah hak mutlak DYMM dan tidak boleh dilakukan oleh orang lain. Kuasa yang boleh dilakukan dengan budibicara sendiri DYMM ini akan dilaksanakan mengikut Perkara XII (1) dan XVI (2) (a).

Tiada peruntukan dimana-mana dalam Perlembagaan Negeri Perak yang memberi kuasa secara jelas kepada DYMM untuk memmecat/membatalkan perlantikan Menteri Besar yang telah dilantik Baginda. Perkara XVI (2) (a) berbunyi:

“DYMM hendaklah mula-mulanya melantikan dahulu Menteri Besar untuk mengetuai Majlis Mesyuarat Kerajaan seorang ahli Dewan Negeri yang pada pandangan Baginda akan mendapat kepercayaan kebanyakan ahli-ahli Dewan itu;” dan

Perlantikan Dalam Masa Dewan Dibubarkan

Perkara XVI (2) memberi kuasa kepada DYMM untuk melantik Menteri Besar dalam keadaan Dewan dibubarkan iaitu dengan melantik seorang daripada Ahli Dewan Negeri sebelum ianya dibubarkan tetapi perlantikan itu hendaklah tidak boleh dilanjutkan sehingga selepas persidangan pertama Dewan Negeri yang baru melainkan Menteri Besar itu juga adalah Ahli Dewan yang baru.

Pilihanraya Ke 12 / Penubuhan Kerajaan Negeri

Adalah suatu fakta sejarah yang unik di Malaysia khususnya di Negeri Perak yang berlaku selepas keputusan Pilihanraya umum ke 12 (08.03.2008). Barisan Nasional (BN) yang telah memerinta Negeri Perak sejak Negara mencapai kemerdekaan pada tahun 1957 tanpa putus. Dalam Pilihanraya Ke 12 Parti-parti yang bertanding adalah: BN, PAS, PKR dan DAP.

BN tidak mendapat majoriti kerusi dalam Dewan Undangan Negeri Perak yang keputusannya adalah seperti berikut:-
(1) Barisan Nasional (BN) - 28 kerusi
(2) Parti Islam SeMalaysia (PAS) - 06 kerusi
(3) Parti Keadilan Rakyat (PKR) - 07 kerusi
(4) Damocratic Action Party (DAP) - 18 kerusi
Jumlah - 59 kerusi

BN tidak menuntut/memaklumkan hasrat mereka kepada DYMM untuk menubuh Kerajaan Baru. PAS. PKR dan DAP yang tidak bergabung dalam Pilihanraya, telah bermuafakat dan bersetuju untuk memohon perkenan Ke Bawah DYMM Paduka Seri Sultan untuk menubuh Kerajaan Baru dengan gabungan yang dipanggil Pakatan Rakyat (PR).

Penggunaan Kuasa DYMM – Perkara XII dan XVI (2) (a)

Paduka Seri Sultan telah memberi kuasa penyiasatan awal kepada Paduka anakanda Yang Teramat Mulia Raja Muda untuk mendapatkan keyakinan Baginda jika Pakatan Rakyat benar-benar memiliki dan boleh mendapat kepercayaan majoriti dalam Dewan Negeri Perak. Kesemua 31 orang Ahli Dewan dari Pakatan Rakyat telah dipanggil mengadap dan memberi pengakuan dan pengesahan bertulis di atas kemuafakatan yang akan diberi dalam Dewan Negeri nanti.

Kesemua ke 31 Ahli Dewan daripada gabungan Pakatan Rakyat itu telah melafaz sembah persetujuan dan dimaklumkan telah diberi pengakuan secara bertulis:-

(1) Bersetuju mengabungkan diri dalam membentuk Kerajaan Baru dengan panggilan Kerajaan Pakatan Rakyat; dan

(2) Bersetuju menamakan Tuan Haji Ir. Mohammed Nizar bin Jamaliddin sebagai Menteri Besar.

Dengan itu terbentuklah Kerajaan Baru, Kerajaan Pakatan Rakyat di Negeri Perak dimana DYMM melalui instrument yang ditandatangani sendiri oleh Baginda Paduka Seri Sultan melantik Tuan Haji Ir. Mohammed Nizar bin Jamaliddin sebagai Menteri Besar.



Perkara XXXVIA : Perlantikan Speaker

Setelah Kerajaan Baru Perak tertubuh, Dewan Negeri diperkenan oleh DYMM untuk bersidang dan YB V. Sivakumar telah dilantik Speaker mengikut Perkara XXXVIA (1)(a). Di atas perlantikan tersebut Kerajaan Perak telah bejalan dalam keadaan normal dan pengurusan Negeri telah dilaksanakan.



