31.5.08

Bagaimana Islam Hadhari Perak?

2 Ulasan
Setelah Islam Hadhari diharamkan di Selangor dan Pulau Pinang, Perak pula menjadi tumpuan pemerhati untuk mengikuti pendirian kerajaan negeri itu. Selangor sudah bertegas, dan sudah juga diulas oleh pelbagai pihak, termasuk Mufti Negeri Perlis dan Pengarah JAKIM. Saya sendiri belum dengar atau baca ulasan Mufti Negeri Selangor.


Perak ( setakat yang saya tahu ketika artikel pendek ini ditaip ) belum lagi mengharamkannya. Tapi Mufti Perak sudahpun menyatakan pendiriannya berkaitan Islam Hadhari. Ringkasnya beliau bersetuju dengan pendekatan Islam Hadhari bagi memajukan agama Islam.


Jika saya - elbaritii - diberi kuasa untuk mengulas dan memberikan pendirian terhadap kedudukan Islam Hadhari di Perak, kenyataan saya mungkin begini:

" Perak tidak akan menggunakan istilah Islam Hadhari kerana ia membawa pelbagai interpretasi berbeza dan boleh mengelirukan rakyat. Ada yang melihatnya seperti suatu konsep baru dan tidak kurang juga yang meyakininya sebagai satu pendekatan sahaja. Bagaimana kita ingin mencapai objektif jika kedudukannya masih tidak jelas. Maka Perak akan membuang kalimah hadhari tersebut dan kekal dengan Islam sahaja.


Manakala semua program berkaitan Islam Hadhari sebelum ini, akan diteruskan jika tidak bercanggah dengan kefahaman Islam sebenar dan ia akan dikenali sebagai program Islam sahaja. Apa yang kami mahukan ialah, rakyat benar2 memahami Islam hakiki dan menghayatinya."


Saya tidak akan menggunakan cara Selangor - walaupun ianya tidak salah pada saya - kerana beberapa sebab. Pertama, Mufti Perak sudah mendahului kerajaan Negeri membuat kenyataan menyokong. Kedua, bimbang sensitiviti melibatkan pihak Istana terusik jika cara Selangor diguna pakai dan tidak mahu menambahkan kontroversi tidak perlu di Perak.


Bagi saya, pemerintah tidak perlu sangat menzahirkan ketegasan dalam kenyataan dan ucapan, jika tidak perlu, apa yang penting kuasa di tangan boleh digunakan untuk dasar yang lebih tepat dan diyakini.



Benarkah PAS Selangor Biarkan Arak Dan Judi?

8 Ulasan
Malaysiakini melaporkan: Mengulas cabaran Dr Hassan agar membuktikan calon-calon PAS, termasuk beliau sendiri, pernah berjanji untuk mengharamkan arak dan judi di Selangor, Dr Mohd Asri mengulas:


"Inna lillah wa inna ilaihi raji’un. Saya seakan bermimpi. Suara siapakah yang saya dengar sejak dahulu yang begitu garang menghentam dan mengkritik kewujudan arak dan judi dalam negara ini. Aduhai politik dan kerusi terlalu cepat mengubah manusia. Tidak hairan jika ada tokoh yang menyebut: 'Aku berlindung dengan Allah daripada syaitan dan politik'."


Jika terus berdepan isu pengharaman dua perbuatan maksiat itu, beliau mencadangkan exco kanan kerajaan Selangor itu menjawab: "Alangkah baik jika disebut: 'kita sedang berusaha, atau masih dalam proses, atau mengambil pendekatan yang tersusun, atau sedang meneliti' atau seumpamanya."


Ulasan saya seperti berikut:

  1. Cabaran Dr Hasan Ali tersebut perlu dibaca bersama dengan punca cabaran itu bermula. Apakah ada dakwaan daripada pihak pembangkang Selangor bahawa PAS atau wakil rakyat PAS telah berjanji untuk melaksanakan apa yang dibangkitkan itu, atau tuduhan PAS telah memungkiri janji pilihan raya yang lalu berkaitan hal berbangkit. Jika begini situasinya, adalah tidak menjadi satu kesalahan untuk meminta penuduh membuktikan apakah PAS ada berjanji yang sedemikian itu.

  1. Saya tidak bersetuju Mufti Perlis cepat membuat ulasan dan andaian tanpa mengambil masa untuk mengkaji terlebih dahulu. Beliau benar jika ucapan Dr Hasan Ali lahir secara sepontan tanpa ada sebarang dakwaan mahupun tuduhan, dan amat pincang jika situasi sebenar seperti ulasan pertama saya di atas.

  1. Amat tidak bersetuju dengan Mufti yang telah menghukum awal Dr Hasan Ali bahawa beliau telah berubah akibat dipengaruhi oleh politik dan kerusi. Tuan Mufti, jangan lupa "al-hukmu 'ala syai' far'un 'an tasawwurihi"! Boleh jadi hukuman ini benar, tetapi bersabarlah dahulu dan dapatkan gambaran sebenar apa yang berlaku di dewan itu.

  1. Saya bersetuju saranan Tuan Mufti bahawa exco terbabit sewajarnya menggunakan bahasa lunak dan berlapik bagi menyentuh perkara berbangkit, seperti yang dinyatakan di atas.

  1. Saya bersetuju Dr Hasan Ali diberi teguran jika benar beliau ada menegaskan PAS tidak akan mengharamkan arak dan judi di Selangor. Walaupun PAS tiada kuasa dan hak untuk bertindak bersendirian dalam Pakatan Rakyat, kenyataan itu adalah kurang bijak dan tidak mesra agama. Bukankah lebih baik Dr Hasan Ali berkata: "kami akan yakinkan rakan kami terlebih dahulu sebelum saya melaksanakannya."

Di samping isu janji di atas, saya juga tertanya-tanya, benarkah PAS Selangor tidak mahu mengharamkan arak dan judi di Selangor, seperti yang saya baca di laman Dr. Maza? Sudah tertutupkah pintu dakwah di dalam Pakatan Rakyat?


Pakej Islam Hadhari Mengelirukan

0 Ulasan

Islam Hadhari hangat diperkatakan apabila Exco kerajaan negeri Selangor Dato' Dr Hasan Mohd Ali mengharamkannya baru-baru ini.

"Kita haramkan Islam Hadhari di Selangor ini kerana Islam yang kita amalkan dulu dan hari ini tidak berubah dan sudah cukup."katanya.


Saya tidak melihat ucapan tersebut di atas adalah salah. Ia sebagai kenyataan secara umum bagi menyentuh hal tersebut, dan merupakan suatu penegasan terhadap pakej agama yang telah sempurna sejak sekian lama. Tambahan pula Islam Hadhari diumumkan atas pengaruh iklim politik tanahair. Ia tidak dibuat secara telus, bersungguh-sungguh dan konsisten oleh pihak kerajaan. Ramai melihat ianya hanya pakej politik.


Oleh itulah maka kerajaan Selangor juga melihat daripada perspektif politik dengan menolak pakej itu secara sepenuhnya. Tetapi ia tidak bermakna menolak kandungan pakej tersebut secara total, kerana banyak kandungannya benar dan tepat mengikut agama. Yang dipertikaikan ialah istilahnya yang tersasar dan pakejnya lompong dan cacat di sana sini.


Salahkah menolaknya secara pakej? Jawapan saya, tidak salah kerana apa yang benar di dalam pakej itu turut ada dalam pakej asal agama Islam yang diperjuangkan oleh Rasulullah saw. Menolak pakej Islam hadhari bukanlah bermakna Selangor tidak akan melakukan mana- mana kebaikan drp pakej itu. Ia tetap dilakukan atas nama Islam hakiki.


Jika di dalam pakej Islam Hadhari termuat seruan bertakwa kepada Allah, maka itu adalah seruan benar dan tepat sekali. Ia tidak sedikitpun salah. Apabila kita ingin menolak pakej Islam Hadhari, bukanlah bererti menolak asas taqwa yang diseru oleh agama. Tidak akan berlaku begitu. Taqwa tetap akan diperkata dan diperjuangkan oleh exco agama Selangor.


Kenapa ianya ditolak secara pakej? Jawapan saya, ianya bagi menegaskan kepada rakyat bahawa Islam Hadhari adalah satu konsep atau pendekatan atau pakej yang sangat mengelirukan. Ia boleh menjadi pakej politik demi kepentingan pemerintah yang memperkenalkannya dan boleh sahaja menjadi pakej merosakkan kefahaman Islam sebenar, yang natijahnya amat berbahaya.


Sohibul al-samahah Mufti Perlis ada mengulas isu ini dengan berkata, "Istilah Islam Hadhari telah mengelirukan banyak pihak, namun isi kandungannya baik. Malangnya, pelaksanaan isi kandungan itu kurang kelihatan, selebihnya hanya jenamanya sahaja yang diuar-uarkan. Saya mencadangkan kepada pihak yang menolak secara ‘pakej’ (Islam Hadhari) supaya menilai dengan objektif, menerima aktiviti yang baik atau dasar-dasar yang baik yang termuat dalam Islam Hadhari dan boleh menolak jenama yang mengelirukan itu."


Apa yang diperkatakan oleh beliau adalah benar dan sebetulnya tidak bercanggah dengan kenyataan Dr Hasan Ali di atas. Seperti yang telah saya tegaskan, Selangor akan terus melaksanakan Islam sebenar yang memang sedikit sebanyak ada di dalam pakej Islam Hadhari, baik berupa kandungan mahupun objektif.


Kedua-duanya membawa natijah yang sama, menolak retorik Islam Hadhari dan kembali kepada sunnah yang sebenar. Sebagai ahli politik, adalah suatu yang biasa bagi menggunakan kepelbagaian pendekatan dalam ucapan dan kenyataan bagi bersesuaian dengan pendengar, isu berbangkit, tempat mahupun masa.


28.5.08

Ezam Kembali: Cermin Hubungan PAS-PKR

2 Ulasan

Sekali lagi saya tidak dapat mengelak daripada menulis tentang isu politik tanah air, apabila negara disensasikan dengan kembalinya Ezam ke lubuk Umno. Saya selalu memujuk diri untuk menulis tentang apa sahaja selain politik, supaya blog ini tidak hanya membicarakan tentang politik, namun belum berjaya sepenuhnya.


Kembali kepada cerita Ezam. Isu ini bagi pembacaan saya bukanlah isu tentang perihal proses kemasukan Ezam ke dalam Umno, atau pengkhianatan Ezam terhadap perjuangan reformasi, juga bukan tentang dirinya. Sebaliknya ia adalah isu hubungan PAS-PKR, jati diri PKR dan kepercayaan yang wujud begitu-begitu antara keduanya. Bermakna, ia adalah cabaran baru bagi Pakatan Rakyat.


  1. Bagaimana proses berlaku, usah dihiraukan sangat. Termasuk siapakah yang mula memujuk Ezam, apakah respon sebenar Najib dan bagaimana kedudukan Khairy di sisi Abdullah selepas Ezam ( akan jadi orang PM ) mendampingi Abdullah.


  1. Jangan dituduh Ezam mengkhianati reformasi, kerana reformasi tetap boleh dilakukan oleh beliau di dalam Umno, cuma berjaya atau tidak sahaja, berbaloi atau sia-sia sahaja persoalannya. Beliau juga telah menzahirkan punca kemasukannya ke dalam Umno secara langsung di TV3 tadi, iaitu bagi memenuhi ruang sedia ada dalam Umno yang kini lebih kelihatan pro-reform.

  1. Diri Ezam bukanlah isu besar bagi kita. Memang ada impak dengan kemasukannya, jika tidak TV3 tidak akan mewawancara beliau secara langsung dalam berita jam 8.00pm tadi. Biarlah kita fokus kepada isu sebenar. Apa yang lebih penting ialah melihat kedudukan diri sendiri melalui isu ini.

  1. Hubungan PAS dan PKR mesti lebih diperkukuhkan. Orang kuat PKR kini kebanyakannya adalah orang kuat Umno dahulu kala. Ezam yang pernah kuat Umno, bertukar kuat PKR, kini kembali akan menjadi orang kuat Umno. Perjuangan Ezam dahulu kala adalah perjuangan Anwar dan Azmin kini. Pendirian Ezam kini, mungkin sahaja menjadi pendirian Anwar dan Azmin masa depan. Perkiraan ini sering kali bermain di fikiran orang kuat PAS yang memang lebih PAS daripada PR. Sejak sekian lama, masih ada orang PAS yang longgar keyakinannya terhadap pendirian dan istiqamah pemimpin PKR selepas banyak peristiwa 'kembali ke asal berlaku'. Oleh itu, permainan Ezam mesti memberi impak negatif. Akibatnya mesti sentiasa dipantau. Ia adalah sebahagian daripada politik serangan Umno terhadap PR dan boleh juga dianggap serang balas Abdullah terhadap Anwar. Maka, kedua belah pihak mesti sentiasa mengukuhkan kepercayaan masing-masing.

