30.4.09

NIK ABDUH TEMBAK PENJAHAT, DIA YANG DIBALUN

1. Saya sedikit bengang apabila membaca artikel Ustaz Nik Abduh yang beserta dengan komentar-komentar di bawahnya. Bukan bengang kepada artikel, tetapi komentar. Saya mencari-cari dosa besar yang dilakukan oleh Nik Abduh. Tiada nama yang disebutnya. Tiada siapa yang diumpatnya. Mungkin kerana dia melontar pelurunya secara umum menyebabkan mereka yang ada kaitan atau boleh dikaitkan dengan istilah pembantu-pembantu politik Tok Guru berasa marah?

2. Apa yang saya tahu, ada pelaga, ada pemberi maklumat palsu, ada pemecah antara dua tokoh dan ada pendedah kepada umum, dalam artikelnya. Dengan dedahan itu, ramai juga yang marah kerana kata mereka itu ibarat menyelak kain parti. Yang mendedah adalah Ustaz Nik Abduh. Memang betul, parti terjejas. Tetapi besarkah jejasnya? Apabila orang ramai tahu Tok Guru mendapat maklumat palsu, apa yang malu sangatnya? Ketika Tok Guru marah dan tembak Presiden dan Cikgu Pa suatu ketika dulu, kita tak terasa malu? Ketika itu, tak malu dan tak terasa imej parti tercalar? Sebab apa kita diam? Sebab kita tak suka idea Presiden dan Cikgu Pa?

3. Eh, bukankah itu lebih memalukan? Dua tokoh bertelagah pandangan secara umum dalam akhbar. Tak maluke? Yang ini, hanya dakwaan ada orang tipu pimpinan. Yang itu, dua-dua dah bertelagah idea. Mmmm dan rupa-rupanya ada yang menerima maklumat palsu sehingga menyebabkan dua-dua berbeza dan bertelagah. Eh, tak jahat ke pelapor palsu? Aduh, kenapa pendedah yang dibalun, sedangkan pelaga, pemberi maklumat palsu dan pemecah antara dua tokoh tidak menjadi isu?

4. Lantaran itu, berwaspadalah. Isunya hanya pada usaha bodoh itu. Janganlah ada yang mengulas sana-sini entah apa-apa, termasuk pimpinan PAS tertentu. Kenapa tak marahkan pelapor palsu itu. Jika tiada bukti, mintalah bukti, bukannya "membunuh" pelapor. Apa sudah ada dewa dalam PAS?

5. Saya bengang bagi mereka yang mengulas luar topik dan menghina Nik Abduh. Dalam masa yang sama, saya belum mengiyakan apa-apa dakwaannya selagi belum cukup pendedahannya. Ulasan saya inipun berdasarkan kepada zahir artikelnya. Namun, saya yakin, beliau penuh dengan bekalan, kerana saya juga ada sedikit sebanyak bekalan itu, bermula dari isu Cikgu Pa, isu calon Kuala Terengganu dan kini isu UG. Malah ramai yang tahu pun. Oleh kerana ada yang termakan cilinya, mulalah melatah-latah. Apa nak buat, kerajaan idaman di hadapan mata.

6. Doakan sahaja untuk kemenangan Islam di bawah payung suci PAS yang tulen. Kalau Nik Abduh salah, tahulah Allah menghukumnya. Kalau dia benar, tahulah Allah menghukumnya.

28.4.09

MEMILIH PEMIMPIN PAS (1)

1. Gagasan Kepimpinan Ulamak tidak pernah kedengaran pada zaman Nabi saw. Memang pun begitu sepatutnya. Juga tiada terdengar ketika khilafah Umaiyyah dan Abbasiyyah. Justeru, ramailah yang beranggapan, itu gagasan baru, yang tiada apa-apa kaitan dengan yang dulu-dulu.

2. Apa yang muncul pada usia Nabi saw masih berbaki ialah usaha mengulamakkan para sahabat, sehingga mampu menjadi sahabat yang ulama dan bijaksana dalam gerakan, dakwah dan kepemimpinan. Lantaran, gempitalah pujian melangit terhadap mereka yang berilmu, memahaminya dan menjaga amanah ilmu tadi.