Perkara XVIII : Sultan Hendaklah Bertindak Mengikut Nasihat

(1) Pada menjalankan kewajiban-kewajiban Baginda menurut Perlembagaan Negeri ini atau mana-mana jua undang-undang atau sebagai seorang ahli Majlis Raja-Raja maka hendaklah DYMM bertindak mengikut nasihat Majlis Mesyuarat Kerajaan atau nasihat seorang ……………………”

(2) DYMM bolehlah bertindak dengan timbangan Baginda sendiri untuk menjalankan kewajiban-kewajiban di bawah ini (selain daripada kewajiban-kewajiban yang boleh dijalankan oleh Baginda mengikut timbangan Baginda sendiri menurut Perlembagaan persekutuan) iaitu:-

(a) Melatik menteri Besar,

(b) Menagguhkan (withholding) persetujuan Baginda berkenaan dengan permintaan hendak membubarkan Dewan Negeri,

(4) Tiada apa-apa dalam Perkara ini akan menjejaskan mana-mana peruntukan dalam mana-mana bahagian Perlembagaan yang menghendakki DYMM bertindak di atas nasihat atau dengan persetujuan mana-mana orang selain daripada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

PENJELASAN

Menjalankan Kuasa Budibicara (Perkara XVIII (2) (a) dan (b)

Peruntukan yang memberi kuasa bertindak di atas budibicara DYMM dalam melantik Menteri Besar itu tidak pula memberi kuasa kepada DYMM memecat Menteri Besar kerana Menteri Besar adalah milik Dewan Negeri. Berbeza dengan perlantikan Speaker yang perlantikannya adalah kuasa dan hak Dewan Negeri dan pembatalan perlantikannya juga adalah hak Dewan Negeri.

Permintaan Perkenan Pembubaran Dewan

Permintaan perkenan oleh YAB Menteri Besar kepada DYMM supaya Dewan Negeri dibubarkan adalah pada pandangan saya suatu permintaan di bawah Perkara XVIII (4) dimana DYMM boleh menangguhkan perkenaan Baginda dan mengarahkan Menteri Besar supaya terlebih dahulu balik kepada Dewan Negeri bagi menentukan sama ada Menteri Besar masih boleh menguasai sokongan majoriti Ahli-Ahli Dewan.



Perkara XVI: Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri

Hilang Majoriti Dewan

Perkara XVI (6) Perlembagaan Perak berbunyi:

“If the Menteri Besar ceases to command the confidence of the majority of the members of the Legislative Assembly, then, unless at his request His Royal Highness dissolves the Legislative Assembly, he shall tender the resignation of the Executive Council”.

Terjemahan

“Jikalau Menteri Besar tidak lagi mendapat kepercayaan daripada kebanyakan Ahli-Ahli Dewan Negeri, maka ketika itu, melainkan di atas permintaannya DYMM membubarkan Dewan Negeri, hendaklah ia menawarkan keberhentian Majlis Mesyuarat Kerajaan”

PENJELASAN

Sepertimana yang diperjelaskan di atas tadi, Menteri Besar yang hilang kepercayaan majoriti Dewan akan meletak jawatan bersama-sama EXCOnya dan dengan itu akan membuka laluan kepada Pilihanraya baru/semula untuk mendapat mandat baru rakyat. Tidak ada peruntukan dalam Perlembagaan Negeri Perak yang membolehkan DYMM memanggil kumpulan lain untuk menubuh Kerajaan. Kuasa itu hanyalah diperuntukan kepada DYMM selepas keputusan Pilihanraya Umaum sahaja.

Dalam masalah Perak, YAB Menteri Besar yang merasakan kedudukannya tergugat oleh hilangnya tiga (3) orang Ahli Dewan daripada Pakatan Rakyat telah pun secara berperlembagaan memohon perkenan DYMM supaya Dewan Negeri dibubarkan sebelum undi tidak percaya berlaku. Perbuatan sebegini adalah lumrah dan biasa dalam negeri yang mengamalkan demokrasi untuk diserah balik kepada kuasa rakyat untuk membuat penentuan.




D. PERMULAAN PERMASAALAHAN

Pada 26hb. Januari, 2009 Ahli Dewan Negeri, Bota YB Datuk Nasaruddin bin Hashim daripada UMNO-BN telah mengisytiharkan keluar parti UMNO dan melomapt masuk Parti Keadilan (PR). Ekoran daripada peristiwa itu dua (2) orang ECCO ia-itu:-

(i) YB Jamaluddin bin Mohd Radzi - ADUN Berhang dan
(ii) YB Osman bin Jailu - ADUNCangkat Jering

didapati hilang dan gagal menghadiri urusan Kerajaan. Berbagai cerita dan berita telah tersebar melalui berbagai sumber. Spekulasi juga dibuat oleh berbagai saluran sumber mengenai kekalutan politik di Perak. Akhirnya terdedahlah bahawa dua (2) orang EXCO yang hilang itu yang juga sedang dalam proses pembicaraa kes rasuah ke atas mereka akan meninggalkan parti.

