30.12.08

PALESTIN MENANGIS, KITA MENJERIT










Saya terlalu letih mengutuk dan menghaprak pemimpin Arab. Selama lima tahun lebih bekerja sebagai penterjemah stesen berita Al-Jazeera, tiada lagi bahasa yang tidak saya gunakan untuk menyatakan rasa entah apa-apa saya terhadap kelemahan dan kebaculan pemimpin politik Arab, apabila sampai kepada tugasan berkenaan kezaliman Zionis Israel laknatullah terhadap muslimin Palestin. Paling saya kutuk ialah pemimpin PLO sendiri. Haprakssssssss


Tiada juga kata-kata yang mampu lagi saya ucapkan bagi menzahirkan rasa sedih dan simpati saya terhadap penduduk Palestin. Turun demo adalah kemuncak kata-kata saya.


Malaysia, beranikah Malaysia menggangyang Israel yang dibelai manja oleh negara yang menjadi negara paling besar didagangi oleh Malaysia?


Kita turun di hadapan Kedutaan AS adalah kerana kita tahu AS segala-galanya bagi Israel. Arab biarkan Israel kerana AS. Israel lanyak Arab kerana AS. AS mendiamkan diri kerana dia AS. Maka, memarahi AS bukanlah kerja gila atau kerja tidak berfaedah. Sebaliknya AS lah punca kebejatan dan kebiadaban Israel. Jika tidak percaya, kajilah sendiri.


Sahabat-sahabat, jika pintu intifadhah telah dibuka luas untuk ke Palestin, masuklah. Jika pintu itu belum terbuka kini, turunlah ke Kedutaan AS pagi ini, 11 pagi, 30 Disember 2008. Mereka menangis dengan kematian, kita sekadar menjerit dalam hidup...Ya Allah!


Serangan ini dilakukan berturut-turut selama tiga hari dan mungkin lebih lagi. Paling ramai terkorban sejak serangan dan perang pada tahun 1967. Lebih 310 orang telah terkorban. Majoritinya diyakini syahid.



23.12.08

HUDUD DAN HUSAM


1. Saya cuba berada di luar kotak.


2. Isu Hudud yang dimainkan kini oleh media perdana memang memberi tekanan berat kepada imej dan penampilan Naib Presiden PAS, Datuk Paduka Haji Husam Musa setelah Khairy Jamaluddin Abu Bakar, Naib Ketua Pemuda Umno Malaysia berjaya memerangkapnya dalam Wacana Perdana, 20 Disember yang lalu. Kejayaan itu pada isu di media kini, bukan sorakan di dewan.


3. Sampingan, realiti ini menggambarkan manipulasi negatif oleh media perdana boleh berlaku terhadap kenyataan mana-mana pimpinan PAS, baik tokoh ulama dalam parti mahupun tokoh pembaharuan atau pengurusan organisasi.


4. Sefaham saya, Husam dikenali seorang tokoh yang melihat fokus kepada kandungan konsep daulah Islam, berbanding slogan, moden dan pencetus idea baru, tetapi kenapakah beliau memilih jawapan sedemikian, malah mencabar Umno pula, yang hanya sia-sia. Jika cuba untuk memerangkap Khairy atau Umno, maka hasilnya belum kelihatan.


5. Jangan bicara tentang pendirian Umno terhadap Hudud, kerana ianya sedia maklum, kekal dan tiada tanda positif dalam tempoh terdekat. Kecuali jika kenyataan terbaru Najib ingin digunapakai bagi Kelantan bertemu beliau dalam usaha mengaktifkan Hudud di Kelantan.


6. Apakah Husam sengaja menjawab sedemikian agar meraih sokongan pengundi Melayu di Terengganu dan memberi isyarat kepada rakan Pakatan Rakyat tentang cita-cita perjuangan PAS? Saya percaya, pusingan faham politik Pakatan akan kembali ke tahap lama, asal.


7. DAP masih belum berubah dalam laras pemikirannya malah masih terlalu fobia dengan kalimah Hudud. Dalam realiti Pakatan kini, boleh sahaja mereka memahaminya dan memberi respon yang lebih baik terhadap konsep itu daripada hanya menutup pintu dengar dan faham. Salahlah Husam apabila mendakwa DAP lebih memahami Islam sebagai hujah PAS berkawan dengan DAP dan menolak Umno. Soalan Khairy itu perlu difahami dengan jelas jawapannya oleh semua pemimpin PAS.


8. Mereka salah tanggap jika merasakan Hudud telah hilang daripada kamus perjuangan PAS. Mungkin PAS silap percaturan dalam meniadakan kalimah Hudud dalam dua pilihanraya lalu. Mungkin PAS terus diam demi manjaga Pakatan. Jika slogan Negara Kebajikan menjadi 'firm' baru bagi PAS, kenapakah Husam tidak pantas ke arah slogan itu ketika ditanya Khairy?