  1. Jati diri yang saya maksudkan ialah, persoalan ideologi sebenar PKR yang membezakannya dengan Umno. Apa kah sekadar perbezaan pemimpin? Perbezaan pada pucuk pimpinan Umno yang pernah ada Mahathir, tidak PKR! Bagaimana keadilan yang diperjuangkan oleh PKR berbeza dengan suara keadilan dalam Umno? Apakah perbezaannya hanya pada tindakan? Umno bercakap soal keadilan dan kesaksamaan tetapi tidak dilakukan, manakala PKR bercakap soal yang sama dan berjanji akan laksanakan? Saya tidak bermaksud bahawa sestengah orang kuat PKR menipu atau hanya bermain kata-kata. Maksud saya, PKR keseluruhannya belum teruji sepenuhnya dengan apa yang dinikmati oleh Umno sepanjang 50 tahun. Jika jati diri PKR yang membezakannya dengan Umno hanya pada elemen keadilan dan ketelusan longgar, maka ia bukan jati diri mantap untuk mampu mengikat PKR dan PAS saling bersetia antara satu sama lain selamanya.

  1. Makin ramai orang PKR kembali, makin longgar keyakinan orang-orang PAS terhadap PKR, maka makin disukai oleh Umno. Kembalinya Ezam, memberi kesan kepada kepercayaan satu sama lain antara PAS dan PKR. Masalah ini memang tidak kelihatan di peringkat atasan, namun di lapisan bawah ini sukar dinafikan. Tanyalah ahli PAS terhadap hal ini. Saya yakin bukan sedikit ahli PAS yang meragui kesetiaan dan keteguhan hubungan PAS-PKR?

  1. Maka itulah cabaran terkuat terhadap PR buat masa ini. Jika Ezam yang sentiasa melaungkan sumpah keramatnya sanggup berpatah ke lubuk itu, apalah sangat ...

Oleh itu, menjadi tanggung jawab besar kepada pimpinan tertinggi PR untuk mewujudkan kondusi saling mempercayai, saling bertolak ansur, saling terbuka, saling meneluskan diri, saling mengikhlaskan diri dan saling menunjukkan keyakinan dan ketelusan berlangsung dalam keputusan dan tindakan bersama, bukan seorang diri atau istilah orang baratnya 'unilateral'.

26.5.08

Islam Hadhari Diharamkan Di Selangor

0 Ulasan
Malaysiakini melaporkan : Kerajaan Selangor telah mengarahkan pengharaman sebarang program untuk menyebarkan Islam hadhari, tafsiran agama yang dikembangkan sejak Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menjadi perdana menteri.


Pengerusi jawatankuasa hal ehwal agama negeri Datuk Dr. Hassan Mohamed Ali berkata, semua masjid dan surau diarah tidak lagi dibenarkan mengadakan program yang menyentuh konsep Islam yang diperkenal sejak empat tahun lalu, lapor laman web Utusan Malaysia.


"Kita haramkan Islam hadhari di Selangor ini kerana Islam yang kita amalkan dulu dan hari ini tidak berubah dan sudah cukup.

"Oleh yang demikian, kita mahu sandarkan ajaran Islam sebenar untuk memerintah Selangor ini dan bukannya Islam Hadhari," beliau dipetik sebagai berkata pada sesi penggulungan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN hari ini.

Al-Muzzammil Menyentuh Asas Dakwah : Renungan Ringkas

0 Ulasan

Ia adalah surah makkiyyah. Menyentuh sebahagian amalan dan cara kehidupan Rasulullah saw, seperti ibadah baginda, ketaatan, qiamullail dan tilawah al-Qurannya. Paksi surah ini adalah diri Rasulullah saw, maka kerana itulah dinamakan 'Surah Al-Muzzammil', iaitu yang berselimut.


Intipati Surah

  1. Surah ini dimulakan dengan panggilan yang sopan, kasih sayang Allah kepada hamba dan RasulNya. Diikuti dengan arahan qiamullail dan tilawah.

{ Wahai orang yang berselimut. Bangunlah di malam hari, kecuali sedikit. Seperduanya atau kurangilah dari seperdua itu sedikit. Atau lebih dari seperdua. Dan bacalah Al-Quran itu dengan perlahan-lahan. } 1-4


  1. Rasulullah saw ditaklifkan dengan bebanan wahyu, iaitu al-Quran yang bersifat berat, maka memerlukan persiapan yang kukuh dlm diri baginda, melalui solat dan tilawah.

{ Sesungguhnya Kami akan menurunkan kepadamu perkataan yang berat. } 5


  1. Allah mengarahkan kepada Rasulullah saw supaya bersabar dengan gangguan dan seksaan musyrikin Mekah. Biarkan mereka dan jangan balas gangguan mereka ( ini sebelum turunnya ayat qital. ) Tujuan kesabaran adalah untuk mendekatkan lagi para sahabat dengan Allah melalui qiamullail, tambahan pula mereka adalah sedikit.

{ Dan bersabarlah terhadap apa yang mereka ucapkan dan jauhilah mereka dengan cara yang baik. Dan biarlah Aku sahaja bertindak terhadap orang-orang yang mendustakan itu, orang-orang yang mempunyai kemewahan dan beri tangguhlah mrk barang sebentar. } 10-11


  1. Allah berjanji bahawa Dia akan membalas golongan musyrikin di hari akhirat nanti.

{ Kerana sesungguhnya pada sisi Kami ada belenggu-belenggu yang berat dan neraka yang menyala. } 12


  1. Allah meringankan hukum qiamullail yang pada asalnya wajib, bertukar menjadi sunat ke atas Rasulullah dan Umat Islam, sebagai satu rahmat drp Allah.

Sila rujuk ayat ke-20


Kesimpulan


Surah ini memuatkan petunjuk-petunjuk yang mesti dilakukan oleh para pendakwah untuk menguatkan rohani, iaitu iman dan taqwa, sebelum terjun ke medan dakwah. Namun bukan bermakna dakwah itu boleh ditinggalkan selagi rohani belum mantap. Ketika ini ia perlu seiring.

25.5.08

Ezam Dan Politiknya

2 Ulasan
Dahulu ketika KeADILan mula diperkenalkan, dan Anwar masih lagi dikurung sebalik jaring penjara, pimpinan muda KeADILan bertungkus-lumus, berhempas-pulas mengajak rakyat menumbangkan kerajaan Mahathir dan membebaskan Anwar. Sasaran serangan dan hentaman mereka ialah, Mahathir, Najib, pemimpin korup, rasuah dan kronisme serta ketidak-bijakan ahli-ahli Umno yang masih lagi taat membuta tuli kepada pemimpin parti 'dacing senget' itu.


Ironinya, pemimpin yang banyak menyebut perjuangan membebaskan Anwar ialah Ezam Mohd Nor, yang kini disebut-sebut akan meninggalkan segala-galanya, untuk berpusing 180 darjah ke arah Umno, parti yang menjadi sasarannya sejak reformasi. Selain itu, prinsip-prinsip keadilan dan kesaksamaan sering juga diutarakan. Tetapi, apakah jati diri bagi KeADILan yang kini PKR?


Saya cuba melihat faktor tolakan dan tarikan yang berlaku kepada Ezam, sehingga mencetuskan keinginan memasuki pintu karat Umno itu. Jika ianya ibarat kapal, maka kapal itu adalah kapal besar yang telah bocor kecil di sana sini. Sempat atau tidak kebocoran itu ditampal, bergantung kepada kemampuan nakhoda kapal meyakinkan anak kapalnya akan pengemudiannya terhadap kapal.


Senario-senario ini perlu kita ambil kira:

1. Ezam anti kepada Mahathir, yang kini telah berada di luar kapal senget dan bocor tersebut.

2. Ezam anti kepada rasuah, yang ada persamaan dengan azam Pak Lah yang mahu memerangi rasuah, dan sudah tentu mahu pengemudi kecil untuk melawan rasuah.

3. Siapa pemimpin Umno yang benar-benar bebas dan diyakini bebas daripada palitan rasuah?

4. Apakah ada usaha untuk sengaja mengeluarkan Mahathir daripada Umno?

5. Ezam berjuang di dalam keADILan untuk membebaskan Anwar dan menentang rasuah dan kronisme.

6. Anwar telah bebas dan penentangan terhadap kronisme boleh sahaja di buat di mana-mana, termasuk di dalam Umno.

7. Ezam kecewa apabila usahanya membebaskan Anwar seperti tidak dihargai, apabila dakwaannya Anwar cuba 'memilikkan' PKR dan Anwar dikuasai oleh orang sekelilingnya.

8. PKR tiada jati diri sebenar dan kekal serta istimewa yang mengikat Ezam untuk terus setia bersama PKR. Jati diri PKR berkecamuk dan bercelaru.

9. Jika Umno boleh bermain sentimen Melayu, PAS Islam, DAP Malaysian Malaysia, tetapi PKR pula sama ada keadilan atau penobatan Anwar sebagai PM.

10. Jika untuk keadilan, boleh sahaja Ezam perjuangkannya dalam Umno, jika demi Anwar, sudah tidak relevan lagi jati diri itu terhadap Ezam.

11. Apa lagi pilihan Ezam yang mendarah daging jiwa politiknya selain menyertai Umno? Boleh mendekati PAS, tetapi tetap akan bersua dengan Anwar dan orang sekelilingnya. Untuk kekal dalam PKR, demi apa selain Anwar? Menyertai Umno, maka dia boleh bercakap tentang rasuah, kronisme dan nepotisme di dalam Umno dan kerajaan.

12. Kenapa jika boleh di dalam NGO, tidak di dalam kerajaan?

13. Tambahan pula Anwar tidak pernah mengajar kita akan kebenciannya terhadap Umno. Apa yang disebut oleh Anwar ialah, rosaknya Umno kerana kebejatan sesetengah pemimpin Umno. Malah Anwar selalu menyatakan dia tidak bermusuh dengan ahli2 Umno di peringkat bawahan.

14. Jika begitu apakah bezanya PKR dan Umno? Jika Ezam boleh berjuang di dalam parti berbilang agama ahlinya dan sekular semangatnya, iaitu PKR, apakah hina jika berjuang di dalam parti sekular Umno? Lebihnya PKR hanya belum terpalit dengan rasuah, kurangnya Umno ialah ramainya pemimpin yang rosak.

15. Bukankah ada lojiknya Ezam membantu Pak Lah untuk kepentingan Melayu, keadilan dan kesaksamaan dalam kerajaan dan demi kepentingan negara melalui parti pemerintah?

16. Jika kita bercakap tentang Pak Lah, Ezam boleh sahaja bercakap tentang Anwar dan Azmin.



Tetapi, jika Ezam mahukan akhiratnya mudah, politiknya cemerlang, jangan tunggu lagi, pergilah mendapatkan nasihat daripada Mursyidul Am PAS. Beliau tidak memiliki keajaiban, tetapi nasihatnya menjadi mutiara kepada ribuan manusia di Malaysia. Dia hanya orang biasa, tetapi amalan dan imannya dilihat luar biasa.


Ezam boleh sahaja mencipta seribu alasan, jika dia benar-benar ingin menyertai Umno, tetapi perlu diingatkan, kerja politik ini bukan hanya kerja kita orang-orang yang bijak berpolitik, ia kerja para nabi dan rasul. Ikutilah bimbingan yang disediakan oleh agama. Hancurkan ego itu, sekali-sekala.



24.5.08

Param: Detain Dr Mahathir Under ISA : www.thestar.com.my

0 Ulasan

PETALING JAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad should be detained under the Internal Security Act, former UN rapporteur Datuk Param Cumaraswamy said.

He said Dr Mahathir’s public speech on May 17 in Johor Baru bordered on sedition. Dr Mahathir had allegedly used words with racial overtones in his speech.

Param said going by the reason for detaining 106 people during Operasi Lallang, when it was said they had indulged in “race-baiting” which threatened the majority of Malaysians, then surely the same criteria could now be applied to Dr Mahathir for apparently “resorting to racial tactics”.

He said while he was opposed to the use of the ISA, the principle of equality should require the Government to consider detaining Dr Mahathir before he did further damage.

“A dose of his own medicine which he administered to the 106 in 1987 should be in order to rehabilitate him in Kamunting,” he said.

