25.9.09

Salam Eid Fitri


SALAM EID FITRI KEPADA SELURUH AHLI KELUARGA, PENGUNJUNG NOTA ELBARITII DAN SELURUH UMAT ISLAM.

MOGA RAMADHAN YANG LALU MEMBERI KEBAIKAN BESAR, SYAWWAL KINI MEMBERI CAHAYA BARU DAN ALLAH SENTIASA MEMBERKATI.

MAAF ZAHIR DAN BATIN

Omar, Ruhaida dan Ihsan Izziddeen
6 Syawwal 09

24.9.09

Muhammad Ismi mencari ilmu di Jordan




Bersama Muhammad Ismi Hamid di KLIA, satu-satunya anak saudara yang telah memilih jurusan kedoktoran untuk pengajian universitinya, setakat ini. Moga-moga ada lagi yang menjejakinya. Beliau telah ditakdirkan menyambung pengajiannya di Irbid, Jordan.

Memang sejak kecil, beliau kelihatan bijak dan comel, macam pakciknya :). Mudah-mudahan beliau berjaya dalam pengajiannya di Jordan University of Science and Technology (JUST).

Kesempatan yang ada di Jordan, perlu digunakan juga untuk mendalami ilmu agama sedalam yang mampu. Di bumi anbiya', sudah pasti mudah untuk Ismi menjejaki perjuangan Nabi Muhammad saw, para nabi, sahabat dan pejuang agama Allah. Di sini juga terdapat para ulama yang menghambakan diri dengan ilmu dan agama, selepas Allah swt.

Harapan keluarga, pulang sebagai doktor dan manusia yang berguna.


Nabi saw bersabda yang bermaksud: "Sebaik-baik manusia ialah yang memberi manfaat kepada manusia lain."

Dah buka klinik nanti, jangan lupa sedara mare hehehehe...

Ismi, rebutlah peluang keemasan ini untuk mendalami ilmu kedoktoran dan agama sebaik mungkin. Sir 'ala barakatillah...

22.9.09

Persaudaraan ini mesti dijaga erat


Gambar-gambar ini mempamerkan sebahagian kecil daripada keluarga besar mak dan abah. Ada abang, kakak, ipar duai dan anak saudara. Mungkinkah keriangan begini akan berulang lagi? Kitalah penentunya...


Untuk cucu-cucu opah sekalian, ingatlah pesanan opah selalu. Jangan sesekali lupakan atuk yang kini bersebelahan opah selalu. Jangan lupakan kampung halaman, tempat kalian membesar dan pastinya mengenal erti kasih sayang atuk, opah dan keluarga mereka berdua.

Jangan buat-buat lupa pada keluarga atuk, yang berasal dari Pasir Kubu dan keluarga opah di Teluk Sena. Kalian masih memiliki Opah Chor, Opah Wah, Opah Chik, Tok Pandak dan Tok Man. Kalian juga masih memiliki ramai pakcik-makcik sepupu sebelah atuk dan opah di kampung halaman kalian ini. Teruskan silaturrahim yang sedia terjalin ini.

Jika kalian ingin berumah tangga suatu hari nanti, sampai sahaja musim perayaan, jangan pula lupakan terus kampung halaman atuk dan opah untuk disenaraikan tempat giliran kalian. Ya, setahun di rumah kalian, setahun di rumah pasangan dan setahun di rumah atuk dan opah. Atau setiap tahun, jadikan kampung ini tempat kunjungan yang pasti.

Kalian semua ramai. Lebih 50 orang. Jangan putuskan silaturrahim sesama kalian. Ya, batasan tetap ada tetapi pertalian perlu terus tererat jalinannya.


Opah juga selalu berpesan agar sentiasa merapatkan diri dengan pakcik dan makcik kalian. Sayangilah mereka sepenuhnya. Jika tidak sama seperti ibu dan ayah kalian, jangan terlalu kurang sayang kalian pada mereka ini. Ya, pada Cik Omar dan anak-anak opah dan atuk yang lain.

Terimalah nasihat dan teguran mereka ibarat ajaran daripada mak ayah kalian sendiri.

Buat abang, akak dan adikku;

Moga kita terus erat dalam keluarga besar ini, walaupun mak dan abah sudah tiada lagi. Sudah tentu kita sentiasa mengingati segala mutiara kata dan didikan mak abah sepanjang usia kita bersama mereka. Ingat mereka, ingatlah sama kampung, rumah, bendang, tanah belukar bemban, durian, getah, pusara dan keluarga besar mereka berdua.

Bukankah mereka sangat menjaga hubungan? Bukankah mereka paling tidak suka bertekak, bertelingkah dan bermasam muka? Bukankah mereka tidak pernah menyimpan sekelumit gurisan hati terhadap keluarga mereka? Bukankah mereka mahu kita sentiasa menghormati keluarga besar mereka?

Ya, banyak lagi nasihat mereka, yang kini menjadi wasiat untuk kita. Sama-samalah kita meneruskan jaringan keluarga besar ini dengan penuh rasa bertanggung jawab dan ikatan kasih sayang sejati.


Sesungguhnya, kitalah penentu kepada pertalian antara anak-anak kita dan keluarga besar mereka. Kitalah penentu jalin putusnya keturunan Haji Mohamed Lebai Yusuf dan Hajjah Ramlah Abdul Raof, rahimahumallahu.

Al-Fatihah...

21.9.09

Kasihlah Ibu selamanya

Hari ini adalah hari raya kedua. Saya masih berada di Kuala Terengganu. Memenuhi kewajipan, janji dan tanggung jawab.

