Semalam anak saudara saya terlupa untuk memberi gurunya hadiah. Tetapi anak kepada rakan sekerja saya telah menghabiskan hampir seratus ringgit untuk hadiah guru-guru mereka. Saya pula, semasa di sekolah rendah tidak pernah membelikan hadiah untuk guru saya. Mungkin dahulu ia bukan budaya bagi saya dan rakan-rakan. Atau kami di kalangan orang-orang kampung yang kurang pendapatan, tidak terfikir untuk hadiah sebegitu. Ya lah, yuran tahunan pun jenuh mak ayah kami nak melangsaikannya. Saya masih ingat, untuk yuran kami, abah terpaksa menunggu duit 'terbang' dari Kuala Lumpur.
Inilah antara sedikit keseronokan yang diraih oleh insan bergelar guru, gikgu, pengetua, sir, teacher, mu'allim, ustaz dan ustazah. Mendapat hadiah yang cukup bernilai besar, walau tidak berharga tinggi, daripada insan-insan yang bergelar pelajar. Walaupun saya bukan guru ketika ini, saya amat memahami dan menjiwainya, kerana saya pernah bergelar guru.
Sebaik menghabiskan pengajian di Arab Saudi, saya menganggur selama 6 bulan pada tahun 2000. Banyak usaha yang saya lakukan, untuk mendapatkan pekerjaan, tetapi tidak berhasil. Ketika itu, saya menetap di Bota, Batu Caves dan Bangi.
Kehidupan saya berubah pada tahun 2001. Bermula Januari tahun itu, saya telah memulakan hidup sebagai seorang pendidik. Sebagai ustaz di sekolah agama yang baru sahaja beberapa tahun ditubuhkan, di Kampung Gajah Perak. Kini sekolah tersebut dipanggil SARJANA, Sekolah Menengah Raja Dr. Nazrin Shah.
Di sinilah saya merasai seronoknya bergelar guru. Saya sentiasa didampingi oleh pelajar. Oleh kerana saya menetap bersama mereka di asrama, saya adalah antara guru yang paling rapat dengan mereka, berbanding guru-guru lain. Solat bersama, makan bersama, main badminton dan bola sepak bersama dan bernasyid bersama.
Malah, kerana saya masih bujang, saya juga seperti menjadi 'mangsa' didampingi oleh pelajar-pelajar perempuan. Ada yang mengambil kesempatan untuk belajar. Dan ada yang seperti melencong. Tetapi mungkin juga perasan saya sahaja. Walau apapun, saya dekat dengan mereka berbanding guru lain yang telah berusia.
Sebagai warden, sudah tentu kenangan pahit manis saya bersama mereka cukup banyak. Sukar untuk menceritakan kesemuanya di sini. Jika saya mahir menulis, rasanya memang boleh menulis sebuah novel untuk pengalaman tersebut.
Sebelum azan berkumandang, saya akan memanjat asrama pelajar untuk mengejut mereka bagi solat Subuh. Bukan setiap hari, tetapi selalu. Ketika waktu kelas pagi atau rehat, saya antara guru yang sering dikunjungi oleh pelajar di dalam bilik guru untuk bertanya masalah. Ada berkaitan Nahu. Ada bertanya tentang Fiqh. Malah ada yang menceritakan masalah peribadi, masalah keluarga dan masalah kesukaran belajar. Saya memang suka menolong pelajar.
Selepas kelas saya akan makan di dewan makan bersama mereka. Waktu petang, jika ada tuisyen saya akan bersama mereka lagi. Selepas Asar pula, saya memilih untuk bermain badminton. Jika dekat dengan waktu persembahan, saya akan mengajar atau menyeliakan latihan nasyid kumpulan nasyid sekolah, sama ada selepas Asar atau Isyak.
Kami pernah membuat persembahan di UITM Seri Manjung, kenduri kahwin di sekitar Kampung Gajah dan Lambor Kiri dan pernah mengikuti pertandingan nasyid sehingga ke Kedah. Mengkagumkan apabila anak buah saya memenangi tempat kedua dalam pertandingan itu. Lagu pilihan kami ketika itu ialah Intifadhah.
Huh, sungguh banyak kenangan manis saya ketika bergelar seorang guru. Saya akui, memang saya merindui saat-saat bergelar guru. Rindu juga untuk bertemu semula dengan bekas pelajar-pelajar saya, khususnya yang rapat dengan saya dalam kumpulan nasyid dan mentee saya.
Hubungan dengan guru-guru lain juga adalah sangat baik. Sangat rapat, tidak seperti hubungan dengan rakan kerja saya ketika bekerja sebagai penterjemah sebelum ini, atau sebagai pekerja bank sekarang. Mungkin kerana sebagai guru, kami memiliki banyak persamaan. Pada sekolah, pada pelajar, pada masalah pelajar, pada sesetengah subjek dan pada cita-cita sekolah. Kami juga sering keluar malam bersama, bagi mencari makan malam di sekitar pekan Kampung Gajah, Perak.
Pengalaman saya di luar bagi mewakili sekolah juga cukup banyak. Contohnya mewakili sekolah dalam seminar membuat soalan-soalan peperiksaan seluruh negeri Perak dan perhimpunan bagi membincangkan bajet kerajaan negeri, bagi mewakili sekolah kami, yang merupakan sekolah milik kerajaan negeri, di bawah Jabatan Agama Islam Negeri Perak.
Apa yang saya ingin sampaikan ialah, kerjaya sebagai guru adalah cukup menyeronokkan, memuaskan, memberangsangkan dan memberi keberkatan hidup. Saya memang merindui tahun itu. Kalau boleh saya mahu memilikinya semula. Mungkin sedikit sesal, ketika saya meninggalkan dunia tersebut. Saya fikir, kerjaya terbaik di dunia ini adalah kerjaya sebagai pendidik manusia.
Bagi guru yang sedang mendidik, teruskanlah usaha anda. Banggalah kerana anda semua sedang mendidik manusia, hamba-hamba Allah. Merekalah yang akan menjadi segala-galanya pada masa hadapan. Letih dan peluh anda semua, cukup berjasa kepada manusia dan kehidupan. Jangan jadikan kerjaya sebagai pendidik hanya untuk mencari duit makan dan minum, kemudian berkeluarga. Bukan itu nilai seorang guru.
Bagi saya, setahun sebagai ustaz di SARJANA lebih memuaskan berbanding 5 tahun sebagai penterjemah dan hampir setahun sebagai pegawai bank. Tidak mustahil, saya mungkin memilih landasan pendidikan semula, bagi perjalanan hidup saya nanti, jika apa yang saya lakukan sekarang tidak menghasilkan kepuasan bekerja dan bekerjaya. Selamat diberkati semua guru saya dan seluruh warga pendidik.