30.11.08

DAKWAH DUNIA BLOG

Apa itu blog


Blog ( singkatan daripada istilah " Web log " adalah laman web yang biasanya dikemaskini oleh individu dengan memasukkan entri-entri berbentuk komentar, gambaran terhadap sesuatu peristiwa atau bahan-bahan lain seperti grafik atau video.


Kebiasaannya entri yang disiarkan adalah berbentuk 'reverse-chronological order'. Blog juga satu kalimah yang boleh digunakan sebagai kata kerja yang bermaksud mengemaskini atau menambah kandungan sesuatu blog.


Kebanyakan blog menyediakan komentar atau berita-berita berkaitan sesuatu subjek. Fungsi lainnya adalah sebagai diari peribadi berbentuk online. Ciri biasa blog adalah terdiri daripada tulisan, imej, pautan ke blog-blog lain, laman web dan media-media lain yang ada kaitan dengan topik. Sila rujuk wikipedia.


Pembaca juga dibenarkan meninggalkan komentar dalam format interaktif dan itu merupakan ciri penting kebanyakan blog.


Di dalam bahasa Melayu, ianya juga dipanggil blog.


Kepentingan


1. Mudah mengutarakan pandangan, idea dan pemikiran penulis tanpa dihalang oleh mana-mana individu yang tidak bersetuju.


2. Menjadi akses yang sangat mudah untuk pembaca atau pencari maklumat terhadap sesuatu isu atau topik apabila merujuk kepada blog tertentu yang telah dikenal pasti kategorinya.


3. Mampu menjadi wahana dakwah yang sangat berkesan, sekiranya sesuatu blog itu telah diterima oleh ramai pembaca


4. Membaca blog adalah menjimatkan, tidak perlu keluar rumah dan boleh berinteraksi dengan penulis blog.


5. Medan terbaik untuk melatih diri dalam penulisan, dan kepuasan akan dirasai jika tulisan itu dihargai pembaca.


Sudut negatif


Tidak tepat untuk menyatakan bahawa budaya menulis blog adalah positif secara mutlak mahupun negatif. Ia bergantung kepada sikap kepenggunaan di dalam diri penulis blog itu sendiri. Realitinya, ia sama sahaja seperti wahana dakwah yang lain, jika kita bercakap tentang medium dakwah. Sudah tentu baik buruk sesuatu medium itu bergnatung kepada pengamalnya.


Menyentuh persoalan dakwah dan gerakan Islam, blog menjadi negatif apabila bahan yang disiarkan penuh dengan andaian, syak wasangka dan tiada nilai ilmu atau lojik akal. Juga apabila blog itu menjadi medan mengkritik individu tertentu yang disebut secara zahir. Lebih malang jika seseorang anggota gerakan Islam itu menjadikan blognya sebagai tempat luahan perasaan tidak puas hati terhadap gerakannya.


Dalam dunia blog Malaysia, pelbagai karenah atau sikap boleh kita saksikan jika meneliti satu persatu blog yang dikenali ramai. Jika kita merenung ke dunia politik, ada blogger yang merupakan ahli sesebuah parti politik, tetapi suka mengkritik pimpinan dan mendedahkan kelemahan partinya sendiri secara terbuka.


Ada penulis yang merupakan anti kepada sesebuah parti politik dan banyak menimbulkan keraguan dan menyebarkan fitnah terhadap parti itu. Ada juga penulis yang mempertahankan partinya dengan hujah yang sangat mantap dan berkesan.


Pendek kata, dunia blog adalah dunia terbuka untuk sesiapa sahaja. Meninggalkan dunia ini atas alasan ianya penuh fitnah dan kekarutan, sehingga tiada pembela kepada parti anda adalah hanya merugikan.


Perang yang berlaku di dalam dunia blog ini juga perlukan kepada pembela Islam yang mampu menangkis serangan musuh, terutama pemfitnah kepada parti PAS hasil mainan 'cyber troopers' Umno, selain menyebarkan dasar perjuangan parti.


Blog pilihan


Bagi saya, banyak blog yang boleh menjadi pilihan, khususnya sebagai ahli PAS, untuk mengikutinya. Saya berikan beberapa contoh sahaja:


Blog Ustaz Nasruddin Tantawi di sini

Blog Ustaz Nik Abduh di sini

Blog Ustaz Adnan Fadhil di sini

Blog Roslan Shahir di sini

Blog Ustaz Yussaini di sini

Blog Ustaz Idris Ahmad di sini


Kesimpulan


Kesimpulan saya, bagi yang mempu menulis dan mempunyai masa menulis, khususnya di malam hari, mulakan menulis di blog masing-masing. Seseorang ulama atau pendakwah itu akan diingati selepas kematiannya dengan rakaman ceramah dan tulisannya. Kebiasaan, tulisan lebih kekal merentasi zaman berbanding rakaman suara.


Blog anda memberi kebebasan kepada anda untuk melontar idea dan pandangan. Jika anda mengkritik sesiapapun, nescaya tidak mudah menimbulkan perbalahan, berbeza dengan tulisan keras dan tegas di dalam mana-mana group, mudah menimbulkan konflik.


Tulisan bermutu anda juga akan menjadi 'sampah' atau bahan tertawa jika diletakkan di tempat yang salah. Sebaliknya, ia akan dihargai dan dijadikan panduan jika diletakkan di blog sendiri yang mempunyai pembaca tetap yang pandai menghargai anda.


Menulis blog adalah satu kerja dakwah. Luarbiasanya apabila ia boleh dicapai oleh sesiapa sahaja dan di mana sahaja. Ramai ulama atau pendakwah terkenal dengan hasil tulisan mereka dan mampu mengubah masyarakat dengan jihad pena ini.

28.11.08

KASIH DAN SAYANG

Mari bersama saya merenung...

Dulu-dulu kita bersemangat di celah-celah kelapa sawit
Satu markas indah, walau tidak secantik mana
Menjadi saksi hati bertaut
Impian juga indah, walau sangat tinggi untuk dicapai
Pernahkah kita hilang keyakinan?