Hari raya di negeri ini tidak kurang meriahnya, berbanding negeri sendiri, kampung sendiri. Namun manakan sama jika bersama seluruh keluarga sendiri di kampung sendiri, Teluk Sena.

Pada pagi raya, perasaan gembira berbaur sedih. Gembira kerana selesai menyempurnakan Ramadhan dengan cara yang baik, kalaupun tidak terbaik. Sedih kerana Syawal tidak lagi menjanjikan kelebihan-kelebihan seperti bulan sebelumnya.

Gembira kerana hari raya adalah hari bergembira dan sedih kerana insan tersayang tiada lagi di sisi.


Wajah mak bersama adik bongsu dan dua cucunya, pada beberapa minggu sebelum beliau bertemu Penciptanya

Gambar di atas diambil ketika menghadiri majlis perkahwinan cucu lelakinya Munzir, di Taman Kelebang Jaya, Ipoh.

Inilah antara saat-saat indah bersama mak yang dapat dirasai bersama oleh semua anak-anak dan cucu-cucunya. Walupun mak tidaklah begitu kuat, namun keriangan serlah pada raut wajahnya. Siapa sangka, ini antara detik akhir kemeriahan bersama mak, sebelum pulangnya ke KL dengan keletihan, kepenatan dan bermukim seketika di hospital Putrajaya.

Memang ketiadaan mak menggugat perasaan dan emosi kami semua. Kemuncaknya ialah pada hari raya ini. Mungkin saya belum begitu merasainya kerana masih berjauhan dari kampung dan pusaranya. Esok, saya akan memulakan perjalanan dari Padang Midin ke Kuala Berang-Tasik Kenyir-Felda Aring-Gua Musang-Kuala Betis-Lojing-CH-Simpang Pulai.

Dari Simpang Pulai ke Batu Gajah, Bota dan Teluk Sena. Mungkin terus ke pusara mak, menziarahinya dan membacakan al-Fatihah dengan iringan doa pada Ilahi.

Ada yang bertanya, kenapa saya banyak menulis tentang mak di blog ini. Jawapan saya mudah. Kerana ingin berkongsi suka duka bersama keluarga saya sendiri, juga pembaca yang sudi mengikutinya. Penulisan begini adalah cara mudah dan cepat untuk perkongsian bersama adik-beradik saya.

Untuk pengajaran pula, cukup saya nyatakan satu perkara. Kematian kita adalah satu kejutan. Bayangkan jika kita tidak bersedia untuk itu? Dan bayangkan juga jika kita tidak bersedia dengan pemergian ibu kita? Alirnya air mata darah sekalipun takkan mengubah apa-apa, jika kematian ibu anda diselubungi dosa-dosa anda kepadanya tanpa pengampunan lebih awal. Bayangkan itu, sudah mencukupi.

Elemen kejutan memang wujud pada kisah kami dengan mak. Persiapan mak nampak jelas. Dosa-dosa kami pada mak? Alhamdulillah, kami berkesempatan merayu kasih dan ampunannya.

Oleh itu, pesanan saya buat yang mungkin terlupa, kembalilah kepada ibu anda dengan sebenar-benar kembali. Sayangi dan kasihilah ibu anda, seperti sayangnya kami kepada ibu kami yang telah tiada.

15.9.09

Politik mazmumah bukan dari Nabi

Berpuasa, secara umum, matlamatnya taqwa. Kalimah yang mudah disebut, tetapi sukar dijayakan. Mudah ditakrifkan tetapi sukar dihurai dengan kata-kata, melainkan perbuatan membantu penghuraian.

Berpolitik apa matlamatnya?

Berpuasa termasuk juga untuk mengekang nafsu, melemahkan ammarah dan mengukuhkan pengorbanan dan sabar. Semuanya memenuhi tuntutan Syariah Islamiah.

Berpolitik pula ada unsur untuk mengekang nafsu perosak, melemahkan kezaliman dan mengukuhkan pengabdian pada Ilahi dan dakwah Islamiah. Juga memenuhi tuntutan Syariah Islamiah.

Biasanya puasa mampu menundukkan sifat mazmumah, meningkatkan kasih sayang dan lebih menundukkan diri.

Kenapa politik tidak ke situ?

Sejak akhir-akhir ini saya sering menyaksikan penglibatan aktif dalam politik Islam sukar mengelakkan diri daripada pelbagai mazmumah; bermasam muka, bersaing gah, berputus arang, beradu bijak, bertegang urat, berengkau aku dan berharta selesa. Ianya tidaklah mendominasi gerakan, tetapi semakin berleluasa. Satu gejala yang mesti disekat, kerana ianya tidak wajar sama sekali untuk berlaku di tengah perjuangan...

Salahkah jika ada yang mengelak politik begini kerana ingin mengelak bermacam 'ber' di atas? Tentu kita mudah menyebut ianya salah. Namun, mudahkah kita menarik mereka dengan segala mazmumah yang wujud?

Bukankah Rasulullah menanamkan kasih sayang dalam politiknya? Lebih-lebih lagi sesama pekerja gerakan, iaitu para sahabat.

Adakah setiap pekerja gerakan kita adalah sahabat kita?

Kita perlukan politik puasa, bukan politik mazmumah!

14.9.09

Taqwa pada anak


Saya begitu seronok melihat perkembangan anak saya sejak seminggu dua ini. Dua tahunnya pada bulan sebelas nanti, tetapi macam-macam perkataan telah disebutkannya. Banyak yang kami tidak pernah ajar, tetapi beliau mengutipnya dari dua kakak sepupunya, along dan angah.