9. Hubungan dalam Pakatan Rakyat memang penuh dengan 'bom jangka' pelbagai saiz. Menarik untuk kita bertanya kepada pimpinan tertinggi PAS, slogan negara berkebajikan yang digunakan lewat dua pilihanraya lalu, adakah hanya helah atau strategi meraih undi dalam melaksanakan tuntutan siasah syar'iyyah atau merupakan pemahaman baru PAS terhadap konsep daulah Islamiah yang telah ber'evolusi' kepada menghayati dan mengamali kandungan konsep?


10. Bagi saya, jika ia suatu strategi sementara, ia mempunyai ciri-ciri bom jangka hadapan.


21.12.08

CALON PILIHAN PARTI UTK PRK036



Ramai yang berminat memberikan pandangan dalam isu pemilihan calon pilihanraya kecil di Kuala Terengganu pada 17 Januari akan datang. Antaranya ialah para blogger yang banyak memberi sumbangan kepada kejayaan Pakatan Rakyat.

Ketika menulis artikel pendek ini, pimpinan PAS Pusat sedang bermesyuarat di Kuala Terengganu. Antara lain, agendanya ialah memilih calon PAS.

Saya menulis bagi menyeru semua ahli PAS agar akur terhadap siapa sahaja yang ditentukan oleh pemimpin kita. Janganlah kerana calon pilihan kita tidak ditaqdirkan Allah Ta'ala, kita mahu merungkai kasih sayang dalam menjalankan kerja jihad pilihanraya nanti. Sehebat manapun calon kita, menang kalahnya banyak bergantung kepada kita, para petugas parti.

Dalam pada itu, untuk meyakinkan diri, jika calon bukan pilihan kita nanti yang terpilih, agar semuanya berjalan lancar, perlulah kita sendiri mendalami kelemahan calon kita, kekurangan calon kesukaan dan kelebihan calon yang ditetapkan oleh jamaah.

Calon baru tempatan banyak kelemahannya. Muka baru yang sukar menarik petugas seluruh negara, tidak berpengalaman dalam mengikuti jadual kempen pilihanraya, tidak dikenali oleh majoriti ahli parti dan hampir semua pengundi atas pagar, tidak diyakini mampu membawa suara parti ke dalam parlimen dan sukar menarik ghairah rakan-rakan Pakatan Rakyat untuk turun berkempen.

Bagi Naib Presiden, Tuan Haji Mohd Sabu, kekurangan beliau pada isu calon luar, penolakan secara baik namanya oleh Pemuda Terengganu, tidak disukai oleh ahli Umno totok dan rekod kalah yang jelas di dalam pilihanraya umum lalu, sedangkan PAS menang di peringkat undian DUN.

Maka, sebagai ahli, jika calon pilihan kita tidak dipilih, maka keputusan itu tidak perlu menjadi penghalang kepada kita untuk terus bersemangat membantu kebenaran perjuangan kita. Ya, segala kesusahan itu, jika di atas kebenaran, maka usaha melaksanakannya adalah satu perjuangan. Bekerja keras memenangkan sesiapa sahaja, termasuk yang jauh dari hati merupakan satu kerja juang.

Yakinlah, sudah tentu calon pilihan parti mempunyai banyak kelebihan dan ia menepati sebahagian besar hukum alam dalam mencapai kemenangan pilihanraya nanti.

"Beristiqamahlah sebagaimana yang anda DIARAHKAN"

19.12.08

PERHATIAN VS CINTA

Memang lama saya fikirkan kenapakah remaja kini mudah bercintan-cintun, berkasih sayang atau mencari 'monyet' untuk dicintai.

Baru-baru ini, dan dua hari lepas, saya yakin kepada ulasan seorang sahabat. Itulah kebenarannya, bahawa mereka bukan bercinta sebenarnya, tetapi cuba mendapatkan perhatian yang tiada di rumah.


Cinta, mempunyai kuasa ajaib katanya. Kuasa yang menjadikan 'Po' boleh melompat ke atas para untuk mendapatkan apa sahaja yang boleh dimakan, termasuk paunya. Cinta, lautan api sanggup direnangi oleh seorang vokalis Melayu Rock Kapak 'cintan'. Cinta, membawa kepada pengorbanan seorang ayah membesarkan anak dan menggembirakan si ibu. Itu cinta.

Namun, bercintakah dua jiwa mentah yang sanggup berpisah hanya kerana ingin menyambung pengajian berbayarkan duit ah long 'pi ti pi ti en'? Cintakah itu, jika pemisah mereka hanya satu kalimah lima huruf 'bosan'?

Ya, saya percaya kepada hasil sahabat saya. Itu bukan cinta. Itu tanda ketandusan perhatian.


Remaja kini perlukan perhatian. Perhatian itu mudah hilang. Ia boleh hilang daripada seorang ayah, biarpun dia seorang guru penyayang di sekolah atau aktivis politik berkebajikan. Ia hilang, jika si ayah tadi tidak mahu memberi perhatian kepada anaknya, atas alasan, "biarkan Tuhan menjaganya".

Aduh, mudahnya mendidik anak, serahkan sahaja pada Yang Maha Penyayang. Hambakah Tuhan kita?