3. Hadis, sirah, sejarah dan rekod perjuangan Nabi Muhammad saw dan para sahabat yang lain dipenuhi dengan cerita dan kisah menarik seputar ilmu ad-deen mereka selain jihad, bijaksana dalam menghukum dan kasih sayang sesama insan. Maka, itulah bukti kukuh dan jelas bahawa mereka semua adalah ulamak atau peminat ulamak yang turut mendalami sebanyak mungkin ilmu agama daripada Nabi saw sendiri.

4. Jelas lagi bersuluh, mereka ialah ulamak yang bekerja. Menjawab sebelum bertanya dan menjelaskan selepas persoalan terkumpul tersusun. Tidak perlu dibandingkan antara kepimpinan ulamak dan kepimpinan Islam. Kedua-duanya sukar berpisah dan mustahil jika Islam mahu ditegakkan tanpa ulamak memimpin. Sesungguhnya, antara ulamak yang memahami pentadbiran dengan tokoh politik yang sedang mendalami hukum, biarlah ulamak sentiasa di hadapan.

BABI PUNYA CERITA

1. Semalam sahabat saya tidak berkudrat ke pejabat. Alasannya, hilang suara, tekak sakit dan hidung selesema. Saya terus mengusik dengan sms, " syeikh, flu mukhaffafah ke mughallazah?". Segera dia balas, "nauzubillah, mukhaffafah aje". Saya baca dengan biasa. Tak lega manapun, sebab dah tahu, jenis penyakit kebabian ini masih belum masuk ke Malaysia, alhamdulillah.

2. Lantas teringat saya kepada projek pertama kerajaan Selangor Pakatan Rakyat tahun lepas yang menjadi pertikaian segala pejuang Melayu dan keris. Dah macam tak ada kerja lain agaknya kerajaan ini, yang dijaganya hanya kebajikan apek2 dan tokeh2. Itulah hentakan mereka di mana-mana, termasuk tibitigasuku.

3. Kini, apa agaknya perasaan pejuang Melayu ini? Lebih-lebih lagi Melayu yang tak jauh manapun dari ladang-ladang ini. Eh, penyakit yang dekat Mexico tu pun mengecutkan segala manusia di Kuala Lumpur, apatah pula ladang babi yang terdedah dan terbiar seperti sedia kalanya, di mana-mana tempat di Malaysia. Tidak berbangkit lagi perihal dekatlah, kawasan Melayulah. Kini yang menjadi tuntutan, di mana sahaja, hatta di dalam gua pun, mesti ladang ini diurus baik. Tiada jaminan, kalau ladang ini terbiar dan terdedah di hujung Perak, orang Melayu Selangor akan rasa selamat.

4. Dalam media khabar hari ini, sibuk pula orang-orang PPIM berhujah. Dulu, time orang besar Selangor nak tolong selesaikan, tak nampak pula berhujah menyokong? Itulah Melayu.

5. Tajuk entri ini perlu dibaca sebagai perihal cerita babi yang tidak sudah-sudah. Rupa-rupanya memang apek Malaysia tidak cukup babi, sehingga diimport dari Mexico, Canada, Vietnam dan lain-lain lagi. Huh, kuat benar selera mereka.

27.4.09

SATU ENTRI TANPA NAMA

Assalamualaikum wbt

1. Saya bukan orang Kelantan, tetapi pernah belajar di sana. Saya bukan pemain bola yang hebat, tetapi saya sempat hebat menyokong pasukan hebat saya. Dua malam lepas, saya tidak menjadi penyokong hebat Kelantan, sekadarnya sahaja, tetapi tetap kecewa. Orang Perak gagal di Kelantan. Tak apa Yob, cuba lagi. Perak dan Kelantan akan bersatu jua nanti.

2. Sudah jarang kedengaran cerita-cerita menarik dari Perak. Mungkin saya perlu menjenguk kampung untuk mendapatkan maklumat yang segar. Teringat juga kepada mee udang yang menjadi rebutan pendatang di Kuala Sepetang, beberapa minggu lalu. Saya anti kepada udang kerana resdung yang bermaharajalela, tetapi ketika melahap mee udang, saya maafkan diri saya. Nak hidup katakan.

3. Ketika berkempen ramai yang sanggup turun ke Bukit Gantang. Ketika bekerja, harapan saya agar adalah juga yang akan membantu Ir Nizar untuk melaksanakan tugasnya. Bijaklah PAS Perak menarik orang ramai untuk turun lagi ke Bukit Gantang. Kempen gotong royong ke, kempen makan besar ke, kempen sukan rakyat ke atau kempen kebajikan.