Dalam keadaan yang mula kelamkabut itu YB Speaker Dewan Negeri diberitakan telah menerima surat perletakan jawatan dua Ahli Dewan yang juga kedua-duanya EXCO telah tidak datang menjalankan tugas mereka.

Berasaskan kepada surat perletakan jawatan itu, YB Speaker telah memaklum kan kepada Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) tentang berlakunya kekosongan dua kerusi Dewan Undangan Negeri iaitu:-

(a) Kawasan Dewan Undangan Negeri Berhang, dan
(b) Kawasan Dewan Undangan Negeri Changkat Jering.

Megikut pengumuman yang dibuat, SPR tidak boleh surat perletakan jawatan dua orang ADUN (EXCO) tersebut itu, di atas alasan ketidaksahihan surat perletakan jawatan mereka dan memutuskan tidak akan mengadakan pilihan- raya kecil bagi kedua-dua Kawasan Dewan Undangan (a dan b) tersebut.

Permohonan Pembubaran Dewan

Pada 4hb Februari, 2009 YAB Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin, Menteri Besar, Perak (YAB MB) telah diperkenan mengadap Ke Bawah DYMM Paduka Seri Sultan di mana YAB MB telah memohon sembah yang beliau sebagai ketua Kerajaan Negeri perlukan kepada mandat baru daripada rakyat dan memohon perkenan Paduka Seri Sultan supaya Dewan Negeri Perak dibubarkan.

DYMM menangguhkan perkenan kepada permintaan YAB MB dalam majlis mengadap itu.

Gangguan Barisan Nasional

Pada 5hb Februari, 2009 DYMM Paduka Seri Sultan telah memberi perkenan permohonan mengadap oleh YAB Datuk Seri Mohd Najid Razak, Timbalan Perdana Menteri, Malaysia selaku Pengerusi, Badan Perhubungan Barisan Nasional, Perak (BN Perak).

YAB Datuk Seri Mohd Najid telah memaklum sembah bahawa BN Perak dan penyokongnya dapat mengumpulkan sebanyak 31 kerusi yang menjadikannya memiliki majoriti dalam Dewan Negeri Perak dan dengan itu memohon perkenaan membentuk Kerajaan.

DYMM Paduka Seri Sultan telah memerintahkan kesemu 31 Ahli Dewan Undangan Negeri yang di sembahkan oleh YAB Datuk Seri Mohd Najid untuk mengadap bagi mendapat kepastian sokongan mereka. Kesemua 31 Ahli Dewan itu memberi jawaban yang positif.

Selepas majlis tersebut, mengikut kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak Istana, DYMM Paduka Seri Sultan telah berpuashati bahawa YAB MB Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin telah hilang kepercayaan majoriti dalam Dewan Negeri. Dengan menggunapakai peruntukan di bawah Article XVIII (2) (b) Perlembagaan Negeri Perak, DYMM Paduka Seri Sultan telah memutuskan untuk mengguna kuasa budibicara DYMM Paduka Seri Sultan bagi tidak memberi perkenan kepada permintaan YAB MB untuk membubarkan Dewan Negeri.

Perlantikan Menteri Besar Kedua

Mengikut kenyataan yang dipetik sebagai berkata “Kenyataan di keluarkan dengan titah DYMM Paduka Seri Sultan Perak” pada 06hb Februari, 2009:

“…Jika YAB Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin tidak meletak jawatan sebagai Menteri Besar bersama-sama ahli-ahli EXCOnya, jawatan Menteri Besar dan EXCO adalah di anggap kosong”

Tiada peruntukan ‘Takliq’ dalam Perlembaggan Perak yang membolehkan jawatan Menteri Besar dan EXCO mejadi kosong melainkan mengikut:-

(a) Perkara XVI (6) - hilang majoriti dalam Dewan

(b) Perkara XVI (7) - pemberhentian di atas nasihat
Menteri Besar/ letak jawatan

dan dengan itu akan membolehkan perlantikan Menteri Besar Baru bersama-sama EXCO yang baru dalam keadaan Kerajaan Negeri telah sedia ada.

Tindakan di Luar Peruntukan Perlembagaan

DYMM sepertimana juga Menteri Besar, Speaker, dan Ahli-Ahli Dewan, setelah dilantik sedemikian tidak tidak memiliki kuasa Perlembagaan untuk bertindak diluar peruntukan Perlembagaan dan undang-undang yang sedia ada dan berkuatkuasa. DYMM tidak memilik kuasa untuk bertindak sebagai badan penyaisat atau mengambil kuasa Dewan Negeri dengan memanggil 28 ADUN BN dan 3 ADUN bebas dan dengan itu membuat pengesahan bahawa Kerajaan Pakatan Rakyat telah kehilangan kepercayaan majoriti Ahli-Ahli Dewan Negeri. Kuasa budibicara melantik Menteri Besar yang ada kepada DYMM di bawah Perkara XVIII (2) (a) adalah kuasa dalam ketiadaan Kerajaan dan selepas keputusan pilihanraya umum diumumkan. Kuasa perlantikan Menteri Besar itu hendaklah dibaca bersama dengan Perkara XVI (2) (a).