+++++++++++++++

Saya sekadar memaparkan pandangan tersebut di atas- elbaritii

Pengerusi Kelab Penyokong PAS Puchong Memeluk Islam

0 Ulasan


Berikut adalah tulisan Ketua Penerangan PAS Puchong. Tiada kata-kata selain alhamdulillah, dan syabas serta tahniah kepada Ust Yusof dan sahabat2 yang banyak mendampingi beliau.

++++++++++++++++++

Subjek: [paspuchong- net] SELAMAT DATANG - ARUN SBG SAUDARA BARU......


Salam....... ..
Syukur Ke hadrat Allah, pada Selasa jam 11.30 pagi tertulislah sejarah di mana Saudara Arun yang kini namanya Harun Bin Abdullah menerima Islam sebagai agama kepercayaannya. ...

Saya dan Abang Harun Nayan ke Bahagian Saudara Baru JAIS untuk mendaftarkan kemasukan Sdr Arun ke dalam Agama Islam. Selesai sahaja urusan.... terus saya mengajar beliau mengambil wudu' dan membersihkan diri....dan harap beliau akan memulakan kehidupan baru dengan sebagai Muslim yang sejati.


Saya akan mengambil peranan sebagai guru beliau setakat termampu bagi merialisasikan impian beliau untuk menjadi Muslim sebenar dan pendakwah.


Beliau juga akan menyertai PAS dalam masa terdekat tetapi akan kekal sebagai Pengerusi Kelab Penyokong PAS Puchong. Alhamdulillah beliau mempunyai hubungan yang baik dengan ramai pimpinan PAS dan Pakatan Rakyat. Beliau pernah berceramah sepentas dengan Dr. Hassan Ali, Dr. Hatta Ramly, Dr. Lolo, Dr. Halimah, Dr. Mariah, Haji Anuar Tahir, Cik Aiman Atirah, Ronnie Liu, Nurul Izzah, Dr Xavier dan ramai lagi. 8 Jun ini beliau akan berceramah di Semenyih dengan Tuan Haji Mohd Sabu.



Saya sendiri tidak ada pilihan selain berusaha mengketengahkan beliau dengan kerjasama pimpinan PAS Pusat dan PAS kawasan-kawasan ... agar beliau terus memainkan peranan menjadi juru cakap PAS melalui Kelab Penyokong ini. Hakikatnya beliau bukan sahaja telah berceramah di Puchong... malah telah menjelajah ke banyak tempat termasuk akan berceramah dalam masa terdekat di Kelantan bersama Tuan Guru Dato' NIk Aziz NIk Mat.


Dari pemerhatian saya... bukan sahaja beliau mempunyai keazaman yang kuat untuk menerima perjuangan PAS... tetapi mempunyai cita-cita untuk membantu PAS menyampaikan risalah perjuangan ini di kalangan kaum India. Walaupun pelbagai kesukaran saya dan abang Harun Nayan terpaksa lalui dalam tempoh hampir 100 hari selepas pilihanraya ini untuk memastikan swing 80% kaum India di dalam pilihanraya lalu di DUN Sri Serdang dapat dikekalkan tetapi sesungguhnya dengan kehadiran saudara Harun @ Arun ini... tentu ia akan memberikan banyak kekuatan untuk mengekalkan momentum ini.


Hanya sokongan dari pimpinan PAS Kawasan dan ahli-ahli PAS yang sangat beliau harapkan. Atas dasar itu saya mengharapkan beberapa perancangan beliau akan sentiasa mendapat sokongan dan dokongan semua pihak. Saya sendiri telah memaklumkan tentang struktur Kelab Penyokong ini yang hampir lengkap dan sedia digerakkan dari masa ke semasa.


Melalui Kelab ini juga Sdr Arun@Harun dengan AJK telah menyewa sebuah bangunan di Puchong Intan dan telah menghabiskan RM 10,000 untuk deposit + 5 cek untuk pendahuluan sewa 5 bulan ( sebulan sewa RM1000.00 ). InsyaAllah, Pusat Khidmat DUN Sri Serdang juga akan beroperasi disini sebagai tanda sokongan kepada keikhlasan Sdr Arun@Harun dan rakan-rakan Jawatankuasa Kelab Penyokong PAS Puchong.


Mungkin sebahagian kita memandang remeh usaha ini..... tetapi ini juga adalah satu tanggungjawab dari segi perjuangan dan dakwah yang tidak boleh di pandang ringan oleh kita yang telah ditarbiyyahkan dengan sempuran di dalam sistem tarbiyyah PAS selama ini.


Akhirnya.... saya menyeru semua pihak di dalam PAS agar dapat sama-sama mendoakan agar Sdr Harun @ Arun sentiasa memperolehi kekuatan dan petunjuk dari Allah di dalam meneruskan misi beliau membantu perjuangan PAS ini. Pemergian beliau ke Kelantan pada 23 - 25 hb ini untuk mendapat restu dan doa dari Tuan Guru agar dapat memantapkan lagi keazaman dan semangat juang beliau, InsayAllah.

MOHD YUSOF ABDULLAH

23.5.08

Menanti Ide Bernas Untuk Kepentingan Agama, Di Parlimen

0 Ulasan
Saya terdengar Pak Khir Toyo mengomel dalam berita jam 8 tadi, kerajaan Selangor banyak cari salah kerajaan lepas, tetapi tidak membentangkan pelan atau ide memajukankan negeri.
Sekali imbas, memang nasihat ini boleh dianggap munasabah. Apa kurangnya jika ketua pembangkang menyeru ke arah kebaikan negeri dan rakyat.


Namun ia seperti hampas, apabila kita menyelak rekod perjalanan kerajaan yang lalu. Bayangkan dalam masa 2 bulan sahaja ADUN kerajaan lalu menghabiskan beratus ribu ringgit untuk, antara yang didakwa sesetengah pihak ialah kempen pilihanraya umum yang lepas. Kini mahu bercakap tentang kebaikan negeri dan rakyat? Bertanya tentang pelan atau perancangan? Eh, apa gunanya pelan jika peruntukan sudah tiada atau tinggal hanya sedikit sahaja.


Keduanya, mungkin kerajaan kini terikat dengan pelan yang telah berjalan sebahagiannya, seperti apa yang dibentang oleh kerajaan lalu. Maka, pemahaman, pengenal pastian pelan dan projek serta pengkajian semula terhadap apa yang telah diluluskan perlu diutamakan, disegerakan, berbanding melontarkan perancangan baru yang besar dan asas.


Ketiga, kerajaan selalunya betul...hehehe


Tapi, saya juga suka mengambil mesej beliau secara positif untuk dihalakan kepada kumpulan pembangkang di parlimen. Jangan terlalu banyak menyalahkan pihak lain, mencari salah dan silap, sehingga kering ide dan hujah ketika bertampil.


Saya jarang mengikuti sepenuhnya perbahasan mereka secara langsung di kaca tv, melainkan hanya membaca ulasan-ulasan di akhbar dan portal berita online, seperti Harakahdaily dan Malaysiakini. Berdasarkan kepada pembacaan yang agak terhad itu, saya tidak dapat menemui banyak hujah yang mantap dengan lontaran ide baru yang sangat bernas untuk kebaikan rakyat di negara ini, khusus melibatkan kepentingan umat Islam, dalam kerangka pelaksanaan Islam melalui ruang yang mungkin.


Saya tidak pasti, namun fikir saya, ini tidak/belum dilontarkan:-

1. Saranan membentuk akta-akta baru berkaitan perbankan Islam bagi pelaksanaan shariah secara lebih menyeluruh dan mantap, bagi industri ini. Antara akta yang perlu disegerakan ialah akta 'hire purchase-i'. Ketika ini, akta seumpama itu belum wujud, maka pihak bank Islam terpaksa menggunakan akta sewa-beli konvensyenal untuk industri jual beli kereta, melalui kontrak AITAB.

2. Hujahan secara mantap dan berkesan, beserta fakta dan ide bagi memajukan sekolah-sekolah agama rakyat di negara ini, yang suatu ketika dahulu, pernah menjadi mangsa zalim Pak Det.

3. Cara pembangunan tanah wakaf di negara ini yang gagal dibangunkan oleh kerajaan, atau dimanfaatkan oleh rakyat yang melibatkan jumlah sangat besar.

4. Ide dan cadangan-cadangan bernas lagi jitu bagi mewujudkan sistem yang baik, efektif, dan komprehensif dalam pengagihan bantuan zakat kepada asnaf yang layak, selain meneroka ruang baru bagi pengagihan zakat ini di bawah kategori fisabilillah dan gharimin. Apakah ide bagi membantu warga muslim yang telah diisytiharkan bangkrap, sedangkan mereka bukan daripada kategori fasiq, lalai dan menyalahgunakan wang secara salah, buruk dan tidak bermoral.

5. Memperbaiki sistem pendidikan agama Islam negara secara menyeluruh bagi peringkat sekolah menengah kebangsaan, yang rata-ratanya gagal membentuk pelajar yakin kepada agama, sikap beragama dan bertuhan dan memahami asas-asas agama dengan baik dan menyeluruh.


Ia boleh dikemukakan kini, atau dalam sidang akan datang, baik seperti apa yang saya utarakan, atau secara asasnya sahaja. Terima kasih.

22.5.08

Percubaan Untuk Sabotaj PAS

0 Ulasan



Percubaan Untuk Sabotaj PAS- Oleh Ust Nasrudin Tantawi


Saya mendapat maklumat bahawa majlis anjuran UPU Sekolah Taman Sekebun Bunga yang kononnya untuk membantah pendudukan 60 tahun Israel di Palestine telah dijadikan medan untuk propaganda syiah .




Kalau saya melihat kepada panel yang diundang iaitu Hasan Askari dan Zaini Zainal Abidin sudah cukup memperlihatkan apakah wajah sebenar program tersebut .


Dengan ini Dewan Pemuda PAS Pusat membantah program tersebut dan sangat kesal di atas sikap tidak bertanggungjawab menggunakan pentas PAS untuk tujuan jahat tersebut dengan membawa masuk pengaruh dan idea syiah ke dalam PAS sedang PAS adalah perjuangan yang berasaskan Ahlis sunnah wal Jamaah.




Saya mengharapkan agar pimpinan PAS khasnya sahabat - sahabat pemuda dapat mengambil tindakan sebenar . Saudara Yb. Zaki , Ustaz Nik Abduh , Ustaz Ahmad Baihaqi dan saudara Zuraidin mungkin boleh beri perhatian dengan menyiasat betul duduknya kes atau isu ini kemudian dapat bertindak agar pengaruh syiah tidak dibawa masuk ke dalam PAS melalui mana - mana jua pintu .

++++++++++++++++++

Oleh Maszlee Malik ( al-ahkam )

Salaam,
Paling mengharukan... sewaktu demo memperingati Nakba di London, ana terdengar seorang karkun (tabligh) menjeritkan we need Omar, we need Khalid al-Walid, we need Salahuddin al-Ayubi! Ana tanyakan, kenapa sebut nama2 tu? Beliau jawab, merekalah yang telah berjasa mengIslamkan dan mengIslamkan semula Palestin, Masjid al-Aqsa dan juga Baitul Maqdis... Malangnya Syiah mengkafirkan dan mencerca ketiga-tiga tokoh tersebut!


Saya baru terfikir, benar juga kata mamat karkun ni. Omar yang bertanggung jawab menerima kunci al-Quds,dikafirkan dan dicerca Syiah. Khalid al-Walid difitnah oleh Syiah sebagai penzina... Salahuddin al-Ayubi pula amat dibenci dan dicaci maki oleh Syiah kerana telah menghancurkan kerajaan Syiah Fatimi demi memerdekakan al-Aqsa. Malah ketika Salahuddin berperang dengan tentera Salib pun, puak Syiah sibuk menyerang hendap umat Islam dan tentera Salahuddin dari belakang.


Amat menarik, bagi Sunni, Omar, Khalid dan Salahuddin adalah sinonim dengan al-Aqsa dan Palestin. Bagi Syiah...?

Mungkinkah Nasrullah dan Ahmadinejad akan cuba mengubah sejarah dengan mengiktiraf ketiga-tiga tokoh ini demi membebaskan al-Aqsa dan juga memerdekakan al-Quds?


Apakah cabaran al-Qaradawi kepada Rafshanjani agar SYiah ikhlas dengan berhenti dan meninggalkan polisi mengkafirkan sahabat, berhenti menyebar luaskan SYiah di bumi Sunni dan juga berhenti bertaqiyyah sesama umat Islam akan mereka tunaikan demi kemerdekaan Masjid al-Aqsa? Mungkin ini satu perkara yang menarik untuk dibincangkan dan difikirkan.