4. Sebelum terlupa, entri kali ini tidak bertajuk khusus. Semua yang terlintas di benak saya sebelum ini, itu yang saya cuba letakkan di entri ini. Pilih yang mana ok, maka saya susunkan ayatnya. Seperti yang pernah saya uar-uarkan ketika mula berjinak-jinak dengan medan blog begini. Saya menulis bukan kerana nama, tetapi memang untuk belajar menulis. Syukur sangat apabila ada pembaca bagi setiap latihan tulisan saya. Terima kasih.

5. Teringat kepada tulisan al-fadhil Ustaz Nik Abduh. Mmmm ramai yang terpesong atau sengaja mengelak daripada isu sebenar. Saya memilih isu sebenar ialah kerja sesat melagakan dua pimpinan sendiri. Itu yang utama - bukan kerajaan perpaduan, bukan Tuan Guru lemah dan gagal menolak dipengaruhi, bukan mendedahkan kelemahan sendiri, bukan dua puak atau klik, bukan ulama dan profesional bertembung dan bukan anai-anai - yang menjadi isu utama dalam entri beliau. Bacalah dengan hati dan tafsirkan dengan penuh hemah.

6. Kerja sesat dan gila bagi orang yang menjadi pembantu kita, memang benar-benar membuktikan orang itu sesat dan gila. Bukankah begitu? Pelikkah ianya berlaku begitu? Kita cuba lihat lebih luas, lebih umum dan lebih terbuka. Kalau seorang ulama boleh gugur dengan dunia, harta, takhta dan iblis, apakah seorang ulama itu maksum daripada tipu daya syaitan manusia yang menyesatkan? Itulah manusia biasa yang bukan Nabi dan Rasul. Tiada jaminan maksum dan sentiasa OK.

7. Biarpun hujah Ustaz Nik Abduh dalam isu kerajaan perpaduan kuat atau lemah, kerja gila yang didedahkan oleh beliau tetap dan masih berstatus gila. Paling kurang, gila jawatan.

8. Nik Abduh gagal memahami sindiran ayahnya? Ya, saya bersetuju itu diperbahaskan jika ayat itulah satu-satunya bahan fikir dan kaji beliau terhadap ayahandanya. Kalau begitu, saya juga boleh mengandaikan, memang itu satu sindiran. Hakikatnya, tidak begitu. Bukan itu sahaja bahan pembedahan beliau. Bukan itu sahaja hujahnya untuk menggambarkan sokongan ayahandanya. Sambil menunggu giliran nak ke tandaspun, mereka boleh berbahas sama.

9. Oh, mungkin juga pengkritik Nik Abduh berasal dari kem yang berbeza. Kem yang berlawanan. Kem yang sentiasa memusuhi kem Nik Abduh. Tetapi, saya percaya biar hebat mana sekalipun kem MU, ia tidak menjadi hujah bahawa Nik Abduh salah hanya kerana menyokong Liverpool. Ustaz, u will never walk alone...

10. Ohh, kini, Ihsan Izziddeen kini sedang nyenyak tidur. Biarpun dia tidak sedar abahnya di sisi, saya amat berpuas hati menatapnya. Nikmat seorang anak, hanya ibu dan abahnya sahaja memahaminya. Doa saya, selalunya begitulah, mahu Ihsan melatakan kebaikan dan kebajikan, berseiring dengan pembaikan.

11. Ketika letih, otak memang serabut. Tulisanpun tak menentu. Apatah lagi bagi seorang pelatih. Sebaik saya bersedia nanti, mari kita menjenguk persiapan perwakilan PAS membuat pilihan.

10.4.09

BAGAIMANA TOK GURU NIK AZIZ MELEPASKAN JAWATANNYA NANTI?

Sejak akhir-akhir ini, saya sering kesuntukan masa untuk menulis atau mengemaskini blog ini. Isu PPSMI dan demo berkaitannya tidak pernah saya coretkan di sini, walaupun banyak yang boleh saya kisahkan.

Pengalaman berdebat dengan adik polis yang beriya-iya bertanya "apa buktinya kamu kena gas pemedih mata, tak nampak pun, tapi kereta polis ini jelas cerminnya pecah dibaling dengan batu besar" memang menarik untuk dikenang.