Paling seronok melihat perkembangannya di atas tikar sejadahnya. Kalau dibentang sejadah, dia mesti mahu paling sempurna. Jika ada hujung sejadah yang terlipat, pasti dibetulkannya sebelum bertakbir. Kalau semuanya sempurna dia mula dengan takbir dan terus sujud, kemudian bangun dan selesailah solat dia. Nasib bek la Ican ni budak yer... takdela jadi ajaran tak betul hehehe.

Sudah solat, mesti dia lipat2 sejadahnya dan kadang-kadang dibiarkan di situ sahaja. Kalau rajin dia akan bawa sampai ke ruang berdekatan dapur dan letakkan sejadah tadi di atas sofa.

Dia juga mudah mengecam masjid. Nampak sahaja bangunan masjid yang besar dan berkubah, spontan dia sebut 'masjid'. Kalau dah berjauhan sikit, selalu juga dia lambai ke masjid, "bye bye masjid".

Begitulah harapan kita yang sudah bergelar ayah. Mahukan anak-anak membesar dengan persekitaran Islam yang mudah dan betul. Dia tidak kekok dengan aktiviti agama dan ibadah yang suatu hari nanti menjadi rutinnya.

Anak-anak kecil seperti Ihsan mudah diasuh dengan agama. Dia juga mudah mengikut. Tetapi remaja yang sudah meningkat dewasa jarang mahu membuntuti ayah mereka ke surau dan masjid.

Apakah Ihsan juga begitu?

Tarbiah saya terhadapnya akan menghalakannya ke arah mana yang dia akan pergi. Oleh itu, saya tidak hanya mesti mentarbiah diri sendiri atau isteri sahaja. Dia hanya dibiarkan kepada bibiknya.

Juga tidak boleh hanya keluar rumah menyampaikan sekelumit ilmu jika dijemput, sedangkan Ihsan di rumah bermain dengan wayang-wayang gambar atau menari-nari dengan abang Aznil di cenel 104.

Sekarang nipun sudah sedikit bimbang. Dengar sahaja lagu tv3 sebelum buletin utama, dia akan berlari2 ke tv sambil menyebut "tivi iga". Bukan bimbang kerana lagu itu maksiat atau ia melalaikan, tetapi cepatnya respon Ihsan terhadap alat ini.

Inilah anak-anak yang sedang membesar. Cepat memberi respon gaya sendiri.

Jika kita ada anak yang sedang remaja sekarang ini, jangan mudah menyalahkan orang lain atas kekurangannya, kerana dia juga telah memberi respon terhadap apa yang diterimanya daripada ayah dan ibunya.

Saya baru memiliki seorang anak. Namun sudah merasai amanah kewajipan sebagai seorang ayah. Beban yang ditanggung setiap ayah dan beban yang boleh menjadi ringan jika menggunakan cara yang betul.

Apa yang pasti, ada kewajipan menanti, dalam membesarkan fizikalnya, dan mengenyangkan rohaninya.

Suatu hari nanti, saya akan ditanya tentangnya, atau sebelum itu, dia akan bertanya kepada saya tentang dirinya.

Anak memang amanah yang berat. Tidak cukup tarbiah sebulan Ramadhan untuknya menjadi manusia. Sempena matlamat Ramadhan yang ingin dicapai, marilah kita bertaqwa pada mendidik anak-anak kita.

Mulakan sahaja dengan cara dan gaya kita membiarkan anak kita menyambut eid fitri.

13.9.09

Renungan buat diri sendiri : Pengimarah Ramadhan


Ramadhan adalah bulan yang penuh dengan aktiviti. Bermula dengan aktiviti solat, diikuti bacaan al-Quran, tazkirah, makan minum, pemberian sumbangan, membantu fakir miskin dan seumpamanya.

Alhamdulillah, aktiviti sebegini mampu dan kerap memberi kesan positif kepada sasaran program atau majlis.

Tetapi, bagaimana pula kita yang sibuk menggerakkan aktviti ini? Apakah perubahan semakin meningkat dalam diri sendiri? Kesan semakin mendalam? Amalan semakin bertambah? Kasih sayang semakin terjalin? Allah semakin didekati?

Saya suka bertanya sedemikian kerana Ramadhan adalah bulan untuk kita secara langsung ditertibkan oleh Allah ta'ala, maka jangan hanya melibatkan diri sebagai penggerak memberi manfaat kepada manusia lain, sedangkan diri sendiri kurang menyertai tertiban Ilahi.

Apakah kita yang merupakan penggerak atau pengimarah Ramadhan, masih sama dalam amalan, tilawah, sedekah, kasih sayang dan taqwa? Ramadhan bukan untuk mereka sahaja mencari taqwa. Ia juga untuk kita meningkatkan taqwa.

Sudah maksimakah takut kita pada Ilahi? Capaikah tahap berhati-hati kita pada batasan fusuq? Sediakah kita berhenti di destinasi terakhir persinggahan yang kekal abadi?

Ramadhan semakin pergi...

p/s: Wajah Sheikh Yusuf al-Qaradhawi sebagai hiasan. Beliau seorang tokoh dakwah yang selalu menekankan keseimbangan dan kefahaman dalam menjalankan aktiviti dakwah Islam.

Tazkirah

Sekarang adalah malam ke-23 Ramadhan. Termasuk antara malam yang dituntut supaya amalan digandakan, sejajar dengan semangat mencari malam Qadar.

Bermakna Ramadhan semakin dekat ke penghujungnya. Beberapa hari sahaja lagi untuk kita menamatkan rangkaian tarbiah acuan Ilahi.