Ia boleh hilang daripada seorang ibu yang amat menyayanginya suatu tika dulu. Ia hilang kerana si ibu merasakan perhatian yang diberi sejak kecilnya anak tadi, telah memadai setelah anaknya kini sudah pandai mendekati teman sekolah.

Buat ayah dan ibu semua, jangan perkecilkan ketandusan anak remaja kalian terhadap perhatian kalian. Lantaran hilangnya perhatian ini, maka mulalah mereka mendapatkan perhatian di luar rumah. Maka dengan siapa mereka mencari? Di mana perhatian diperolehi dan bagaimana ia ditemui?

Oleh itu, pulanglah memberi perhatian kepada anak-anak!

9.12.08

NURSYAIRAH, KAU PERGI JUA

Nursyairah duduk hadapan sebelah kanan. Ketika bergambar,
anak istimewa berusia 19 tahun


Rasanya, kadang-kadang sukar memahaminya. Memang sukar, mungkin bukan kekadang, tapi selalunya begitu. Sentiasa. Dia mungkin memahami kita, hati budi kita dan lagak marah sayang kita. Dia pula, bukan semua kita dapat memahaminya dengan mudah. Itulah istimewanya dia.


Dia selalunya ceria, gembira dan senang. Jika kami di meja makan, di situlah dia berlabuh. Jika nasi yang kami jamah, itulah jua makanannya. Pantang ditegur, cepat juga merajuk, lebih-lebih lagi jika dua adiknya mengusik. Mulut yang muncung diketapkan bibirnya. Kadang pula, dia cepat mengalirkan air jernihnya. Itulah dia.


Dia memang berani. Anak gadis yang tidak kenal malu. Ya, itulah dia. Tanpa segan tanpa silu, dengan usianya itu, aku dipeluki, disayangi. Memang dia menyayangi aku, walau aku hanya seorang lelaki asing yang baru bertamu di rumahnya. Itulah bukti sayang dan kasihnya seorang manusia, walau dia masih istimewa.


Masanya pula, selalunya bersama papa dan mamanya. Sentiasa di kaki, di riba, di pinggang, di dada dakapan sayang dan didukung tinggi memikul amanah Ilahi. 20 tahun dia ditatangi, dimanja, dibelai, dididiki, diadabi, dibesari, diasuhi dan disayangi. 20 tahun itulah dia istimewa buat keluarga. Buat Papa, buat Mama, buat semua.


Sukanya, suka semua. Tangisannya, sebak semua.


20 tahun itulah ujian dipikul semua. Membesarkan dia yang sentiasa 'kecil', mendewasakan dia yang berjiwa 'adik'. Tiada langsung di hati rasa kecewa. Tidak pernah terlintas membantah takdir. Jauh sekali mahu dia pergi segera. Tapi, dia telah pergi. Dia pergi jua sebelum kita meninggalkannya sendirian.


Itulah kehendak Ilahi. Itulah kerja Tuhan. KerjaNya kerja berhikmah. KerjaNya kerja bijaksana. Kami hanya pasrah, rela, redha dan serah.


Jam 9.45 malam, Sabtu malam Ahad, nyawanya diambil Ilahi di katil 6, Wad ICU, Hospital Serdang, Selangor Darul Ehsan. Ihsannya Allah meringankan bebanan denggi yang meragut fungsi organnya. Ihsannya Allah memudahkan dia pergi. Ihsannya Allah memudahkan sakaratnya.


Alhamdulillah, dia disemadikan pada tanggal mulia 9 Zulhijjah 1429. 4 jam sebelum jutaan manusia berwukuf, dia sudah bersatu dengan asalnya, di Batu 14 Puchong.


Nursyairah, bermacam usaha kami lakukan, namun Allah mahu, kau pergi jua. Al-Fatihah


++++++

Kau Sahabat Kau Teman

Album : Pelita Hidup II
Munsyid : Hijjaz
http://liriknasyid.com

Telah tiba saat waktu kau tinggalkan kami
Kerana takdir yang Maha Esa telah menetapkan
Sedih rasanya hati ini bila mngenangkan
Kau sahabatku kau teman sejati

Tulus ikhlasmu luhur budimu bagai tiada pengganti
Senyum tawamu juga katamu menghiburkan kami
Memori indah kita bersama terus bersemadi
Kau sahabatku kau teman sejati

Sudah ditakdirkan kau pergi dulu
Di saat kau masih diperlukan
Tuhan lebih menyayangi dirimu
Ku pasrah diatas kehendak yang Esa

( korus )
Ya Allah,tempatkannya di tempat yang mulia
Tempat yang kau janjikan nikmat untuk hamba Mu
Sahabatku akan ku teruskan perjuangan ini
Walau ku tahu kau tiada di sisi

Perjuangan kita masih jauh beribu batu
Selagi roh masih di jasad hidup diteruskan
Sedih rasa hati ini mengenangkan dikau
Bagai semalam kau bersama kami

( korus ) Moga amanlah dan bahagia dikau di sana
Setangkai doa juga Fatehah terus kukirimkan
Moga di sana kau bersama para solehin
Ku sahabatku kau teman sejati