Perlantikan YB Dr. Zambry bin Abdul Kadir

Jelas daripada peruntukan Perlembagaan Negeri Perak bahawa perlantikan YB Dr. Zambry bin Abdul Kadir itu dibuat tidak mengikut Perlembagaan dan di luar daripada peruntukan Perlembagaan Negeri Perak dan ianya adalah satu perlantikan yang tidak sah dan ‘illegal’.

(a) Ianya tidak dibuat lanjutan daripada keputusan Pilihanraya mengikut Perkara XII atau XVI (2) (a), atau

(b) Perkara XVI (2) – dalam masa Dewan dibubarkan

(c) Menteri Besar yang dilantik secara sah masih ada.

Apa Yang Sepatutnya di Lakukan Oleh DYMM

Untuk memelihara ketegakan dan ketelusan penggunaan kuasa Raja supaya ianya tidak sahaja dilihat sebagai tidak berpihak, tetapi ianya hendaklah benar-benar dilakukan secara adil dan tidak memihak serta telus oleh DYMM dan dalam keadaan yang sedemikian DYMM sepatutnyalah:-

(a) memberi perkenan kepada permintaan Menteri Besar Datuk Seri Ir. Mohammad Jamaluddin, untuk serah kembali kepada penentuan suara rakyat iaitu pilihanraya baru negeri, atau

(b) memberi perkenan kepada persidangan Dewan Negeri dan memberi peluang kepada YAB Datuk Seri Ir. Nizar Jamaluddin menguji kebolehpercayaan Dewan Negeri kepadanya.

Penolokan Pembubaran Dewan

YAB MB telah di perintah mengadap dan telah dimaklumkan keputusan DYMM Paduka Seri Sultan yang tidak memperkenankan pembubaran Dewan Negeri berasaskan peruntukan Article XVI (6) Perlembagaan Negeri Perak dan seterusnya telah memerintahkan YAB MB In Mohammad Nizar Jamaluddin meletak jawatan sebagai Menteri Besar bersama-sama EXCOnya dan jika YAB MB gagal berbuat demikian jawatan Menteri Besar dan kesemua EXCO hendaklah dianggap telah dikosongkan dengan sertamerta.



KENYATAAN DARI ISTANA

“Selepas menerima mengadap kesemua 31 Ahli Dewan Undangan, DYMM Paduka Seri Sultan telah yakin yang YAB Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin telah hilang keyakinan sebilangan besar Ahli Dewan Undangan”

DYMM Paduka Seri Sultan telah mempertimbangkan sepenuhnya permohonan YAB Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin pada 4hb Februari, 2009 sebelum mengunapakai kuasa budibicara Paduka Seri Sultan di bawah Article XVIII (2) (a) untuk melanti Menteri Besar.

YAB MB Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin bersama-sama EXCOnya memilih untuk tidak meletakkan jawatan dan bertegas bahawa perlantikan beliau sebagai Menteri Besar akan hanya boleh dilucutkan oleh Dewan Undangan Negeri melalui undi tidak percaya (vote of no confidence) dan meneruskan tugas-tugas bersma-sama EXCOnya.

Peruntukan Perkara XVI (6)

“If the Menteri Besar ceases to command the confidence of the majority of the Legislative Assembly, then unless at his request His Royal Highness dissolves the Legislative Assembly, he shall tender the resignation of the Executive Council”

PENJELASAN

Peruntukan Perlembagaan dalam Article XVI (6) sepatutnya dimengertikan megikut perkataan dalam ayat itu sendiri dan tidak diambil pengertian yang lain. Ianya jelas mengatakan bahawa ‘Jika Menteri Besar hilang keyakinan sebilangan besar Ahli Dewan’. Keyakinan itu mestilah datang dari dalam Dewan dan dibuat oleh Ahli Dewan dalam persidangan Dewan dan bukannya dalam penyiasatan oleh DYMM Paduka Seri Sultan dengan mengambil pengakuan daripada Ahli Dewan. Tiada peruntukan dalam mana-mana Perkara dalam Perlembagaan Negeri Perak yang membolehkan DYMM Paduka Seri Sultan mengambil kuasa Dewan Negeri melalui pengakuan daripada Ahli Dewan untuk menentukan kehilangan kepercayaan Dewan terhadap seseorang Menteri Besar atau Kerajaan yang memerintah. Itulah kedudukan ‘Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan’.


Berbeza dengan keadaan perlantikan YAB Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin terdahulu kerana pada ketika itu belum ada perlantikan dan belum ada pembentukan kerajaan. Peruntukan Perlembagaan adalah iaitu:


Perkara XVI

“(1) Duli Yang Maha Mulia hendaklah mula-mula melantikkan dahulu Menteri Besar untuk mengetuai Majlis Mesyuarat Kerajaan seorang ahli dewan negeri yang pada fikiran Baginda boleh mendapat kepercayaan kebanyakan ahli-ahli dewan itu’; dan

(2) Baginda hendaklah dengan nasihat Menteri Besar itu melantikan tidak lebih daripada 10 dan tidak kurang daripada enam orang ahli-ahli yang lain diantara ahli-ahli dewan negeri.