Dalam siri tarbiah Allah ini, ada amalan yang dikhususkan oleh Allah dan RasulNya, dan ada yang tidak. Antara pengkhususan yang diketahui umum ialah puasa, sedekah, zakat, qiam, tilawah al-Quran dan lain-lain.

Para alim ulama, ada yang mengambil kesempatan Ramadhan untuk lebih memberi masa dengan al-Quran, manakala pengajian dan pengajaran dikurangkan sedikit. Ada juga yang masih sama pada skala kekerapan pengajarannya, demi melebarkan dakwah, ilmu dan ma'ruf.

Dalam proses menghangatkan dakwah di bulan mulia ini, hikmah pada menjalankan dakwah mestilah dijaga. Jangan sekali-kali berlaku keadaan di mana kekerapan aktiviti dakwah atau tazkirah berganda namun kesannya tidak berganda, mungkin kebih buruk.

Secara peribadi, saya melihat pemberian tazkirah antara empat rakaat taraweh adalah amalan yang baik tetapi bercanggah dengan hikmah dan bijaksana berdakwah. Kecuali jika telah dipastikan ianya diterima secara majoriti atau sebulat suara oleh jamaah.

Fokus saya ialah pada masa tersebut yang sedikit sebanyak tazkirah itu mengganggu jamaah yang ingin memberi tumpuan lebih baik kepada solat mereka. Jika peluang berdakwah ingin direbut, maka masa yang lebih baik ialah selepas selesai lapan rakaat taraweh dan tiga rakaat witir. Ambil 15 minit masa sudah mencukupi untuk memberi peringatan. Lakukannya sebelum berdoa. Tidak perlulah diperpanjangkan wirid atau ditambah pula dengan bacaan tahlil ketika itu.

Taraweh adalah amalan khusus di bulan Ramadhan. Ia memberi fokus kepada solat dan al-Quran.

Kadang-kadang, dan kebanyakannya tazkirah gagal memenuhi tuntutan penghayatan al-Quran, sebaliknya penuh dengan emosi, menyentuh maruah manusia, menyindir kumpulan tertentu, meluahkan lawak jenaka dan seumpamanya yang akan memberi kesan kepada jamaah. Apatah lagi jika diadakan selepas rakaat ke empat. Dengan keletihan mendengar ditambah keletihan duduk mendengar, mungkin empat rakaat keduanya gagal diberi tumpuan.

Lebih malang jika ramai yang mendengar tazkirah dan ramai juga yang sudah siap menutup pintu hatinya untuk mendengar pengajarannya.

Jika dilakukan antara isya' dan taraweh, perlu dipastikan pula masanya tidak terlalu lama, kerana jika lama, ia mungkin berjaya menimbulkan kebosanan dan ke'nyampahan' jamaah yang datang mahu menunaikan solat, bukan mendengar 'leteran' ustaz.

Apa yang juga sangat penting untuk difahami oleh pihak masjid dan surau ialah jangan gopoh dalam mengatur aktiviti dakwah dan tazkirah sepanjang Ramadhan. Pantang ada peluang, terus ustaz diterkam, jamaah disogokkan, tetapi kesannya tidak berlaku dengan baik.

Mengajak seorang insan ke medan dakwah lantas mengetuk pintu hatinya memerlukan seni dakwah yang cukup halus lagi tepat. Manusia mudah menolak jika dia merasakan dirinya diperlakukan secara salah.

Semoga ramai yang telah menerima hidayah sepanjang Ramadhan ini dan berjaya menyebarkan kasih sayang sesama pendokong agama, penggerak dakwah dan masyarakat Islam keseluruhannya.

Manusia perlu diajak bersama mencari Tuhan, bukan dipaksa dengan 'sogokan'.

11.9.09

Perpisahan itu amat perit

Saidina Omar Al-Khattab dengan penuh emosi dan luar kawal cuba mengancam sesiapa yang mendakwa Nabi Muhammad saw telah pergi selamanya. Situasi begitu tidak menunjukkan kelemahan pada iman atau kewarasan seorang sahabat Nabi, sebaliknya itu sekurang-kurangnya membuktikan manusia mempunyai sifat sebegitu.

Ada yang dicipta beremosi tinggi dan ada yang dicipta sebaliknya. Ya, saya percaya pengawalan emosi boleh dilatih, namun hasilnya tetap berbeza-beza antara satu sama lain.

Perpisahan dengan orang yang tersayang amat menguji emosi saya. Lebih-lebih lagi jika itu berlaku antara saya dan mak. Saya bersama adik telah memberikan persetujuan untuk pembedahan itu dan hasilnya, kami kehilangan mak. Apa lagi peristiwa lebih besar daripada situasi begini yang menggoncang emosi saya.

Seminggu kehilangan mak memang menguji emosi saya bersama mereka yang mendampingi saya. Semuanya berselerak dan berserabut. Tidaklah sewajarnya mereka menilai saya sama seperti sebelum pemergian mak.

Pagi itu saya menerima satu panggilan telefon. Bergegas saya mencapai telefon bimbit saya dengan andaian secara sepontan, mak memanggil. Sebaik memandang skrin, baharu saya tersentak mengingati ketiadaan mak, dan yang memanggil adalah orang lain.

Saya takut setiap dosa-dosa saya terhadap mak masih ada yang belum selesai. Biasanya tidak begitu, kerana mak sentiasa mendoakan saya dan seluruh ahli keluarga setiap kali selepas solatnya. Mak memang berdoa panjang setiap kali selepas solat. Wajahnya ketika berdoa, cukup menenangkan jiwa saya. Tangannya tabah menadah rahmat Ilahi. Tubuhnya kelihatan segar mengadap ke arah kiblat.