Dulu-dulu kita merentas denai, menjengkit tumit
Melompat anak seberang parit kecil
Kerana titi kurusnya juga telah terperusuk
Kain jangan lupa disentengkan
Hati terus kental

Dulu-dulu, kita beramai-ramai berpakat
Maghrib di surau kecil, berkumpul bertolak
Sebuah kereta, dua buah kereta
Ada juga kadang-kadang bermotor sendirian
Semangat terus tegar menuju ke lapangan ceramah

Dulu-dulu
Dengan segala kesusahan itu
Kita kenal erti kasih sayang
Ia mudah ketika susah
Kini ia telah pergi entah ke mana

Kini
Di manakah kasih sayang
Sesama pimpinan, bukan semua, sebilangan kecil
Di manakah kasih sayang
Sesama ahli, bukan sedikit, ramai yang leka

Kini
Kasih sayang bukan lagi murah
Marilah kita menjaganya
Biarlah kita menang, biarlah kita kalah
Kasih sayang jangan dihilangkan

Marilah kita mula menyayangi
Mereka yang paling jauh dari hati

Ya Rahman
Ya Rahim

Ikatkan kami dengan kasih dan sayang

Oleh: Abu Ihsan
Taman Tasik Prima
28 Nov 2008

ARAK : SELANGOR PERLU BELAJAR DARI IRELAND



Oleh Aktivis PR Ireland

( Dipetik dari Tranungkite.net )

Isu pengawalan penjualan alkohol yang berbangkit di Selangor berikutan cadangan daripada seorang ahli pihak berkuasa tempatan (PBT) mula menarik perhatian berikutan kesan dominonya akan menguji kelangsungan pengukuhan Pakatan Rakyat yang diketahui masih memiliki ideologi yang berlainan, tetapi telah berkongsi kuasa atas banyak titik-titik persamaan.

Apabila persoalan membabitkan alkohol tersebut dibangkitkan oleh wakil Parti Islam Se-Malaysia (PAS) yang Islam adalah terasnya, ianya tidaklah menghairankan dan masyarakat Islam keseluruhannya patut bersama dan mengharapkan agar PAS terus aktif memainkan peranannya kerana pengharaman aktiviti berkaitan minuman berkaitan alkohol telah jelas.

Malah dalil akal sendiri akan mengiyakan bahawasanya minuman keras tidak pernah menyumbang kepada sebarang kebaikan, dan ianya diakui oleh semua masyarakat tanpa mengenal batas agama dan budaya.

Pengalaman berada di negara Ireland yang sinonim dengan budaya minuman keras yang telah berakar umbi kepada keseluruhan masyarakatnya, mengingatkan kembali kepada persoalan pencegahan lebih baik daripada rawatan. Manakan tidak apabila banyak peruntukan belanjawan kerajaan terpaksa dibelanjakan bagi membetulkan kembali tabiat masyarakat mereka sama ada melalui pengiklanan mahupun penguatkuasaan.

Malah, kerajaan Ireland dalam pertengahan tahun 2008 (lihat terjemahan suratkhabar dibawah) telah mula memperkenalkan beberapa peraturan baru seperti tempoh penjualan yang lebih singkat dan denda yang lebih tinggi kepada mereka yang terlibat dalam industri alkohol. Jika kerajaan nun jauh di Eropah mula bertindak sedemikian rupa, apakah lagi ruang untuk kita berdalih? sedangkan tabiat meminum minuman keras langsung tidak membabitkan mana-mana budaya masyarakat kita.



IRELAND; 30 Julai 2008- Peraturan baru yang lebih ketat telah dikuatkuasakan oleh kerajaan dalam urusan penjualan dan pemilikan alkohol bertujuan untuk mengawal ketenteraman awam dan mengurangkan penyalahgunaan alkohol oleh golongan di bawah umur. Antara peraturan yang diluluskan di bawah Akta ‘Intoxicating Liquor Act 2008’ meliputi penutupan premis jualan minuman beralkohol dalam jangka masa lebih awal dan pasukan keselamatan diberikan kuasa untuk bertindak jika terdapat penggunaan alkohol kawasan awam. Selain itu, promosi alkohol di media perlu dihadkan, pengenaan denda kepada pemabuk di kawasan awam akan diperkenalkan dan denda kepada premis yang menjual alkohol kepada golongan di bawah 18 akan dilaksanakan.

Menteri Kehakiman, Dermot Ahern dipetik berkata peraturan baru akan membantu kerajaan dalam menangani isu penyalahgunaan alkohol serta menghadkan pemilikan alkohol. Malah, akta tersebut akan menyediakan penguatkuasaan yang lebih berkesan untuk mengatasi pelbagai masalah yang berpunca daripada penyalahgunaan alkohol. Dokumen peraturan berkenaan diluluskan berikutan cadangan daripada Komision Penasihat Alkohol Negara.

Berikutan peraturan tersebut, premis awam akan dibenarkan untuk menjual alkohol hanya dari 10.30 pagi hingga 10 malam pada hari kebiasaan dan 12.30 tengahari ke 10 malam pada hari Ahad. Pengerusi National Off-Licence Association, Jim McCabe berkata dia bimbangkan pemasalahan pelanggan yang mungkin tidak diberikan masa secukupnya berikan notis singkat yang diberikan oleh pihak berkuasa.

Selain itu, dalam usaha untuk mengawal pengguna alkohol di bawah umur, akta tersebut akan memberikan pihak keselamatan kuasa untuk merampas alkohol yang digunakan oleh individu di bawah 18 tahun dan mereka yang minum di tempat awam. Premis yang membekalkan minuman pula akan menghadapi hukuman penutupan premis selama 2 hari.

Michael McLoughlin dari Youth Work Ireland pula berkata undang-undang baru tersebut merupakan satu permulaan yang baik bagi menghentikan penyalahgunaan alkohol untuk golongan minor, tetapi lebih banyak usaha yang perlu dilakukan bagi mengatasi pemasalahan itu terutamanya dari segi pengiklanan alkohol dan kerjasama semua kementerian kerajaan bagi membuat perubahan signifikan kepada tabiat minum masyarakat.

Mr Ahern berkata perlaksanaan denda akan menyumbang kepada penggunaan sumber awam yang lebih effisien dan mewujudkan amalan kebertanggungjawaban masyarakat. Akta tersebut akan juga membabitkan kawalan terhadap pengiklanan alkohol secara percuma ataupun pada harga diskaun, dan juga memberhentikan kemudahan mata bonus ataupun kad pelanggan pasaraya dalam urusan pembelian alkohol. Mr. Ahern juga dipetik berkata akta tersebut bakal mengasingkan kawasan penjualan alkohol di dalam pasaraya.

MEMPERKASA KEWIBAWAAN ULAMA

Dipetik dari Laman Web Dewan Ulamak PAS Pusat.

Cabaran demi cabaran perlu dihayati dan ditangani oleh para ulamak, khususnya ahli Dewan Ulamak PAS di semua peringkat demi menjamin kelangsungan perjuangan Islam dan berjaya mencapai matlamatnya.