Yang keduanya ialah DYMM Paduka Seri Sultan diberi kuasa dibawah Perkara XVI (2) (a) Perlembagaan untuk membuat perlantikan Menteri Besar mendahului mana-mana perlantikan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang lain (EXCO). Selepas perlantikan Menteri Besar dibuat maka di atas nasihat Menteri Besar, Baginda akan melantik ahli-ahli EXCO. Tiada peruntukan Perlembagaan yang memberi kuasa kepada DYMM Paduka Seri Sultan untuk melucutkan atau membatalkan perlantikan Menteri Besar setelah ianya dilantik melainkan melalui undi tidak percaya dalam Dewan Negeri.

Berbeza dengan perlantikan dan pelucutan jawatan mana-mana ahli EXCO yang memegang jawatan dalam masa perkenan Ke Bawah DYMM Paduka Seri Sultan. Itu pun DYMM Paduka Seri Sultan hanya boleh memberhentikan ahli EXCO di atas nasihat Menteri Besar yang mana DYMM Paduka Seri Sultan akan menerima nasihat Menteri Besar itu mengikut:-

Perkara XVIII (1)

“Pada menjalankan kewajiban-kewajiban Baginda menurut Perlembagaan Negeri ini atau mana-mana jua undang-undangatau sebagai seorang ahli Majlis Raja-Raja maka hendaklah Duli Yang Maha Mulia bertindak mengikut nasihat Majlis Mesyuarat Kerajaan …….”



E. KRISIS POLITIK DI PERAK

1. Perlantikan Menteri Besar Kedua

Pada 6hb Februari, 2009 DYMM Paduka Seri Sultan telah memberi perkenan untuk melantik YB Dato’ Dr. Zambry Abdul Kadir ADUN Pangkor sebagai Menteri Besar. Ianya menjadikan adanya Menteri Besar kedua bagi Negeri Perak. Perlantikan itu telah bermulanya pebalahan politik dan krisis Perlembagaan di Negeri Perak.

YAB Dato’ Dr. Zambry, sebagai Menteri Besar (kedua) seterusnya diperkenankan oleh DYMM Paduka Seri Sultan untuk membentuk Kerajaan Negeri dengan perlantikan enam (6) orang EXCO. Bilangan yang dilantik terkurang empat (4) orang daripada bilangan yang dibenarkan oleh Perlembagaan Negeri. Perbuatan itu menunjukkan suatu kejangalan bilamana Menteri Besar Kedua dan Perdana Menteri telah berikrar bahawa perubahan kerajaan di Negeri Perak akan memberi peluang kepada rakyat negeri untuk menikmati pembangunan dan pertumbuhan yang lebih pesat serta perkhidmatan dan kebajian yang lebih mesra rakyat.

2. Dua Kerajaan Dalam Satu Masa

Dengan perlantikan dan pemasyhuran kerajaan baru pimpinan BN itu bererti Negeri Perak mempunyai dua Menteri Besar dan dua Kerajaan dalam satu ketika. Siapa pun mendakwa lebih berkuasa dan sah permasalaahan itu telah samapai kepada cabang ketiga pemisahan kuasa organ pentadbiran negara
iaitu Mahkamah. Yang mendukacitakan ialah institusi istana turut terlibat secara langsung, dipertikai dan dipersendakan. Ada pula yang mengambil kesempatan (UMNO-BN) untuk melebelkan anti perajaan, penderhakaan dan berbagai-bagai lagi desakan untuk pelaksanaan undang-undang yang akan menzalimkan sebahagian rakyat. Yang dibimbangkan ialah purak puranda, perbalahan kaum dan kehancuran kepada satu sistem yang selama ini telah pun diterima semua rakyat.

3. Kuasa Yang Terhalang

YAB Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin bersama-sama EXCOnya bertegas untuk meneruskan mandat rakyat dan kuasa Perlembagaan yang diamanah ke atas mereka. Manakala Menteri Besar kedua, YAB Dato’ Dr. Zambry pula, tanpa segan silu berkeras dengan dakwaan bahawa beliaulah Ketua Kerajaan yang sah dan memulakan pemerintahannya dengan segala kemudahaan dan sokongan daripada Kerajaan Pusat dan jentera Kerajaan.

Fenomina berganding kuasa sebegitu bukanlah menjadi suatu perkara luar biasa dalam pemerintahan dan pentadbiran di Malaysia. Terdahulunya ada usaha untuk manabalkan Raja kedua di Kelantan oleh UMNO, tetapi tidak kesampaian. Kemudian dalam krisis kepimpinan kesatuan pekerja, kita pernah lihat wujudnya dua Kesatuan Pekerja. UMNO yang dibatalkan pendaftarannya didaftarkan semula dengan nama UMNO Baru dan dengan telanan masa kembali menjadi UMNO bersekali dengan usia UMNO lama.