Untuk mengurangkan ralat dan rindu, malam itu saya bersama Kak Pah mengiringi jenazah sepanjang perjalanan dari Putrajaya ke Teluk Sena. Menaiki van jenazah yang kecil dan sempit, kerusi yang kecil dan sistem perudaraan yang tidak lancar memang satu pengalaman baru. Namun, kesusahan itu tidak menjejaskan kesungguhan saya mendampingi jenazahnya. Saya membaca pelbagai surah ketika mendampinginya, kemudian mendoakan agar pahala bacaan itu memfaati jasad dan ruhnya.

Saya bimbang juga kalau-kalau keadaan van tersebut yang dibawa agak laju, memberi kesan kepada jasad mak.

Sebaik jenazahnya ingin dibawa ke bahagian forensik dari katilnya di ICU, ( bukan untuk bedah siasat ) nurse terkejut melihat pengaliran darah berlaku dari tangannya. Setahu kami tangannya tidak ada luka, cuma terdapat kesan tusukan jarum. Bagaimana darah boleh keluar, kami pun tidak pasti.

Berhenti seketika di Tapah untuk persiapan bersahur. Kemudian terus mengambil laluan Tapah Road, Sungai Manik, Kampung Gajah dan sampai di Teluk Sena.

Malam itu kami bergilir-gilir membaca ayat-ayat suci al-Quran di sampingnya. Emosi bercampur-baur. Ketika itu tiada siapa yang diingati selain mak dan Allah.

Bagi saya, dengan mengingatkan mak bersendirian di kuburnya, cukup untuk menghilangkan kewarasan berfikir. Kesian mak. Di dunia lagi dia bukan jenis boleh bersendirian. Ringkasnya, mak jenis tak berapa berani. Apatah lagi mengingati situasi dia akan ditinggalkan sendirian.

Namun, amalannya, al-Quran yang dibacanya, diharapkan menjadi temannya di situ.

9.9.09

Malam-malam Mak

Malam begini, belum tentu mak sedang nyenyak tidur. Semua yang mak lakukan bergantung kepada kesihatannya.

Jika sakit, mustahil mak akan tidur nyenyak dan mungkin mak sedang mencari-cari ubat sedutnya ketika ini, untuk melapangkan paru-paru bagi mudah bernafas. Kalau agak sukar, saya akan dipanggilnya untuk membantu.

Setiap malam adalah malam saya bersamanya. Tidur di sisinya. Anak dan isteri di atas, saya dan mak di bawah. Mustahil mak naik ke atas, lagi mustahil saya di atas dan mak keseorangan.

Tidak tentu masa mak akan memanggil saya. Kadang-kadang jam 2. Selalunya jam 3 atau 4. Bila terasa sesak menyerang, saya akan dikejutkan bagi membantu. Walaupun tidur saya belum mencukupi, haram untuk saya terus tidur dan membiarkan mak mencari-cari ubatnya.

Malam mak memerlukan pusingan kipas yang deras, walaupun tak sewajarnya begitu. Tetapi malam saya berbeza. Maka saya akan baring agak jauh sedikit dari mak, menyorok daripada deruan angin kipas yang boleh menyebabkan saya bangun pagi dalam keadaan selesema atau hidung tersumbat.

Kadang-kadang malam begini saya membantu mak menukar kain lampinnya, jika sakit mak agak teruk sehingga tak mampu berjalan ke bilik air. Jika mampu, saya memimpin tangannya pula ke bilik air.

Kadang-kadang, saya dipanggil untuk mengurut dadanya, menggosok perutnya yang senak atau menyapu minyak but-but dibelakangnya. Semuanya mengikut tahap kesihatannya.

Jika mak dalam keadaan ok, ok-ok orang sakit, malam begini mak sedang nyenyak tidur. Sekali sekala dia berpusing ke kanan ke kiri. Sesekali bangun seketika untuk bernafas elok, kemudian tidur semula.

Hebatnya mak, jika sihat-sihat orang sakit, saya yang muda dan sihat begini tidak mampu mengikuti istiqamah mak bangun malam mengadap Ilahi sebelum subuh, setiap pagi, seperti arwah suaminya dahulu. Kadang-kadang saya nasihatkan mak, jangan mandi, ambil wudhu' sahaja kerana takut kesejukan pagi menyebabkan paru-parunya lebih lemah. Nampaknya, mak tak berapa nak ikut.

Inilah bekalan hebat abah suatu ketika dahulu. Mak juga sama.

Abah bukanlah orang luar biasa. Juga mak. Ilmu agamapun setakat apa yang dipelajari di kampung Teluk Sena, Parit. Guru mak dan abah dijemput dari Lambor Kiri, Lambor Kanan, Kampung Baru dan sekitarnya. Ada beberapa guru yang menjadi ikutan mereka.

Antaranya Tuan Haji Sufian, Tuan Haji Zainal, Tuan Haji Alias dan beberapa lagi nama yang saya tidak ingat. Mereka belajar agama agak lewat. Sudah berusia. Menaiki vespa berdua menuju ke surau tanah wakaf atau surau "deyo". Semasa di dalam DID, mereka mengaji di surau kuarters.

Banyak yang mereka pelajari. Dan banyak yang mereka amalkan.

Mak dan abah tidak ada musuh di kampung. Mereka tidak berdendam. Nampak seperti sanak saudara mereka amat menyenangi mereka.

Sejak sekian lama, kami menyaksikan mak dan abah memang komited dengan solat malam. Alhamdulillah, hasil didikan guru-guru mereka.

Dan itulah hebatnya mak. Tidak pernah bangun selepas azan subuh, kecuali beberapa kali dalam setahun kerana sakit teruk atau ketika di wad.

