30.9.08

Ramadhan 7 - Syawal Menjelma



Sudah lama saya tidak berjaga malam untuk memasak. Itu adalah adat biasa semasa saya bersekolah rendah dan menengah dahulu. Pasti ada sahaja tugasan yang diberikan mak untuk membantunya memasak, membakar atau menumbuk.

Sejak kecil, saya sudah diasuh untuk bergelumang dengan kerja-kerja dapur. Jika di luar Ramadhan, memang setiap kali memasak, saya ada tugasan khas. Contohnya meramas kelapa untuk mendapatkan pati santannya.

Di dalam Ramadhan, kerja menyediakan kuih-muih mengambil peranan. Kami sekeluarga tidak pernah lepas membakar bahulu dan mengukus kuih apam@apom. Itu sudah kemestian. Jika mak dan abah agak lapang dan kuat, dodol juga berkemungkinan. Selain itu membakar lemang juga kerap. Cuma setelah mak kurang sihat, mengukus lemang daun menjadi pilihan.

Kerja-kerja ini biasanya membawa ke tengah malam. Itulah, dahulu punya kisah.

Kini, mak pula merantau, abah tiada, maka tiada lagi kuih-muih hasil tangan mak. Tangan mak hanya memegang ubat lelahnya, setiap hari.

Tiba-tiba, malam ini, sekarang, saya berjaga pula. Secara tidak disengajakan, saya melakukan kerja lama, kerja zaman remaja dahulu, berjaga untuk persiapan Syawal yang akan menjelma. Sudah lama saya tidak berjaga seperti ini. Kata orang, jika malam ini malam Qadr, maka ibadatnya melebihi seribu bulan. Maka masakan rendang saya yang kini di atas dapur bernilai seribu bulan? Harap begitulah agaknya!

Ya, saya berjaga untuk menunggu rendang ayam dan daging, untuk dijamah bersama lemang yang akan kami bakar esok, bersama-sama, di kampung Teluk Sena. Moga-moga masakan saya, isteri dan pembantu rumah ini, menjadi pilihan saudara mara. Abang Radzi di Subang juga mempertaruhkan rendang isterinya, orang Jawa Barat. Tak tahu lah apa yang disediakan oleh Kak Yang di Wangsa Maju. Tapi biasanya, mereka suka memilih masakan yang pedas-pedas.

Yeop akan pulang lewat, mungkin. Abang Jun dan Kak Zura pada petang 1 Syawal. Apa yang akan mereka bawa, wallahu a'lam. Abang Mid dan Nyah telah merancang untuk membakar lemang esok hari, maka sudah tentu mereka membawa segala suku sakat lemang. Kak Ila pasti dengan barangan HPAnya. Abang Othman, Kak Pah dan Kak Mah, akan datang pada 1 Syawal atau 2. Kamarul, dengan isterinya yang tidak sihat, rasanya akan bawa makanan mentah sahaja. Itulah rencah akhir Ramadhan.

Ramadhan, adalah bulan yang penuh dengan khilaf. Khilaf rakaat Tarawih, khilaf selawat, khilaf imsak, khilaf anak bulan, khilaf ilmu falak, khilaf qunut, khilaf niat, khilaf ikut Arab Saudi, khilaf mandi, khilaf wangian, khilaf witir dan khilaf umrah. Macam-macam ada. Tetapi semua itu tidak seharusnya menjadi alasan untuk berpecah daripada menjadi satu ummah yang menjunjung Tauhid. Takbir lebaran yang disulami unsur Tauhid, seharusnya mengatasi semua kekhilafan fiqah tadi.

Samalah, keseronokan dan kemesraan patut menjadi keutamaan daripada memikirkan bezanya kuih-muih yang dibawa, bezanya masakan rendang yang wujud di Malaysia, walaupun semuanya atas satu nama, Rendang Ayam dan Daging. Kecualilah jika namanya sudah menjadi Rendang Tok, memanglah tak sama dengan rendang biasa.

Pada tanggal satu Syawal ini, pembeza hanyalah Tauhid kepada Allah. Jangan kita menjadi pengikut kepada barisan itu, barisan yang tidak mengenali Tauhid sewajarnya.