4. Tindakan Mahkamah

YAB Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin telah mengemukakan tuntutan kesahihan ke mahkamah. Dalam keadaan kemelesetan keyakinan keadilan dan keraguan ketulusan pentadbiran kehakiman sekarang ini maka adalah terlalu awal untuk mana-mana orang yang dahagakan keadilan untuk meletakkan harapan melihat keadilan. Oleh itu rakyat bolehlah memberi sokongan kepada hasrat majoriti umum yang disokong oleh President, Malaysian Bar supaya mandat rakyat diminta semula melalui pembubaran Dewan Negeri yang akan sekaligus menyelesaikan masaalah walau pun dalam keadaan ketelusan SPR masih dalam keraguan umum.

5. Tindakan Speaker

Pada 19hb Februari, 2009 YB Speaker Dewan Undangan Negeri, YB V Sivakumar telah memanggil YAB Dato’ Dr. Zambry dan kesemua enam (6) orang EXCOnya untuk menjawab pertuduhan dihadapan Jawatankuasa Terpilih (Committee of Privileges) Dewan lanjutan daripada aduan daripada YB Wong Kah Woh, Ahli Dewan Undangan Negeri, Canning, kerana telah berlaku pelanggaran Peraturan-Peraturan Dewan oleh YAB Datuk Dr. Zambry dan enam (6) orang EXCO baru di atas sebab telah mengambilalih Kerajaan Negeri melalui cara yang tidak berperlembagaan.

Jawatankuasa Terpilih telah bertindak di bawah Seksyen 72 Peraturan Dewan untuk mendengar keterangan dan pembelaan daripada ketujuh-tujuh mereka yang dipanggil. Setelah mendengar dan delebrasi dibuat Jawatankuasa Terpilih telah berpuas hati bahawa kesemuanya gagal memberi pembelaan yang munasabah dan wajar dan dengan itu telah membuat rumusan bahawa terbukti perbuatan salahlaku oleh ketujuh-tujuh mereka dan menjatuhkan hukuman berikut yang akan disahkan oleh persidangan Dewan:-

5.1 YAB Dato’ Zambry (MB) - Digangtung dari menghadiri sidang Dewan selama 18 bulan; dan

5.2 Enam (6) EXCO Digantung dari menghadiri sidang Dewan selama 12
bulan



F. SIDANG KHAS DEWAN NEGERI

Pengesahan Dewan

YB Speaker telah memangil sidang khas Dewan yang antara lain:-

1.1 Untuk mendapatkan pengesahan (endorsement) ke atas keputusan yang dibuat oleh Jawatankuasa Terpilih mengenai penggantungan YB Datuk Dr. Zambry dan keenam-enam EXCO yang didapati telah melakukan kesalahan kerana merampas Kerajaan Negeri Perak melalui cara yang tidak berperlembagaan.

1.2 Untuk membuat keputusan bagi dipersembah perkenan DYMM supaya Dewan negeri dibubarkan.



G. PENUTUP

Krisis Politik dan krisis Perlembagaan di Negeri Perak itu akan memakan masa yang lebih panjang daripada jangkaan awal semua pihak. Sekarang telah berlaku banyak tindakan mahkamah diambil yang akan melibatkan masa, kedudukan kuasa perundangan, hak-hak tersendiri tiga (3) cabang kuasa yang sepatutnya terasing iaitu:-

(1) Kuasa Dewan (Legislature),
(2) Kuasa Eksekutif, dan
(3) Kuasa Kehakiman.

Dalam ‘doktrin’ pemisahan kuasa Dewan memiliki kuasa yang tersendiri dalam menentukan urusan dan prosedurnya. Apa-apa keputusan yang dibuat oleh Dewan tidak boleh dipersoalkan dalam Mahkamah. Fungsi Mahkamah ialah untuk mentafsirkan undang-undang yang diluluskan oleh Dewan/Parlimen dan tidak boleh menyoal kesahihan perosidur Dewan dan kewajaran hukuman yang dibuat oleh Dewan seperti penggantungan hak seseorang Ahli Dewan.

Walau pun pada ketika ini kuasa Speaker dilihat telah terhalang oleh kuasa jahat eksekutif (Pentadbiran dan Polis) yang menghalang sidang Dewan yang dipanggil oleh Speaker, kuasa Speaker masih tidak terjejas. Speaker hanya boleh dibatalkan perlantikan/pecat oleh Dewan yang akan bersidang. Mahu tidak mahu Dewan diwajibkan bersidang dalam satu tempoh yang tidak melebihi enam (6) bulan dalam satu-satu masa. Bilamana Kerajaan Kedua mahu mengadakan sidang Dewan, Speaker yang sama juga akan memanggil Dewan. Dalam masa itu Speaker masih boleh menggunakan kuasanya dalam mengurus kendalikan kerja-kerja Dewan mengikut kuasa yang diberi kepadanya oleh Perlembagaan dan Peraturan Tetap Dewan.