Malam mak indah dengan ibadah, hatinya lembut dengan Allah, walaupun mak suka dengan cara yang tegas mendidik anak-anaknya.

Kadang-kadang saya terfikir, banyak yang saya belum lakukan untuk malam-malam mak. Kini malam mak setiap masa, keseorangan di sana. Moga Allah 'menemankannya' dengan amalannya di malam hari hidupnya.

Selalu saya fikir, mungkin saya yakin begitu, bahawa saya jauh lagi untuk menyempurnakan hutang-hutang saya pada mak, bagi membalas jasa siang malamnya terhadap saya. Mungkin saya pernah tidak tidur untuk menjaga mak di malamnya, tetapi mak, setiap malam tidak cukup tidur untuk saya, semasa kecil saya. DAN, bukan saya seorang, sebaliknya untuk 12 orang anaknya.

Ya Allah, apakah hebatnya hambaMu bernama mak ini? Alangkah hebatnya!!!

Ya Allah, apakah aku masih berdosa dengan mak aku? Aduh...semuanya berlaku seperti sekelip mata.

7.9.09

Doktor isytihar mak telah tiada

Pagi Selasa itu kami terima banyak sms. Semuanya bertanyakan tentang mak.

Saya, abang Mid dan Kamarul yang dapat menatap wajah mak sebelum pembedahan dilakukan, mengharapkan sangat-sangat itu bukanlah tatapan terakhir kami. Sepanjang pembedahan dilakukan, emosi saya tidak terpengaruh dengan jangkaan doktor yang memaklumkan peluang berjaya hanya sama rata. Bagi saya, bukan lagi masanya untuk mak pergi selamanya. Ya, saya cukup yakin dengan apa yang kami doakan.

Kami bertiga puas menatap wajah mak yang terlantar di atas katil 10, wad ICU. Rambutnya ditocang rapi. Matanya pejam. Giginya ternampak sedikit. Dahinya sejuk. Tangannya sejuk. Juga kakinya. Kadang-kadang kami keliru. Apakah status terkini.

Kami diminta keluar seketika kerana waktu melawat sebenarnya belum bermula. Abang-abang bersama keluarga mula sampai pagi itu. Kami berkumpul di bilik menunggu terlebih dahulu. Kemudian kami mula masuk menziarahi mak. Dua-dua masuk. Ramai juga sanak saudara, sepupu, makcik, pakcik sebelah mak hadir menziarahi.

Di kepala katil, Yob, anak sulung mak membaca Yasin. Di ruang menunggu, ramai juga membaca surah yang sama. Saya membaca surah al-An'am, bagi menyambung bacaan Ramadhan saya. Kemudian turut membaca Yasin, bagi meraikan amalan yang diamalkan.

Pagi itu saya pulang agak awal ke rumah. Merehatkan diri dengan melelapkan sedikit mata. Datang semula sebelah tengahari.

Malamnya kami berkumpul di rumah Munir, Presint 9, untuk solat isyak, hajat, tarawih dan membaca Yasin bersama-sama. Mak bersendirian pada malam itu bersama penjaga-penjaganya. Selesai beribadah, kami berbincang tentang kemungkinan-kemungkinan yang berlaku ke atas mak. Setuju- jika Allah mengambilnya, kami hantarnya ke kampung untuk bersemadi berdekatan abah.

Saya kurang selesa untuk membincangkan hal ini. Namun, hanya akur pada kehendak semua. Lagipun, sudah ada nurse yang memaklumkan, harapan sangat tipis. Semacam mereka mahu memberi isyarat mak sudah tiada?

Pagi Rabu, 7.19 am, saya menghantar sms kepada semua adik-beradik.

"Slm semua. Kongsi perasaan, mak blm prnh pts asa utk hidup, wlu brtahun2 asma. Jika ditanya, pasti mak jawab dgn jelas. Yg terbaik utk mak ialah terus brsama kita. Minta terus berdoa utk kehidupannya, dan jdkan kehidupannya lbh baik. Mak prlukn sokngan kita semua, bkn lg prsiapan lain. Msti jumpa mak selalu."

Kamarul hantar sms pada 7.35 am.

" Heart beat mak skrg makin kurang. Nurse kata keadaan masih sama. Seblum bedah Kamarul cukup yakin mak mampu lalui ini semua. Adakah Allah beri Mak pluang ke Dua.."

Sekitar jam 10 am, adik mendapat panggilan lagi dari hospital. Kami diminta datang segera ke hospital kerana doktor ingin bertemu. Sekali lagi, saya, Kamarul, bersama kak Pah dan Miza hadir segera ke hospital. Kami menunggu di luar terlebih dahulu kerana doktor belum sampai.

Sebaik bertemu doktor, kami bersalaman dan memperkenalkan diri lagi. Doktor jelaskan status mak dari a sampai z.

Sukar untuk doktor menjelaskannya. Sukar juga untuk saya merekodkannya. Selepas sesi itu, saya, kami akur, bahawa harapan sudah tiada. Otaknya sudah tidak bertindak balas sejak hari Selasa lagi. Nadinya hanya digerakkan oleh mesin. Saya sendiri akur, mak telah tiada, berdasarkan penjelasan itu. Namun, setakat saat itu, masih mampu menahan sebak dan tangisan.

Doktor cadangkan semua datang untuk membaca Yasin.

11.51 am, saya sms semua adik-beradik.

"Slm. Dr segi perubatan, dah meninggal sbb otak dah mati. Menurut etika, mesin akan dihentikan hanya apabila nadi zero. Skrg makin krg. Innalillah..."

