28.2.10

BERNIAGA DENGAN ALLAH

Allah taala ada perniagaan sendiri yang ditawarkan untuk orang-orang beriman. Dinamakan niaga kerana ada konsep pertukaran. Kalau kereta ditukar dengan wang atau hutang berbayar ansuran, maka Allah mahu syurgaNya ditukar dengan empat perkara.

Pertama: Beriman denganNya sebenar-benar makna dan amalan iman. Berikutannya, beriman dengan 5 subjek lain yang disebut agama.

Kedua: Beriman dengan Pesuruh akhirNya, iaitu Nabi Muhammad saw. Termasuk melaksanakan sunnah dan mempraktikkan kasih sayang terhadap baginda alaihissolatu wassalam.

Ketiga: Berjihad di jalan Allah dengan harta benda, kekayaan, kemewahan dan lebihan harta selepas segala kewajipan tertunai.

Keempat: Berjihad di jalan Allah dengan diri. Itu termasuk tenaga, masa, korban diri dan risiko nyawa.

Bukan sekadar syurga menjadi jualan Allah swt, bahkan selamat daripada azab yang pedih, keampunan bagi dosa-dosa, tempat kediaman terbaik di syurga 'Adnin dan kejayaan perjuangan menuntut hak, di dunia yang sementara ini.

Itulah antara pengajaran yang boleh diambil daripada ayat kesepuluh dan seterusnya, Surah as-Saff. Surah yang memulakan perbicaraan tentang pentingnya mengota kata, bertindak dengan kesatuan dan keseragaman dalam kerja berkait agama serta dakwah Islamiah.

Akhir seruan pada surah ini ialah, peringatan supaya umat Islam bersedia sebagai ansarullah.

Jika dikaitkan dengan ayat awal surah, maka surah ini mahu pejuang yang sentiasa bersedia untuk membantu perjuangan agama, memulakan ibadah itu dengan menunaikan ikrar, bersatu dan seragam ketika bertindak. Tindakan itu pula ibarat satu perniagaan langsung yang maha suci.

Itulah perniagaannya. Ia untuk orang beriman.

21.2.10

AMALAN ISTANA PASIR




Asas bagi usaha taqwa adalah kemampuan.

Kita seronok melihat manusia berlumba-lumba mengejar kebaikan. Pada amal, kata-kata, tulisan dan tingkah laku. Semua mahu mengisi kantong akhirat dengan amalan yang diredhai, selepas ikhlas itu menjadi tunjang.

Allah yang Maha mengetahui, menerima setiap kemampuan yang berbeza-beza pada hambaNya. Inilah Tuhan yang Maha Penyayang lagi Maha Mengasihani.

Bermula daripada natijah bukan ukuran dalam perhitungan bekalan ke syurga pada usaha dakwah dan jihad, akhirnya membawa kepada ikhlas yang besar lebih dipandang berbanding jumlah wang yang besar tetapi tanpa secebis ikhlas. Semua ini turut berkait dengan kemampuan.

Mampu sedikit dengan ikhlas besar ertinya.

Tetapi sudah tentu mampu besar dengan ikhlas lebih hebat. Mengejar sumbangan yang besar, kerja yang besar dan pengorbanan yang besar mesti diaduni dengan ikhlas yang kukuh.

Ikhlas itu pula, sangat bertentangan dengan hebahan kerja sendiri, menunjuk-nunjuk kebaikan sendiri ( tanpa kepentingan umum yang digaris lulus oleh syariah ) dan memperkecilkan sedikitnya sumbangan orang lain.

Seorang ibu yang penuh dengan pengorbanan mendidik dan mengasuh anak-anak, mungkin segala amalannya sudah tidak begitu bernilai di sisi Allah jika setiap malam kerjanya merungut pada kesusahannya, kemiskinannya atau kejarangan suaminya membantu, sehingga sang suami yang bertungkus lumus bekerja di luar, medan yang berbeza tidak diendahkan.