Akhirnya, salam lebaran, salam Adilfitri saya ungkapkan di sini. Maaf zahir batin daripada Elbaritii Online untuk semua pembaca setia. Rasanya, rendang saya sudah hangit sedikit. Jumpa lagi.

23.9.08

Ramadhan 6

Ramadhan penuh dengan keseronokan jika kita pandai mencari keseronokan itu. Seronok dengan makanan yang bersih suci dan halal. Seronok membantu orang ramai berbuka. Seronok menganjurkan majlis penerangan nuzul al-Quran dan perang Badar al-Kubra. Dan paling seronok ialah apabila seronok beribadat di malam Ramadhan dan seronok berkhalwat dengan Allah Ta'ala dan bertahajjud di satu pertiga akhir Ramadhan.

Ramai yang sanggup untuk berdiri lama menunaikan solat sunat Taraweh tetapi tidak Isyak dan Subuh di bulan lain. Ramai juga yang sanggup berdiri lama mendengar bacaan sedap ayat suci al-Quran walaupun jarang membacanya. Alhamdulillah, itulah hebatnya malam Ramadhan. Tetapi seronokkah kita ketika berdiri itu?

Seronok bertaraweh membawa erti besar. Mudah menghayati, khusyu' di hati dan ikhlas mendekati Ilahi. Itulah bunga-bunga kepada perjalanan mencari taqwa diri dan rahmat Ilahi. Seronok berqiam adalah puncak ketaqwaan hamba terhadap tuhannya. Tiada selain Dia untuk bermanisan dalam hati dan ibadah.

Jika keseronokan ini dapat dipertahankan, itulah manusia yang berjaya dengan didikan Ramadhan ini. Moga kita sempat ke situ.

20.9.08

Ramadhan 5

رأيت الناس قد ذهبوا * إلى من عنده ذهب
و من ما عنده ذهب * و عنه الناس قد ذهبوا

رأيت الناس قد مالوا * إلى من عنده مال
ومن ما عنده مال * وعنه الناس قد مالوا


Aku melihat manusia berpergian # Kepada mereka yang memiliki emas
Dan mereka yang tiada emas # Dari mereka manusia pergi

Aku melihat manusia mendekati # Kepada mereka yang memiliki harta
Dan mereka yang tiada harta # Dari mereka manusia menjauhi



Elbaritii:

Begitulah asam garam manusia. Memilih untuk mendekati dan menemani. Maninggalkan jika tidak menerima.

Ramadhan yang saya lalui kini, mengingatkan kepada segelintir manusia yang tidak memilih emas dan harta. Mereka memilih ilmu dan ulama. Maka mereka tidak akan meninggalkan kelas untuk habuan dunia. Tidak akan meninggalkan ulama untuk mendekati tukang emas dan perak.

Malah mereka akan mencari-cari para ulama, orang alim, tuan guru, mursyid untuk mendapatkan mutiara iman dan buah akhlak.

Di Haramain, musim puasa dan haji, siapa sahaja boleh anda dekati. Mendekati pak menteri yang datang kerana Allah atau manusia, mendekati raja yang adil disembah kerana ingin mendekati atau membantu, mendekati para ulama yang ingin menyucikan diri untuk ilmu dan amalnya.

Tarbiah para ulama adalah didikan terbaik. Mendekati mereka ibarat mendekati seribu kitab. Mendengar mereka ibarat mendengar bicara seribu halaqah. Mengikut mereka ibarat memilih jalan ke syurga.

Jiwa mereka suci, guna menyucikan jiwa kita. Langkah mereka betul guna membetulkan langkah kita. Nasihat mereka tepat guna menepati al-Quran dan al-Sunnah. Siapa lagi yang ingin kita kejar? Masih pemilik emas dan harta? Atau pewaris para Nabi dan Rasul.

Ulama adalah manusia. Ulama melakuakan kesilapan. Ulama kadang-kadang silap perhitungan. Tetapi manusia mana yang lebih baik daripada para ulama yang mendalami ilmu agama yang murni ini?

Carilah ulama di bulan ini, ikutilah mereka selepas Ramadhan ini, selepas jiwa itu disuci.