Disedikan oleh:
Dato’ Wan Abd Muttalib bin Embong
07.03.2009

SELAMAT PAGI PEMINAT THE REDS

No comments:
Salam untuk seluruh umat manusia. Semoga anda semua bahagia pada pagi Ahad ini. Pagi ini sepatutnya saya menulis satu artikel berkaitan muamalat, tetapi tertangguh dek kerana semangat bola menjelma seketika.

Tentu peminat bpl tahu apa yang berlaku malam tadi...

Bola adalah sukan nombor satu dunia. Hebatnya bolasepak adalah kerana ianya diramuani unsur-unsur sadis, drama, lakonan, penipuan, strategi dan kegagalan, selain unsur yang jelas, merebut kejuaraan. Itulah bola. Bukan peminat tidak akan merasai nikmat menonton bola adalah kerana mereka hanya melihat bola satu sukan bertarung kekuatan dan kelicikan.

Untuk kali pertama minggu bola saya cukup indah. Selepas the reds membelasah real madrid empat kosong, malam tadi kelab pelakon muda ronaldo dibelasah kelab pemain serba boleh gerrard empat satu.

Zul, harharharharharharhar...walaupun akhirnya the reds mungkin gagal memenangi liga perdana untuk kali pertama dalam 19 tahun, belasahan yang berlaku dalam minggu ini menjulang lagi nama baik the reds dan menjahanamkan rekod dua gergasi eropah, oleh gergasi paling hebat eropah.

Gerrard, pemain paling unggul era ini. Serba boleh dan boleh serba serbi, kecuali menangkap bola. Dia pandai menyekat bola, mencuri dari kaki lawan, menanduk kencang, menghantar tepat, melibas gol, mengambil sepakan percuma, menjaring gol dengan pelbagai cara termasuk mencipta gol untuk kawan. Cuma, dia tidak menjadi juara dunia, kerana kelembapan rooney dan lampard dalam team englandnya. Jika tidak, tentu dia akan dinobatkan...

Saya yakin, malam tadi, peminat mu yang menguasai seluruh kedai mamak, restoran dan studio sukan tv2 Malaysia tidur dengan penuh kecewa. Bangun pagi tadi, tak sanggup nak baca sms kawan2.

Ok, selamat bergembira peminat the reds.

14.3.09

JANGAN PERKECILKAN PIMPINAN SEKARANG

2 comments:
Jika anda percaya tiada sebarang rundingan antara Anwar dan Pak Lah, memang anda betul bendul dan sukar menjadi ahli politik di Malaysia. Jika anda percaya, tidak semestinya perlu percaya rundingan itu berhasil.

Bagaimana mungkin pertembungan itu tidak sengaja, sedangkan kelihatan seperti sahabat lama saya itu menyambut kedatangan Pak Lah, sedangkan dia adalah panglima Anwar. Jika hari itu hari Anwar, kenapakah yang berucap adalah Pak Lah? Alangkah cantiknya jika Anwar mengalu-alukan kedatangan Pak Lah, jika pada hari Anwar itu, Pak Lah datang sebagai tetamu lebih awal sehari.

Ramai memberi alasan orang mukmin tidak akan dipatuk ular dua kali di tempat yang sama, atau dari lubang ular yang sama. Maaf, sekadar bertanya, bukankah PAS pernah dipatuk oleh Anwar Ibrahim, malah dibelit beberapa tahun. Kenapa hujah itu tidak diguna pakai?

Mungkin, kerana Anwar sudah insaf! Lantas saya terus bertanya, tidak bolehkah Pak Lah juga semakin insaf dan lebih insaf apabila melihat kegelojohan Najib?

"Ustaz, habislah anak kita nanti." Sapa seorang abang yang merupakan jiran saya, ketika saya sedang mengunci pagar rumah sebentar tadi.

"Kenapa?" tanya saya.

"Enam puluh bilion dia sapu duit Tabung Haji dan KWSP. Betul ustaz. Bini dia punya kerjalah ni. Tengoklah kat Perak, sampai rakyat Perak dijualnya dengan sogokan projek Gamuda. Sekarang dah jalan dah. Sapa pegang 25% dalam projek tu?"

Terdiam saya.

"Saya bukan apa, kesian dengan anak2 kita nanti." Lanjut seorang abang yang bukan politikus.

Sama-samalah kita mengkaji dalam-dalam apa yang berlaku sebenarnya antara PAS dan UMNO pada tahun 70an lalu.

1. Rundingan antara parti atau antara Asri dan Razak?
2. Apakah Ustaz Yusuf Rawa dan Hussien On tahu kandungannya? Parti?
3. Siapa menjadi punca masalah di Kelantan sehingga dharurat terisytihar?
4. Apakah kesan baik ketika gabungan itu?