Seorang guru disiplin yang bertungkus-lumus mendisiplin pelajar sehingga kurang masa dan tawa bersama anak sendiri, demi membina generasi masa depan yang terpimpin, mungkin merosakkan amalannya hanya kerana setiap pagi Isnin, kerjanya juga membelasah guru-guru lain yang tidak langsung membantunya atau jarang turun ke padang membantu, sedangkan kemampuan mereka yang berbeza itu sudah diterima Allah ta'ala.

Jika benar sekalipun ada guru yang malas membantu, bukanlah kerja si dia untuk menghukum sewenangnya. Tumpulah pada amalan dan ikhlas kamu.

Allah terima perbezaan pada kemampuan memberi beza pada taqwa. Beza pada kerja dan sumbangan.

Walau apapun kita, siapapun kita, jangan membina istana amalan di persisir pantai. Setiap petang, sebelum masuk ke ruang tidur, istana amalan kita pasti musnah kerana ianya hanya susunan pasir yang tidak diikat dengan simen dan konkrit keikhlasan.

20.2.10

BMW


Mengenali pelbagai kategori manusia membawa kita mengenali pelbagai jenis hobi, minat dan kecenderungan manusia berdasar kategori masing-masing.

Bagi kelompok yang berduit, mereka akan bercakap tentang rumah, kereta dan cawangan. Rakan-rakan yang berduit, itulah sembang mereka. Rumah untuk kediaman dan pelaburan. kereta untuk bisnes, keselesaan dan keselamatan dan cawangan untuk keperluan masing-masing.

Saya yang mengenali seorang dua jenis begini, mula mengesan kecenderungan yang sama yang ada pada diri sendiri. Ya, walaupun belum kaya, tetapi saya sudah dapat mengesan apakah yang saya mahu sekiranya saya kaya. Sebuah kereta yang hebat, selesa dan penuh dengan ciri keselamatan. Saya yang selalu mengantuk memandu ke Terengganu, apakah bijak jika saya yang berduit banyak, menolak untuk membeli kereta yang boleh mengejutkan saya dari mengantuk ketika memandu? Atau itu tidak wajar kerana saya seorang lulusan agama?

Ya, sesuatu telah mendasari pemikiran orang ramai bahawa mewah untuk orang yang "lagho" dan nampak tak mewah untuk orang-orang soleh. Betulkah begitu?

Apakah nampak tak mewah atau menjauhi kemewahan itu suatu ciri mahmudah yang mesti dipegang oleh setiap insan mulia, lebih-lebih lagi pejuang kebenaran? Itukah natijah daripada sifat wara' yang dituntut, sehingga apa sahaja yang berkait dengan mewah, mahal dan besar, dicop negatif oleh Islam?

Nabi saw bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya jika engkau meninggalkan ahli warismu dalam keadaan kaya lebih baik daripada engkau tinggalkan mereka miskin meminta-minta kepada orang.” (HR Muttafaqun'alaih).

Saya fikir hadis ini mudah untuk difahami dalam konteks ini. Dan ianya umum untuk seluruh umat Islam, baik pemimpin, mahupun pengikut, baik khalifah mahupun ulama'.

Justeru, bagaimana kita menseiringkan hadis ini dengan perlakuan Abu Bakar ra. yang tidak meninggalkan harta untuk pewarisnya? Ulama Islam ada jawapannya.

Apa yang pasti, kaya adalah lebih baik untuk diri, keluarga, saudara mara dan ummah, jika kaya itu pada tangan, tidak hati. Jika kaya itu dikongsi, bukan disekati.

Mulialah jua jika kereta BMW yang dipandu itu hanya bernilai pada tangan pemandu, pada keselamatan isteri yang memandu, pada keselamatan anak yang dipandu dan pada keselesaan bermusafir, bukan pada hati yang lalai dan mazmumah yang merosakkan iman.

Tentulah jua kemuliaan itu selepas segala kewajipan pada harta yang banyak itu ditunaikan.