13.9.08

Ramadhan 4

Ramadhan adalah bulan al-Quran. Kehidupan bersama al-Quran sangat jelas ditunjukkan oleh para soimin di dua tanah suci. Masing-masing berebut-rebut untuk membacanya, menghafalnya dan menghayati kandungannya.


Hayati dengan bacaan dan hayati dengan pengajian ilmu yang diadakan sepanjang Ramadhan. Alhamdulillah, saya sendiri dapat menyaksikan al-Quran sangat hidup dan subur di tengah masyarakat manusia, di Haramain.


Selain al-Quran, i'tikaf juga menjadi buruan para soimin ini. Bagi Imam Syafie, i'tikaf boleh berlaku sepanjang masa, namun tidak bagi Imam Ahmad. Para pengikutnya di dua Haramain mengambil kesempatan Ramadhan untuk mendekati masjid, menghidupkannya dan menghidupkan diri dalam amalan i'tikaf sepanjang bulan ini. Paling khusus, sepanjang 1o akhir Ramadhan.


Biasalah, kalau terdapat kesan-kesan kehidupan di dalam masjid. Mereka sendiri memilih untuk menjadikan masjid, khususnya Masjid Nabi sebagai rumah kedua. Mungkin boleh dipanggil program masjid rumah kedua Haramain.


Universiti tempat saya menuntut, selalu juga, semasa saya di sana, menjadikan 10 akhir sebagai cuti. Cuti belajar demi beribadah.


Saya sempat beri'tikaf di dua Haramain ini. Kami 'terpaksa' membawa apa yang perlu untuk bermalam, seperti selimut, bantal kecil, pakaian dan seumpamanya. Mungkin bagi yang tidak biasa, ia adalah kurang sopan. Itu sebenarnya bagi mereka yang tidak pernah beri'tikaf cara Nabi saw. Sepanjang 10 akhir, tiada istilah jenguk ke rumah seketika, lebih-lebih lagi lama.


Amalan kami hanya solat, tilawah, pengajian, hafal al-Quran, hafal Hadis dan bersembang ringan. Alhamdulillah, dengan amalan ini, hati tidak lagi kotor. Di sini, mungkin sukar. Ya, keberangkalian menjayakannya tipis. Mungkin itulah sebabnya setiap Ramadhan, ada sahaja para ulama Malaysia menjadikan Haramaian sebagai destinasi utama. Mereka faham Allah boleh didekati di mana sahaja, tetapi mereka yakin mendekati Allah di Haramain lebih mudah dan lebih terfokus.


Biasanya, dalam bulan Ramadhan, saya akan lupakan seketika isu-isu yang tidak menambahkan amalan Ramadhaniah ini ketika saya di dua tempat ini. Malas menyesakkan masa dengan sesuatu yang boleh dibicarakan di luar Ramadhan. Bukan kerana saya asingkan diri daripada isu-isu seperti itu, tetapi sekadar ingin memfokuskan kepada sesuatu yang jarang saya lakukan di luar Ramadhan.


Maka di sini, di blog ini saya mengambil keputusan untuk malas menulis perihal politik dan kenegaraan Malaysia sepanjang Ramadhan ini. Biarlah blog ini hanya bicara soal Ramadhan. Saya hanya bicara soal politik di luar blog. Tetapi saya tetap ikuti semua isu dengan membaca blog lain, membaca berita online dan mendengar berita radio dan tv. Petang tadi saya sempat mengikuti komen pendengar tentang tulisan blog melalui Radio 24.


Ramadhan, pernah saya khatam al-Quran dua kali di dalamnya, pernah khatam sekali, pernah khatam separuh dan pernah tidak melepasi 10 juzuk. Tahun ini, entah lah. Saya harapkan, malah berazam, Ramadhan tahun hadapan, saya menjadi penghuni Haramain. Ya Allah, walau aku pada Ramadhan Mu tahun ini, sampaikanlah aku pada Ramadhan akan datang. Ya Allah, berkatilah aku, keluarga, sahabat dan Ramadhan kami.


7.9.08

Ramadhan 3

Ramadhan adalah bulan puasa. Allah meletakkan matlamat taqwa bagi para soimin, iaitu mereka yang berpuasa. Taqwa itu datangnya daripada kalimah takut. Juga membawa maksud berhati-hati dan berjaga daripada terjebak keluar daripada sempadan soleh.