++++++++++++++++++++

Pendirian saya sama sahaja dengan dua tulisan di atas- Omar el-baritii

21.5.08

Ajak Tun Dekati Platform Politik Islam

0 Ulasan

Seperti yang banyak pihak jangka, pengumuman keluar Tun daripada Umno menarik ramai orang untuk membuat andaian, ulasan dan komen. Paling menarik minat saya ialah keterbukaan pimpinan PAS terhadap Tun, sehingga sedia membuka pintu untuk bekas PM tersebut menyertai parti Islam, PAS.


Tuan Guru MB Kelantan menegaskan, Tun adalah seorang yang sangat bijak, tetapi sayang apabila kebijaksanaannya digunakan untuk sekular, bukan Islam. Namun beliau tidak mahu mempelawanya masuk, seperti pendiriannya terhadap MP Pasir Mas, YB Ibrahim Ali.


Salahuddin Ayub, Ketua Pemuda PAS pula lebih laju dengan mengajak Tun menyertai PAS. Beliau berkata, Dewan Pemuda PAS mengajak Tun Dr Mahathir Mohamad dan ahli-ahli Umno yang sedar penyelewengan perjuangan mereka untuk membina kekuatan baru bangsa Melayu berasaskan Islam dengan menyertai PAS. Menurut Salahuddin lagi, jika Tun Mahathir sudi menyertai PAS, kesilapannya yang lalu masih boleh diperbetulkan dan beliau berpeluang melihat Islam dalam konteks menyeluruh seperti yang diajar oleh Rasulullah.


Kenyataan Salehuddin tersebut pasti menimbulkan pelbagai ulasan dan komentar pula. Mungkin ada yang masih benci dengan Tun kerana peristiwa-peristiwa sepanjang era reformasi yang lalu, tidak bersetuju dengan pelawaan ini. Bagi saya, biarlah ajakan itu dikemukakan. Ia tidak merugikan dan tidak juga menguntungkan Umno atau perjuangan sekular.


Bayangkan jika di Mahsyar nanti, Tun menyalahkan pemimpin PAS tidak mahu mengajaknya memahami Islam, ketika dia telah meninggalkan platform perjuangan sekularnya? Sebagai anggota gerakan dakwah, jangan tidak bijak untuk menggunakan peluang terdedah di hadapan mata bagi seruan dakwah kepada Islam dan Allah. Seperti selalu kita nafikan, kunci syurga bukan di tangan kita, yang membawa erti syurga itu bukan milik kita. Ia milik Tuhan kita.


Oleh itu, kenapa kita tidak mahu mempelawa Tun ke jalan politik benar, yang mungkin membawa kepada mencapai kunci syurga tadi, yang merupakan milik Allah ta'ala. Kita pula tidak boleh menghalang Tun memasukinya, apatah lagi jika terbentang di hadapan Tun, jalan politik Islam yang sebenar.


Jika pun semua ini sandiwara Tun, ia tetap merupakan kewajipan pendakwah, mengajak semua manusia, termasuk anggota Umno yang lain, bersama-sama Tun, menyertai platform politik Islam sebenar, bukan Islam ala Umno yang haru.


Inilah intipati ajakan Presiden PAS kepada keluarga Umno dan BN supaya menyertai perjuangan PR, sedikit masa dulu, yang mana PAS adalah sebahagian daripada kekuatan PR tersebut.

19.5.08

Tun Mahu Pilihan Raya Semula, Najib PM dan Mukhriz KP?

3 Ulasan

Perihal keluarnya Tun daripada Umno, Malaysiakini melaporkan:


"Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno, Datuk Shahrir Samad, yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna berkata, keputusan Dr Mahathir amat mengejutkan dan mungkin mendorong ramai lagi turut meletakkan jawatan dan sekaligus memaksa Abdullah mengadakan pilihanraya umum baru.

Keputusan Dr Mahathir itu, tambahnya, boleh mengakibatkan situasi di mana ramai ahli Parlimen Umno mungkin turut meletakkan jawatan. Jika itu berlaku, kata Shahrir yang juga ahli Parlimen Johor Bahru, kerajaan tidak mempunyai pilihan, kecuali menubuhkan sebuah kerajaan baru atau mengadakan pilihanraya umum baru. "


Saya yang kurang arif dengan politik Umno ini, sebenarnya tertanya-tanya juga apabila Shahrir mengulas dengan cepat hal ini dan terus mengingatkan rakyat ( baca: ahli Umno ) kepada pilihan raya umum yang baru. Saya seterusnya termenung memikirkan, apakah semua ini telah diatur dengan baik, demi kepentingan Umno? Saya pun membuat andaian mentah tanpa kajian:

  1. Mula-mula Tun keluar.
  2. Kemudian ramai yang akan ikut, kerana mustahil Tun akan keluar berseorangan
  3. Tun cuba gambarkan Umno akan musnah dengan kelemahan Pak Lah
  4. Pak Lah pula menegaskan Umno akan musnah jika tiada pilihan raya umum awal, setelah Umno dikhianati Tun
  5. Tun salahkan Pak Lah, Pak Lah salahkan Tun khianat dia dan Umno
  6. Sebenarnya, kedua-duanya takutkan Anwar jadi PM
  7. Pilihan raya umum diadakan, SPR telah sediakan pelan paling jahat untuk tumbangkan PR.
  8. Umno diharapkan menang besar, dan Pak Lah letak jawatan dalam aman dan cemerlang, Najib naik jadi PM, dengan syarat, Mukhriz jadi KP ( bakal PM ) dan keluarga Pak Lah bebas berniaga dan selamat.
  9. Tun menyerang awal Pak Lah dengan perancangan ini, supaya beliau tidak dimangsakan dengan isu video Lingam.
  10. Jika Tun dimangsakan, mungkin Pak Lah tidak sempat menjadi PM semula selepas pilihan raya baru nanti dan lebih berisiko kepada keluarganya, termasuk Khairy.


Malaysiakini terus melaporkan :

"Sementara itu, lamanweb akhbar the Star memetik ketua penerangan Umno, Tan Sri Muhammad Muhammad Taib sebagai berkata beliau terperanjat dengan keputusan Dr Mahathir keluar dari Umno. Bagaimanapun, katanya, setiap ahli mempunyai hak untuk menyertai atau meninggalkan parti. Ditanya sama ada Umno akan mengadakan mesyuarat tergempar berhubung perkara itu, Muhd Taib menjawab "kita akan tunggu dan lihat"."


Bagi saya, MM Taib tidak tahu perancangan ini, kerana beliau adalah orang lama yang dihidupkan semula oleh Pak Lah, maka beliau hanya taat kepada Pak Lah. Saya juga percaya, langkah Tun ini selepas ada persefahaman dan perjanjian tertutup dengan Najib Razak.

Begitulah saya mengandaikan peristiwa ini.


Tun Dr Mahathir Keluar Umno : Malaysiakini

0 Ulasan
Dr Mahathir keluar Umno

May 19, 08 12:12pm

Mantan perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini mengumumkan keluar dari Umno berkuatkuasa serta merta dan menggesa ahli-ahli Umno yang lain supaya turut berbuat demikian.

Katanya, beliau bertindak keluar parti - yang diterajuinya selama 22 tahun sehingga 2003 - kerana tidak yakin dengan kepimpinan penggantinya, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Dr Mahathir berkata, beliau akan hanya kembali semula ke parti tersebut apabila pucuk pimpinan ditukar.

Berucap dalam satu forum di Alor Sta pagi ini, Dr Mahathir juga menggesa kesemua menteri Umno, timbalan menteri dan semua peringkat pemimpin, supaya bersama dengannya keluar dari parti.

Bagaimanapun, beliau meminta mereka supaya jangan menyertai parti-parti yang lain.

"Tunggulah hingga Abdullah letak jawatan sebagai perdana menteri dan presidenparti, dan kita boleh kembali semula kepada Umno," katanya.

Dr Mahathir adalah perdana menteri Malaysia keempat dan memegang jawatan tersebut selama 22 dari tahun 1981 hingga 2003.

PM paling lama

Ini menjadi beliau perdana menteri Malaysia yang paling lama berkhidmat serta pemimpin yang paling lama berkuasa di Asia.

mahathir and umno 190508Dr Mahathir dilahirkan di Alor Star pada 20 Disember 1925. Beliau aktif dalam politik sejak 1954 melalui pembabitan dalam kempen anti-Malaysian Union.

Dr Mahathir menyertai Umno apabila parti itu ditubuhkan pada tahun berikutnya (1946). Dalam pilihanraya ketiga pada 1964, Dr Mahathir dipilih sebagai ahli Parlimen Kota Setar Selatan.

Bagaimanapun beliau gagal mempertahankan kerusi tersebut pada 1969 dan kalah dengan majoriti 989 kepada calon PAS, Haji Yusoff Rawa.

Ekoran peristiwa berdarah pada 13 Mei 1969, Dr Mahathir dipecat dari jawatan ahli Majlis Tertinggi Umno pada 12 Julai tahun berkenaan selepas beliau mengedarkan secara terbuka suratnya kepada perdana menteri ketika itu, Tunku Abdul Rahman.

Dalam surat tersebut, Dr Mahathir mengkritik cara Tunku mengendalikan pentadbiran negara yang didakwa lebih menguntungkan rakyat keturunan Cina. Dr Mahathir kemudiannya dipecat dari parti pada 26 September 1969.

Ketika itulah Dr Mahathir menulis bukunya yang bertajuk "The Malay Dilemma" di mana beliau cuba menjelaskan punca berlakunya peristiwa berdarah 13 Mei di Kuala Lumpur dan sebab-sebab mengapa orang Melayu ketinggalan di belakang dalam bidang ekonomi dalam negara mereka sendiri.

Dasar Ekonomi Baru

Bukut tersebut diterbitkan pada 1970 dan terus diharamkan oleh kerajaan Tunku. Bagaimanapun, beberapa cadangan dalam buku tersebut telah digunakan oleh Tun Abdul Razak Hussein yang menggantikan Tunku sebagai perdana menteri, dalam pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang pada asanya untuk mengambil langkah ekonomi yang afirmatif bagi menangani jurang perbezaan ekonomi antara orang Melayu dan bukan Melayu.

Pengharaman buku itu kemudiannya ditarik balik selepas Dr Mahathir menjadi perdana menteri pada 1981.

Beliau menyertai semula Umno pada 7 Mac 1972, dan dilantik sebagai Senator pada 1973. Dr Mahathir melepaskan jawatan senator pada 1974 untuk bertanding dalam pilihanraya umum dan menang tanpa bertanding di parlimen Kubang Pasu, dan seterusnya dilantik sebagai menteri pendidikan.

Pada 1975, beliau terpilih sebagai salah seorang naib presiden Umno. Tun Hussein Onn kemudiannya melantik Dr Mahathir sebagai timbalan perdana menteri pada 15 September 1978, dan dalam rombakan kabinet, turut melantik Dr Mahathir sebagai menteri perdagangan dan industri.

Dr Mahathir menjadi perdana menteri pada 16 Julai 1981 selepas Tun Hussein Onn melepaskan jawatan perdana menteri atas sebab-sebab kesihatan. Dr Mahathir menjadi perdana menteri yang pertama yang bukan dari keluarga bangsawan atau diraja.

[Berita lanjut menyusul]


17.5.08

Kerjaya Terbaik Dan Penuh Kepuasan

0 Ulasan

Semalam anak saudara saya terlupa untuk memberi gurunya hadiah. Tetapi anak kepada rakan sekerja saya telah menghabiskan hampir seratus ringgit untuk hadiah guru-guru mereka. Saya pula, semasa di sekolah rendah tidak pernah membelikan hadiah untuk guru saya. Mungkin dahulu ia bukan budaya bagi saya dan rakan-rakan. Atau kami di kalangan orang-orang kampung yang kurang pendapatan, tidak terfikir untuk hadiah sebegitu. Ya lah, yuran tahunan pun jenuh mak ayah kami nak melangsaikannya. Saya masih ingat, untuk yuran kami, abah terpaksa menunggu duit 'terbang' dari Kuala Lumpur.


Inilah antara sedikit keseronokan yang diraih oleh insan bergelar guru, gikgu, pengetua, sir, teacher, mu'allim, ustaz dan ustazah. Mendapat hadiah yang cukup bernilai besar, walau tidak berharga tinggi, daripada insan-insan yang bergelar pelajar. Walaupun saya bukan guru ketika ini, saya amat memahami dan menjiwainya, kerana saya pernah bergelar guru.


Sebaik menghabiskan pengajian di Arab Saudi, saya menganggur selama 6 bulan pada tahun 2000. Banyak usaha yang saya lakukan, untuk mendapatkan pekerjaan, tetapi tidak berhasil. Ketika itu, saya menetap di Bota, Batu Caves dan Bangi.