Apabila seorang politikawan kaya meng"exercise"kan kemewahan yang diperolehi secara halal, adil, suci dan dilihat halal, adil dan suci, wajarkah politikawan yang hidup sederhana dan miskin memberontak dalam jiwa dan perasaan? Kononnya hidup sederhana itu suatu tuntutan perjuangan? Benarkah bila anda menjadi pemimpin, Islam mewajibkan anda sederhana atau nampak sederhana atau miskin, walaupun segala kewajipan pada harta telah tertunai? Begitukah Islam atau itukah Sosialisme?

Saya tidak percaya ia wajib bertukar menjadi nampak tidak kaya. Itu bukan hukum fiqahnya. Itu mungkin hukum alam bagi seorang pemimpin.

Jika begitulah kiranya, mungkinkah ia bercanggah dengan suruhan Nabi agar umat itu bekerja dan memperolehi kekayaan untuk diinfaq di jalan Allah? Dan infaq itu tidak langsung menghalang pemilik kekayaan itu memberikan rasa nikmat itu pada diri, keluarga dan saudara-mara terdekat.

Jalan apakah yang diinfaqkan oleh pemimpin yang miskin? Atau seorang yang kaya jangan menjadi politikawan, kerana ia menimbulkan fitnah. Jadilah ahli perniagaan yang sentiasa memberi sumbangan kepada kerja kebaikan dan dakwah.

Jika begitu, selamanyalah parti politik orang-orang tidak nampak kaya itu, kurang berduit.

Apakah coretan ini bermaksud untuk menjustifikasikan diri saya berusaha memenuhi impian memiliki sebuah BMW suatu hari nanti? Mungkin juga. :). Apa pun, itu sebuah impian di samping realiti kewajipan yang sangat banyak sebagai seorang muslim.

Setiap yang halal itu, jangan diharamkan oleh diri sendiri. Jangan kereta itu jadi Be My Wife sudah!

17.2.10

MAKSUD PADA RUTIN USRAH


Antara tugasan mulia para Nabi dan Rasul ialah mendidik hati dan jiwa manusia dengan kesucian agama. Ia menjadikan hati itu suci, jiwa itu murni. Ia disebut dengan kalimah didik, bentuk atau tarbiah. Itulah jua kekuatan bagi pendokong agama sepanjang zaman, amalan salaf al-soleh merentas benua dan menjadi ikutan para ulama dan 'abidin.

Jauh bezanya daripada mengajar atau ta'lim. Ini membawa makna menyampaikan, memberitahu dan memberi ajar. Dalam kelas, manusia mengajar manusia. Di luar kelas, manusia boleh ikut manual yang diajar tadi atau boleh tidak.

Tetapi tarbiah melepasi sempadan kelas. Pastikan apa yang diajar itu dibuat di rumah, di surau, di hostel dan di mana sahaja. Dengan membuat itulah terhasilnya tarbiah dan apa yang disebut mendidik. Ajar sampai buat. Sampai hati tersuci dan jiwa termurni.

Inilah kerja mulia para Nabi dan Rasul. Inilah kerja kita dalam mentarbiah diri sendiri. Bukan setakat mencari tahu atau ilmu, tetapi membuat apa yang diketahui. Itu, senang dan sukar kerjanya.

Usrah adalah unit termasyhur dalam mentarbiah diri. Ia cukup sempurna untuk mendidik teman, keluarga dan diri sendiri. Usrah menjadi begitu popular kerana ia merupakan satu institusi yang sangat berkesan jika perjalanannya lancar dengan naqib yang komited dan ahli yang ikhlas menerima dan dibentuk.

Kerana itulah, di mana-mana, jika ada gerakan Islam ada usrah, ada cawangan parti Islam ada usaha usrah dan ada ustaz ada usrah. Kempen jom usrah sentiasa kedengaran. Usrah pula menjadi aktiviti mingguan, bulanan dan menjadi rutin yang sangat sebati dalam kumpulan Islam. Ia suatu yang nampak ajaib kekuatannya. Ia ada sebab dan tujuan. Ya, tentu ada sebabnya.