Itu antara penegasan yang kemukakan oleh Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Dato' Ustaz Haji Mohamed Daud Al-Iraqi, dalam ucap utama ketika merasmikan Ijtimak Ulamak Se-Malaysia yang diadakan di Shah Alam, Selangor. Ijtima' tersebut adalah anjuran Dewan Ulamak PAS Pusat dengan kerjasama Dewan Ulamak PAS Negeri Selangor.


Beliau berkata: "Pemerkasaan ulamak adalah suatu keperluan yang sangat mendesak bagi memastikan perjuangan Islam ini dapat mencapai matlamatnya yang murni dan para ulamak terus memimpin, memandu serta menjadi rujukan pemerintah dan rakyat.


Para peserta yang terdiri daripada Ahli Jawatankuasa Kerja Dewan Ulamak PAS Pusat, Ahli Jawatankuasa Kerja Dewan Ulamak PAS Negeri-negeri dan Wilayah serta tokoh-tokoh ulamak setempat terutamanya di Selangor turut dibentangkan dengan 5 cabaran yang dihurai secara detil oleh Dato' Mohamed Daud Al-Iraqi.


Cabaran-cabaran itu adalah pemisahan antara ulamak dan umara, mendalami ilmu agama secara khusus dan mendekati ilmu semasa, pluralisme dan sekularisme, hubungan dengan non-muslim dan terakhirnya perkembangan teknologi maklumat.


Ucapan itu juga turut menyentuh peranan besar yang perlu dimainkan oleh ulamak pelapis bagi dewan tersebut. Mereka adalah terdiri daripada ulamak muda yang aktif menyertai Lajnah Keahlian dan Ulamak Pelapis.


Tegas beliau: "Saya juga menyeru agar ulamak pelapis terus bersedia sepanjang masa bagi menggalas amanah yang lebih berat, sekiranya diperlukan atau setelah sampai masanya nanti. Dalam pada itu, saya juga menyeru agar mereka sentiasa dibantu oleh ulamak yang lebih berpengalaman, dibimbing dengan betul dan jangan biarkan mereka bersendirian".


Mengakhiri ucapannya, Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat merumuskan tiga perkara yang mesti diambil tindakan oleh setiap anggota Dewan Ulamak PAS, agar menjadi sayap terkanan parti;


“Pertama, saya mahu para ulamak menyedari dan menghayati lima cabaran yang saya bentangkan tadi, seterusnya berusaha menguasai cabaran-cabaran itu sehingga setiap satunya ada penyelesaian dan rumusannya”.


“Kedua, Ulama mesti bersedia bertindak sebagai aktivis masyarakat. Jangan memenjarakan diri sendiri daripada masyarakat Malaysia”.


“Ketiga, Ulama perlu berkeyakinan tinggi dan merasakan mereka mampu menjadi kelompok yang hebat, kerana ilmu dunia dan akhirat berada di dada dan tangan mereka. Hilangkan segala perasaan kurang berkeyakinan diri demi menjadi pemimpin dan rujukan masyarakat”.


26.11.08

MENGURUS KRISIS SEBAGAI MODUL TARBIAH

Islam adalah syumul. Ia merangkumi segalanya. Ada teorinya jelas, namun tak kurang juga teori yang perlu diselongkar terlebih dahulu untuk terbentuk sempurna.


Jika ilmu perubatan, kepimpinan, pentadbiran berjaya diselongkar oleh pengkaji ( muslim dan non-musim ) daripada khazanah tafsir al-Quran dan syarah matan hadis, sudah tentu ilmu berkaitan kemanusiaan juga mudah ditemui.


Tetapi sangat jarang kita mendengar kupasan mendalam seni mengurus krisis manusia oleh tokoh agamawan negara. Itu berlaku mungkin kerana kita sukar menemuinya secara pakej yang tersedia lengkap di dalam mana-mana kitab silam. Tidak pernah lagi saya mendengar "bab pengurusan krisis" di dalam kitab-kitab fiqh tradisional, melainkan ianya tajuk bagi pengkaji-pengkaji moden di universiti.


Belum juga ketemu, kaedah menangani krisis sebegini dihurai detil dalam mana-mana bab kitab hadis Nabi saw secara tersusun dan lengkap. Apa yang ada, terpisah-pisah di sana-sini.


Kita tahu Islam benarkan isteri 'mencuri' harta suami yang bakhil, untuk keperluan diri dan anak yang sangat mendesak. Kita tahu Islam benarkan mereka-reka kebaikan antara dua yang bertelagah. Kita tahu hadiah-menghadiah merapatkan ukhuwwah, setelah wujudnya sifat berkasih sayang.


Itulah contohnya bagaimana Islam telah menyediakan kaedah-kaedah untuk mengurus manusia dan krisis manusia. Ia seharusnya difahami dan dihayati baik oleh umat Islam, kerana kita sebenarnya sudah ada asas rujukan yang baik.


Tetapi, kenapa ada yang mendakwa, PAS lemah dalam mengurus krisis dalaman, sedangkan ianya sebuah parti Islam yang mendasari al-Quran dan sunnah? Apakah kerana ilmu sebegini jarang-jarang disentuh dalam bentuk yang tepat dan betul semasa proses pentarbiahan dalam parti ini?


Saya boleh menerimanya. Sukar menafikan bahawa ramai ahli-ahli seperti sukar mengurus krisis dalaman. Kita tidak biasa dan boleh jadi belum bijak menanganinya. Apa silap kita?


Seringkali apabila wujud krisis, kita hanya mengguna kalimah sabar, berlapang dada, wala', taat dan seumpamanya sebagai cadangan penyelesaian. Jika masih berterusan dengan krisis, kita lemparkan mereka dengan andaian biasa, iaitu 'kurang tarbiah'.


Jika kita ahli tarbiah, maka soalan yang sepatutnya kita kemukakan ialah berbentuk memuhasabah diri sendiri berbanding melihat pihak bertelagah. Betulkah tarbiah kita? Apakah kita sudah mendidik mereka dalam mengurus krisis sebegitu? Kita pula, pandaikah mengurus krisis itu?


Saya percaya, ilmu mengurus krisis perlu disediakan oleh pimpinan dalam bentuk yang betul, lengkap serta dikupas lebih detil dalam silibus tarbiah kita, bukan sekadar mencadangkan ahli supaya bersifat mahmudah serta ditambah nilainya dengan saranan memperbanyakkan zikir dan solat contohnya, sedangkan kaedah mengurusnya tiada.