Saidina Ali mentakrifkan taqwa dengan empat perkara;

1. Al-khauf min al-Jalil

2. Al-'amal bi al-tanzil

3. Al-ridha bi al-qalil

4. Al-isti'dad li yaum al-rahil

Dalam bahasa Melayu ia begini: Takut kepada Allah al-Jalil, beramal dengan wahyu yang diturunkan, redha dengan sedikit yang dimiliki dan bersedia untuk hari kematian.

Ramadhan 2

Ramadhan adalah masa yang sentiasa dinantikan oleh para amilin dan mukminin. Keberadaannya sangat dihayati dan dijadikan dorongan kepada pebagai amalan soleh lain yang sangat digalakkan oeh Rasulullah saw.


Bulan ini bulan sedekah. Tiadalah sedekah paling kerap dan laju dilakukan oleh baginda saw selain pada bulan ini. Lajunya ibarat air mengalir. Ikhlasnya baginda tidak perlu diperbahaskan di sini. Solat malam baginda juga hebat. Selain tarawih, solat malam menjadi pengisian malam2 baginda. Seluruh anggota keluarga dikejutkan.


Bulan ini jugalah dipilih oleh para penderma masa kini untuk menghulurkan sumbangan kepada pihak yang amat memerlukan. Baik zakat, mahupun sedekah nafilah, ia menjadi rebutan mukmin berada. Begitulah keadaannya di seluruh dunia Islam.


Di Madinah, lot2 bazar Ramadhannya tidak seperti di Malaysia. Di negara kita para soimin berebut2 menambah pendapatan kewangan dengan berniaga. Pelbagai juadah dapat kita lihat. Harganya juga seakan-akan meningkat. Kesesakan adalah biasa, antara jam 4 petang hingga 7 malam di sekitar bazar. Bagi saya, bazar ini banyak membantu para soimin yang tidak sempat menyediakan juadah berbuka. Aktiviti jual beli begini tidak menjadi masalah. Apa yang sedikit perhatian perlu diberikan ialah, tidak berlebihan membeli makanan. Itu sahaja.


Semasa saya masih di Madinah, lot Ramadhannya terletak di dalam masjid dan ruang keliling belakang dan sisi kanan, jika kita berdiri menghadap ke Mekah. Iaitu di sekitar Bab al-salam membawa ke bahagian belakang masjid.


Pilihan makanan paling menarik adalah di luar masjid. Kita boleh memilih nasi bukhari, nasi minyak, nasi kambing atau nasi arab. Lauknya antara ayam, lembu dan kambing. Selain itu ada juga para pengguna lot-lot ini menyediakan roti pelbagai jenis dan rasa, berserta susu masam ( laban ) dan kurma pelbagai jenis. Ada tamar, ada rutob dan ada juga balah. Tips mudah untuk mendapatkan makanan paling menarik, datang awal sejam sebelum waktu berbuka. Tetapi lot di luar tidaklah sebanyak di dalam.


Di dalam masjid pula, seluruh ceruk masjid itu adalah lot2 bazar Ramadhan ala Madinah. Sehingga di saf paling hadapan, terdapat juadah berbuka. Namun di bahagian dalam masjid, mustahil anda akan mendapat nasi dan kambing panggang. Apa yang disediakan ialah roti, laban, susu halib, teh berperisa pudina dan kurma pelbagai jenis. Semuanya ditabur/atur atas sufrah pelastik untuk para soimin.


Atas semangat berebut-rebut untuk menderma dan menambah saham akhirat, lot di Madinah adalah percuma dan makanan yang disediakan juga adalah percuma. Apa yang perlu dilakukan ialah hanya memilih apa jenis makanan yang anda mahu. Begitu pemurahnya para penderma Madinah sepanjang bulan ini. Tetapi bagi peminat nasi dan lauk yang sedap-sedap, perlu bertindak pantas kerana masa yang diperuntukkan untuk menghabiskan semua itu sama sahaja dengan mereka yang berbuka dengan roti dan laban. Semuanya sekitar 5 minit. Cukup masa, iqamah dan bergegaslah menunaikan solat Maghrib.