Saya juga tidak sempat lagi untuk menceritakan kisah-kisah menarik sepanjang hari penamaan calon di Bukit Gantang dan hari undian pada Selasa lepas. Juga menarik jika dapat menceritakan kisah budak-budak mentah pasar malam Paya Jaras yang diupah oleh Umno Batang Kali untuk berkempen.

" Kerajaan BN ada juga buat jalan, PAS buat apa, guna jalan BN juga" karut seorang daripada mereka.

Seorang lagi berkata "rasuah pun sesama Melayu juga, dapat bantu kaum sendiri, tapi PAS kena cucuk hidung oleh DAP" dengan penuh yakin sambil melakonkan gaya seekor lembu.


PERALIHAN

Di celah-celah kempen tersebut, sempat juga kami bercerita tentang peralihan kuasa antara Tun Lah dan Tok Jib.

Juga perihal terkini kepemimpinan PAS Kelantan. Isu yang selalu disentuh oleh saya jika menyebut PAS Kelantan ialah pengganti kepada Tok Guru.

Saya ingin menyinggung sedikit isu ini sebagai bahan bacaan sampingan, di sisi bahan-bahan politik semasa yang menjurus kepada peralihan kuasa negara, PRK dan kabinet Tok Jib.

Saya tak tahu dan tak pasti situasi sebenar, namun saya merasakan seolah-olah ramai daripada kalangan ahli PAS mahu kepimpinan Tok Guru sebagai MB berterusan sehingga penghujung hayatnya. Wallahu a'lam.

Bagi saya, Tok Guru wajar melepaskan jawatannya pada masa kini, iaitu selepas kemenangan besar PAS di dua parlimen dalam PRK baru-baru ini, dan sebelum beliau menghembuskan nafasnya yang terakhir.

Di khabarkan, antara faktor utama mengekalkan Tok guru adalah kerana beliau merupakan unsur penyatu bagi semua manusia yang dikaitkan dengan PAS Kelantan. Jika ditukar kepada tokoh lain, dipercayai bahawa elemen penyatuan itu semakin longgar. Itu bahaya bagi Kelantan. Sejauh mana benarnya, hanya PAS Kelantan sahaja yang tahu.

Namun, banyak lagi perkiraan lain yang diambil cakna.

Persoalan saya di sini ialah, apakah Tok Guru mampu memindahkan kelebihannya itu kepada orang lain selepas kematiannya nanti? Maksud saya, selepas beliau tiada, apakah penggantinya secara otomatik mampu memainkan peranan penyatu yang sama seperti beliau?

Jika tidak pasti, maka bagi saya langkah paling baik ialah melepaskan jawatan itu ketika beliau masih lagi bernyawa dan masih lagi mampu menjadi penyatu kepada semua pihak.

Abu Bakar mengganti Nabi saw selepas wafatnya baginda, dan Abu Bakar ditaati. Omar mengganti Abu Bakar dan Omar ditaati. Othman menggantikan Omar dan Othman ditaati majoriti umat Islam, di samping kelebihan yang terserlah sebagai seorang sahabat yang mulia. Juga Ali ditaati dan diyakini selepas menggantikan Othman yang mati sebelumnya. Allah meredhai semua para sahabat ini.

Tuan Guru Nik Aziz, bagaimana pula beliau melepaskan jawatannya? Selepas mati atau semasa masih mampu menjadi ejen penyatu, penasihat, penegur, pembetul dan pendidik?

Saya memilih untuk melihat Tok Guru Nik Aziz sempat menjadi pendidik dan pembimbing secara langsung kepada penggantinya untuk jawatan MB Kelantan, dan beliau masih seorang Mursyid Am.

Saya percaya itu sangat wajar.

6.4.09

PETRONAS, JANGAN MALUKAN NAMA SENDIRI DENGAN KERJA BODOH BUDAK-BUDAK SIC

* Tajuk asal artikel ini ditukar pada 10/2/10 demi meraikan pemberhentian Tan Sri Hassan Merican daripada Petronas.

Saya telah mengambil cuti untuk ke Bukit Gantang pada hari ini, Isnin dan Selasa, esok atas dua sebab. Pertama pada hari Sabtu dan Ahad saya tidak bercadang untuk ke Bukit Gantang kerana sudah pasti ramai yang dapat hadir. Kedua, untuk menumpukan kepada kerja-kerja akhir yang sangat penting, termasuk ingin mengikuti saat pengumuman keputusan.