Kehidupan saya berubah pada tahun 2001. Bermula Januari tahun itu, saya telah memulakan hidup sebagai seorang pendidik. Sebagai ustaz di sekolah agama yang baru sahaja beberapa tahun ditubuhkan, di Kampung Gajah Perak. Kini sekolah tersebut dipanggil SARJANA, Sekolah Menengah Raja Dr. Nazrin Shah.




Di sinilah saya merasai seronoknya bergelar guru. Saya sentiasa didampingi oleh pelajar. Oleh kerana saya menetap bersama mereka di asrama, saya adalah antara guru yang paling rapat dengan mereka, berbanding guru-guru lain. Solat bersama, makan bersama, main badminton dan bola sepak bersama dan bernasyid bersama.


Malah, kerana saya masih bujang, saya juga seperti menjadi 'mangsa' didampingi oleh pelajar-pelajar perempuan. Ada yang mengambil kesempatan untuk belajar. Dan ada yang seperti melencong. Tetapi mungkin juga perasan saya sahaja. Walau apapun, saya dekat dengan mereka berbanding guru lain yang telah berusia.


Sebagai warden, sudah tentu kenangan pahit manis saya bersama mereka cukup banyak. Sukar untuk menceritakan kesemuanya di sini. Jika saya mahir menulis, rasanya memang boleh menulis sebuah novel untuk pengalaman tersebut.


Sebelum azan berkumandang, saya akan memanjat asrama pelajar untuk mengejut mereka bagi solat Subuh. Bukan setiap hari, tetapi selalu. Ketika waktu kelas pagi atau rehat, saya antara guru yang sering dikunjungi oleh pelajar di dalam bilik guru untuk bertanya masalah. Ada berkaitan Nahu. Ada bertanya tentang Fiqh. Malah ada yang menceritakan masalah peribadi, masalah keluarga dan masalah kesukaran belajar. Saya memang suka menolong pelajar.


Selepas kelas saya akan makan di dewan makan bersama mereka. Waktu petang, jika ada tuisyen saya akan bersama mereka lagi. Selepas Asar pula, saya memilih untuk bermain badminton. Jika dekat dengan waktu persembahan, saya akan mengajar atau menyeliakan latihan nasyid kumpulan nasyid sekolah, sama ada selepas Asar atau Isyak.


Kami pernah membuat persembahan di UITM Seri Manjung, kenduri kahwin di sekitar Kampung Gajah dan Lambor Kiri dan pernah mengikuti pertandingan nasyid sehingga ke Kedah. Mengkagumkan apabila anak buah saya memenangi tempat kedua dalam pertandingan itu. Lagu pilihan kami ketika itu ialah Intifadhah.


Huh, sungguh banyak kenangan manis saya ketika bergelar seorang guru. Saya akui, memang saya merindui saat-saat bergelar guru. Rindu juga untuk bertemu semula dengan bekas pelajar-pelajar saya, khususnya yang rapat dengan saya dalam kumpulan nasyid dan mentee saya.


Hubungan dengan guru-guru lain juga adalah sangat baik. Sangat rapat, tidak seperti hubungan dengan rakan kerja saya ketika bekerja sebagai penterjemah sebelum ini, atau sebagai pekerja bank sekarang. Mungkin kerana sebagai guru, kami memiliki banyak persamaan. Pada sekolah, pada pelajar, pada masalah pelajar, pada sesetengah subjek dan pada cita-cita sekolah. Kami juga sering keluar malam bersama, bagi mencari makan malam di sekitar pekan Kampung Gajah, Perak.


Pengalaman saya di luar bagi mewakili sekolah juga cukup banyak. Contohnya mewakili sekolah dalam seminar membuat soalan-soalan peperiksaan seluruh negeri Perak dan perhimpunan bagi membincangkan bajet kerajaan negeri, bagi mewakili sekolah kami, yang merupakan sekolah milik kerajaan negeri, di bawah Jabatan Agama Islam Negeri Perak.


Apa yang saya ingin sampaikan ialah, kerjaya sebagai guru adalah cukup menyeronokkan, memuaskan, memberangsangkan dan memberi keberkatan hidup. Saya memang merindui tahun itu. Kalau boleh saya mahu memilikinya semula. Mungkin sedikit sesal, ketika saya meninggalkan dunia tersebut. Saya fikir, kerjaya terbaik di dunia ini adalah kerjaya sebagai pendidik manusia.


Bagi guru yang sedang mendidik, teruskanlah usaha anda. Banggalah kerana anda semua sedang mendidik manusia, hamba-hamba Allah. Merekalah yang akan menjadi segala-galanya pada masa hadapan. Letih dan peluh anda semua, cukup berjasa kepada manusia dan kehidupan. Jangan jadikan kerjaya sebagai pendidik hanya untuk mencari duit makan dan minum, kemudian berkeluarga. Bukan itu nilai seorang guru.


Bagi saya, setahun sebagai ustaz di SARJANA lebih memuaskan berbanding 5 tahun sebagai penterjemah dan hampir setahun sebagai pegawai bank. Tidak mustahil, saya mungkin memilih landasan pendidikan semula, bagi perjalanan hidup saya nanti, jika apa yang saya lakukan sekarang tidak menghasilkan kepuasan bekerja dan bekerjaya. Selamat diberkati semua guru saya dan seluruh warga pendidik.


15.5.08

5 MB Pakatan Rakyat Ajak Rakyat Boikot Akhbar Utusan

0 Ulasan
Salmiyah Harun Thu May 15, 08 3:45:01 pm MYT

KUALA LUMPUR, 15 Mei (Hrkh) - Majlis Menteri-menteri Besar lima buah negeri yang ditadbir di bawah Pakatan Rakyat, menyeru rakyat supaya memboikot akhbar Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia.


Salah seorang ahli majlis, Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim berpendapat akhbar itu bersikap keterlaluan dan tidak profesional serta tidak adil, kerana terus memburuk-burukkan serta memutar-belit berita tentang pentadbiran negeri dan juga gabungan Pakatan Rakyat.

Khalid juga menegaskan akhbar terbabit membesar-besarkan isu untuk menimbulkan kemarahan rakyat terhadap pentabiran serta parti dan juga membakar api perkauman yang sempit.

Katanya, semua ahli majlis ini meminta semua jabatan dan institusi kerajaan di lima negeri di bawah pentadbiran Pakatan berhenti membeli akhbar tersebut dan juga berhenti memberikan iklan kepada mereka.


Justeru, ahli majlis ingin menyeru supaya semua pembaca Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia berhenti membeli akhbar tersebut serta-merta.
Sehubungan itu, katanya, para pemimpin parti-parti dalam Pakatan Rakyat kesal dan bimbang kerana kontroversi mengenai kuasa serta kedudukan
Raja-Raja dipolitikkan secara besar-besaran dan tidak bermaruah, terutama oleh media milik parti-parti dalam kerajaan BN Pusat dan sesetengah pemimpin Umno.
"Kami berpendirian tegas mendukung kedudukan Raja-Raja sebagai Raja ber-Perlembagaan, sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan," katanya dalam satu kenyataan.


Katanya, semua pihak harus menerima bahawa seseorang Menteri Besar mempunyai bidang kuasa untuk memindahkan mana-mana pegawai eksekutif di negerinya.
Namun, katanya, bagi jawatan yang berkaitan dengan Majlis Agama Negeri, Sultan sebagai Ketua Agama Negeri seharusnya dirujuk terlebih dahulu.


Justeru, Ahli Majlis Menteri-menteri Besar menegaskan pendirian yang dikemukakan oleh Pengerusi DAP, Karpal Singh adalah pandangan beliau dari perspektif undang-undang.
"Kami menerima penjelasan YB Karpal Singh bahawa beliau tidak bertujuan untuk menghina Sultan. Kami berharap semua pihak akan menerimanya juga dan berhenti segera dari menggembar-gemburkan isu ini sehingga boleh menimbulkan ketidakstabilan dan ketegangan kaum," kata Khalid. - mr

*********************

Saya selalunya tidak begitu menyokong pemboikotan akhbar dilakukan oleh pihak pembangkang. Selain sebab kebiasaannya pemboikotan diwarwarkan oleh individu tertentu yang bukan keputusan kolektif, kadang-kadang alasan pemboikotan adalah agak remeh.

Sebab mereka mengutuk pemimpin kita, tidak memberi liputan adil, laporan berat sebelah dan lain-lain yang tidak kukuh hujahnya pada saya.

Tetapi kali ini saya akur. Ia adalah keputusan 5 buah negeri di Malaysia. Alasannya juga kuat, membesar-besarkan isu penghinaan raja yang tidak berlaku selain banyak liputan yang dibuat sekadar untuk mensabotaj keputusan rakyat.

Jika sebelum ini, yang menjadi mangsa adalah pembangkang tetapi kali ini segalanya cuba dimangsakan oleh Umno untuk kepentingan pemimpin mereka. Bayangkan raja seperti dipermainkan oleh mereka, juga Melayu cuba ditipu hidup-hidup kononnya Melayu kini terancam.

Pendek cerita, saya sokong...

11.5.08

Beras Oh Bernas

2 Ulasan
Apakah reaksi anda apabila membaca tajuk berikut, bagai yang dilaporkan oleh Malaysiakini?

" Gabem: 30% saham Bernas dikuasai negara luar "

Bagi saya yang belum mahir dalam dunia korporat, sudah dapat melihat betapa lemahnya kerajaan Malaysia menguruskan bekalan komoditi utama negara dan tidak mampu melihat dan memberi jaminan terbaik bagi bekalan masa depan beras di Malaysia.


Bukankah suatu yang tidak masuk akal apabila urusan pembelian beras luar ke Malaysia hanya dikuasai ( jika tidak dimonopoli ) oleh sebuah syarikat sahaja, dan syarikat itu pula disenaraikan di bursa saham yang membuka risiko pemilikan orang asing. Pertama, bijakkah Bernas sahaja menguasai pembelian beras luar? Kedua wajarkah pemilikian dan penguasaan syarikat yang menguruskan makan minum rakyat ini, didedahkan kepada sesiapa sahaja? Itu yang saya tahu drp kedudukan Bernas ini. Jika tersilap, sila harap ada yang membetulkan.


Apakah kerajaan langsung tidak dapat berfikir dengan teliti, dan berfikir dalam jarak jangkauan lebih jauh sedikit dalam hal seperti ini?

Lihat sahaja hujah Pak Lah apabila membatal atau menangguhkan pembinaan jambatan kedua Pulau Pinang. Alasan lemahnya, harga barang naik menyebabkan kosnya meningkat dan reka bentuk tidak sesuai. Terfikirkah kita, projek besar sebegini ditamatkan dengan hujah tersebut?


Lihat lagi apa laporan Malaysiakini:

"Gagasan Badan Ekonomi Melayu (Gabem) mendakwa 30 peratus saham Padiberas Nasional Bhd (Bernas) dikuasai oleh sebuah negara luar.

Bernas merupakan sebuah syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia.

"Saham Bernas telah dibeli secara konsisten oleh pihak tertentu sehingga mereka kini menguasai 30 peratus sahamnya," kata pengerusi Gabem, Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik.

Ekoran itu, Bernama memetik beliau sebagai meminta kerajaan menyediakan dana untuk membeli semula semua saham yang dimiliki oleh syarikat luar itu dan Bernas kembali dikuasai sepenuhnya oleh kerajaan.

"Ini juga untuk mengurangkan permasalahan beras selain lesen pengagihan beras diberikan secara saksama kepada bumiputera," katanya kepada pemberita di Melaka malam semalam.

Rahim berkata, kerajaan diminta menguasai kembali 100 peratus saham Bernas
atau memastikan ia dijadikan syarikat berkaitan Kerajaan (GLC) demi menjaga kepentingan nasional ketika krisis makanan kini."


Setahu saya, hanya Singapore yang sangat berminat untuk memiliki syarikat-syarikat strategik di Malaysia ini. Saya tak tahulah 3o peratus itu milik siapa. Jika dikaji di bursa, tentu mudah menemuinya, atau bertanya dengan pimpinan di parlimen. Apakah ini semua berpunca daripada sikap mengejar keuntungan tanpa batasan? Dan apakah syarikat ini sahaja telah dimiliki sebahagian sahamnya oleh negara asing? Apa khabar dengan syarikat-syarikat yang menguruskan bekalan barangan komoditi lain? Juga keperluan kesihatan dan perubatan negara serta syarikat persenjataan di Malaysia. Manalah tahu, kalau-kalau ia juga terbabit.


Menurut menteri berkaitan, bekalan beras negara masih lagi mencukupi, belum ditambah dengan stok penimbal yang disimpan oleh Bernas.