Jika nasib anda baik, masih ada sufrah yang dibentang semula selepas solat Maghrib. Itu biasanya untuk roti yang tidak habis atau teh pudina yang belum di agihkan lagi.


Sesungguhnya, Ramadhan di Madinah mampu mendekatkan antara golongan kaya dan miskin, golongan ulama dan awam dan golongan peribumi dan pendatang. Segala aktiviti Ramadhan di Madinah penuh dengan hikmah dan rahmah, jika bertunjangkan syariah.


3.9.08

Ramadhan 1

Sudah lama blog ini tidak dikemaskini. Sebelum ini, saya mempunyai banyak masa untuk menulis apabila sebulan lebih saya berehat di rumah, tidak ke pejabat. Setelah mula bekerja, tumpuan kepada blog pula terjejas.

Pada sedikit kesempatan ini, saya ingin mencatatkan beberapa perkara berkaitan Ramadhan sebagai langkah mula memanaskan semula blog yang semakin sejuk ini. Tulisan ini saya catatkan berdasarkan kepada apa yang terlintas di fikiran. Insyaallah, ada sambungannya dengan pelbagai kenangan lain.

Ramadhan adalah bulan rahmat. Ia juga bulan kepanasan, selain bulan ibadah dan gembira berbuka. Sampai sahaja Ramadhan saya akan teringat 5 tahun bermastautin di bumi Rasulullah alaihissolah wassalam.

Apabila masuk sahaja Ramadhan, universiti tempat saya menuntut ilmu akan melewatkan waktu mula pengajian. Ia sebagai meraikan para pelajar dan masyayikh yang memilih untuk tidur selepas subuh, sebelum keluar belajar dan bekerja, setelah lama berjaga di malam Ramadhan. Itu umumnya, tetapi tidaklah saya mendakwa semua orang akan tidur. Ia sekadar meraikan mereka yang mengantuk serta mengelak daripada hilang tumpuan di dalam kelas.

Masa setiap subjek juga dipendekkan sedikit, bagi menyamakan waktu akhir kelas pada setiap hari Ramadhan.

Sebaik sahaja selesai menunaikan solat Asar berjemaah di Masjid Jamiah, kami akan bergegas ke Masjid Nabi untuk tilawah al-Quran. Maksud saya, membaca, bukan bertanding. Boleh dikatakan setiap sudut Masjid Nabi akan dipenuhi dengan pelajar Jamiah, selain orang ramai yang turut berebut menambah amalan dengan membaca al-Quran daripada mushaf-mushaf yang ada di masjid.

Sesetengah masyayikh pula mengambil kesempatan selepas Asar untuk mengajar bagi menggantikan kelas yang biasanya diadakan selepas maghrib. Antara tuan guru yang menjadi tumpuan saya ialah dua syeikh hebat Madinah. Syeikh A'tiyyah Muhammad Salim (rahimahullah) dan Syeikh Muhammad Muhammad Mukhtar al-Syanqiti.

Masjid Nabi adalah pilihan bagi mereka yang inginkan ketenangan beribadat tarawih, kerana hampir mustahil akan bertembung dengan wanita di dalam masjid, berbeza dengan Masjidil Haram al-Makki. Bacaan Imamnya juga lebih perlahan berbanding di Mekah yang sedikit laju, namun tetap sedap dan menarik alunan lagu dan suara para imamnya.

Jika ke Mekah di bulan Ramadhan, kelas pengajian yang menjadi tumpuan saya ialah kelas pengajian Syeikh Ibnu Uthaimin (rahimahullah). Ianya diadakan di bahagian teratas masjid (sutuh) dan menjadi tumpuan para pelajar dan pencinta ilmu seluruh Arab Saudi.

Ya, saya sedar, saya kehilangan saat2 indah bersama para imam di dua haram ini, juga para ulama yang mengajar penuh mutiara dan disulami keikhlasan yang tinggi selain dekatnya Rasulullah di sisi. Allah janjikan kemuliaan di bulan Ramadhan, walau di mana sahaja kita berada. Ya, janji ini mengubat kerinduan terhadap dua tanah haram ini.