Oleh itu, petang Ahad semalam saya berkesempatan untuk merasai secara "live" Petronas Malaysian GP F1, untuk kali pertama.

Perlumbaan ini bukan bidang saya. Tak pandai untuk saya mengulas sebab apa Button boleh memintas semula, kenapa ada kereta yang terbabas, apa sebab bunyi gear terlalu kuat macam bunyi letupan c4 dan bermacam-macam lagi. Apa yang menarik untuk saya ulas di sini ialah, budaya be end memang wujud di SIC rupa-rupanya.

Bagi saya yang pertama kali datang ke sini setelah 10 kali Malaysia menganjurkannya, saya tidak boleh terima beberapa kelemahan asas pada sirkit ini.

1. Jalan utama ke SIC berkongsi dengan jalan utama ke LCCT. Bukankah amat menyusahkan pengguna LCCT, malah amat menakutkan mereka semalam apabila jem gila berlaku untuk kali pertama bagi perlumbaaan ini kerana ketika kick off kami masih di tengah-tengah jem gila.

2. Kawasan parking yang tidak terjaga dan terurus, seperti sedang memarking lori kecil untuk mengutip kelapa sawit.

3. POLIS TRAFIK TIDAK BIJAK ( Polis Malaysia ) sebab membuat pengasingan kereta betul-betul di hadapan pintu masuk utama. Itulah punca jem gila ini. Sepatutnya mereka buat pengasingan lebih awal, supaya mana-mana kereta yang mempunyai sticker untuk kawasan parking di hadapan boleh terus laju ke hadapan tanpa berhenti di situ.

4. Jalan bertar dan berturap untuk kereta dan pejalan kaki di kawasan parking, betul-betul sama macam kualiti turapan jalan ketika pilihanraya kecil.

5. Air tandas kotor, dan lampu tidak menyala langsung untuk semua tandas yang saya gunakan. Menjadi sangat bermasalah ketika hujan dan ketika akhir perlumbaan, yang ketika itu sudah masuk jam 7 malam. SIC tidak fikir langsung keperluan itu setelah kick off di lewatkan pada jam 5pm.

6. Khemah information di bahagian Grand Hill, macam khemah panas Umno sahaja, tiada komputer/laptop, tiada tv, tiada sistem pembesar suara, tiada sebarang carta, tiada maklumat langsung, khususnya ketika kami terpinga-pinga apakah perlumbaan akan disambung semula atau ditamatkan. Apa yang ada hanyalah edaran peta dan panduan secara percuma. Kami berada di "hidung" Tun, kata sahabat saya.

7. TV dan speaker besar yang terletak di tengah-tengah track menghadap tempat kami, mudah rosak ketika hujan, menyebabkan kami amat terganggu. Tak jelas langsung apa yang disampaikan oleh penganjur. Kalau dah tahu Malaysia banyak hujan, kenapa tak buat bumbung untuk speaker dan tv/skrin besar yang terletak di tengah-tengah track itu.

8. Surau terletak di hujung bukit tempat kami berada. Agak jauh, tapi tak apalah, sebab bukan semua rakyat Malaysia yang hadir kaki solat. Rakyat kerajaan BN kan. Tapi, apahal yang lampu pun tak menyala? Mokhzani mungkin tidak terfikir ada rakyat Malaysia yang akan solat Maghrib secara meraba-raba di surau itu. Tapi, kalau anda ingin ke tempat yang sangat terang, pergilah ke medan di mana konsert sedang berlangsung.

9. Bumbung tempat kami bersantai dibuat secara ala kadar sahaja. Tidak banyak membantu ketika hujan turun. Lebih parah sistem aliran/alihan air yang lemah apabila air dari bahagian atas mengalir laju ke bawah melalui kawasan kami yang berbumbung. Tak ubah macam kami sedang menonton perlawanan bola sepak di kampung semasa kecil dahulu, bersidai-sidai di tepi parking basikal, dinding dewan dan bawah pokok besar.

10. Paling melucukan kami ialah kawasan pejalan kaki ke parking dan ke Mall serta kawasan parking kereta sungguh gelap gulita. Tak terfikir agaknya orang-orang Malaysia ni apabila perlumbaan bermula jam 5pm, habis jam 6.30pm, sudah tentu malam sempat muncul untuk menunggu penyuraian trafik semua penonton yang hadir. Kalau saya paparkan gambar kami solat Maghrib, berjalan kaki ke Mall dan kembali ke parking, tentu anda mati-mati tidak akan percaya kami sedang pulang dari Petronas Malaysian GP Formula One, antara sukan termahal di dunia. Huhu.