Masalah yang rakyat deritai hari ini bukanlah stok ada atau tiada. Tetapi apa yang sedang ditanggung ialah harga beras telah meningkat terlampau tinggi. Sekampit beras yang biasa saya beli pada harga kurang lebih RM21 telah meningkat kepada RM29. Bukankah itu melambung namanya?


Entah lah, bijakkah menteri-menteri kita menguruskan kepentingan umum yang sangat berkaitan dengan warga marhaen dan miskin Malaysia ini, ketika mereka sedikitpun tidak menderita atas apa yang berlaku.


Inspirasi Untuk Berbakti Kpd Mak

2 Ulasan
Mak sedang mencium anak bongsunya, satu-satunya adik saya, Kamarazaman Mohamed.

Esok adalah hari ibu. Saya tidak tahu apa mulanya dan bagaimana sejarahnya. Tetapi saya mengambil kesempatan itu untuk kebaikan saya dan mak. Saya bersyukur kerana ada masa untuk bersama dengan mak saya, kerana cuti hari Ahad. Saya sempat juga menyediakan tempat baring dan tidur yang lebih baik untuknya. Kami turunkan tilam tebal milik isteri saya ( ketika bujangnya dahulu ) dan dibentangkan betul-betul sebelah televisyen. Memang itulah tempat yang dipilihnya. Bukan sebab nak tengok tv, tapi itu yang sesuai baginya.


Kadang2 mak bising-bising juga jika bunyi televisyen terlalu kuat. Tetapi itulah tempat yang terbaik untuknya di tingkat bawah rumah saya. Struktur dan reka bentuk rumah ini tidak memiliki ruang besar di bahagian tamu. Saya ada juga berkira-kira untuk membesarkan bahagian tamu tersebut. Tadi saya maklumkan kepada isteri, nantilah tunggu Ihsan nak kahwin la, gurau saya. Mana tahan lama sangat. Saya memilih rumah ini kerana ruang dapurnya besar, dan lebih besar lagi apabila kami tambahkan ruangnya sehingga ke pagar belakang rumah. Harganya, ruang tamu kecil.


Hari ini saya panas sedikit. Agaknya kerana hujan malam tadi sekejap sahaja. Maka panas berlanjutan sampai ke pagi. Teringat kepada kepanasan dan keperitan yang dialami oleh penduduk di merata dunia. Lebanon sengsara. Myanmar derita. Darfur terus perit. Somalia bencana. Palestin belum ada tanda-tanda noktahnya. Ahhh semuanya derita dalam sengsara. Tetapi kita cuma panas sedikit, sebaliknya diliputi dengan ni'mat. Jangan sekali-kali lalai dengan ni'mat ini.


Sebagai suami dan bapa, saya memahami apa itu hari ibu. Biarlah ada yang sedang menyambut lahirnya sebuah parti Melayu dan memperkatakan tentang kesinambungannya pada hari ini. Saya tidak mahu fikir semua itu. Biarlah ada yang membicarakan tentang Piala Thomas dan Uber, saya belum terghairah menyebutnya. Biarlah ada yang panas dengan dua pertembungan malam ini, penentu juara EPL, tetapi saya tidak kuasa meramalnya. Apa yang ingin saya fikir dan usahakan, merebut peluang berbakti kepada ibu.


Bukan untuk hari ini, hari ibu. Untuk selamanya selagi dia bernyawa selagi saya bernafas, walaupun ada puing-puing nafsu malas, memberontak, degil dan membantah. Mak selalu juga komen, saya ni suka melawan masa muda-muda dulu. Malas bila disuruh buat itu ini dan banyak cakap dengan mak. Isyyy rasanya, berjangkit juga sampai ke tua ini...


Saya selalu diuji dengan ujian yang menuntut kesabaran. Saya selalu juga tewas. Namun Allah tetap Pemurah memberikan banyak peluang untuk saya meneruskan mujahadah kesabaran. Saya mesti menjaga peluang-peluang ini. Menjadi anak yang soleh adalah inspirasi berbakti kepada ibu saya. Menjadi suami soleh, juga inspirasi berbakti kepada ibu saya.


Selamat murah rezeki, diberkati dan diampunkan dosa-dosa, mak...

Warkah Tuan Guru Nik Abdul Aziz untuk Raja Petra

0 Ulasan

8hb Mei 2008/ 2 Jamadil Awwal 1429

YM. Raja Petra Raja Kamarudin
Warkah Simpati dan Pengiktirafan

Saya
menerima berita mengenai nasib tuan yang dituduh dibawah Akta Hasutan 1948 dan kini ditahan reman dalam penjara Sg. Buloh sehingga kes disebut di mahkamah pada 6 Oktober 2008 dengan penuh kesedihan.

Bagaimanapun, jauh di hati saya, saya masih terasa kagum kerana di sana masih ada seorang sehebat tuan yang cekal mempertahankan apa yang difikirkan benar.

Prinsip ini cukup selaras dengan dasar anutan Agama Islam kita yang sentiasa bertunjangkan amar makruf nahi mungkar.

Ia kebetulan disebut juga oleh demokrasi dan turut diperuntukkan di dalam perlembagaan kita di bawah perkara kebebasan bersuara dan menyatakan pendapat.

Soal bersalah atau sebaliknya; maka terlanjur tuan telah dituduh di bawah Akta Hasutan, maka ia terpulanglah kepada proses keadilan di mahkamah yang selanjutnya.

Sewaktu Nabi Allah Yusuf 'alaihissalam dikurung oleh pihak berkuasa di zamannya kerana fitnah, Yusuf berkata, "wahai Tuhanku, penjara lebih aku sukai daripada memenuhi ajakan mereka kepadaku. Dan jika tidak Engkau hindarkan daripadaku tipu daya mereka, tentu aku akan cenderung untuk (memenuhi keinginan mereka) dan tentulah aku termasuk orang-orang yang bodoh."

Lantaran istiqomah Nabi Yusuf itu, Allah maqbulkan doa baginda lalu "menghindar Yusuf dari tipu daya mereka. Sesungguhnya, Dialah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui." (Petikan dari Surah Yusuf Ayat 33 dan 34).

Selaras dengan perkembangan ini, izinkan saya turut bersama mendoakan tuan agar sentiasa dipelihara kesihatan dan keselamatan oleh Allah SWT.

Semoga yang benar itu akan terserlah jua walaupun harganya adalah pengorbanan. Selagi tuan benar dan kita semua benar di sisi Allah SWT, tuan dan kita pada amnya tidak perlu merasa khuatir.

Mari kita terus tabah, bersama dengan perjuangan demi menegakkan yang hak dan menolak kebatilan.

Salam perjuangan. Wassalam.
NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT
Menteri Besar Kelantan
Merangkap Mursyidul Am PAS

10.5.08

Nargis Ke Myanmar

0 Ulasan

Beginilah mayat yang ditemui selepas serangan Nargis terhadap Myanmar. Bagaimana pula rupanya berpuluh ribu lagi warga Myanmar yang terkorban.



Beratur bagi meneruskan kehidupan yang serba kekurangan.




"Kami mahu hidup, kami ingin bantuan, sumbanglah kepada kami, kami belum dapat, kami takut, kami tak ada nasi, kami nak minum...."

Kehidupan perlu diteruskan



Taufan melanggar apa sahaja yang melintang di hadapannya. Biarlah bumbung itu pergi, jangan nyawa penghuninya.



Myanmar adalah jelapang padi bagi rantau kita. Bagaimana krisis makanan / beras diatasi di negara kita?


6.5.08

Rindu Dunia Ilmu

0 Ulasan

Saya teringat kata-kata Tuan Guru Nik Abdul Aziz, perkara paling mahal yang beliau terpaksa korbankan sejak menjadi ahli politik Islam sepenuh masa ialah hidup setia dengan buku dan kajian ilmiah. Lebih kurang begitulah.

Bukan dia seorang sahaja. Saya percaya ramai lagi. Para ulama yang aktif politik, para ustaz muda yang giat berceramah, termasuklah saya yang merupakan ustaz biasa2 ini, amat merindui situasi makan minum bersama kitab. Bukanpun salah politik, salah parti atau salah program masyarakat. Salah sendiri sebenarnya sehingga buku-buku, kajian ilmiah dan perbincangan para ulama semakin jarang-jarang disentuh lihat. Selain itu, faktor kesibukan bekerja juga membantu.



Bagi saya, kalau ada kesempatan, pasti saya akan masuk semula ke dunia itu. Dunia bermain dengan kitab para ulama, dunia perbahasan ilmiah yang tinggi, dunia perbandingan 4 mazhab dan dunia tidak taksub terhadap ulama sendiri. Bukanlah sekarang tidak boleh, tetapi rasanya ada sahaja kekangannya. Mungkinkah bertukar karier dapat membantu?

Saya memang merindui kajian dan perbahasan ketika bergelar pelajar dahulu. Realiti politik di Malaysia buat masa ini, khususnya jika terlibat di peringkat rendah, tidak memungkinkan perbahasan bebas, ilmiah, agama dikembangkan.

Mungkinkah penyelesaian untuk rindu saya adalah mencari platform sumbangan perjuangan yang lebih sesuai untuk dunia politik yang saya dekati dan dunia ilmu yang saya rindui!

5.5.08

Saya Hanya Rakyat Biasa.

0 Ulasan
Assalamualaikum tuan-tuan.

Saya tidak tahu. Itu keputusan MB Selangor. Saya tidak pasti. Saya keliru. Saya hanya menyampaikan ceramah berdasarkan bahan yang pemimpin negeri bekalkan, ketika PRU yang lepas. Tiba-tiba MB kata penurunan cukai pintu masih dikaji.

Dia kata ekonomi belum kukuh. Eh, semasa saya sampaikan ceramah, saya tak sebut semua itu, kerana pemimpin tak sebut. Mana saya tahu ada syarat2nya.

Yang saya tahu, yang saya dimaklumkan, yang saya percaya, menang sahaja cukai akan turun. Bila, tak tahulah, tapi rakyat, tuan-tuan tentu nak cepatkan.

Mmmm payah2 sangat, tuan-tuan pergilah bertanya pemimpin negeri sekarang. Kenapa lambat sangat. Kedah yang hampir lingkup wal ghuyub pendapatan pun menyeronokkan pengundi, akan segala tindakan awal mereka.

Mmmm mungkin Selangor adalah negeri korporat. Tuan-tuan jangan tanya saya, saya hanya seorang rakyat yang sijil saya hanya setakat suis lampu rumah aje.

Maaf tuan-tuan, kita akhiri dengan tasbih kaffarah dan surah al-asr.

Kembali kepada Islam, Bukan Melayu.

0 Ulasan
MMMM, Majlis Muafakat Melayu Malaysia telah dibentuk semalam, bagi mengambil berat kepentingan orang Melayu. Bangsa lain jangan bimbang kerana ia tidak bersifat perkauman. Itulah mesej awal mereka.

Saya tertanya-tanya juga, selama 50 tahun Melayu dibela oleh Umno, apakah Melayu belum muafakat? Ini isyarat bahawa Umno gagal? Mereka yang menjuarainya tidak percaya lagi kepada Umno? Tetapi saya percaya majoriti mereka yang bersidang adalah ahli atau penyokong Umno. Paling tidak peraih kepentingan daripada Umno. Sedikit sangat yang selain itu.

Jika begitu, mungkinkah majlis ini untuk menarik semula sokongan Melayu kepada Umno yang telah gagal? Oh, mungkin bagi mereka, jika Umno menang, Melayu tiada isu ketidak muafakatan, tetapi isu timbul jika Umno tewas teruk? Yang menang selain Umno tiadakah Melayu? Yang memerintah selain pembangkang di Persekutuan, tiadakah Cina atau India?

Nampaknya, Majlis ini juga sedang berpolitik...atau dipolitikkan. Saya percaya juga, ada antara mereka yang tulus bertindak untuk Melayu. Tetapi mereka jangan lupa, jika muafakat itu tiada sokongan politik Melayu maka ia tidak akan menjadi. Jika Umno yang selamanya sebelum ini kukuh memerintah, memang pentingkan muafakat Melayu, atas nama bangsa, sudah lama hal itu dilakukannya. Tiadalah timbul masalah di Kelantan, kerana masalah yang dilakukan adalah menganiayai orang Melayu Kelantan. Hakikatnya bagaimana?

Bagi kita, Islam penyelamat bangsa Melayu yang rata-ratanya beragama Islam, di samping rakyat keseluruhannya.

Rasulullah saw ketika membuka kota Mekah dalam peristiwa yang penuh bersejarah, menegaskan satu prinsip agung agama; “Islamlah kamu, nescaya kamu selamat”. Jika baginda mahu mengikat Abu Sufian dan teman-temannya dengan semangat kebangsaan, nescaya disebutkan kalimah bangsa Arab dalam nasihatnya, dilaungkan semangat bangsa itu, supaya para pembesar Arab selamat dalam peristiwa tersebut.