Bermula dari situ, mari kita bertanya diri sendiri. Kerana apa usrah diadakan? Sekadar memenuhi rutin, kuota aktiviti atau kerana itu sifat parti Islam, maka mesti buat?

Persoalan ini sangat relevan. Dan jawapannya adalah sangat relevan dengan maksud tarbiah itu sendiri. Tidak lain dan tidak bukan, untuk mendidik diri dan jiwa. Itulah tujuannya. Diri dan jiwa setiap yang hadir menjadi sasaran didik dan bentuk.

Ia berlaku dengan pelbagai cara.
Sentuhan naqib. Teguran sesama sendiri. Nilai persaudaraan yang terjalin. Bertukar idea. Koreksi jama'ie dan pelbagai lagi. Kritik-kritik, bukan usrah tempatnya.

Malah usrah jauh mengatasi sifatnya sebagai aktiviti rutin. Ia mesti dilihat dan diyakini melebihi maksud rutin. Apatah lagi maksud mengisi masa lapang atau takwim bulanan.

Naqib mengajak kerana mendidik dan terdidik. Ahli hadir kerana mendidik dan dididik. Semua yang hadir telah bersedia dididik. Hati sudah diserahkan pada proses didikan. Jiwa terbentang luas untuk dibentuk. Semuanya mahu mendekati Allah dan rasul.

Semuanya mahu menjalinkan persaudaraan yang akrab dan indah - di bawah lembayung kalimah "Allahu Rabbuna - Allahu ghoyatuna". Mahu menjadi rendah, hormat, sayang, lapang, sabar, hargai, manis, berpada, tenang dan tekun. Itu antaranya.

Barang yang buruk dan keji, sangatlah tidak sinonim dengan maksud pada usrah. Bukan umpatan, kejian, makian, ejekan atau medan berakal fikiran tanpa jiwa terikat dengan nilai tarbiah. Bukan sekadar tidak menjadi tujuan, sebagai selingan dan sindiran pada pengaktifan usrah juga terlarang sama sekali.

Oleh itu, marilah kita menginsafi bahawa usrah itu ada kekuatannya, walau siapapun ahlinya, naqibnya. Dan kekuatan itu perlu disedari oleh setiap pengamal usrah dan juru kempennya.

Ia bukan medan untuk merosakkan kasih sayang, persaudaraan, didikan dan bentukan. Jangan tergambar di peta minda, usrah tempat melepaskan segalanya...

Sebaliknya, ia tempat membuang jauh nafsu daripada pelantar hati kita.

13.2.10

Saya Takut Alhusseyn51 Jadi Biadab Dan Menyebar Fitnah

Edit: Sila rujuk tulisan Ustaz Misbahul Munir di sini untuk penjelasan detil

______________________


Saya merujuk kepada tulisan alhusseyn dalam blognya.

Apa yang saya boleh katakan ialah tidak beradab atau biadab dengan presiden parti sendiri.

1. Saya takut saudara menuduh dengan melulu tanpa usul periksa
2. Saya takut saudara menimbulkan fitnah terhadap pimpinan dan parti sendiri
3. Saya takut saudara memburukkan pimpinan sendiri ke seluruh gelob bumi
4. Saya takut saudara bangga dengan mengumpat pimpinan tanpa ada qarinah yang membenarkan umpatan
5. Saya takut saudara menjadi lidah penyambung durjana dan maksiat apabila ianya disebarkan sedangkan hakikatnya ia tidak seperti didakwa.

Sepatutnya pakcik alhusseyn pergi menyusun strategi bagi merampas semula Perak daripada Umno, ataupun sekurang-kurangnya menjatuhkan Hamidah dengan perancangan teliti. Ini tidak, menjatuhkan pimpinan PAS pula menjadi agenda sedar dan luar sedar.