Apabila seorang sohabiah mengadu suaminya kedekut, Nabi Muhammad saw memesankan " ambillah seperlunya daripada harta suami kamu untuk diri dan anak kamu." Bukan 'bersabar dan berdoa' sahaja, atau 'panggil suamimu untuk aku nasihat dia'. Tidak pada hadis ini.



20.11.08

PEMBINAAN PERIBADI PEMIMPIN DAN AHLI DI ERA KEMENANGAN


Oleh Ustaz Idris Haji Ahmad - Timbalan Pengerusi Lajnah Tarbiah dan Perkaderan PAS Pusat


Sewaktu menang pemimpin dan pengikut adalah merupakan orang yang bertanggung jawab untuk mempertahankan kemenangan. Telahan lagi yang bernama pemimpin menjawat jawatan Menteri besar, exco, wakil rakyat.


Kemenangan ini adalah kemenangan bersama dan wajib seluruh anggota mempertahankan kemenangan dan mengekalkan kemenangan untuk kita melaksanakan tanggungjawab kepada agama Allah SWT dalam kemampuan dan batasan yang ada.


Program tarbiah tidak tamat apabila kita sudah mencapai kemenangan, kerana ujian sewaktu menang lebih hebat daripada waktu tidak menang. Antara perkara yang perlu kita sama-sama lakukan dan titik beratkan dalam pembinaan peribadi pemimpin dan ahli ialah:-


A. Muraqabah dengan Allah SWT


Semua di kalangan anggota parti mesti melakukan muraqabah dengan Allah, melalui amalan-amalan sunat, beruzlah (mengambil sedikit masa untuk tumpuan ibadah) dari kesibukan dunia untuk mendapat ketenangan dan memohon supaya Allah memberi kekuatan dalam menjalankan amanah. Inilah senjata yang paling utuh perlu diterap dalam jiwa para ahli terutama di kalangan pimpinan.


Caranya:


-Membanyakkan amalan fardiah supaya dapat membersihkan diri dan jiwa dengan membaca al-Quran, berzikir, solat sunat, puasa dan amalan-amalan yang boleh menjadi nilai tambah kepada kita. Godaan syaitan dan iblis cukup kuat untuk merosakkan perjuangan ketika kita menang.


-Muhasabah diri sendiri supaya dapat membuat penentuan hidup. Kata-kata Saidina Umar r.a bermaksud:


"Hitunglah diri kamu sebelum kamu dihitung dihadapan Allah SWT"


B. Qudwah hasanah


Suri contoh teladan yang baik adalah senjata yang paling berkesan untuk mengajak orang kepada perjuangan dan menyakinkan apa yang kita bawa. Kerana manusia lebih terpengaruh dengan bahasa perbuatan daripada bahasa lidah.


Kisah seorang Yahudi bernama Zaid bin Saanah memiliki hutang pada Rasulullah s.a.w. dua atau tiga hari sebelum sampai tempoh pembayarannya, beliau dan beberapa sahabatnya bertindak dengan kasar dan caci nista untuk meminta hutang. Saidina Umar yang ada pada waktu itu hendak pancung si lelaki tersebut.


Baginda s.a.w. melarang sebaliknya menyuruh Saidina Umar menjelaskan hutang dan di tambah 20 gantang tamar. Maka yahudi itu hairan, dan bertanya kenapa? Maka Saidina Umar memberitahu sebagai ganti kepada perbuatanku yang telah menggerunkan engkau. Akhirnya Yahudi tersebut memeluk Islam dan sebahagian hartanya disedekah kepada umat Muhammad s.a.w.


Kita pernah dengar bagaimana seorang masuk Pas kerana melihat al-Marhum Ustaz Fadhil Nor sebagai Presiden Pas berbaris dengan orang ramai walaupun ada orang menjemput beliau memotong giliran.


Bagaimana orang hendak ikut kita sedangkan kita sendiri lemah yang tidak memaparkan akhlak yang tinggi. Kita tidak mahu orang menjauhi kerana tidak ada suri teladan yang baik, dengan ini mendatangkan rugi kepada jamaah. Watak ini jangan ada seperti kita mengajak orang lain berjihad sedangkan kita tidak.


Mengajak orang lain berkorban sedangkan beliau sendiri bakhil. Jika kita mahu mengajak orang lain mengutamakan orang lain maka kita perlu tunjukkan dahulu sebelum menyuruh orang lain. Mengajak anak orang, isteri orang lain untuk berjuang sedangkan keluarganya mendiamkan diri di rumah dan tidak memberi galakan kepada mereka untuk mempertahankan kemenangan.


Firman Allah SWT yang bermaksud:


"Mengapa kamu suruh orang lain (mengerjakan ) kebaikan sedangkan kamu melupakan diri kamu padahal kamu membaca al-Kitab (Taurat). Maka tidakkah kamu berfikir?" (al-Baqarah: 44)


Caranya:


-Banyak mengambil iktibar daripada akhlak Rasulullah SAW dan para sahabat sewaktu menang


-Banyak membaca kisah nabi-nabi SAW, para sahabat dan ulama serta pejuang-pejuang Islam di seluruh dunia kerana ini akan memberi motivasi kepada jiwa kita untuk meniru mereka


Semua ini akan menghakis thiqah pengikut dan orang awam kepada kemenangan kita. Maka mereka menuduh kemenangan kita tidak mempunyai erti kepada perjuangan Islam. Bukan mustahil semangat mereka untuk bekerja ke arah untuk mengekalkan kemenangan akan luntur. Kita tidak bimbang musuh benci kepada Pas, yang paling kita takut ialah apabila petugas marah dan tidak bekerja untuk mengekalkan kemenangan dalam PRU akan datang.


C. Banyak muhasabah diri dan merasakan kelemahan yang terlalu banyak pada diri dan berusaha untuk meningkat


-Bersedia untuk menerima teguran, kerana kelemahan sendiri agak sukar untuk dilihat dengan ini kita memerlukan orang lain yang memerhatikannya.


-Kena suruh anak dan isteri kita bertungkus lumus bersama dengan perjuangan untuk memasti kemenangan dikekalkan dengan ini mendorong petugas bertambah semangat untuk bekerja seperti baginda SAW bersama menggali parit ketika berlaku peperangan Ahzab dalam bulan syawal tahun 5 hijrah. Walaupun sahabat suruh baginda berehat, namun baginda tidak mahu berbuat demikian semata-mata untuk memberi semangat kepada sahabat yang lain dalam mempertahankan kota Madinah


-Aurat anak isteri mesti dijaga, kerana ini adalah penilaian awal masyarakat kepada perjuangan kita. Memelihara aurat adalah lambang yang membezakan kita dengan perjuangan orang lain. Pakaian adalah tanggapan awal untuk orang thiqah dengan perjuangan yang kita bawa.