Tengahari itu, semua datang menziarahi mak. Kami masih keliru. Kami membaca Yasin. Kami membisikkan syahadah di telinga mak. Kami menyebut nama Allah dan kami menangis.

Sekitar jam 3.45 pm, doktor panggil segera masuk ke bilik ICU. Saya di lobi ketika itu. Terus berlari ke ICU. Kami diminta dengan segera membacakan syahadah di telinga mak. Saya tetap keliru. Namun kami terus yakin, mak mendengar dan akan pergi dengan syahadah dalam aman. Kami mula menitiskan air mata lagi.

Doktor minta izin untuk membuat pemeriksaan. Isytihar- mak telah tiada. Mesin akan dihentikan, dan bacaan nadi ketika itu menunjuk angka 15.

Kami menangis, saya menangis.

Mencium dahinya, merangkul tubuhnya, menggenggam tangannya, mencium kakinya dan mengesat mata saya. Ya Rabb mak dah tak ada...

Ya Allah, saat yang aku takut, sepanjang aku menjaga mak di rumah, kini telah sampai!!!

Saya mengambil keputusan untuk mengiringi jenazah mak ke Perak dengan menaiki van jenazah yang disediakan hospital. Saya bersama kak Pah di dalamnya.

6.9.09

Emak tabah dengan ujian

Memang itu yang saya yakini.

Seorang ibu tua yang menderita menanggung asma, sesak nafas, lemah paru-paru, cepat letih, sukar tidur dan paling berat, kerinduan terhadap suami tercinta.

Sepuluh tahun lalu, saya bersama emak dan abang sulung sama-sama menunaikan haji. Emak menunaikan haji pertama, juga abang saya. Tetapi tidak buat saya. Kesempatan berada di Madinah disempurnakan oleh saya untuk bantu menyempurnakan haji mak dan abang.

Di lapangan terbang, mak memeluk erat abah yang hanya duduk di atas kerusi roda. Sama-sama gembira dan sama-sama sedih pada saat itu. Walaupun saya tidak bersama, tetapi dapat merasai situasi itu.

Mak meminta izin abah untuk menunaikan haji tanpanya yang hanya ditemani abang kami, Mat Ali. Mak turut mengalirkan air mata sambil memohon kemaafan daripada suaminya. Abah juga berbalas memohon kemaafan. Anak-anak dan sanak saudara turut mengambil peluang berpelukan dan bermaafan dengan mak dan abang.

Haji, adalah ibadah kemuncak bagi umat Islam. Pergi tidak semestinya kembali. Juga yang tinggal, tidak semestinya menanti kepulangan.

Bulan Mac 1999 pasti sentiasa dikenang mak selama sepuluh tahun beliau hidup bersendirian. Sendiri pada hatinya kerana sudah tiada lagi suami di sisi.

Ketika kami bersiap-siap untuk ke Arafah, panggilan telefon dari Malaysia menyentak jantung saya dan abang. Abah, tanpa ada tanda-tanda awal, pergi selamanya. Kami berdua menangisinya tanpa mak. Kami merahsiakannya terlebih dahulu supaya mak dapat memberi fokus betul sepanjang berarafah.

Di Mina, mak dimaklumkan dan akhirnya tangisan tanpa henti kedengaran. Saya sendiri sukar menghadapi saat begitu, jika saya di tempatnya. Perginya tanpa di sisi, mandinya tidak disaksi, solatnya tidak disempurnakan sendiri, hanya pulang menziarahi kuburan. Ya Rabb...

Dan, sepuluh tahun itulah mak sentiasa mengenang hidupnya sebatang kara, pada fahamnya, setelah abah lebih awal pergi. Selama itu, dia terus tabah dalam meneruskan kehidupan, walaupun pelbagai penyakit yang dihadapinya, sehingga ke saat dibedah.

5.9.09

Peluang sama rata

Innalillahi wa inna ilaihi rajiun. Perginya tak kembali, setelah hadirnya menyerikan sebelas anaknya, lebih 50 cucunya dan 6 orang cicit.

******

......sebaik doktor pakar bedah sampai, beliau perkenalkan diri. Kami diberi penjelasan.

"Makcik perlu dibedahkan segera. Kami kesan terdapat ruang kosong antara usus dan paru-paru beliau. Itu bermakna terdapat gas dari usus yang telah terkeluar. Belum pasti disebabkan usus pecah atau apendik."

"Ada sebarang soalan?" tanya doktor.

"Bagaimana peluang untuk berjaya?" saya bertanya.

"Erm, terus terang saya katakan peluangnya 50/50 sahaja. Tapi jika tidak dibedah, dibiarkan begitu, peluang untuk terus sembuh dan sihat hanya 30%.

Kami terus diam, sebak dan kelu.

"Berapa lama dijangka semua selesai doktor?" kami bertanya.

"Jika tidak teruk, tidak kritikal, hanya memakan masa sekitar 3 jam. Jika ada masalah, mungkin selama 5 hingga 6 jam." Jawab doktor.

Setelah sesi bersama doktor selesai, kami mengambil peluang bersama emak lagi. Kami beritahu doktor nak merawat emak. Sekejap sahaja. Nanti kita jumpa mak lagi. Mak mesti selalu ingat Allah.Sebut nama Allah. Istighfar.

Kami meminta maaf bagi pihak kami dan adik beradik yang lain. Kami beritahu secara tidak langsung agar dia tidak terasa sesuatu yang tidak elok bakal berlaku. Kami juga sentiasa sebut kami amat menyayanginya.

"Kami ingin buka semua alat ini. Minta semua keluar dahulu. Kami akan update perkembangannya."