Inilah penyakit golongan yang anti kepada wala' yang kononnya wala' ini menjadi bahan durjana pada mempertahankan hak dan memperluaskan kritikan membina.

Ini juga penyakit golongan yang anti kepada muzakarah ( saya tidak memperjuangkan muzakarah di sini ) dengan Umno tetapi berpelukan tanpa segan dan takut dengan DAP yang dasarnya kufur atas nama tahaluf siasi ( saya tak kata Pakatan Rakyat tidak syar'ie ), namun tindak tanduk mereka tidak banyak menyerang Umno atau serangan Umno yang banyak itu diselang-selikan dengan menyerang pimpinan sendiri.

Nampaknya banyak kerja blogger macam ini. Umno diserang dan pimpinan PAS tertentu turut menjadi mangsa tembakan.

Saya dimaklumkan, kelewatan malam itu adalah kerana masalah penerbangan yang lewat dari Terengganu. Saya dimaklumkan oleh seorang pimpinan pusat sendiri.

Nampaknya, isu macam inipun menjadi bahan kempen untuk memuas nafsu benci terhadap pimpinan, tetapi berlapik dengan kebebasan mengkritik dan menegur demi hak.

Tak kisahlah agaknya, sampai menerlanjangkan manusia!

10.2.10

Ujian PAS Perak Selepas Kalah Lebih Mencabar

1. Kekalahan PAS dan Pakatan di Perak hasil tangan lima orang bijak pandai bijaksana memberikan kelebihan yang banyak kepada Umno. Andaian bahawa Umno telah merompak kuasa dan kesannya rakyat Perak semakin "getik" dengan parti itu, jangan diamalkan lagi.

2. Mungkin yang getik dengan Umno ialah ahli Pakatan dan penyokong tegar sahaja. Bagi majoriti Melayu, mahkamah mungkin mampu menjadi makhluk penenang hati mereka pada kepimpinan Umno.

3. Isu kalimah Allah, dakyah penguasaan DAP non-muslim ke atas MB Nizar dan pentadbiran Perak, sokongan istana dan institusi mufti yang condong menjadi faktor-faktor penting untuk Umno terus kekal memerintah selepas pilihanraya ke13 nanti. Pakatan jangan pandang enteng.

4. Perak masih memiliki ramai Melayu dan pengundi Melayu. PAS Perak harus terus menumpukan kepada segmen ini dan jangan sangat memberi banyak masa kepada warga bukan Melayu di bandar-bandar besar. Nizar juga begitu. Biarlah DAP menguruskan mereka. PAS menjaga segmen utamanya dan DAP dengan segmennya bersama PKR.

5. Wajah Nizar selepas kalah di mahkamah biarlah wajah PAS yang bersandarkan "tradisi pegangannya, tetapi kontemporari penampilannya".

6. Ujian yang bakal dialami oleh PAS Perak tentu lebih memenatkan dengan pelbagai persepsi yang tersebar di serata negeri. Segalanya mencabar.

8.2.10

PAS Tidak Perlu Pemimpin Pusat Yang Takut

1. Takut bererti mahu cakap-cakap di belakang, berhujah di kedai kopi dan menjerit di blog

2. Takut bermakna bising pada pucuk pimpinan yang memang telah dibisingi dan diam bila patut bising kepada pucuk pimpinan yang jarang dibisingi

3. Takut bila merasakan kedudukan dunia boleh hilang

4. Takut berhujah dalam medan hujah dan berani berhujah dengan kelompok sendiri

5. Tidak bersifat lelaki pada perkara khilaf. Sudah kalah pada persaingan idea, mahu menjahanamkan imej dan kedudukan lawan idea dalam parti sendiri

6. Takut untuk menerima idea pihak lawan idea mungkin idea yang benar

7. Pukul lawan idea dengan baling hujah pada blogger-blogger untuk menjerit

8. Tidak berani lawan posisi presiden, tapi hati begitu meluat dengan presiden

9. Hanya berani hentak keyboard di rumah, tetapi tidak berani hentak meja dalam bilik mesyuarat jika dirasakan presiden telah melakukan mungkar besar

Sialkah Wala'

Wala' selalu menjadi mangsa orang yang gagal mengenalinya.