Boleh sahaja diungkap misalnya; “Kita bangsa Arab, harus bersatu di Mekah ini”, “Kami dan kamu semua adalah Arab, kenapa mesti bertelingkah”, “Hidup Arab, Hidup Arab”. Oh tidak sekali-kali ia pernah berlaku.

Bukanlah Nabi saw menafikan langsung identiti Arab itu, dan bukan juga tidak bangga dengan bangsanya, tetapi kepentingan bangsa tidak bererti dan tidak dijamin jika agama bangsa itu tidak dipelihara dan dijadikan asas. Rasulullah pernah menyebut, khalifah dari Quraish, yang bererti pengaruh kaum Quraish menjadi kekuatan untuk memerintah Arab ketika itu, tetapi bukan itu slogannya, bukan itu matlamatnya dan bukan itu dasarnya.
Semuanya berbalik kepada Islam agamanya.

4.5.08

Selamat Datang Khalid Ibrahim : Selangor Bukan Guthrie

0 Ulasan

Oleh Ibnukhuzaimah.

( Tulisan penuh Ibnukhuzaimah di sini dengan tajuk asal, Badi Kerusi MB Selangor )

Selamat datang Khalid Ibrahim. MB Selangor yang ke 14. Dari latar belakang ekonomi yang mantap, pengalaman dan pentadbir yang hebat, dan ahli ekonomis yang disegani ramai. Untuk menggambarkan nya kita ambil petikan Surat terbuka kepada Tan Sri Khalid, tersiar sebelum ini:

“satu satunya anak Melayu yang ‘single-handedly’ melakukan dawnraid’ di London hingga membawa sekaligus Konglomerat Guthrie pulang ke Malaysia sekaligus membuat Perdana Menteri Britain Margharet Thatcher termangu-mangu sehingga menggubal undang-undang supaya tidak berlaku lagi seumpamanya. You are the first and the last!

Khalid Ibrahim tidak datang dari kerangka politik yang hebat. Ketika didalam UMNO, Khalid tidak berpeluang langsung mengasah bakatnya. Ushanya dalam UMNO terhalang ketika Abu Hassan memimpin UMNO Kuala Selangor.

Apakah Khalid juga akan mendapat badi kerusi tingkat 21? Masanya masih panjang. Bagaimanapun umum boleh membuat tanggapan ini tidak akan berlaku kerana Khalid tidak datang dari kerangka politik naungan yang rosak seperti BN dan UMNO.

Pertama sekali, Khalid bukanlah calon MB yang miskin kedana seperti Khir Toyo dan Muhammad Taib bekas Cikgu berkereta Toyota Ke 30.

Sukar untuk dilupakan ketika Almarhum Baginda Sultan Selangor, bekas bapa mertua Mohamad Taib berkata, lebih kurang begini, “kalau macam ini, Beta kena pindah Pulau Ketam, tanah di Selangor dah habis Mat Taib gasak”.

Dia (Khalid) sudah meliana (jutawan) lama sebelum memimpin Selangor. Bermakna Khalid tidak akan rakus untuk mencari sesuatu bagi mengisi kantong dan tembolok peribadi.

Apa kelemahan Khalid tidak diketahui sangat. Hanya masa yang akan memberi jawapan.

Bagaimanapun sedikit sebanyak sudah mula dipersoalkan. Kegemaran Khalid membandingkan pengalamannya sebagai CEO Guthrie ketika berucap dimana-mana sudah mula mendapat perhatian.

Banyak pendapat mahukan Khalid berhenti menjadikan pengalamannya sebagai CEO Guthrie sebagai kayu ukur kemampuannya sebagai pemimpin negeri. Ia hanya sesuai ditekankan dipentas ekonomi dan GLC Selangor nyata tidak begitu kemas dan mantap diurus.

Memimpin sebuah negeri yang hebat seperti Selangor tidak sama dengan memimpin sebuah badan korporat yang dianggotai oleh 40 ribu pekerja kata mereka.

Jika Khalid gagal melaksanakan janji dan manifesto kerajaan sebelum pilihanraya lalu, pasti rakyat akan mengaum marah. Rakyat sudah menjalankan tugas untuk berubah dan meletakkan ejen perubahan mereka yang tertinggi di tingkat 21.

Antara janji yang patut segera dilaksana ialah penurunan kadar air, manakala yang sedang dinanti sekarang ialah hadiah khas RM1000 kepada anak Selangor yang berjaya ke Universiti.

Hingga kini Selangor belum membuat pengumuman manakala Kedah sudah mengumumkan manakala Terengganu juga sudah berbuat demikian.

Setakat rencana ini ditulis, UNISEL sudah mula menerima pendaftaran siswa baru manakala surat tawaran ke Universiti lain akan keluar dalam masa terdekat.

Akhirul kalam, kita berdoa dan berharap Tan Sri Dato’ Khalid Ibrahim tidak akan terkena badi kerusi panas tingkat 21 .

Bola sudah di kaki, lawan sedang kepenatan, gawang terbuka luas, apa lagi? Bermain bola jangan terlalu defensive kerana majority tokoh bolasepak berpendapat, “the best defence is to attack”
"

3.5.08

Parlimen Bukan Sekadar Tempat Berhujah

0 Ulasan



Hari ini saya ada banyak masa di hadapan komputer. Sebab pertama, mak telah keluar dari hospital petang semalam. Kini berada di rumah saya. Jiwa pun makin tenteram. Kedua, tentulah kerana saya bercuti. Dahulu, Sabtu merupakan hari kerja dua kali sebulan. Kini tidak lagi. Ketiga, saya ada 'mood' untuk mengemaskini blog saya ini. Keempat, siang tadi tiada sebarang program. Cuma sekarang sepatutnya saya hadir ke markas parti untuk satu program liqa' fikri. Tetapi keadaan mak tidak mengizinkan. Harap sahabat saya faham...

Saya tidak pernah menulis tentang parlimen selepas ianya 'dibuka' beberapa hari lepas. Berita tentang kekecohan juga tidak semua sempat saya baca dan video klipnya pula, belum ditonton. Apa yang saya tahu, ada tindakan kurang wajar daripada anggota parlimen, dan media perdana menyebut anggota pembangkang.

Saya sangat setuju bahawa parlimen adalah tempat untuk meletakkan maruah wakil dan rakyat di tempat yang teratas dan terpuji. Janganlah dirosakkan dengan sikap kebudak-budakan. Mungkin ada yang seronok dapat mematah hujah lawan atau meruntuhkan hujah lawan dengan pangkahan dan celahan 'tajam', tetapi akhirnya semua akan melihat kepada sejauh mana bijaknya wakil-wakil ini mengambil kesempatan kuasa parlimen untuk memperjuangkan idealisme masing2.

Sejauh mana PKR mampu pergunakan parlimen untuk keadilan rakyat? Bukan hanya berhujah hebat, itu tidak memerlukan parlimen. Apa guna jika hanya menang berdebat, tetapi tiada perubahan untuk rakyat yang terhasil melalui parlimen.

Juga PAS, sejauh mana parlimen yang diizinkan memasukinya mampu menjadi tempat menyampaikan dakwah dan sekaligus menjadi perlindungan kepada usaha perlaksanaan intipati siasah syar'iyyah yang mapan. Bukan kerja kecil, wahai pemimpin PAS semua.

Kami hantar anda ke sana, bukan sekadar untuk memangkah hujahan Khairy. Itu tak perlu bergolok-gadai berkorban dalam pilihan raya lalu. Paling kurang kami mahu semua anggota parlimen mendengar intipati politik Islam daripada pihak PAS. Biarlah orang lain bercakap hal longkang, kebajikan dan keadilan sejagat menurut piawaian dunia, namun PAS perlu sentiasa merujuk kepada perlembagaannya. Jangan lupa seruan kita, walaupun dalam ungkapan yang pelbagai.

Selamat maju jaya, seeru 'ala barakatillah.

Kejam Budak Muda Umno Ini

0 Ulasan
Apabila saya membaca respon Khairy dalam entri sebelum ini, iaitu tulisan Puan Norlaila Othman yang saya ambil daripada Harakahdaily, saya terkejut sungguh apabila dia sanggup mengatakan sayang atau cintanya kepada ISA. Sukar saya mencari erti lain kalimah ISA itu selain Akta Rahsia Rasmi, yang maha zalim itu. Kut2 la dia maksudkan perkara lain. Tapi ternyata tidak. Sanggup rupanya budak muda ini mengatakan sayangnya dia terhadap akta zalim itu. Kezalimannya sangat jelas dan besar, baik daripada kaca mata Islam, Komunis, Sosialis, Nasionalis mahupun era jahiliyah Arab dahulu.

Patutnya, beliau berlapik ketika ingin mengulas ISA atau menolak seruan memakai 'badge' anti-ISA itu. Tambahan pula ketika berada di hadapan isteri tahanan sendiri. Langsung tiada simpati atau rasa bersalah. Kejam. Memang kejam menantu PM ini. Memang kejam orang muda yang perasan bakal pemimpin besar Umno ini. Ingatlah, kata-kata itu telah menimbulkan marah dan murka orang-orang soleh di bumi dan hamba Allah yang soleh di langit. Bahkan, sudah tentu menjadi bahan murka pemilik alam ini.

Khairy, ingatlah, politik berteras nafsu itu, jika tidak dikawal dengan naluri suci, akan menjahanamkan kamu sendiri. Kami tidak semudah itu untuk percaya kamu insaf selepas tersungkur pada PRU lepas. Nyata, telahan kami benar.

Buruknya manusia jika berjiwa bukan manusia

Angkuhnya Khairy Pertahan ISA

0 Ulasan

Oleh: Norlaila Othman (Keluarga Tahanan ISA 6 tahun)

Saya keluar dari bangunan Parlimen petang tadi dengan hati yang panas dan menggelegak. Sekiranya saya ada bawa air asid, hendak saja saya simbah ke muka mereka yang begitu 'sayang' dan angkuh kerana mereka dijaga oleh ISA.

"I tak boleh pakai 'badge' ni sebab 'I luv ISA'. Lagi pun family I belum ada yang kena ISA, itu lah jawapan Timbalan Ketua Pemuda Umno yang juga menantu bekas penguasa ISA, Khairy Jamaludin, ketika dihulurkan lencana ISA kepada beliau petang tadi.

Sebelum itu saya dan YB Dr Lo Lo Mohd Ghazali (PAS Titiwangsa) menghulurkan lencana yang sama pada Mukhriz Mahathir (BN Jerlun) dan jawapannya ialah "saya tak boleh ambil badge ni lagipun, kalau tak salah, kenapa mereka kena ISA pula?"

Berdesing telinga saya mendengar kata-kata itu. Itulah antara kata-kata sebahagian ahli Parlimen Barisan Nasional yang kami temui di Parlimen petang tadi.

Pada hari ini, Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) telah mengadakan satu majlis khas menyerahkan lencana ISA kepada semua ahli Parlimen Pakatan Rakyat.

Di majlis itu, GMI dengan kerjasama Bar Council menyerahkan satu memo yang diterima oleh Ketua Pembangkang, Datin Seri Dr Wan Azizah dimana dalam memo itu, mendesak supaya semua tahanan di Kem Kamunting (Kemta) segera dibebaskan.

Dalam majlis itu, Saudara Amer Hamzah, yang menjadi peguam tahanan, mendesak supaya Dato' Seri Syed Hamid Albar pergi melawat tahanan di Kem Kamunting dan lihat sendiri keadaan mereka.

Syed Hamid dilantik menjadi menteri kerana beliau di pilih oleh rakyat, justeru, dia sepatutnya berusaha untuk memberi khidmat terbaik kepada rakyat, bukan setakat melawat tahanan ISA di Kem, tetapi juga untuk membebaskan mereka dengan segera.

Majlis penyerahan lencana ini adalah salah satu usaha untuk mendidik rakyat yang dipilih menjadi ahli Parlimen supaya mereka mempunyai sedikit rasa simpati terhadap nasib Tahanan ISA yang berada dalam pemerintahan mereka.

Ahli Parlimen adalah orang yang dipilih rakyat untuk membela nasib mereka.

Namun, dari pemerhatian saya, walaupun ramai rakyat tidak suka ISA, namun pemimpin yang mereka pilih ini adalah dari golongan manusia yang hati mereka telah kering kontang dari sifat belas kesihan kepada sesame manusia.