Masyarakat akan tawar hati apabila ia melihat ketika berdegar-degar bercakap tentang Islam dan menyeru kepada perjuangan Islam, sedangkan anak isteri punya pakaian tidak melambangkan apa yang diucap.


19.11.08

CERPEN - ANU DAN DAULAT

Karya Abu Ihsan


Malam itu Anu cukup berpuas hati. Tidur yang ingin diambilnya, walau untuk hanya 3 jam sahaja, memang akan dipenuhi dengan impian yang manis-manis, indah dan bertenaga.

Dia masih ingat ketika mesyuarat tadi, semuanya penuh ceria dan bersemangat untuk mendirikan daulat. Masing-masing diberi tugas yang besar. Peranan mereka bukan alang kepalang. Ada yang menebas, ada yang menanam cerucuk dan ada yang mengumpulkan simen yang dibeli di sana sini untuk mencukupkan kuantitinya.

Anu ditugaskan untuk mengumpul dana. Dia sangat gembira dengan kerja ini. Bukan untuk riya' atau menunjuk bukti, tetapi untuk membina daulat. Dia tahu, jika dia gagal, gagallah daulat. Jika dia duduk diam sahaja di rumah, tiada siapapun tahu. Kalau dia tak ambil pot pun, bukan ada siapa yang nak marah. Tapi itu bukan sifat Anu.

Anu sungguh bersemangat, walaupun tugasnya adalah tugas paling penting. Paling kritikal. Paling susah. Mana nak dicari duit di tengah bendang yang terbentang luas ini. Kalau nak diharapkan hasil tuaian, masih jauh lagi. Yang lepas-lepas pun tidak berhasil sangat. Ramai orang kampung kecewa. Tapi itu bukan pembunuh semangat Anu.

Ani, ketua kaum ibu mereka juga lain macam semangatnya. Kerjanya kerja orang lelaki. Kerja yang dibuat oleh orang-orang yang belum mencecah usia 40 tahun. Tapi, Ani yang berusia 59 tahun itu, sanggup menerima tugas yang dicadangkan oleh Tok Kepala mereka. Kerja menebas tapak daulat. Kalau makcik Ani pun begitu luar biasa semangatnya, apatah Anu yang masih muda remaja.

"Kenapa Tok Kepala cadangkan kerja itu kepada makcik Ani?" tanya Anu dalam meeting. Tok Kepala hanya senyum. Tidak menjawab. Sebaliknya dia menyambung terus pengagihan tugas, selepas Ani setuju, Anu setuju dan semuanya setuju.

Anu masih berfikir tentang itu. Sepanjang meeting, dia ceria, bersemangat tetapi sukar melupakan kenapa Ani yang dipilih. Mukanya kejap-kejap melungu, kejap-kejap senyum sengeh seorang diri. Tok Kepala sedar dari awal lagi.

Pada akhir meeting, di kaki tangga Tok Kepala membisikkan ke telinga Anu, " saya mahu dapatkan rahmat daripada syura. Keputusan tadi terbukti syura dihargai. Keputusan dibuat kerana syura, bukan kerana Ani layak. Saya boleh beri orang lain yang lebih layak, tetapi bimbang kerja itu diikuti oleh sifat ujub seseorang, terlalu yakin, sehingga lupa syura dan Tuhan syura. Kerja menebas kerja asas daulat kita. Saya mahu ia dilakukan oleh Ani atas rasa rendah diri, bersungguh-sungguh, tawakal yang tinggi dan mendapatkan bantuan orang lain. Dengan itu, rahmat akan bertapak pada tapak daulat kita."

"Bayangkan ketika Ani menebas, Ana yang sibuk membuat air akan terus menghulurkan air ke mulut Ani. Apu yang sibuk mengangkat simen, akan ringan tulang mengutip rumput-rumput Ani. Kamu pula, saya percaya akan membantu makcik Ani menebas, setelah letih mencari dana. Bukankah itu kerjasama dan persaudaraan? Kamu tidak ada kaitan dengan dia, tetapi ikatan itu terbentuk dengan kerjasama" Panjang lebar Tok Kepala membisikkan ke telinga Anu yang sudah lama tidak berkorek itu.

Panjang Anu termenung. Berisi rupanya Tok Kepala mereka ini, fikir Anu. Setiap tugas, ada hikmahnya. Ada tiga empat matlamat, bukan satu sahaja, untuk siapkan kerja sahaja. Dia semakin menyayangi Tok Kepala.

"Tok!" panggil Anu.

"Ya Anu," ringkas.

"Kenapa saya dilantik mencari dana sedangkan saya tiada pengalaman perniagaan?" luah Anu yang dari awal ingin bertanya soalan itu.

"Anu, bukankah Tuhan memesan, orang yang kuat dan amanah dilantik jawatan? Kamu itu orang amanah, tidak tahu sombong, tidak biasa menipu, tiada kepentingan diri, dan muda remaja, kuat untuk ke sana ke sini meminta derma. Saya tak mahu orang yang kaya, orang niaga, tetapi tiada sifat rendah diri untuk meminta derma." Tok Kepala jelas berjela, tetapi tidak sepanjang tadi.

" Apakah kita hanya bergantung kepada derma tok? Bukankah berniaga itu sumber dana terbaik?" soal Anu.

Dengan senyum Tok Kepala menambah dengan penuh semangat, sambil membetulkan ekor serbannya, "Anu, kerja kita bukan setakat siap daulat. Ya, sekarang daulat belum terbina lagi. Meminta derma itu perkara biasa. Nanti bila daulat dah siap, cat dah berkilat, bumbung dah bergenting, laman dah berhias, mampukah orang berniaga terus menjaga daulat kita dengan mengumpul dana daulat dan lupakan hasrat untuk mendapatkan anugerah menebas rumput sekeliling daulat, ibarat kerja ikhlas yang dibuat Ani? Satu lagi, biarkan orang berniaga buat kerja lain dalam bina daulat. Sambil itu dia boleh niaga. Untung, kamu minta lah. Bukankah daulat dapat untung dua kali. Satu kerja dia, dua duit niaga dia"

Anu terus mengangguk dan faham benar pemikiran Tok. Dia tahu, Tok pandang jauh. Zaman susah bina daulat semua nampak beramanah dan konsisten. Zaman daulat dah siap, tidak semua mampu terus sederhana dengan cara hidup sebelum daulat siap, cara kerja sebelum daulat cantik dan cara membantu, bergotong royong sebelum daulat kukuh, macam yang Tok harapkan Ani dibantu.