Sejak dua tiga tahun yang lalu, ramai yang gatal jari menulis pasal wala' dengan cuba memperlekehkannya atas maksud dan tujuan tertentu. Tetapi gatalnya mereka ini, selalunya sekadar menggunakan satu dua ayat sahaja untuk menghuraikan batang tubuh wala' dan salahkan orang yang berwala' atau menyeru buat wala'.

Semuanya kerana wala' itu dilihat menjadi halangan mereka untuk mencapai sesuatu maksud. Biasanya apabila ia berkaitan kepemimpinan seseorang yang bersalahan daripada kehendak diri.

Kelompok yang kononnya anti kepada wala' membabi buta ini, gagal memahami wala' sebenar dan apakah peranan wala'. Jika mereka mahu mencabutnya daripada senarai akhlak-akhlak berjamaah, maka sudah jelas lagi bersuluh, mereka tidak mahu lagi untuk mempastikan rangkaian dan perhubungan antara pemimpin dan pengikut berjalan lancar. Ada matlamat lain yang dikejar di sebalik itu.

Ini kerana wala' adalah cukup cantik dan indah bagi mempastikan perhubungan itu sentiasa lancar. Wala' bukan penghalang kepada berbeza pandangan, bahkan ia ubat dan pelincir kepada perbezaan pandangan antara ahli dan pimpinan, agar semuanya terurus dengan baik.

Wala' selari dengan taat, dan perlu dikaitkan dengan kaedah Islam, pemimpin sebagai pihak atasan berkewajipan membuat keputusan demi maslahah agama dan maslahah umum yang menuruti kehendak nas.

Mereka yang gagal memahami kaedah ini, lantas jahil memahami nas yang terbentang sejak sekian zaman, mulalah tersepit bila wala' dihamparkan di hadapan mata mereka. Langsung terus mengkritik batang tubuh wala'.

Islam tidak pernah sama sekali membenarkan pandangan orang bawahan wajib diikuti oleh orang atasan, kecuali dengan format yang dipersetujui bersama, seperti keputusan ahli jamaah pada muktamar yang diadakan.

Sebaliknya, Islam amat menekankan kepatuhan orang bawahan terhadap keputusan atasan, selagi tiada percanggahan dengan nas. Ambil apa sahaja contoh depan mata kita, mereka yang membantah keputusan tertentu, apakah keputusan itu bercanggah dengan nas, atau bercanggah dengan kehendak dan "kebijaksanaan" mereka?

Jarang mereka berhujah dengan nas kerana tiada hujah. Apabila wala' menghalang, itulah sasaran mereka, kerana mustahil mereka mengkritik nas, sebaliknya menyalahkan pemimpin yang menyebut tentang wala', seterusnya wala' terus terhina macam suatu yang sial.

Bagi anda yang bersusah payah menyanggah pemimpin hanya berdasarkan pandangan anda, apakah sebenarnya yang anda perjuangkan? Benarkah anda yakin anda seorang sahaja yang berhasrat menjaga perjuangan ini? Kenapakah Allah tidak selamatkan perjuangan ini dengan memberi jawatan pemimpin ummah dan jamaah kepada anda?

Atau anda sebenarnya memperjuangkan ego seorang bawahan yang percaya ada hak tanpa batasan mengkritik pemimpin yang anda hukum sendiri, telah melakukan salah pada agama?

Kini, apa yang semakin bersebar, penentang pemimpin tertentu adalah pejuang agama, jamaah dan kebenaran. Kami yang ramai dan diam ini siapa? Dungu-dungu yang hanya pandai mengangguk? Sudah tentu bukan!