Walaupun rakyat telah memberi gambaran bahawa mereka menolak pemimpin yang ego,bongkak dan tidak berperikemanusiaan dalam Pilihan Raya Umum ke-12 baru-baru ini, namun semua pemimpin yang saya temui tadi seolah-olah tidak ada rasa simpati, jauh dari rasa insaf dengan hukuman yang telah dijatuhkan oleh rakyat.

Saya rasa amat malang menjadi rakyat Malaysia kerana mempunyai pemimpin yang sengaja jahil dan tidak mahu membuka mata hati mereka terhadap kejahatan serta kezaliman ISA.

Mungkin mereka akan sedar jika Umni sudah dibubarkan dari bumi Malaysia ini. /Hrkh.

2.5.08

Kenyataan Pejabat Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak

0 Ulasan
Kenyataan di bawah saya ambil daripada Tranungkite.net

+++++++++++++

Berikut ialah kenyataan akhbar yang dikeluarkan atas titah Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Perak Darul Ridzuan berhubung arahan pertukaran serta-merta Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri Perak Darul Ridzuan:

Menjunjung titah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Perak Darul Ridzuan, Raja Nazrin Shah, atas nama Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIAMP), telah menitahkan Yang Amat Berhormat Menteri Besar Perak Darul Ridzuan, Dato’ Seri Ir. Mohammad Nizar bin Jamaluddin untuk menghadap Baginda pada jam 11.00 pagi ini, di Istana Raja Muda Perak Darul Ridzuan untuk menyembah maklumkan kepada Baginda berhubung arahan Menteri Besar Perak supaya Yang Berbahagia Dato’ Haji Jamry Sury ditukarkan serta-merta daripada jawatan Pengarah Jabatan Agama Islam Perak.

2. Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Ir. Mohammad Nizar telah dimaklumkan bahawa Yang Berbahagia Dato’ Haji Jamry Sury selaku Pengarah Jabatan Agama Islam adalah juga berperanan sebagai Setiausaha kepada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIAMP).

Bahawa lantikan Yang Berbahagia Dato’ Haji Jamry Sury dilakukan hanya selepas mendapat perkenan daripada Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzwan. Bahawa urusan Agama Islam serta badan dan agensi yang bertanggung jawab dengan agama Islam adalah di bawah kuasa langsung Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak. Oleh itu pada tafsiran Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak, Yang Amat Berhormat Menteri Besar mempunyai tanggungjawab untuk menghadap dan berdatang sembah, memaklumkan kepada Baginda Sultan dan juga kepada Baginda Raja Muda, memohon mendapat perkenan sebelum mengambil sebarang tindakan berkaitan hal ehwal agama Islam, badan dan agensi yang bertanggung jawab dengan agama Islam, merangkumi urusan lantikan, penempatan dan pemindahan pegawai dan kakitangan yang menguruskan hal ehwal agama Islam, apatah lagi bagi penjawat jawatan penting dan jawatan utama.

3. Hubungan kerja yang menghormati Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan merupakan satu konvensyen dan budaya kerja yang senantiasa diamalkan dan dihormati oleh setiap Mamanda Menteri Besar dengan pihak istana selama hari ini. Baginda Raja Muda memperingatkan bahawa hubungan yang dapat menjalinkan persefahaman ini wajiblah dihormati pada setiap masa. Sebarang perbuatan dan tindakan yang dilakukan tanpa terlebih dahulu mendapat perkenan Baginda Sultan dan Baginda Raja Muda adalah dianggap telah membelakangkan kedudukan Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan sebagai Ketua Agama Islam dan Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Perak selaku Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak.

4. Pada masa yang sama Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Perak telah menyampaikan nasihat dan pandangan Paduka Seri Sultan Perak bahawa seseorang Ketua Kerajaan dalam melaksanakan sesuatu tindakan hendaklah memperlihatkan berlakunya keadilan dengan mematuhi prosedur dan tata cara pentadbiran berlandaskan peraturan dan undang-undang yang ada. Baginda berpendirian bahawa kestabilan sesuatu pentadbiran dan kerajaan adalah berlandaskan kepada prinsip yang berpegang kepada peraturan dan prosedur yang telah ditetapkan. Baginda Sultan amat mementingkan hubungan kerja harmoni dan baik berlaku di kalangan para pentadbir dengan pemimpin politik di negeri Perak demi kepentingan dan kesejahteraan rakyat.

5. Adalah menjadi pegangan Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak supaya Kerajaan Baginda mengamalkan dan memperlihatkan amalan yang adil dan proses keadilan itu hendaklah dipatuhi, supaya tidak ada di kalangan rakyat Baginda yang merasakan diri mereka menjadi mangsa kepada mana-mana perbuatan fitnah atau penindasan daripada mana-mana pihak yang lebih berkuasa. Sebelum sesuatu keputusan atau hukuman dijatuhkan, proses dan prosedur yang memperlihatkan berlakunya keadilan hendaklah dipatuhi sepenuhnya terlebih dahulu. Prinsip keadilan sejagat (natural justice) perlu dihormati, oleh itu mana-mana pihak yang dikenakan sebarang tuduhan hendaklah diberikan hak untuk membela diri dan memberikan penerangan, supaya satu pertimbangan yang saksama lagi adil dapat dilakukan.

6. Dalam semangat yang demikian, Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Perak telah menyampaikan pandangan dan pendirian Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak supaya arahan pertukaran serta-merta yang dikenakan kepada Yang Berbahagia Dato’ Jamry Sury ditarik balik. Sekiranya terdapat sebarang perlanggaran peraturan dan kesalahan terhadap pentadbiran Kerajaan Negeri yang ada dilakukan oleh Yang Berbahagia Dato’ Jamry Sury, maka Kerajaan diminta mempersembahkan perkara tersebut secara rasmi kepada Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan untuk Baginda menitahkan proses undang-undang selanjutnya disusuli sebelum dijatuhkan apa-apa keputusan secara muktamad.

Y.D.H. Toh Raja Diraja
Kol. Dato’ Abd. Rahim Mohamad Nor
Setiausaha Sulit kepada
Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan.
Pejabat Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak
2 Mei 2008

1.5.08

Apa Wajarnya Peralihan Kuasa Melalui Peralihan Kerusi

0 Ulasan



Saya seringkali mengajak diri saya menulis apa sahaja selain politik di blog ini. Tetapi hakikatnya, saya lebih teruja dengan isu-isu politik berbanding lainnya. Bukan kerana saya mahir menulis politik, atau kerana ada kepentingan dalamnya. Saya fikir, mungkin kerana ianya mudah bagi saya, daripada menelaah bahan bacaan untuk artikel agama atau rumahtangga.


Walaupun begitu, saya tidaklah mendakwa tulisan politik saya matang dan bagus. Ia hanya memenuhi hobi baru saya, menjadi penulis blog yang sedang belajar menulis.


Beberapa hari yang lalu, saya semakin memutuskan untuk menolak secara baik usaha yang dilakukan oleh Pakatan Rakyat ( kelihatannya seperti Anwar seorang ) dengan memujuk dan menerima MP BN masuk ke dalam keluarga pembangkang, PR. Saya berputusan sedemikian kerana melihat amanah yang diterima oleh wakil rakyat yang dipilih oleh rakyat ketika mengundi. Jika mereka mahu wakil ini mewakili BN, majarkah wakil ini meninggalkan BN selepas mereka disahkan wakil rakyat untuk BN?


Samalah juga jika hal ini mengena diri kita sendiri. Paling panas ialah perisytiharan MP Pasir Mas Kelantan, YB Ibrahim Ali. Beliau bertanding atas tiket PAS, tetapi merupakan calon bebas, bukan anggota parti PAS. Namun, apabila menang dan hampir menjejakkan kakinya ke lobi utama Parlimen, beliau umumkan bukan wakil rakyat PAS, sebaliknya bebas. Riuh rendahlah penyokong PAS, khususnya anak-anak muda yang penuh semangat dan emosi.


Saya tidak tahu apakah kandungan perjanjian atau kontrak antara Ibrahim Ali dengan PAS Kelantan, atau dengan Tuan Guru sendiri. Saya juga tidak tahu apakah pengumuman beliau itu melanggari sebarang perjanjian atau tidak. Apa yang saya pasti, beliau telah dituduh kaki lompat lagi, oleh penganalis dan pemerhati politik yang tidak profesional. Saya belum lagi mendengar ulasan daripada mana-mana pemimpin Kelantan dalam isu ini.


Jadi, jika kita sudah bising-bising dengan seorang Ibrahim Ali, bagaimana pula dengan 30 MP BN yang akan menyeberangi tembok rapuh BN kepada PR? Mereka tentunya bising dan marah-marah. Rakyat yang mengundi mereka akan pasti menyumpah mereka dan tokoh PR sendiri. Bukankah ini kelihantannya seperti khianat? Jadi dengan andaian dan jangkaan pengkhianatan akan berlaku, ramailah yang mula menulis menolak usaha tersebut. Saya juga seperti bersetuju pandangan ini.


Namun setelah membaca beberapa komentar di Tranungkite.net dan tulisan Hishamuddin Rais di Malaysiakini.com, saya semakin dekat kepada usaha pemujukan dan penerimaan itu.


Komen-komen di Tranungkite dan tulisan Hisham menjurus kepada kebobrokan yang dilakukan oleh BN sejak sekian lama sebagai hujah mewajarkan peralihan seperti ini berlaku. Sejak 50 tahun lalu, bukan sedikit jahat yang kelihatan dan terjadi. Malah Hisham menulis satu persatu sabotaj dan degil BN sejak PRU 12, walaupun ketika ia sedang tersungkur rapat ke bumi. Inikan pula jika semakin pulih nanti. Bagi beliau, PRU 13 belum tentu menjanjikan peluang yang sama seperti sekarang, untuk merapatkan terus angkuh BN ke tanah.


Hujah-hujah yang saya baca ini menggambarkan peralihan kuasa bukan cara pengundian ini, adalah wajar dilakukan. Cuma saya masih lagi belum berpuas hati terhadap hujah-hujah itu, baik untuk mententeramkan jiwa saya, mahupun meyakinkan khalayak .


Bagi saya, kenyataan Presiden PAS sebelum ini, yang secara asasnya menerima usaha peralihan ini, perlu disambut oleh tink tank atau Pusat Penyelidikan PAS ( PPP ) untuk melakukan kajian berkaitan, dengan segera. Sebagai parti lebih 50 tahun usianya, PAS perlu berhujah dengan matang dan mantap dalam apa sahaja isu dan tindakan.


Cadang saya, kajian pertama ialah pada kewajarannya peralihan gaya tersebut pada kaca mata demokrasi. Kedua kewajarannya pada hukum syara' dan ketiga kewajarannya dalam membantu penerusan perjuangan Islam PAS.


Kajian atau analisa detil dalam isu ini sangat mendesak supaya PAS dapat menyatukan suaranya, baik antara sesama pimpinan mahupun dengan ahli dan penyokong. Jangan hanya melihat dan menunggu, biarkan Anwar menentukan segala-galanya, strategi, konsep, hujah, dan tindakan.


Kajian ketiga yang saya sebut di atas, bukan bertujuan untuk meyakinkan petugas PAS, tetapi bagi memastikan seruan PAS benar-benar disedari oleh pakatan walaupun mereka belum bersedia dengannya, baik separuh ataupun sepenuhnya.


MENYOROKKAN SERUAN ATAU APA

Sedar tak sedar, PAS atau pemimpinnya seperti sengaja 'menyorokkan' seruan parti selama ini, atas tindakan yang dipilih. Itu dakwaan sesetengah orang. Mereka bertanya lagi, pernahkan DAP menarik semula Malaysian Malaysianya, atau PKR yang menjuangkan keadilan dan Anwar, sanggup bertolak ansur? Lihat sahaja sikap PKR dalam Dasar Ekonomi Barunya. PAS, kenapa sudah ada ahli yang pertikaikan diam membisunya pimpinan dalam isu seruan dan cita-cita kita?


Saya sendiri tidak persoalkan keikhlasan dan keyakinan pimpinan, tetapi strategi apa yang sedang diambil kini? Apakah ia masih dalam skop kajian atau strategi PPP, atau ianya diluar kawalan, atau terserahlah kepada penilaian individu. Kini sudah ada beberapa kenyataan bercanggah antara tokoh besar PAS.


Maka janganlah isu-isu besar seperti ini, menonjolkan PAS tidak bersedia dengan strategi menyeluruh dan sistematik. Apa yang ahli dan aktivis tidak mahu melihatnya ialah apa yang berlaku kini hanyalah kerana kita belum bersatu fikrah, tiada persediaan penuh dan perjalanan PR di luar kawalan parti. Bukan maksud saya PAS perlu kawal perjalanan PR secara total, tetapi lontaran saya bermaksud apakah suara-suara PAS berkumandang dalam sesi perbincangan PR, atau sebaliknya.