11. Tapi ok jugak, semasa berjalan meraba-raba itu, saya teringat nostalgia silam bersama arwah ayah saya pulang dari kebun durian ketika waktu hampir Maghrib, nostalgia pulang dari surau semasa kecil dahulu, nostalgia bermain nyorok-nyorok di tengah malam dalam kuarters JPS di kampung saya dan ringkasnya nostalgia zaman 80an lalu, ketika kami berada pada kurun wifi ini.

12. Alhamdulillah, nasib baik ada shuttle dari Mall ke kawasan parking, tapi apa hal kalau kawasan parking kereta kami gelap, hahaha. Alamatnya, memang kami tak tahu langsung nak turun kat mana, akhirnya kami terlajak jauh ke hadapan daripada kawasan parking kami. Kelakar juga ada sekumpulan Cina ( tak pasti Malaysian atau Chinese ) dah satu round naik shuttle tersebut, tapi tak tahu nak turun tang mana.

13. Lagi kelakar, semasa kami sedang menunggu rakan ambil kereta dia, dua orang Cina berlari menjerit terlolong dengan penuh gembira selepas turun dari shuttle menuju ke kereta mereka..." final we find our car" terdengar jeritan mereka berdua. Kami pun tumpang gelak hahahaha ( pada SIC )

14. Saya dengan insaf, menerima mesej penting SIC kepada rakyat Malaysia dan penonton dari seluruh pelusuk dunia, beginilah susahnya pekerja ladang kelapa sawit di Malaysia yang tidak pernah terdapat ladang yang berspot light. Mmmmmm. Terima kasih Petronas.

15. Saya kecewa, ketika perlumbaan dijadualkan bermula jam 5pm, tak terfikirkah SIC bahawa jika hujan lebat turun, maka perlumbaan perlu diberhentikan seketika dan jika bersambung semula, Malaysia sudah gelap? Hampas sungguh. Kali pertama saya mengeluarkan saham untuk gembira meraikan saat akhir perlumbaan, ianya tidak berlaku, malah lebih setengah jam kami lepak-lepak, terpinga-pinga, baru tahu perlumbaan dah berakhir. Hampas sungguh.

Rupa-rupanya SIC ni satu lagi projek orang-orang BN, hahahaha. Tan Sri Hassan Merican, tolonglah jangan malukan nama Petronas dengan kerja dan otak bodoh budak-budak SIC ini.

Wassalam.

5.4.09

TUN DET KEMBALI, SELEPAS PULIHKAN IMEJ MELALUI KELEMAHAN TUN LAH

Sudah dua kali Tun Det keluar masuk Umno. Dua kali itulah orang-orang besar PAS cuba berbaik-baik dengan beliau. Dua kali itulah orang-orang itu seperti dipermainkan oleh Tun Det. Dua kali lah malunya orang-orang besar. Dua kali dipatuk di tempat yang sama? Entah la.

Tun Det dengan selamba dan tanpa berperi kemanusiaan telah memasuki semula Umno di atas penghinaan terhadap Tun Lah. Tun Lah letak sahaja jawatan PM, arakian maka segeralah Tun Det masuk. Selagi Tun Lah belum masuk, Tun Det berada di luar. Kalaulah Tun Lah bermenteri perdana sehingga hujung nyawa, mungkin gamaknya Tun Det kempunan masuk Umno sampai hujung nyawa dia.

Kenapa cepat sangat Tun Det masuk Umno? Apakah Tun Det sebenarnya mahu orang tahu dia berkuasa ke atas Umno dan peralihan kuasa atau mahu Tuk Jib tahu, sedar dan beringat supaya jangan sisihkan dia?

Saya memilih yang kedua. Tun Det sebenarnya mahu menekan Tuk Jib dan mahu dia beringat bahawa kalau Tun Det disisihkan seperti apa yang dilakukan oleh Tun Lah, itu dianggap melanggar tulah Tun Det. Akibat langgar tulahlah maka Tun Lah kena belah. Itu idea saya.