Kami terus keluar. Ketika ini jam kira-kira 2.00am. Mula-mula menunggu di bilik menunggu. Kemudian naik ke surau. Sempat solat hajat dan tidur seketika. Kemudian bergegas ke bilik menunggu semula. Akhirnya kami mengambil keputusan untukmelelapkan mata di sofa lobi hospital, setelah pembantu doktor di wad ICU memaklumkan proses pembiusan berjalan lancar dan mak mula dibedah. Sempat melelapkan mata. Kira2 jam 4, kami mengambil keputusan ke Kedai Mak Teh di Cyberjaya untuk bersahur. Kemudian solat subuh di Masjid Putrajaya.

Tepat jam 6.40 mak keluar dari bilik bedah. Kami bergegas ke wad ICU dan melihat emak semula. Ucapan syukur tidak henti-henti kami ucapkan. Kami terus membacakan doa-doa yang dihafal. Kepala emak kami sentuh. Dadanya kami urut. Tangannya kami genggam. Kakinya kami ramas. Semuanya serentak dengan zikir dan doa syifa'.

"Ya Allah, wahai Tuhan sekalian manusia. Hilangkan penyakit ini. Sembuhkan dia. Kaulah Maha Penyembuh. Tiada sembuhan selain dari Kau....

2.9.09

Panggilan kecemasan tgh malam Ramadhan

Kini denyutan jantung mak semakin rendah/perlahan. Hanya Allah, dan sentiasa Allah yang menghidup dan mematikan setiap jiwa.

******

"Abang Omar, jangan amik masa sangat. urgent. " Kamarul menghantar sms.

Kami perlu bergegas ke hospital kerana panggilan kecemasan dari wad ICU sebentar tadi kepada adik saya. Ketika ini, emak memang sedang berada di wad ICU. Panggilan doktor tadi, selepas beberapa jam emak dipindahkan ke situ dari wad biasa.

Pada awalnya, pemindahan di situ hanya untuk memberi kemudahan pernafasan lebih baik, kerana kesukaran bernafas secara manual oleh emak. Doktor juga telah melakukan pemeriksaan manual dan dapati emak tidak perlu dilakukan pembedahan pada ususnya.

Namun, hasil x-ray menunjukkan sebaliknya.

"Saya doktor bius......... Begini, makcik dalam keadaan kecemasan ketika ini. Hasil pemeriksaan x-ray menunjukkan ada masalah di bahagian antara usus dan paru-paru beliau. Seperti ada ruang kosong (gas) dan jangkitan kuman yang mungkin berpunca daripada sama ada usus pecah atau apendik. Itu kita belum pasti........"

Panjang doktor memberi penjelasan dan kami bertiga, saya Abang Mid dan Kamarul tenang mendengar. Kami faham. Tetapi apabila ditanya peluang berjaya....jawapannya menyesakkan jantung.

"Mohon waris menandatangani surat keizinan ini". Kata doktor tersebut.

"Cik, kamu la sain", gegas saya mencadangkan.

Setelah sesi itu selesai, kami terus kembali mendekati emak. Ketika ini emak diberikan bantuan pernafasan yang rapi. Melihat keadaannya mahu menjerit kesedihan.

Satu mukanya diliputi "mask" pernafasan. Terdapat paip kecil memasuki hidungnya dan paip besar ke mulutnya. kedua-dua tangan dipenuhi wayar, balutan dan terikat ke pemegang katil.

Emak meronta-ronta mohon ikatannya dibuka. Letih agaknya terikat begitu. Namun kami gagal memenuhi mahunya.

"Mak, sekejap aje lagi mak. Nanti doktor datang dia akan buka ikatan ni. Mak sabar ye. Sekejap aje. Keme tak boleh bukakkan." Jawapan kami bertiga kepada emak.

Banyak permintaan emak malam itu gagal disempurnakan. Bayangkanlah perasaannya ketika itu. Kami serba salah, dia pula menderita. Ya Allah, ampunkan kami.

Ketika di wad biasa tadi, emak juga meminta-minta dan kami cuba mengelak untuk memberi.

"Emak minta maaf sangat ni. Tolonglah. Emak taknak puasa dah malam ni. Emak nak minum. Tolonglah" Itulah bunyi rayuan emak, meminta bantuan yang dilarang oleh doktornya kerana ditakuti air minumnya melimpahi ke paru-paru. Kami yang hadir tidak faham sangat penjelasan itu, tetapi sukar untuk menolak saranan doktor.

Tidak berapa lama di katil emak di dalam wad ICU, dengan bisikan kami, doa kami, rayuan supaya emak berzikir, ingat Allah, semangat, yakin dan sabar, serta pesanan akak dan abang, yang mengirim salam, berdoa, dan memohon kemaafan, doktor pakar bius datang.

"Saya doktor pakar bius ........ Pembedahan ini perlu dilakukan segera. Tetapi saya ingin berterus terang di sini, makcik sangat lemah. Memberi bius satu badan untuknya, juga mendatangkan risiko buruk yang tinggi. Jika tidak bernasib baik, bius yang diberi juga boleh mendatangkan ketidak stabilan dan makcik tidak dapat diselamatkan sebelum dibedah lagi."

Sekali lagi jantung kami berdegup kencang.

" Jika tidak stabil, kami memerlukan masa mungkin sekitar sejam untuk mengembalikan keadaan stabilnya, sebelum dibedah".

Sebelum dibedah, sekali lagi situasi buruk berlaku apabila tekanan darah emak jatuh mendadak. Kelihatan pembantu doktor bergerak profesional membantu penstabilan darahnya.

Tidak lama selepas itu muncul doktor bedah...