Anu tak mahu fikir lagi. Dia tahu Tok ada wawasan jelas untuk daulat. Bina daulat bukan sekadar bina daulat, tetapi bina persaudaraan dalam daulat, bina manusia dalam bina daulat dan bina ikhlas, rendah diri dan tidak sombong dalam menebas rumput bersama Ani.

Anu juga tahu, semua keputusan dibuat secara berbincang, bermesyuarat dan berterus-terang. Semua dijelaskan dan semua orang tahu keputusannya. Hikmahnya, hanya yang bertanya akan dapat, macam Anu.

Anu sudahpun selesai solat witirnya. Jam sudah menunjukkan jam 2 pagi. Dia seronok malam malamnya dikorbankan untuk Islam. Isterinya juga faham. Jika dia rasa tak sedap hati, akan diajak isterinya berbincang, sebelum isterinya merungut kerana sibuk.

Anu tersenyum sebelum tidur. Hampir tergelak. Isterinya pelik.

"Hai abang, tadi nampak semangat dalam meeting tadi, kenapa tiba-tiba baca doa tidur tergelak pulak?" korek isterinya.

"Bukan apa isteriku, kan dalam meeting tadi Tok Kepala sergah Putu kerana tertidur dalam meeting, sehingga merah padam muka Putu."

"Ya, saya ingat abang"

"Tahu apa Tok bisik pada abang bila abang tanya apa hikmahnya?"

"Mana le saya tahu abang." sambil isteri Anu memeluk Anu, bukan menggaru kepala yang tidak gatal, kerana itu tidak berfaedah.

"Dia kata dia manusia biasa, hahaha." tergelak Anu mengenangkan pengakuan Tok yang juga ada emosi manusia biasa.

Isteri Anu makin rapat, sambil menambah "saya rasa ada hikmahnya yang dia suruh kita fikir abang, bukan setakat dia tidak terkawal geramnya pada Putu. Saya fikir Tok mahu semua tersentak dan berfikir bahawa kerja bina daulat ini kerja perjuangan. Kerja serius. Takkanlah boleh tertidur dalam meeting kerja besar macam ini" jelas isteri Anu diakhiri dengan sama-sama mereka membaca doa " Ya Allah jauhkanlah kami dari syaitan..."

Anu gembira dapat tunaikan kewajipannya siang dan malam.

Malam itu Anu termimpikan daulat yang cantik, ibarat istana indera kayangan yang boleh digunakan untuk masyarakat setempat solat, ceramah, tahlil, sukan, mesyuarat dan memasak-masak di dalam dan sekitarnya. Daulat itu terletak di tengah bendang nan menghijau itu. Binaannya sangat kukuh hasil persaudaraan penduduknya, yang semuanya manusia biasa.

18.11.08

ISLAM BOLEH ATASI JENAYAH. MALAYSIA MAHU?

Harakahdaily semalam melaporkan, kerajaan enggan mengambil kaedah Islam bagi menyelesaikan masalah jenayah yang kian meningkat mutakhir ini.


Kenyataan tersebut dinyatakan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Dato' Wira Chong Chee Heung kepada soalan tambahan Siti Zailah Mohd Yusof (PAS-Rantau Panjang) pada sesi soal jawab lisan sidang parlimen pagi ini.


"Kita tidak boleh buat sekali gus ala Kelantan kerana negara kita Malaysia ini majmuk yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama," katanya kepada sidang dewan.


Saya menafikan sama sekali dakwaan Timbalan Menteri tersebut yang kononnya Kelantan membuatnya sekaligus. Ia hanya alasan politik dan membuktikan kerajaan BN memiliki pemimpin yang sepakat ( wahdah al-fikr ) menolak penggunaan kaedah Islam sepenuhnya dalam menangani permasalahan jenayah di negara ini.


Kelantan masih berusaha. Ia berasaskan kepada kehendak yang betul. Ia telah memulakannya sejak 1990 yang lalu. Ia masih lagi melakukannya walaupun cabaran sepanjang jalan itu sukar. Ia berjaya dan gagal. Ada yang berjaya dibuat dan ada yang gagal kerana kekurangan kuasa. Jika Umno ada kehendak yang sama seperti PAS, apakah kita akan lihat Islam sempurna penguatkuasaannya di Malaysia? Insya Allah.

Tetapi, itu tidak mungkin berlaku, setakat bulan ini.


Apa yang penting ialah kehendak politik. Kehendak ini bukan boleh dibuat begitu sahaja oleh pemimpin negara, tanpa merujuk kepada kehendak parti masing-masing. Kehendak parti manakah di dalam BN yang hendakkan kaedah Islam dikuatkuasakan? Tiada, setakat bulan ini.


Saya tidak percaya kesemua pemimpin Umno menolak kaedah Islam. Tentu ada seorang dua yang ada kehendak seperti pemimpin-pemimpin PAS. Tetapi semuanya saya percaya tidak akan memperjuangkannya, kerana mereka berada di landasan sekularisme.


Seringkali kita mendengar isu masyarakat majmuk, kaedah pendidikan, tidak sekaligus dan kurang sesuai digunakan oleh pemimpin Umno, ketika mempertahankan sistem kehakiman dan perundangan yang wujud ketika ini. Kita bertanya kembali, apakah kerajaan sudah tiada pakar dan ahli akademik yang mampu mengkaji dan menangani segala isu yang dibangkitkan bagi membantu pelaksanaan kaedah Islam sepenuhnya? Jawapan saya, kerajaan atau negara memiliki begitu ramai pakar yang mampu menyediakan mekanisme terbaik kearah kehendak yang baik itu, jika hendak.


Pakar ini hendak buat atau tidak? Saya berkeyakinan mereka sentiasa hendak melakukannya, cuma ada yang tidak berapa hendak jika kerajaan tidak hendak. Atas kapasiti sebagai ahli akademik, mereka hanya membincangkan isu-isu daripada sudut akademik tanpa desakan yang konkrit ke arah itu. Mereka belum menyediakan proposal untuk diserahkan kepada PM sebagai satu memorandum tuntutan pelaksanaan kaedah Islam sepenuhnya bagi menangani jenayah di Malaysia.