TUN LAH DIKAMBING-HITAMKAN

Mungkinkah sebenarnya Tun Det mahu mengkambing-hitamkan Tun Lah sebagai Menteri Perdana yang menjadi perosak negara dan parti? Kalau itulah yang berlaku, maka memang Tun Det hebat. Kini Umno punah akibat lemahnya Tun Lah. Negara bermasalah akibat lemahnya Tun Lah. Sehingga Tun Lah yang nampak sopan itu telah kelihatan lebih zalim daripada Tuk Jib, apabila Tun Lah tangkap orang masuk penjara ISA, tiba-tiba Tuk Jib pula bebaskan.

Orang tidak lagi marah pada Tun Det akibatkan negara lemah, Umno berpecah, rakyat menjadi marah dan pembangkang makin kuat. Tun Det malah menjadi hero semula apabila memasuki semula Umno selepas era penuh lemah dan celaru Tun Lah. Huh, memang hebat Tun Det ini.

Kalau dulu, ramai orang Umno marahkan Tun Det menjadi punca reformasi, kini Tun Det dialu-alukan untuk menghidupkan semula Umno. Jelaslah, Umno tetap Umno walau siapapun pemimpinnya. Jangan kita tertipu, selagi mazhabnya Umno, memang pi mai pi mai tang tu juga tahap otak puak-puak Umno ini.

Nanti, kalau Tuk Jib gagal, apakah warga Umno mahukan Tun Det ambil alih kerajaan? Apa sahaja boleh dilakukan oleh Tun Det ke atas Tuk Jib, kerana Mahathir tahu tang mana lemahnya Tuk Jib. Kalau Tun Lah diuar-uarkan selalu tunduk pada anak menantu, kini boleh sahaja Tun Det heboh mengatakan Tuk Jib selalu tawadhu' di sisi Opah Ros.

Kita nantikan, apakah Tun Det dibelai baik oleh Tuk Jib atau sebaliknya. Ye lah, kalau Tun Lah yang lemah itupun berani lawan dan sisih Tun Det, takkan Tuk Jib tak berani? Tuk Jib lagi kuat berbanding lemahnya Tun Lah.

Oh ya, bagi orang-orang besar PAS yang tak sabar-sabar nak mengadap Tun Det suatu ketika dahulu, tengah buat apa pagi ini? Mungkin apa yang dimahukan oleh mereka sudah tercapai?

Jika matlamat mereka sekadar mahu menang pilihanraya yang lepas, nampaknya memanglah telah tercapai. Jadi, kalau dimomokkan sebagai tertipu dua kali, maka taklah mengapa sangat, asalkan Tun Det telah membantu pembangkang menang 4 negeri campur wilayah persekutuan baru-baru ini.

Tahniah kepada orang besar PAS yang berjaya "mempergunakan" Tun Det. Tapi jangan lupa, Tun Det sedang kembali selepas 5 tahun berehat sambil memperbaiki imejnya sendiri melalui kelemahan Tun Lah.


TUN DET MAHU TERUS MENJADI DIKTATOR?

Ketika Presiden PAS lontarkan idea Unity Goverment, Tun Detlah antara orang berjiwa Umno yang kuat melawan. Kenapa? Dalam masa yang sama, ramai juga orang besar PAS yang tak senang, kenapa? Macam sama aje idea Tun Lah dan beberapa pembesar PAS dalam hal ini. Kebetulan kut.

Jelaslah suatu kemungkinan bahawa penolakan Tun kerana dia mahu terus menguasai kerajaan melalui caranya sendiri, sambil enggan melihat orang-orang PAS bersama Umno mentadbir negara. Nampaknya, dia belum pernah mahu lupakan Umno. Apa yang dia cakap selama ini sekadar cakap-cakap kosong. Isi sebenarnya, mahu kembali berkuasa atau lebih tepat menjadi "Penasihat Diktator". Nampaknya, Tuk Jib tak bebas langsung.

Oh ya, apa komen pembesar PAS terhadap Opah Ros nanti? Kalau dulu menantu Tun Lah selalu dimomokkan. Bagi saya itu tak apa, sebab Budak Ry itu memang orang politik.

Tapi kalau orang besar PAS asyik nak tembak Opah Ros aje nanti, ish buat malu kompeni aje. Tak payahlah jatuhkan martabat diri dengan menembak Tuk Jib melalui Opah Ros. Dah tak ada idea politik ke sampai rambut, badan dan shopping Opah Ros pun masuk dalam ceramah?

Ok?