Dan analisa isu dan perkembangan terkini.

1. Bukankah seruan perpaduan itu memberi isyarat jelas kepada YB-YB yang tidak sebulu dengan Najib?

2. Isyarat jelas kepada team Pak Lah ? Mahu elak daripada mudharat lebih besar?

3. Apa bezanya daripada pandangan siasah syar'iyyah jika Anwar jadi PM dengan keadilan dan kesamarataan dan jika bukan Anwar ( mungkin Pak Lah ) jadi PM dengan keinsafan dan keazaman untuk keadilan?

5. Seruan itu sekadar seruan, masih di peringkat mengajak. Jika Pak Lah atau sesiapa sahaja mahu insaf, sambut sahaja. Jika tiada yang sudi, tidaklah rugi untuk kita menyeru ke arah perpaduan.

Dan, tolonglah jangan perkecilkan pimpinan kini dengan mengandaikan kesilapan dan kelemahan pimpinan terdahulu mesti bertapak di pundak mereka. Jika tidak mahu ular yang sama mematuk kali kedua, bukanlah semestinya wajib melalui lorong lain, sedangkan lorong awal tadi masih relevan dan yang lain belum sesuai. Maka, ambillah perisai diri agar ular itu tidak mampu menewaskan kita.

Yang penting adalah, kita bersedia dengan semua jenis ular, bukan lari terus daripada ancaman ular yang sama, sedangkan di situ ada sedikit manisan.

Itulah perjuangan dan itulah politik.

11.3.09

PADU

4 comments:
Saya perhatikan tidak ramai yang seronok menyambut ucapan Presiden PAS supaya dibentuk kerjaan perpaduan Malaysia melibatkan semua parti. Malah ada juga pimpinan PAS yang tawar untuk mengulasnya apabila ditanya. Mungkin isu muqabalah sebelum ini memberikan kesan mendalam kepada tokoh yang terlibat atau terpalit. Itu satu pengajaran terbuka buat ahli politik.

Kerajaan perpaduan yang dicadangkan, serentak dengan kerajaan perpaduan Palestine yang hampir berjaya dibentuk. Bezanya, di Malaysia ianya baru nak dicadangkan, manakala di Palestine, sudah ada beberapa pertemuan dan permintaan. Sekali imbas, memang hebat mereka lagi berbanding kita. Mereka pernah bertempur nyawa melalui jihad yang dilancarkan selain permainan senjata api di di Gaza dan Tebing Barat. Ya, kedua-duanya ketika bertempur adalah dua harapan rakyat Palestine.

Tetapi ianya tidak serupa di sini. Sekadar perbalahan politik kepartian, kekhilafan dan aturan harian, namun untuk bergabung hampir pasti mustahil.

Kenapa masih terikut dan terikat dengan sejarah silam? Lemahkah kita untuk tidak langsung mahu mendekati kerana ditakuti ditendang lagi? Tidak mampu mengelak atau tidak mahu bekerjasama atas apa? Nafsu?

Bayangkan jika Pak Lah bertemu Tuan Guru Presiden? Apa agaknya respon ahli biasa parti dan pimpinan kelompok pertengahan? Huh, pasti isu muqabalah muncul secara mendadak.

Bolehkah kita menegaskan bahawa kemahuan Presiden PAS adalah satu hikmah terbaik setakat ini, buat masa kini, dan mendahului kemungkinan kerjasama PKR dan BN ! Mungkin kah mereka ke arah bekerjasama? Berunding?

Apapun, biarlah saya berdiri teguh di belakang jubah presiden dalam isu perpaduan ini. Rakyat sememangnya sudah letih berpecah.

PAS pula, belajarlah berdakwah dalam pelbagai perubahan bentuk dan strategi. Yang penting, perpaduan lebih menyenangkan laluan amar ma'ruf nahyu munkar

4.3.09

SAMPAI BILA

No comments:
Sampai bila
Oh sampai bila, aku terus begini
Langkahku kaku, longlai tak mampu terus ke depan

Oh sampai bila
Kau pergi, jauh dariku
Aku mencari-cari panduan itu
Duhai syurgawi, wahai manusiawi hulurkanlah

Oh sampai bila
Kau kaku, terus membisu, kini terus menyepi sunyi
Kau leka, tanpa membela, oh sampai hati, sampai bila
ohh ooh ohh ooh bila lagi

Oh sampai bila lagi
Kau terus mencabul, dan mencarik kasih sejati
Tanpa ragu
Tanpa belas
Kau terus kaku sampai bila-bila

Sampai bila
Oh sampai kau hina

Sampai bila
Oh sampai kau tersungkur

Oh sampai bila
Bila aku bangun semula

Oh akukan bangun
Sebagai aku sampai bila-bila

Sampai bila-bila
Aku rela begini
Mendemokrasi di pohon suci