Mereka adalah golongan yang hebat, berpengetahuan tinggi, terkenal di dalam dan luar, tetapi perdebatan dan muzakarah kaedah Islam sebegini hanya berlegar setakat universiti, dewan seminar, kertas naik pangkat dan seumpamanya.


Ketua mereka yang merupakan pakar-pakar akdemik ini pula bagaimana? Malang, kalau ketuanya juga berfikiran ala-ala Ketua Bahagian Umno. Saya yakin mereka yang merupakan ahli akdemik ini tiada kehendak politik, kerana mereka bukan orang politik tulen. Tetapi bagaimana "kehendak Iman"?


Ya, mereka sebagai orang akademik, sudah tentu menyerahkan segala kerja-kerja politik ini kepada orang politik. Itu betul. Mereka pula telah menjalankan kerja mereka sebaik mungkin. Mereka yang merupakan kakitangan kerajaan atau swasta, telah menyediakan segala-galanya, daripada sudut konsep dan pemahamannya ke arah itu.


Lihat sahaja di sini. Berpuluh pakar akademik dalam dan luar negara, bermula hari ini, berhimpun di Putrajaya bagi membincangkan isu-isu perundangan Islam dan konvensional serta perbandingannya. Apakah mereka ini tidak mampu menyelesaikan masalah-masalah yang selalu dirungutkan oleh pemimpin politik Umno? Saya yakin mereka boleh.


Tetapi, Ketua Hakim Negara dan Menteri Pengajian Tinggi Malaysia yang hadir, berkehendakkah untuk kaedah Islam yang dibincang, dibentang dan diseminarkan ini dibawa ke parlimen untuk dijadikan Enakmen Perundangan Jenayah Islam Malaysia?

14.11.08

ANTARA YANG MENARIK BELANJAWAN PERAK 2009

"BAJET KE ARAH NEGERI BERKEBAJIKAN"

  • Sebanyak 4,428 rakyat berpendapatan kurang RM700 menerima bekalan air percuma RM10 sebulan
  • Seribu hektar tanah kepada SAR dan SRJK Cina untuk diusahakan secara komersial
  • RM6 juta untuk dermasiswa rakyat RM1,000 seorang ke IPTA
  • RM 4.9 juta untuk pendidikan Islam - elaun guru/Penyelia KAFA, Tadika Islam dan bantuan per kapita SAR
  • RM1 Juta untuk Takaful Kifalah kepada kematian warga emas berusia 65 tahun ke atas
  • RM4.88 juta untuk kenaikan elaun bulanan Ketua Kampung dari RM 200 ke RM 400, dan SU JKKK RM200
  • 7. RM2 juta untuk Tabung Khas Kebajikan Rakyat - membantu dan memelihara kebajikan rakyat yang susah
  • RM1 juta untuk Tabung Pinjaman Peniaga Kecil tanpa faedah bagi membantu ibu tunggal/peniaga kecil
  • RM2 Juta untuk Urusetia Hal Ehwal Bukan Islam bagi aktiviti kebudayaan, keagamaan dan pendidikan
  • Peruntukan EXCO dinaikkan dari RM100 ribu ke RM150 ribu setahun
  • Peruntukan ADUN dinaikkan dari RM150 ribu ke RM200 ribu setahun
  • Tabung Pusingan Bantuan Bencana Alam di setiap daerah dinaikkan dari RM30 ribu ke RM50 ribu
  • Meluluskan 138 RPT untuk setinggan seluas 4,299 ekar yang boleh menempatkan 34,392 lot rumah
  • RM60 juta untuk JKR melaksanakan pelbagai projek baru
  • RM8.9 juta untuk JPS bagi rancangan tebatan banjir

Sumber: Perakdaily.com


10.11.08

TA'LIM, TARBIAH DAN TAZKIYAH

Tarbiah adalah program nadi bagi PAS. Apa itu tarbiah? Apa kaitannya kalimah itu dengan ta'lim dan tazkiyah?

Kalimah tarbiah di dalam PAS mempunyai makna yang luas. Ia juga telah merampas makna tazkiyah dan ta'lim pada sesetengah keadaan. Ringkasnya, apa sahaja program yang berunsur keagamaan, peringatan, fikrah, ilmu, nilai ibadah maka dipanggil program tarbiah. Qiamullail yang lebih dekat dengan tazkiyah adalah tarbiah. Usrah yang boleh jadi tazkiyah, boleh jadi ta'lim, dipanggil tarbiah. Kuliah haraki yang keseluruhannya berbentuk penyampaian sehala, turut dinamakan tarbiah.

Secara literasi, ta'lim bermaksud mengajar atau pengajaran. Tazkiyah penyucian. Tarbiah pendidikan. Antara mengajar, mendidik dan menyuci mempunyai makna-makna yang sama dan beza. Apabila Tarbiah di dalam PAS membawa makna yang luas, program yang sepatutnya mempunyai label khusus telah dilabelkan secara umum dengan label tarbiah.

Kesannya, ahli PAS terkeliru antara ta'lim, tazkiyah dan tarbiah. Lanjut, mereka turut terkeliru dengan kepentingan dan matlamat ta'lim, tazkiyah dan tarbiah. Sedangkan terdapat perbezaan besar pada ketiganya.

PAS, pada fikiran saya, perlu mengasingkan ketiga-tiga perkara ini agar perjalanan "tarbiah PAS" dapat dilakukan secara lengkap, bersepadu dan teratur. Sekurang-kurangnya pada penggunaan label sebenar supaya matlamat jelas.

Tidak mungkin pentarbiahan berjaya, jika pembelajaran terhadap ilmu-ilmu agama tidak diprogramkan secara baik. Tidak juga berjaya pentarbiahan dan penyucian jiwa, jika ahli tidak berminat langsung untuk mengikuti program ta'lim. Ta'lim bukan tiada di dalam PAS, tetapi tidak diatur baik.

Malang seribu kali malang, jika ada ahli PAS yang melihat pengajian di surau dan masjid sebagai program kelas kedua, tidak berjiwa 'perjuangan' dan tidak penting. Ia berlaku kerana mereka tidak memahami kepentingan ta'lim dalam pentarbiahan. Malah ada yang menilai kesusahan menghadiri mesyuarat parti, jauh lebih bersifat 'jihad' berbanding kesusahan mengaji agama di surau dan masjid. Betulkah begitu?

Bagi saya, itu tidak betul.

Ta'lim adalah asas pada tarbiah, kerana pada ta'lim ada ilmu yang tersusun. Jika ta'lim ditinggalkan, maka dibimbangi hanya akan menghasilkan jem yang hebat.

9.11.08

SEKADAR HIBURAN, CUKUP!

Seronok. Memang menyeronokkan apabila berita-berita hiburan Umno menjadi hidangan harian kita. Bukan setakat surat melayang, bahkan kerusi, meja, pensil dan genggam jari. Datang dari mereka, sampai ke wajah mereka. Kita, tersengih pun dah memadai.

Hiburan begini bermusim. Tidak sepanjang tahun. Bukan juga setiap tahun. Ada musimnya. Sekarang adalah musimnya.

Tapi, cukuplah jadikan semua berita itu sebagai hiburan ringan. Tidak lebih daripada itu. Jangan sampai kita pula seronok mengulas itu, mengomen ini, menaikkan itu, menaikkan ini, secara berlebihan. Sikit-sikit ok. Lebih-lebih pelik.

Apa tidaknya, Nabi telah menunjuk arah, "Antara tanda-tanda Islam seseorang itu sempurna, meninggalkan peduli apa yang tiada kaitannya."

Umno, kita boleh peduli dengan pemikiran PARTI ITU, hala tujunya, kebaikannya dan keburukannya, pada tahap memberi kesan kepada agama dan perjuangan kita. Juga memberi kesan kepada baik buruk manusia lain. Jika mana-mana yang melibatkan mereka, tidak melibatkan kita, apa perlu kita peduli?

Siapa lawan siapa, perlukah kita kaji jika semuanya sama, ke arah perkauman tegar dan sekularisme kotor? Isteri siapa bertudung, isteri siapa kaki boros, memberi kesankah kepada muslimat kita untuk kita riuh rendahkan? Siapa banyak pencalonan, siapa tidak layak, menghabiskan ruang dakwah kita, wajarkah berlaku begitu? Membuang masa meneka siapa menang siapa kalah, apakah perlu disinggung mendalam seperti menjadi agenda kerja kita pula?

Aduh, biarkanlah mereka. Naiknya Najib, turunnya Pak Lah, menangnya Muhyidin, kalahnya Ibnu Rustam, Umno tetap dengan perjuangan mereka.

Mari kita bincang masalah kita, hal kita anak-beranak dan tarbiah kita yang berliku jalannya.

8.11.08

LEPASKAN AZHAN ATAN

Saya melihat kepada beberapa sikap segelintir aktivis gerakan dakwah yang saya sendiri kurang bersetuju. Pertama, cuba mencari jalan pintas untuk kerja sendiri dan kedua mahu semua orang menjadi seperti mereka.

Sebaik sahaja Azhan Atan memenangi Akademi Nasyid anjuran TV9, beliau menegaskan mahu terus dibimbing oleh alim ulama dalam kerjaya/kerja barunya sebagai penasyid. Maknanya dia masih mahu bernasyid, bukan berhenti nasyid untuk jadi ahli politik sepenuh masa. Harapan dia, landasan nasyidnya nanti tidak terpesong daripada ruh perjuangan politiknya.

Oleh itu, tindakan sewajarnya yang harus kita lakukan ialah, membantunya dalam menetapkan identiti sebagai penasyid islami, membantunya menjayakan matlamat dakwah melalui nasyid secara lebih terbuka dan tidak terputus daripada gerakan yang dipilihnya sebelum bergelar juara.

Tetapi, apa yang saya perhatikan, ramai telah mengikatnya dengan program kepartian secara terbuka sehingga menyebabkan beberapa kerugian berlaku. Dengan tindakan segera orang parti atau orang dakwah ini, TV9 mungkin membatalkan apa-apa perancangan yang mereka telah aturkan, seperti jelajah tanah air dengan program sua rasanya, merekodkan satu dua lagu dan seumpamanya. Itu bermakna satu kerugian lain berlaku apabila beliau tidak sempat untuk popular di tengah masyarakat terbuka.

Bagaimana anda ingin penjadi pendakwah hebat menerusi lagu-lagu islami, jika tidak popular, tidak muncul di televisyen dan tiada album? Kenapa Azhan tidak mungkin popular? Jawapannya, syarikat mana mahu mengambil risiko kerugian dengan mengambil Azhan ( yang telah di'rampas' oleh orang politik pembangkang ) sebagai artis rakaman mereka?

Saya tidak mengatakan dia seperti terputus sayap untuk terbang berdakwah. Masih boleh. Cuma sudah koyak sana-sini. Maka sukarlah untuk 'burung' ini terbang tinggi. Dia tetap berdakwah. Tetapi seperti kita sahaja, berdakwah dengan ahli, penyokong tegar dan sedikit pemerhati berani. Masyarakat luar, mungkin kempunan mengenali siapakah Azhan!

Tidak rugikah apabila Azhan yang mungkin menjadi salah satu penasyid popular yang memiliki ruh gerakan Islam, terdampar di pentas program politik kepartian yang tidak memberi impak besar yang sewajarnya, sebagai juara akademi nasyid kebangsaan?

Puncanya, mereka mahu senang dalam kerja menarik orang, hanya uar-uarkan namanya yang masih kecil itu dan mahukan Azhan seperti mereka, aktif dan hadir dalam program parti, walaupun sebenarnya dia berpeluang berdakwah di medan lain.

7.11.08

MB: Perak SEDC CEO Ordered To Submit Report On RM100m Losses – The Edgedaily.com

IPOH: The Perak state government has ordered State Development Corporation (SEDC) chief executive officer Datuk Shamsudin Hashim to submit a detailed report on the more than RM100 million losses suffered by several subsidiaries.

Menteri Besar Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin said the losses suffered were actually a cumulative figure by several subsidiary companies and not by one company as reported last Friday. The report is inaccurate as not one company with a RM50,000 paid-up capital incurring more than RM100 million losses.

“It’s a cumulative figure involving several companies,” he told reporters after a meeting with Perak Penghulus’ Assocation here yesterday.

Asked whether the losses were incurred from foreign investments, Mohammad Nizar said they were mainly from investments besides various other ventures.

“Investments made in and outside the country ended up in losses. Besides that, several housing projects cannot be sold. Hence, several companies accumulated the losses over a long period,” he said.

Mohammad Nizar said the state government would make public the reasons for the huge losses after perusing the report.

Asked whether there was any truth in earlier claims that the losses also stemmed from failed foreign investments by one subsidiary company, Cherry Blossom Sdn Bhd, he said: “It is one of them and I will confirm it later.” — Bernama